Friday, January 29, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 6)

BAHAYA FITNAH

1. Dalam banyak hal yang ditulis; I transmit, I do not invent.

2. Bagi mengelakkan dari bahaya fitnah, saya ingin menarik balik Point ke-11 dalam Siri 1 dan memohon maaf kepada Datuk Seri Shahidan. Saya telah memaklumkan tentang penafian DSSK berkenaan isu menyepak pagar istana kepada penyampai-penyampai maklumat dan memohon mereka cuba mencuri gambar atau rakaman tersebut sebagai bukti sebelum mereka bercakap mengenainya. Sehingga ada bukti yang sampai ke tatapan saya, saya akan mempertahankan Datuk Seri Shahidan bahawa beliau tidak pernah bertindak demikian.

ASET, LIABILITI DAN ALTERNATIF

3. Jika ingin terus berkuasa, UMNO Perlis perlu menjadi aset dan mengelak dari menjadi liabiliti kepada keharmonian sosial dalam masyarakat.

4. Memandangkan UMNO Perlis tidak bernyawa dan tidak pula berakal, maka pemimpin-pemimpin yang ada bertanggungjawab untuk menjadikan UMNO sebagai aset dan menjauhkan sebarang unsur liabiliti.

5. Aset ialah harta yang boleh bertambah nilainya selepas suatu tempoh masa seperti tanah, bangunan, wang dan modal insan yang dimiliki. Manakala liabiliti ialah harta yang kewujudannya menjadi beban seperti sebuah kereta yang sudah buruk dengan pe’el yang memeningkan.

6. Datuk Seri Md Isa yang menjadi Menteri Besar Perlis pada hari ini merupakan suatu liabiliti kepada kesinambungan penguasaan UMNO di negeri Perlis kerana 2 tahun beliau tidak sama atau lebih baik dari 2 tahun Shahidan suatu ketika dulu. Banyak perkara yang terganjak ke belakang terutamanya dalam aspek kebajikan, kemasyarakatan, ketelusan, keadilan dan pembangunan. Entah bagaimana pula DOKTOR Md Isa berkira-kira sehingga menggantikan 5 orang Melayu dalam Ahli Majlis MPK untuk memberi laluan kepada 7 orang Cina didalamnya. Untuk rekod, bangsa Cina hanya mewakili 12.9% dari pengundi Perlis.


Pecahan pengundi PRU12 di Perlis berdasarkan kaum.


7. Walaupun Md Isa secara relatifnya mempunyai keperibadiaan yang nampak lebih unggul berbanding Shahidan, tetapi ketokohan dan keupayaan mengurus dan mentadbir beliau nyata tidak setanding; apatah lagi dalam soal mengurus sebuah rampasan kuasa sebagaimana bala tentera Thailand mengurus rampasan kuasa di negara mereka. Md Isa terlalu senyap untuk membawa ngauman keperluan Singa Utara di pusat. Dengan sebab itulah banyak rakyat yang menjangkakan hayat politik Md Isa sebagai Menteri Besar tidak lama.

8. Datuk Seri Shahidan merupakan suatu aset kepada UMNO Perlis dalam keadaan beliau telah membuktikan keupayaan dan ketokohan beliau untuk mengemudi negeri Perlis yang kelemboi sehingga kadangkala nampak lebih besar dari Sarawak. DSSK berkemampuan membawa ngauman keperluan Singa Utara di pusat.

9. Akan tetapi, Shahidan adalah pemimpin yang mempunyai sejarah percakaran dengan pembesar-pembesar lain seperti Radzi, Syed Razlan, Azmi Khalid, Zahidi dan yang paling penting ialah pertembungan beliau dengan Tuanku Raja. Tuanku Raja dan kerabat istana Perlis serik untuk menerima Shahidan. Ibarat Anwar Ibrahim masih boleh tersenyum depan Dr. Mahathir, begitulah juga Tuanku Raja. Dalam perut siapa yang tahu.

10. Selagi undang-undang Perlis tidak dipinda, selagi itulah Tuanku Raja mempunyai kuasa melantik Menteri Besar. Surat tauliah dari Perdana Menteri, hatta dari Presiden Obama sekalipun, tidak akan memberi apa-apa makna tanpa perkenan baginda. Shahidan sendiri tidak pernah menjangka Tuanku Raja tergamak untuk bertindak menggunakan Veto dalam bab perlantikan Menteri Besar Perlis.

11. Oleh yang demikian, seandainya Tuanku Raja tidak berkenan untuk menerima kembali Shahidan, maka UMNO Perlis memerlukan alternatif lain bagi menggantikan Md Isa.

12. Hasil persembangan di kedai-kedai kopi sepanjang 2009, maka saya melontarkan nama YB Jeffri (Guar Sanji) dan YB Jamil (Sena) ke tengah gelanggang untuk dinilai oleh para pengamat politik Perlis sebagai muka-muka yang mungkin akan duduk di kerusi Menteri Besar Perlis. Saya menjangkakan salah seorang daripada mereka hampir pasti akan duduk di situ suatu hari nanti.

13. Seandainya itu terjadi, maka proses detoxification dalam UMNO Perlis akan bermula bagi tujuan merembeskan segala toksid dan penyakit dalam UMNO Perlis. Harus diingat, kedua-dua mereka mempunyai “kunci spare” untuk membuka kesemua sangkar dan membebaskan manusia-manusia yang terpenjara didalamnya.

qunang: banyak soalan, persoalan dan tawaran yang diterima melalui email dan sms.. mereka terus berteka-teki.. :)

Monday, January 25, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 5)


BIARKAN POKOK BERGOYANG


1. Tertulisnya lima siri ceritera ini adalah untuk meniupkan angin agar pokok akan bergoyang dan segala buah-buah yang sudah ranum itu akan gugur, dengan harapan akan terbit tunas-tunas dan pucuk baru yang lebih segar dalam meneruskan kesinambungan hidup pokok bersejarah itu.

2. Hakikatnya, ada pokok yang bergoyang pada 16 Januari 2010, selepas siri ke-2 penulisan ini; dan sesungguh-sungguhnya Shahidan ingin bangun semula selepas di"smackdown" hingga terduduk.

3. Usah begitu berhati-hati hingga memperjudi kepentingan negeri yang kita cintai. Kalau perlu potong, kita potong. Kalau perlu potong lagi, kita potong sekali lagi. Ingatlah sejarah merudumnya dominasi berdekad Suharto yang memperlihatkan pertukaran demi pertukaran dalam pucuk pimpinan tertinggi republik terbesar itu. Selepas Suharto, mereka angkat BJ Habibie, selepas itu Gus Dur, seterusnya Megawati sehinggalah mereka berpuashati dengan Susilo Bambang Yudhiyono. Republik Indonesia kembali tenteram, makmur dan membangun pada hari ini kerana keberanian rakyatnya menguji dan menyerahkan kuasa pada tangan yang sepatutnya. Dalam aspek kepimpinan sosial, kita harus berkeyakinan bahawa yang patah pasti tumbuh, yang hilang pasti berganti.

4. Jika orang-orang Melayu dalam UMNO Berani Berubah, mereka pasti akan bertemu dengan pemimpin baru yang lebih segar dan berkarisma dari Dr. Mahathir, Shahidan, Md. Isa, Syed Razlan mahupun Radzi. Lihat saja Pengerusi PIBG sebuah sekolah di pekan Kepala Batas yang lebih hebat berbanding zaman Pak Lah jadi pengerusi. Mereka Berani Berubah!

RUMUSAN

5. Dalam siri pertama penulisan ini, saya membangkitkan tentang era kepimpinan Datuk Serti Shahidan yang berbekas dalam sejarah pembangunan politik dan sosial di negeri Perlis. Bahawa pengganti beliau seharusnya sama atau lebih hebat daripada beliau dalam memastikan kesinambungan dominasi UMNO di negeri kelemboi itu.

6. Pada siri kedua, saya mengutarakan kecenderungan negatif para pembesar UMNO di Perlis yang amat memeningkan kepala ahli-ahli dan pendokong-pendokong UMNO di bawah; sekaligus terus menjauhkan majoriti golongan muda dari politik, khususnya politik cara UMNO. Dalam menghadapi asakan pembangkang, orang-orang muda perlu memilih antara UMNO, PAS dan PKR. Selepas itu, mereka perlu pula memilih sangkar Shahidan, Radzi atau Syed Razlan. Betapa UMNO di Perlis mempunyai masalah struktur birokrasi yang amat memualkan lagi merugikan.

7. Pada siri ketiga, saya cuba menzahirkan kekhuatiran dan gundah hati apabila mendengar dan melihat kritikan berterusan terhadap institusi Raja di Perlis yang kian kabur fungsinya dalam perpaduan bangsa Melayu dan agama Islam. Dalam keadaan politik orang Melayu UMNO di Perlis amat memerlukan orang tengah yang saksama, kredibiliti dan peranan Tuanku Raja acap kali dipertikai disebabkan kerja sambilan baginda sebagai saudagar Kelas A. Penglibatan BUMITA sewajarnya lebih tertumpu dalam aktiviti perniagaan di luar negeri Perlis bagi merungkai tohmah dan cemuhan, sementara rakyat tidak langsung mengharapkan The Weekend King untuk mereka sembah, tunduk, taat dan patuh. Sentuhan berterusan yang lebih mesra di pangkin rumah kenduri sebagaimana saat DYMM Tuanku Syed Sirajuddin mula diishtihar sebagai Raja Muda amat dirindui rakyat terbanyak. Patik mohon menyampaikan...

8. Dalam siri keempat, saya ketengahkan prinsip bahawa “pembaharuan” atau “reformasi” politik itu bukanlah sesuatu yang sentiasa memberi hasil yang baik kepada masyarakat. Sejarah membuktikan begitu banyak “pembaharuan” yang akhirnya memusnahkan akar ketamadunan sesebuah bangsa. Membiarkan “pembaharuan” dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak layak ibarat membunuh diri sendiri. Bagi rakyat mahupun ahli UMNO, mereka harus sedar bahawa mereka yang memilih seseorang pemimpin; maka untuk apa mereka takut hingga melutut sambil mem’plaster’ mulut sendiri dari menegur pemimpin yang mereka bertungkus-lumus memenangkannya? Tegur yang salah, puji yang betul.

MEMILIH SELEPAS MENILAI

9. Pujangga Inggeris mengatakan, don’t judge a book by its cover. Maknanya, kita perlu menyelak buku itu dan membacanya (atau belek saja semua gambarnya) untuk membuat penilaian sebelum kita memilih. Umat Melayu perlu rasional dalam membuat pilihan dan menetapkan pendirian. Seorang ahli falsafah Roman Stoic bernama Lucius Annaeus Seneca mengingatkan ketuanya, “if you would judge, understand!”

10. Menilai “buku” Radzi, banyak orang-orang lama bercerita tentang ucapan beliau suatu ketika dahulu bahawa “ayah saya dah wasiat kerusi MB untuk saya teruskan kerja dia”. Tak perlu lagi disebut tentang cercaan terang-terangan beliau terhadap UMNO di zaman Semangat 46 hingga terpijak bendera keramat parti Melayu itu. Banyak orang sedia maklum kenapa Radzi menang berganda dalam PRU12. Rakyat faham dan rakyat akan menghakimi beliau pada PRU13.

11. Menilai “buku” Shahidan, umum mengetahui bahawa beliau cukup berhati-hati dalam mempertahankan dominasi politiknya. Terlalu banyak episod persengketaan dan perdamaian dengan pembesar-pembesar lain berkait dengan kepentingan dan agenda semasa. Begitu juga sukar untuk beliau melatih, mempercayai dan meyakini generasi pelapis muda tempatan untuk jawatan-jawatan kanan yang “panas” seperti Mufti, Setiausaha Politik dan Ketua Pemuda Bahagian Arau. Terkadang kita lupa bahawa Perlis masih mampu menang dan bertahan dalam Liga Super tanpa khidmat Philemon Chipeta. Adanya kebijaksanaan Mohd Noor Aziz sudah memadai. Rakyat faham dan rakyat akan menghakimi beliau pada PRU13.

12. Menilai “buku” Syed Razlan, seorang putera yang mempunyai citra tersendiri dalam politik yang kadangkala agak sukar difahami. Sering didengari akan wujudnya masalah perimbangan diantara egoism sebagai kerabat istana dan hemoi sebagai warga. Isu penswastaan jawatan ADUN dan bara kemelut perlantikan JKKK di Pauh adalah suatu sudut penting yang sangat perlu dititikberatkan dalam menghadapi sisa-sisa hari menjelang pilihanraya akan datang. Sejak menjadi Ahli Parlimen, terlalu banyak rungutan yang berkait dengan cronism dan favaouritsm dalam pengagihan segala macam kemudahan dan rahmat. Rakyat faham dan rakyat akan menghakimi beliau pada PRU13.

13. Untuk menilai realiti jawatan Menteri Besar Perlis selepas ini, “buku” YB Jafperi bin Othman (ADUN N13 - Guar Sanji) dan YB Jamil Saad (ADUN N7 – Sena merangkap pengantin baru) sewajarnya diteliti kerana orang ini hampir sama hebat dengan Nik Aziz dan Shahidan yang hampir mustahil untuk kalah di kawasan masing-masing selagi tak nyayuk. Saya doakan cikgu Jeff dan YB Jamil panjang umur dan dimurahkan rezeki. Rakyat faham dan rakyat akan menghakimi mereka pada PRU13.

qunang: ternampak bayang-bayang orang yang akan jadi Menteri Besar Perlis.

Thursday, January 21, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 4)


KEKUATAN & PENGARUH


1. Di Perlis, ada banyak orang kuat UMNO termasuk penulis; tetapi hanya ada 3 orang yang berpengaruh dalam UMNO.

2. Tiga orang berpengaruh yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah berjaya menebar dan mempertahankan pengaruh beliau ke segenap pelosok negeri, Datuk Zahidi Zainol Abidin (bahagian Padang Besar sahaja) dan Bakri Datuk Ali (bahagian Kangar sahaja). Ketiga-tiga mereka ialah Ketua Bahagian UMNO pada era DSSk sebagai MB Perlis.

3. Ada "orang kuat" UMNO yang merasakan diri mereka berpengaruh dalam UMNO; seperti Datuk Seri Syed Razlan (Arau), Datuk Seri Radzi (Kangar) dan Datuk Seri Azmi Khalid (Padang Besar). Ketiga-tiga mereka sama ada terkandas atau tidak berani bertanding dalam pemilihan UMNO yang lalu.

4. Ada juga "orang tak kuat" UMNO tetapi tetap merasakan diri mereka berpengaruh dalam UMNO Perlis; seperti Datuk Hashim Suboh (Kangar) dan Amer Hassan (Arau).

PUNCA KEKUSUTAN

5. Pak Lah dan Datuk Seri Najib adalah orang yang bertanggungjawab menjadi punca kekusutan UMNO Perlis apabila mereka mengetepikan tradisi UMNO menjelang pilihanraya yang lepas.

6. Tradisi UMNO dalam menyenaraikan calon-calon pilihanraya ialah dengan mengikut cadangan Bahagian UMNO dan bukan ahli Parlimen.

7. PM dan TPM itu memilih untuk menerima cadangan ahli Parlimen dari UMNO berdasarkan peruntukan besar yang telah disalur melalui Parlimen untuk memperkukuhkan kedudukan politik UMNO di seluruh negara.

8. Langkah itu ternyata kurang bijak bagi negeri Perlis, dimana ketiga-tiga ahli Parlimen bukan merupakan "orang berpengaruh" dalam UMNO diperingkat Bahagian mahupun Negeri. Harus diingat, "pembaharuan" yang mengetepikan cadangan Bahagian juga menyebabkan UMNO terduduk di lima negeri.

9. Langkah "pembaharuan" itu dilihat meletakkan kuasa di tangan yang tidak sepatutnya; sehinggalah berlaku beberapa keputusan yang berbaur khianat terhadap perjuangan dan tradisi parti.

10. Ketiga-tiga ahli Parlimen ketika itu, Radzi, Syed Razlan dan Azmi adalah pemimpin yang mengintai-intai kerusi MB Perlis; maka mereka dapat bersatu hati untuk mencapai suatu matlamat bersama -- mencantas Shahidan dari kerusi MB. Perkara-perkara lain belakang cerita.

"PEMBAHARUAN" MEMBAWA PADAH

11. Pertembungan sejak di peringkat pemilihan calon-calon untuk PRU12 memperlihatkan Radzi (yang dilihat rapat dengan Pak Lah) dan Shahidan (yang rapat dengan Tingkat 4) mengusahakan pelbagai strategi untuk menunjukkan kelebihan masing-masing.

12. Shahidan menghantar berbondong-bondong penyokong dengan puluhan bas, disamping turut tiba awal untuk solat Jumaat di Masjid Putrajaya dengan mengambil posisi betul-betul disebelah kanan Pak Lah.

14. Diceritakan, Pak Lah tak senang duduk sepanjang sembahyang Jumaat hari itu, lantas tersenyum manja bila nampak muka Shahidan sewaktu mula memberi salam selepas solat. Bijaknya Shahidan untuk ber"sembang masjid" bagi menyatakan hasrat & kesungguhan beliau mempertahankan jawatan, beliau akhirnya berjaya menyelitkan beberapa calon-calon beliau untuk PRU12 sekaligus mengimbangi pecahan DSSK & DSR menjelang tarikh penamaan calon pilihanraya umum yang semakin hampir ketika itu.

15. Berbeza dengan Shahidan yang menunjukkan kelebihan suara rakyat yang dimiliki, Radzi memilih untuk mempengaruhi Tuanku Raja selepas BN menang di Perlis. Dengan bantuan Syed Razlan dan sokongan Azmi Khalid, Radzi telah menunjukkan kepada Pak Lah dan Najib akan kelebihan "kuasa Veto" yang mereka miliki.

16. Dalam suasana kelam-kabut itu, pemain-pemain Tingkat 4 telah menghulurkan kertas kepada Pak Lah untuk ditandatangani, iaitulah Watikah Perlantikan sebagai Menteri Besar Perlis. Pak Lah sign tanpa merujuk kepada Tuanku Raja Perlis.

17. Apabila mengetahui bahawa Tuanku Raja tidak berkenan dengan cadangan beliau sebaliknya memilih calon Radzi iaitu Md Isa Sabu; lantas Pak Lah mula tersedar bahawa sign beliau bukan sentiasa laku.

PERJANJIAN JAWATAN MB PERLIS

18. Dalam pening mengurus seribu satu masalah ekoran kekalahan besar BN dalam PRU12, Pak Lah memanggil semula suatu mesyuarat sepuluh mata dengan Najib, Radzi, Shahidan, Md Isa.

19. Hasil mesyuarat itu ialah satu perjanjian 2+2 antara Shahidan dan Md Isa. Dikhabarkan, surat perjanjian itu ada disimpan dalam gobok Shahidan dan Md Isa sehingga hari ini. Sama-sama kita tunggu kertas bersejarah ini dipaparkan di media menjelang Mac nanti.

21. Pada hujung minggu lalu, Md Isa membuat suatu kenyataan bahawa perjanjian ini tidak wujud. Mungkinkah Md Isa terlupa atau sememangnya tidak termetri sesuatu perjanjian sehingga dimatikan setem mengikut prosedur yang biasa.

22. Adakah apabila Shahidan mungkir bahawa penggal 2004/08 adalah yang terakhir untuk beliau; maka Md Isa juga akan melakukan yang serupa sebagaimana yang ditekan pada remote control yang sedang dipegang Radzi?

23. Hakikatnya, Shahidan diketepikan oleh Tuanku Raja dari jawatan MB Perlis dalam keadaan beliau memegang watikah Perdana Menteri. Seandainya Md Isa berhajat menyerahkan jawatan MB kepada Shahidan sekalipun, dan seandainya Shahidan menerima watikah dari PM baru sekalipun; mungkinkah Tuanku Raja akan berkenan menerima kembali Shahidan?

24. Dan lagi, mungkinkah Najib akan mencari masalah dengan Tuanku Raja untuk mengulangi skrip kebodohan Pak Lah?

25. Kita tunggu wayang terhangat di bulan Mac 2010.

[Nota: Perkara 14 & 15 disusun semula pada jam 8.05 mlm 20/01/2010 selepas mendapat maklumbalas dari seorang pembesar]

qunang: Masih berteka-teki akan apa yang akan Shahidan buat untuk mengatasi kuasa istana; dan apa pula tindakan Radzi & Md Isa untuk menidakkan perjanjian 2+2....

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 3)


CINTA TIGA SEGI


Di tepi Bukit Lagi,
Ada bangunan yang banyak fungsi,
Banyak pemain cinta tiga segi,
Sekalian rakyat menjadi saksi.

Di bangunan tepi Bukit Lagi,
Dipanggil Putrajaya Mini,
Semua orang tak nak rugi,
Nak cari makan untuk anak bini.

Disitu takhta negeri,
Ada orang tak gosok gigi,
Ada yang kencing berdiri,
Ada yang sanggup di”doggy”.
Ada yang macam monkey.

Disitu ada agenda mega,
Disitu ada ahli neraka,
Ada manusia berkepala tiga.
Ada manusia dua muka,

Di tepi Bukit Lagi,
Ada banyak YB,
Ada yang sembang macam nabi.
Ada yang lagak macam baby.

Politik! Oh politik!
Sandiwara ataupun trick,
Ilmu hisab atau matematik,
Tak cukup sifat nak kata ilmu mantik.

keRAJAan, keSHAHIDANan, keRADZIan dan keRAZLANan

1. Kocak politik berpanjangan di Perlis berkait dengan perebutan mengepalai pentadbiran bagi keRAJAan Perlis.

2. Perlis adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang ada Raja; maka pentadbiran negeri Perlis dirujuk sebagai pentadbiran keRAJAan Perlis. Begitulah juga sewajarnya pentadbiran Kedah wajar dirujuk sebagai pentadbiran keSULTANan Kedah dan pentadbiran persekutuan dirujuk sebagai pentadbiran keAGUNGan Persekutuan.

3. Bersandarkan istilah bahasa, struktur Perlembagaan Malaysia memperuntukkan dengan jelas tentang aspek “kesetiaan kepada RAJA dan negara” melalui Rukunegara yang tentu sekali dihafal dengan baik oleh DSSR, DSR dan DSSR. Frasa itu membawa erti seluruh warga Malaysia perlu taat dan setia kepada Raja Perlis, termasuklah DSSK, DSR dan DSSR yang memiliki sangkar politik masing-masing di negeri kelemboi ini.

RAJA, ALI DAN BABA

4. Rakyat Perlis khasnya masyarakat di Bandar DiRaja Arau mengetahui tentang dua RAJA terkenal di bandar ini, iaitu Tuanku Raja dan Raja Car Wash.

5. Terdapat tiga perbezaan ketara di antara Tuanku Raja dan Raja Car Wash. Walaupun rambut masing-masing sama hitam, tetapi nyata hati mereka lain-lain.

6. Perbezaan Pertama,Raja Car Wash sentiasa berusaha mencari tanah-tanah orang Melayu di Arau untuk dijual kepada orang-orang India yang sebangsa dengannya. Lihat saja sepanjang Jalan Besar Arau-Pauh. Manakala, Tuanku Raja tidak peduli menjual harta yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit (Istana Cahaya) kepada orang Cina. Hal ini menjadi suatu tamparan hebat kepada orang Melayu yang menyembah tunduk pada Tuanku Raja. Adalah lebih Mulia kiranya Tuanku Raja menjual istana itu dengan harga sepuluh sen kepada saya dari menjualnya dengan harga satu juta kepada Chin Hin.

7. Perbezaan Kedua, Raja Car Wash percaya kebolehan orang-orang India yang sebangsa dengannya untuk diambil menjadi “orang kanan” dalam perniagaan beliau. Manakala, Tuanku Raja lebih percaya kepada Lim Bo Toi daripada Muhammad Ali. Hatta projek-projek sub-con pun diberi kepada Baba dan Nyonya walaupun orang-orang Melayu yang paling taat sembah tunduk kepada Tuanku Raja. Adalah lebih Mulia segala projek-projek itu disempurnakan oleh Azhar Gapura daripada sewenangnya diberi pada kaum kerabat Lim Bo Toi.

8. Perbezaan Ketiga, Raja Car Wash sangat humble dan boleh kita jumpa tanpa appointment dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari, kecuali hari beliau demam. Manakala, Tuanku Raja terasing disebalik tembok yang kian meninggi dan melebar. Adalah lebih Mulia jika Tuanku Raja membuka Pusat Khidmat Tuanku Raja dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam, kecuali hari baginda demam.

SHAHIDAN vs. RAJA

9. Umum mengetahui bahawa satu-satunya kuasa yang telah merebahkan koloni Shahidan di Perlis ialah kuasa Tuanku Raja. Suatu hakikat yang jujur, Shahidan dibenci Tuanku dan Shahidan membenci Tuanku.

10. Diceritakan oleh seorang putera bahawa kebencian itu berakar sejak Shahidan menjadi Ahli Parlimen dahulu; dimana beliau yang awal menyokong perbahasan bagi menghadkan kekebalan raja-raja. Ini cerita di istana.

11. Adalah mustahil untuk Shahidan memberitahu penyokongnya bahawa dia membenci Tuanku Raja kerana beberapa kali bertembung dalam lobi melobi projek kelas A. Demikian juga mustahil untuk Tuanku Raja memberitahu rakyat baginda bahawa baginda membenci Shahidan kerana projek-projek kelas A di Perlis banyak dibolot oleh Shahidan. Ini cerita di kampung.

12. Susahnya bila ada kontraktor yang berkasta. When it comes to money, people act funny.

13. Maka ironinya, Tuanku Raja hanya akan menyambut tangan Shahidan yang sedang terduduk itu hanya apabila Shahidan boleh lobi projek 1 billion untuk baginda. Kalau itu terjadi, Shahidan jadi Raja.

qunang: Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik pohon diampun. Acap kali patik cuba menyampaikan pandangan patik dalam pujangga istana, dan kali ini patik cuba lagi menyampaikan mesej kawan-kawan di kampung-kampung dalam nada yang agak berbeza. Patik sayang Tuanku. Patik sayang UMNO. Patik menegur Tuanku agar Tuanku mengetahui isi hati marhaen di bawah. Bukan prinsip dan niat patik untuk membuang atau menjatuhkan institusi Raja; tetapi hanyasanya untuk memperkukuhkan lagi. Moga yang kurang betul diperbetulkan dengan hidayah yang tulus dari Ilahi.

Thursday, January 14, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 2)

IMPIAN DI BULAN TIGA

Sungguh punggok rindukan bulan,
Cuma bulan tak muncul tiba,
Nampak berbaik Shahidan dan Syed Lan,
Ibarat perigi mencari timba.

Kenapa bulan tak muncul tiba,
Kerana awan tebal menggila,
Kenapa perigi mencari timba,
Kerana impian di bulan tiga.

Rencana ini rencana mega,
Tidur sebantal berlainan bilik,
Sejarah 2008 di bulan tiga,
Apa dirancang jadi sebalik.

Apa impian di bulan tiga,
Menanti Najib naik ke utara,
Beranikah dia menjadi saga,
Atau terus membiar bara.

Menjadi saga apa yang ada,
Andai fikiran tunggang terbalik,
Mengota janji mengadap baginda,
Langsai hutang di Janda Baik.

Orang cerdik menunggang kuda,
Yang lagi cerdik naik Garuda,
Benarkah janji menghadap baginda?
Atau hanya berpropaganda?


LOMPATAN DAN LANTUNAN

1. Suasana politik di Perlis digentingkan dengan sikap 12 orang ahli-ahli Yang Berhormat Barisan Nasional yang memilih untuk mengurung diri di dalam sangkar. Betapa burung-burung di atas pokok lebih nyaring siulannya dari burung yang terkurung di dalam sangkar.

2. Apabila sahaja “ter”hadir ahli-ahli Yang Berhormat untuk memenuhi undangan di sangkar sebelah, maka tentu sekali mereka perlu keluar atau “ter”keluar dari sangkar yang sedia mereka diami. Ya, saya maksudkan terkeluar atau dikeluarkan dari sangkar itu.

3. Dikisahkan seorang suami yang menyebut “I love you” kepada isterinya setiap kali sebelum keluar ke pejabat selama lapan tahun berturut-turut. Pada suatu hari, sang suami terlupa berkata “I love you” kepada isterinya; lalu si isteri merajuk dengan diungkap pelbagai tohmahan dan prasangka.

4. Demikianlah kebiasaan yang telah bertukar menjadi peraturan. Peraturan menjadi kewajipan sekaligus menolak nilai keikhlasan. Orang Shahidan tidak boleh berjumpa atau menghadiri majlis orang Radzi atau orang Syed Razlan atau orang Tuanku; dan begitulah sebaliknya diantara ketiga-tiga sangkar itu. Kalau henda hadir juga, perlu merangkak bawah meja sambil muka dibenam dalam tanah. Betapa jiwa mereka rela dikurung.

5. Apabila terjadinya kejadian dimana pembesar-pembesar atau penyokong-penyokong dikeluarkan atau mengeluarkan diri mereka dari kepompong puak, luak dan juak tersebut; maka pemilik “sangkar” akan melompat.

6. Untuk melompat, maka dipanggillah sekalian pembesar-pembesar dan penyokong-penyokong lain yang masih ada di dalam sangkar untuk bermesyuarat. Anehnya, dalam mesyuarat itu, hanya pemilik sangkar dan “tok bilal” yang biasanya boleh bercakap selantang-lantangnya.

7. Penyokong-penyokong diingatkan kembali tentang permusuhan puak, luak dan juak yang mesti mereka dokongi. Mesyuarat lewat malam itu biasanya ditangguhkan dengan upacara menyiram anak-anak benih kebencian yang telah disemai sebelumnya.

8. Walaubagaimanapun, apabila pemilik sangkar itu bangun keesokan harinya, dilihatnya pemilik-pemilik sangkar lain juga ada pergerakan. Lalu dia sedar, dia perlu melompat lagi.

9. Dalam istilah bahasa Melayu, lompatan demi lompatan dan melompat-lompat dipanggil melantun atau lantunan.

APABILA SHAHIDAN MELANTUN

10. Lantunan merupakan suatu strategi berterusan dari sudut kepelbagaian politics, atau lebih dikenali sebagai poly-tricks.

11. Bukanlah sesuatu yang asing dan “tidak matang” untuk memperkecil dan merendah-rendah pihak yang di seberang sana dalam pertarungan politics; sementelah Barrack Obama pun mengakuinya, “it’s a 24-hour, slash-and-burn, negative-ad, bickering, small-minded politics that doesn’t move us forward”. Mana mungkin politik Amerika pun nak dikata tidak matang?
[rujuk wawancara Obama dalam Milwaukee Journal Sentinel, December 11, 2006]

12. Sebagai sebahagian usaha-usaha untuk melantun, maka Shahidan memilih melaksanakan tindakan-tindakan yang menyeluruh bermula dengan tindakan yang nampak sarkas seperti bubye kat Tuanku di Pengkalam Asam, mengutip derma RM1 untuk PFA kerana kerajaan Perlis tak cukup duit sehinggalah tindakan strategik dan lebih terperinci seperti membentuk “Kumpulan Reform” dengan keanggotaan yang semi-transparent dan gerakan-gerakan lain yang menerobos sempadan kawasan DUN di seluruh Perlis.

13. Walaupun wujud penentangan terbuka dan tertutup terhadap tindakan-tindakan Shahidan, tetapi harus difahami bahawa tanpa jawatan sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Perlis mahupun Menteri Besar Perlis; Shahidan masih boleh terus menggerakkan program-program beliau di seluruh negeri melalui lantikan beliau ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

14. Maka bermulalah era kebangkitan yang memperlihatkan Kerajaan Shahidan vs. Kerajaan Negeri Perlis.

bersambung...

qunang: cuba menarik rambut dalam tepung.. hanya untuk mereka yang memahami dan berminat untuk faham.. :)

Monday, January 11, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 1)

DI PERSADA KUASA
1. Datuk Seri Shahidan Kassim (DSSK) merupakan mantan Menteri Besar Perlis yang telah memberikan impak yang tinggi dalam pembangunan material dan pengolahan struktur politik di negeri Singa Utara tersebut. Datuk Seri Shahidan merupakan pemimpin yang hebat!

2. Penafian terhadap kenyataan tersebut ternyata sukar dialas dengan fakta-fakta realiti memandangkan beliau adalah satu-satunya pemimpin dari senarai Menteri-menteri Besar Perlis yang berupaya melakukan sentuhan peribadi dengan hampir 40% rakyat Perlis (rujuk ucapan Khairy Jamaluddin di Padang Besar). Datuk Seri Shahidan merupakan pemimpin yang hebat!

3. Kehebatan DSSK seperti digambarkan oleh seorang sahabat bahawa beliau adalah seorang murid yang berjaya mengadunkan ilmu yang diperturunkan oleh guru-gurunya dengan sangat baik. DSSK mempunyai adunan kepakaran Dr. Mahathir dalam mengatur strategi, kepakaran Anwar Ibrahim bila bercakap dan kepakaran Daim Zainuddin dalam urusan ekonomi. Datuk Seri Shahidan merupakan pemimpin yang hebat!



ERA KEJATUHAN
4. Kejatuhan DSSK bermula apabila Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (DSR) melakukan propagandanya selaku Setiausaha Agung UMNO Malaysia.

5. DSR telah memperkukuhkan gerakan disebalik tabir untuk mencantas karier DSSK di Mini Putrajaya dengan mewujudkan hubungan baik (tag team) bersama Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail (DSSR) yang dimusuhi DSSK, adiknya dan penyokong-penyokong kuat beliau.

6. Kejayaan DSR bersekutu dengan DSSR telah membuka ruang bagi memberi tekanan politik dari dalam istana kepada DSSK; sekaligus memberi tamparan hebat kepada DSSK dan mewujudkan peluang yang nampak lebih seimbang kepada kedua-dua kumpulan.

7. Bermula September 2007, usaha melobi calon pilihan masing-masing kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi giat dijalankan oleh DSSK dan DSR sehingga Pak Lah jadi keliru yang mana satu yang lebih baik.

8. Tanggal 24hb Februari 2008, senarai calon-calon BN secara rasminya dikeluarkan dengan 8 calon dari senarai Shahidan dan 7 calon dari senarai Radzi bagi bertanding di 15 kerusi DUN di Perlis. Datuk Seri Shahidan masih mampu tersenyum dengan hati yang amat gusar dan gelisah.

9. Lewat 8 Mac 2008, strategi Radzi mengena! Walaupun nampak tertewas di awal babak percaturan dengan memberi kelebihan satu kerusi kepada DSSK dalam senarai pencalonan BN, umum terlupa kekuatan pembangkang yang berakar di Parlimen Arau.

10. Keputusan rasmi SPR yang diperolehi, orang Radzi menang 7, orang Shahidan menang 7 dan PAS menang 1. Keputusan seri antara DSSK dan DSR menghangatkan lagi suasana dengan kedua-dua pihak terus melobi dan mengugut dalam konteks political bargaining. DYMM Tuanku Raja Perlis berada di pihak DSR manakala Perdana Menteri Malaysia di pihak DSSK.

11. Dalam pergelutan itu, DYMM Tuanku telah dikirimkan dengan rakaman video DSSK menendang pagar Istana Arau ketika bergambar dalam perjalanan balik dari penamaan calon di Dewan Sivik Arau. Ianya menjadi suatu tindakan offensif yang disifatkan “sengaja cari masalah” oleh DSSK.

12. Dalam keadaan DSR adalah seorang peguam berpengalaman, DSSK mungkin terlepas pandang tentang Perkara 39 Perlembagaan Perlis, yang membolehkan DYMM Tuanku melantik mana-mana individu yang pada “pandangannya beroleh sokongan ramai atau majority DUN'; yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai aspek oleh pelbagai pihak. Pada tafsiran DYMM Tuanku, mungkin A mendapat sokongan ramai; tetapi kepada parti berkenaan, B yang mendapat sokongan ramai. Di situlah muslihatnya.

13. Dalam erti kata lain, Perkara 39 akan membolehkan Ismail Bangsawan dilantik sebagai Menteri Besar walalupun beliau bukan seorang ADUN apabila mendapat perkenan DYMM Tuanku setelah baginda "berpandangan" Ismail Bangsawan beroleh sokongan ramai atau majoriti di DUN.

14. Tanggal 17 Mac 2008, segalanya terjawab apabila Datuk Seri Md Isa Sabu mengangkat sumpah sebagai Meteri Besar Perlis. Datuk Seri Shahidan tidak lena malam beberapa minggu.

15. Menambah tekanan DSSK, panel 3 hakim yang bersidang pada 16 September 2008 mengishtiharkan Hashim Jasin (PAS) menang keatas Abdullah Hassan (calon Shahidan) di Sanglang; suatu keputusan yang mengubah landskap sokongan di DUN Perlis menyaksikan orang Radzi menguasai 7 kerusi, Shahidan 6 kerusi dan PAS 2 kerusi.

16. Realiti politik mutakhir di DUN Perlis hari ini memperlihatkan pecahan orang Radzi - 5, orang Shahidan - 5, orang Syed Razlan - 3 dan PAS - 2.

qunang: menulis untuk mereka yang mahu dengar cerita dari Perlis yang semakin sunyi diberitakan di media. entah kenapa?

Friday, January 8, 2010

Kalimah "Allah" dan Pemasaran Agama

1. Keharmonian negara sekali lagi berkocak susulan kebenaran menggunakan kalimah Allah di dalam risalah dakwah agama Kristian. Seperti kebiasaan umat di akhir zaman, umat Islam di Malaysia terpecah dalam perbalahan sama ada untuk menyetujui keputusan mahkamah itu atau sebaliknya.

2. Dato' Dr. Harun Din berpendapat, sokongan umat Islam terhadap penggunaan kalimah Allah oleh agama lain sebagai kekufuran.

3. Dr. Asri berpendapat, Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia. Lalu beliau tanyakan, "Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka? Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?"

4. Dr. Mahathir berpendapat, di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?

5. Saya berpendapat, isu ini adalah berkait dengan agenda dan kaedah pemasaran agama yang kita fahami sebagai dakwah.


ANALOGI PEMASARAN AGAMA DARI SUDUT PEMASARAN EKONOMI

6. Perkataan "pemasaran agama" digunakan bagi memungkinkan suatu perbandingan dengan kaedah-kaedah "pemasaran ekonomi" dan seumpamanya.

7. Pada bulan Mei 1985, Toyota telah menghantar satu pasukan penyelidik ke California untuk menjalankan market research terhadap isu-isu pemasaran yang terhad dan penolakan terhadap produk yang dipasarkan di sana.

8. Kesimpulan dari penyelidikan tersebut merumuskan, "Toyota’s market research concluded that a separate brand and sales channel were needed to present its new luxury flagship, and plans were made to develop a new network of dealerships in the U.S. market".
[sumber: Morgan, James M. & Liker, Jeffrey K. "The Toyota Product Development System: Integrating People, Process and Technology", p. 121. Productive Press, NY, ISBN 1563272822.]

9. Maka, pada tahun 1989, kereta buatan Toyota telah berjaya menerobos pasaran Amerika melalui saluran penjenamaan baru yang dikenali sebagai Lexus.

SANGGUPKAH KITA?

10. Umum dapat mengamati betapa masyarakat Islam di zaman edan ini begitu mudah terpengaruh dengan dakyah bodoh, hodoh lagi menyongsangkan. Betapa ribuan umat Islam yang dangkal imannya telah terpengaruh dengan ajaran songsang seperti Ayah Pin, Kahar "Rasul" mahupun al-Arqam.

11. Apakah mungkin kita yang masih waras ini dengan sengaja dan sembrono mahu membenarkan pintu baru dibuka untuk pihak musuh menyerang? Sanggupkah kita melondehkan "baju kalis peluru" yang sedang dipakai untuk berhadapan dengan musuh secara lebih "gentleman"?

12. Sangupkah kita melihat terjemahan bible dirujuk sebagai "Firman Allah" dalam masa yang terdekat ini?


13. Dan sanggupkah kita mengelirukan anak-anak kita yang sedang membesar itu dengan mengizinkan frasa "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci" sebagaimana fahaman Trinity, "God the Father, God the Son and the Holy Ghost".


14. Sementelah anak-anak yang hanya diajarkan "Allah Maha Esa" pun masih ada yang tergelincir pada hari ini.

PARADOX & ORTHODOX

15. Paradox merujuk kepada sesuatu yang di luar kebiasaan; manakala Orthodox merujuk kepada sesuatu yang menjadi kelaziman.

16. Kerapkali masyarakat kita pada hari ini lebih cenderung kepada tindakan dan pandangan paradox dan anti-establishment yang membuta tuli.

17. Tetapi, terlalu banyak sebab untuk menetapkan pendirian kita dalam kelompok Orthodox dalam soal ini.

18. Tidak membenarkan penggunaan kalimah "Allah" bererti kita tidak rugi dan tidak kalah; kalaupun tidak untung dan tidak menang.

19. Sebaliknya, membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh orang kafir bererti kita telah nyata rugi dan kalah. Fikir-fikirkanlah...
20. Semoga kita semua dapat ditetapkan pendirian dengan kejujuran, keikhlasan dan keinsafan hati yang paling jernih tanpa didorong atau dipengaruhi oleh individu atau parti yang sangat gemarkan kontroversi.

21. Insafilah bahawa kita tidak perlu mengikat diri kita dengan mana-mana individu atau ustaz kerana tidak ada POPE dalam Islam.

qunang: Terasa bahang. Hati resah memikirkan nasib anak cucu. Takut dipersalahkan. Sesal kemudian tidak berguna.

Friday, January 1, 2010

Tahun Baru & Tahun Buruk

1. Syabas untuk semua kerana masih dikurnia kudrat untuk menerjah tahun baru 2010.

2. Masih tidak banyak pengalaman yang ditempuh di tahun baru ini berbanding tahun buruk 2009 yang pastinya meninggalkan pelbagai kenangan manis yang diselang dengan banyak peristiwa perit dan pahit. Semuanya buat pedoman kita menghadapi hari esok.

Bekal pengalaman di tahun buruk,
Perjalanan hidup berliku teruk,
Asal di tengah terkais ke ceruk,
Terus tabah bagai kemaruk.

Azam baru di tahun yang baru,
Buang segala yang haru biru.
Akal fikiran jangan celaru,
Boleh diteladan, boleh ditiru.

qunang: Selamat Tahun Baru & Good-Bye Tahun Buruk..!