Friday, January 8, 2010

Kalimah "Allah" dan Pemasaran Agama

1. Keharmonian negara sekali lagi berkocak susulan kebenaran menggunakan kalimah Allah di dalam risalah dakwah agama Kristian. Seperti kebiasaan umat di akhir zaman, umat Islam di Malaysia terpecah dalam perbalahan sama ada untuk menyetujui keputusan mahkamah itu atau sebaliknya.

2. Dato' Dr. Harun Din berpendapat, sokongan umat Islam terhadap penggunaan kalimah Allah oleh agama lain sebagai kekufuran.

3. Dr. Asri berpendapat, Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia. Lalu beliau tanyakan, "Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka? Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?"

4. Dr. Mahathir berpendapat, di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?

5. Saya berpendapat, isu ini adalah berkait dengan agenda dan kaedah pemasaran agama yang kita fahami sebagai dakwah.


ANALOGI PEMASARAN AGAMA DARI SUDUT PEMASARAN EKONOMI

6. Perkataan "pemasaran agama" digunakan bagi memungkinkan suatu perbandingan dengan kaedah-kaedah "pemasaran ekonomi" dan seumpamanya.

7. Pada bulan Mei 1985, Toyota telah menghantar satu pasukan penyelidik ke California untuk menjalankan market research terhadap isu-isu pemasaran yang terhad dan penolakan terhadap produk yang dipasarkan di sana.

8. Kesimpulan dari penyelidikan tersebut merumuskan, "Toyota’s market research concluded that a separate brand and sales channel were needed to present its new luxury flagship, and plans were made to develop a new network of dealerships in the U.S. market".
[sumber: Morgan, James M. & Liker, Jeffrey K. "The Toyota Product Development System: Integrating People, Process and Technology", p. 121. Productive Press, NY, ISBN 1563272822.]

9. Maka, pada tahun 1989, kereta buatan Toyota telah berjaya menerobos pasaran Amerika melalui saluran penjenamaan baru yang dikenali sebagai Lexus.

SANGGUPKAH KITA?

10. Umum dapat mengamati betapa masyarakat Islam di zaman edan ini begitu mudah terpengaruh dengan dakyah bodoh, hodoh lagi menyongsangkan. Betapa ribuan umat Islam yang dangkal imannya telah terpengaruh dengan ajaran songsang seperti Ayah Pin, Kahar "Rasul" mahupun al-Arqam.

11. Apakah mungkin kita yang masih waras ini dengan sengaja dan sembrono mahu membenarkan pintu baru dibuka untuk pihak musuh menyerang? Sanggupkah kita melondehkan "baju kalis peluru" yang sedang dipakai untuk berhadapan dengan musuh secara lebih "gentleman"?

12. Sangupkah kita melihat terjemahan bible dirujuk sebagai "Firman Allah" dalam masa yang terdekat ini?


13. Dan sanggupkah kita mengelirukan anak-anak kita yang sedang membesar itu dengan mengizinkan frasa "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci" sebagaimana fahaman Trinity, "God the Father, God the Son and the Holy Ghost".


14. Sementelah anak-anak yang hanya diajarkan "Allah Maha Esa" pun masih ada yang tergelincir pada hari ini.

PARADOX & ORTHODOX

15. Paradox merujuk kepada sesuatu yang di luar kebiasaan; manakala Orthodox merujuk kepada sesuatu yang menjadi kelaziman.

16. Kerapkali masyarakat kita pada hari ini lebih cenderung kepada tindakan dan pandangan paradox dan anti-establishment yang membuta tuli.

17. Tetapi, terlalu banyak sebab untuk menetapkan pendirian kita dalam kelompok Orthodox dalam soal ini.

18. Tidak membenarkan penggunaan kalimah "Allah" bererti kita tidak rugi dan tidak kalah; kalaupun tidak untung dan tidak menang.

19. Sebaliknya, membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh orang kafir bererti kita telah nyata rugi dan kalah. Fikir-fikirkanlah...
20. Semoga kita semua dapat ditetapkan pendirian dengan kejujuran, keikhlasan dan keinsafan hati yang paling jernih tanpa didorong atau dipengaruhi oleh individu atau parti yang sangat gemarkan kontroversi.

21. Insafilah bahawa kita tidak perlu mengikat diri kita dengan mana-mana individu atau ustaz kerana tidak ada POPE dalam Islam.

qunang: Terasa bahang. Hati resah memikirkan nasib anak cucu. Takut dipersalahkan. Sesal kemudian tidak berguna.

No comments: