Thursday, January 14, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 2)

IMPIAN DI BULAN TIGA

Sungguh punggok rindukan bulan,
Cuma bulan tak muncul tiba,
Nampak berbaik Shahidan dan Syed Lan,
Ibarat perigi mencari timba.

Kenapa bulan tak muncul tiba,
Kerana awan tebal menggila,
Kenapa perigi mencari timba,
Kerana impian di bulan tiga.

Rencana ini rencana mega,
Tidur sebantal berlainan bilik,
Sejarah 2008 di bulan tiga,
Apa dirancang jadi sebalik.

Apa impian di bulan tiga,
Menanti Najib naik ke utara,
Beranikah dia menjadi saga,
Atau terus membiar bara.

Menjadi saga apa yang ada,
Andai fikiran tunggang terbalik,
Mengota janji mengadap baginda,
Langsai hutang di Janda Baik.

Orang cerdik menunggang kuda,
Yang lagi cerdik naik Garuda,
Benarkah janji menghadap baginda?
Atau hanya berpropaganda?


LOMPATAN DAN LANTUNAN

1. Suasana politik di Perlis digentingkan dengan sikap 12 orang ahli-ahli Yang Berhormat Barisan Nasional yang memilih untuk mengurung diri di dalam sangkar. Betapa burung-burung di atas pokok lebih nyaring siulannya dari burung yang terkurung di dalam sangkar.

2. Apabila sahaja “ter”hadir ahli-ahli Yang Berhormat untuk memenuhi undangan di sangkar sebelah, maka tentu sekali mereka perlu keluar atau “ter”keluar dari sangkar yang sedia mereka diami. Ya, saya maksudkan terkeluar atau dikeluarkan dari sangkar itu.

3. Dikisahkan seorang suami yang menyebut “I love you” kepada isterinya setiap kali sebelum keluar ke pejabat selama lapan tahun berturut-turut. Pada suatu hari, sang suami terlupa berkata “I love you” kepada isterinya; lalu si isteri merajuk dengan diungkap pelbagai tohmahan dan prasangka.

4. Demikianlah kebiasaan yang telah bertukar menjadi peraturan. Peraturan menjadi kewajipan sekaligus menolak nilai keikhlasan. Orang Shahidan tidak boleh berjumpa atau menghadiri majlis orang Radzi atau orang Syed Razlan atau orang Tuanku; dan begitulah sebaliknya diantara ketiga-tiga sangkar itu. Kalau henda hadir juga, perlu merangkak bawah meja sambil muka dibenam dalam tanah. Betapa jiwa mereka rela dikurung.

5. Apabila terjadinya kejadian dimana pembesar-pembesar atau penyokong-penyokong dikeluarkan atau mengeluarkan diri mereka dari kepompong puak, luak dan juak tersebut; maka pemilik “sangkar” akan melompat.

6. Untuk melompat, maka dipanggillah sekalian pembesar-pembesar dan penyokong-penyokong lain yang masih ada di dalam sangkar untuk bermesyuarat. Anehnya, dalam mesyuarat itu, hanya pemilik sangkar dan “tok bilal” yang biasanya boleh bercakap selantang-lantangnya.

7. Penyokong-penyokong diingatkan kembali tentang permusuhan puak, luak dan juak yang mesti mereka dokongi. Mesyuarat lewat malam itu biasanya ditangguhkan dengan upacara menyiram anak-anak benih kebencian yang telah disemai sebelumnya.

8. Walaubagaimanapun, apabila pemilik sangkar itu bangun keesokan harinya, dilihatnya pemilik-pemilik sangkar lain juga ada pergerakan. Lalu dia sedar, dia perlu melompat lagi.

9. Dalam istilah bahasa Melayu, lompatan demi lompatan dan melompat-lompat dipanggil melantun atau lantunan.

APABILA SHAHIDAN MELANTUN

10. Lantunan merupakan suatu strategi berterusan dari sudut kepelbagaian politics, atau lebih dikenali sebagai poly-tricks.

11. Bukanlah sesuatu yang asing dan “tidak matang” untuk memperkecil dan merendah-rendah pihak yang di seberang sana dalam pertarungan politics; sementelah Barrack Obama pun mengakuinya, “it’s a 24-hour, slash-and-burn, negative-ad, bickering, small-minded politics that doesn’t move us forward”. Mana mungkin politik Amerika pun nak dikata tidak matang?
[rujuk wawancara Obama dalam Milwaukee Journal Sentinel, December 11, 2006]

12. Sebagai sebahagian usaha-usaha untuk melantun, maka Shahidan memilih melaksanakan tindakan-tindakan yang menyeluruh bermula dengan tindakan yang nampak sarkas seperti bubye kat Tuanku di Pengkalam Asam, mengutip derma RM1 untuk PFA kerana kerajaan Perlis tak cukup duit sehinggalah tindakan strategik dan lebih terperinci seperti membentuk “Kumpulan Reform” dengan keanggotaan yang semi-transparent dan gerakan-gerakan lain yang menerobos sempadan kawasan DUN di seluruh Perlis.

13. Walaupun wujud penentangan terbuka dan tertutup terhadap tindakan-tindakan Shahidan, tetapi harus difahami bahawa tanpa jawatan sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Perlis mahupun Menteri Besar Perlis; Shahidan masih boleh terus menggerakkan program-program beliau di seluruh negeri melalui lantikan beliau ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

14. Maka bermulalah era kebangkitan yang memperlihatkan Kerajaan Shahidan vs. Kerajaan Negeri Perlis.

bersambung...

qunang: cuba menarik rambut dalam tepung.. hanya untuk mereka yang memahami dan berminat untuk faham.. :)

2 comments:

perfectwater75 said...

alam,

Wa tabik sama lu Bro!!!! True and Sentimental!

The Full Moon Revolution said...

bro,

DSSK telah memperolehi segala2nya, segala mimpi2nya semasa kecil utk menjadi kaya, melawat ke seluruh dunia, dilimpahi wang ringgit, dipuji, dipuja, memiliki rumah besar, kereta mewah..menjadi MB pada jangkamasa yg sungguh lama...

aku rasa sudah sampai ke penghujung utk beliau banyak beribadah kepada Allah, dulu tak sempat, terlalu sibuk dengan urusan duniawi..

aku tengok DSSK dah ada perubahan positive...skrg pakai kepiah lebai, berjubah ada org kata dia dok lepak di masjid, baguih la tu, teruskan saja perubahan tu...

kembali ke dunia politik penuh dengan ranjau duri, cantas mencantas, lobi melobi, dengki, khianat, segala gala2nya ada! Why?
because of TWO things >>
1)POWER
2)MONEY

aku harap pemimpin2 muda mcm Dato' Zahidi dapat menonjol diri!!!