Tuesday, February 9, 2010

ISLAM ATAU MELAYU?

BANGSA KEKAL, AGAMA BOLEH TUKAR

1. Hujung minggu yang baru berlalu, saya usai memenuhi jemputan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Pulau Pinang sebagai ahli panel dalam sebuah diskusi ilmiah yang berkait dengan bangsa Melayu dan masa depan mereka. Menurut seorang sifu saya disitu, saya dijemput diatas kapasiti sebagai alumnee dan bloggers.

2. Persoalan terhangat dibangkitkan oleh seorang siswa berkaitan kecenderungan konco-konco pemerintahan Barisan Nasional (termasuk IPTA) menggunakan pendekatan konotasi “bangsa” dan bukan “agama”. Persoalan yang dilontarkan kepada saya, “...sama ada Islam mulia kerana Melayu, atau Melayu mulia kerana Islam”.

3. Dalam menyampaikan jawapan dan pandangan, saya merujuk kepada perbezaan hakiki diantara kedua-duanya – bangsa dan agama. Bahawa seseorang individu boleh bertukar agamanya tetapi tidak mungkin dapat ditukar bangsanya.

4. Hatta, Michael Jackson tetap kekal sebagai “negro” atau “black” atau bangsa kulit hitam walaupun telah menghabiskan jutaan dollar untuk memutihkan dirinya.

5. Saya pernah berjumpa dengan Rowland D’Cruz atau nama asalnya Palaniappan Nagasamy; yang pada awalnya saya bayangkan susuk sekacak Tom Cruise. Rowland D’Cruz yang saya kenali itu adalah seorang Kristian berbangsa India. Demikianlah seseorang itu boleh bertukar agamanya tetapi tidak akan dapat mengubah susur galur dan salasilah bangsanya.

6. Dalam sirah agama, dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berbangsa Arab dari suku Quraisy. Terdapat nabi-nabi lain yang diutuskan untuk bangsa yang berbeza termasuklah bangsa Yahudi dan Nasrani. Terdapat juga beberapa hadis dimana Rasullah s.a.w. menyebut tentang orang Arab dari suku Badwi. Al-Quran juga banyak menjelaskan berkenaan bangsa Yahudi dan kelebihan yang mereka miliki. Suatu bukti jelas bahawa agama Islam menerima perbezaan ras dan bangsa ini sebagai kepelbagaian fitrah kejadian Allah s.w.t; sekaligus tidak ada suatu dalil yang menyokong penolakan terhadap identiti kaum dan bangsa.

7. Dalam konteks negara Malaysia, dapatlah dirumuskan bahawa Islam disini mulia kerana adanya Melayu dan Melayu disini mulia kerana adanya Islam. Peranan dan kebergantungan ini adalah mustahil untuk diuraikan, sekurang-kurang dalam tempoh banyak tahun kehadapan.

PUNCA PERTIKAIAN

8. Pertikaian terhadap konotasi “bangsa” ditimbulkan oleh PAS dalam usaha menggambarkan bahawa hanyasanya mereka yang memperjuangkan “agama”, sedang UMNO hanya memperjuangkan “bangsa”. Adalah amat malang dan menyedihkan bila ada insan-insan terpelajar yang menjadi kabur dalam mewaraskan fikiran untuk memahami sebuah retorik, polemik dan provokasi politik. Pemimpin PAS berkemungkinan mengumpul dosa disini, wallahu'alam.

9. Dari sudut kepimpinan politik dan kenegaraan, tidak ada orang Melayu kafir yang berada dalam kepimpinan UMNO, PAS mahupun PKR dimana-mana peringkat sama ada cawangan, bahagian, negeri mahupun pusat. Begitu juga kakitangan di semua peringkat dalam jabatan-jabatan dan agensi kerajaan, tidak ada Melayu yang kafir.

10. Mungkin adalah tidak tepat untuk memutlakkan bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu dikalangan rakyat Malaysia hari ini disebabkan terdapat 0.03% orang Melayu yang bukan Islam. Tetapi, harus kita ingat bahawa Perlembagaan Negara telah menolak orang bukan Islam untuk menjadi bangsa Melayu.

11. Dalam Sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia hari ini, seorang muslim yang berbangsa Arab telah diiktiraf sebagai salah seorang Raja dalam Majlis Raja-raja Melayu. Pengiktirafan tersebut sekaligus membenarkan baginda bercakap tentang maslahah orang-orang Melayu, walaupun susur-galur baginda bukanlah berbangsa Melayu mahupun pribumi di Tanah Melayu.

12. Begitu juga halnya dengan bangsa Mamak atau India-Muslim yang dibolehkan menghantar anak-anak mereka ke UiTM disamping memiliki tanah-tanah rizab Melayu. Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan contoh terhebat golongan India-Muslim yang diterima sebagai Melayu di Malaysia.

13. Tafsiran undang-undang mengkhususnya toleransi dalam perimbangan Melayu dan Islam dalam memberikan status dan hak bumiputera kepada kelompok ini. Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia menyebut, seorang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura.

14. Hakikatnya, wujud kesungguhan, kefahaman dan tolak-ansur yang jelas dalam struktur negara Malaysia bagi mengimbangi tafsiran Perlembagaan bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Masing-masing memuliakan diantara sama sama lain di tanah bertuah ini.

[Nota: artikel ini dirombak sebahagiannya sebagai melenturkan perbincangan dalam topik ini.]

qunang: ada orang tak mau menang..

3 comments:

The Full Moon Revolution said...

aku sungguh berbangga kerana dilahirkan sebagai orang islam!

qunang² said...

"aku" tu bangsa Melayu atau Iban atau Cina atau Yahudi?

The Full Moon Revolution said...

sorry bro..

ayat tak habis lagi...aku juga sangat berbangga kerana dilahirkan sebagai orang Melayu (-: