Thursday, February 25, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 9)


MALAYSIAKINI


1. Apabila Malaysiakini menyiarkan nama dan blog saya, saya menerima pelbagai bentuk sokongan, galakan, pandangan dan kritikan dari macam-macam orang melalui sms, telefon, email dan Facebook.

2. Saya perlu memperbetulkan laporan yang dipetik secara kontroversi oleh Malaysiakini bahawa saya “mendakwa Shahidan akan memegang semula jawatan tersebut bulan depan ekoran wujudnya persefahaman penggiliran jawatan menteri besar Perlis”.

3. Bahawa setiap kali saya menyebut tentang wujudnya kemungkinan Shahidan akan kembali ke jawatan itu, saya juga akan menukilkan bahawa Shahidan akan melalui jalan yang teramat-amat sukar ekoran penolakan istana terhadap kepimpinan beliau; disamping faktor kekalahan BN di dua DUN dalam Parlimen Arau yang telah mengurangkan pecahan “orang Shahidan” dalam sidang DUN Perlis.

4. Di dalam siri-siri penulisan yang lepas, saya mengalaskan wujudnya kemungkinan yang memihak kepada Shahidan berdasarkan 3 fakta; [i] Perjanjian 2+2, [ii] kelemahan ketara kepimpinan Md Isa Sabu dalam meneruskan kesinambungan ngauman Singa Utara di Pusat, dan [iii] keengganan Perdana Menteri untuk melawat Perlis selepas hampir 2 tahun peralihan kuasa berlaku di negeri itu. Ketiga-tiganya bersebab dan saling berkait.

5. Rumusan umum yang berkali-kali disampaikan adalah berkait dengan total detoxification dalam kepimpinan negeri Perlis dalam kerangka merembeskan segala toksid dan penyakit yang berupaya melumpuhkan UMNO di negeri kelemboi itu. Lantaran itu, saya melontarkan dua nama yang pada hemat saya berupaya menggalas tanggungjawab itu; iaitu YB Jafperi bin Othman (ADUN N13 - Guar Sanji) dan YB Jamil Saad (ADUN N7 – Sena).

6. Ketika dua nama itu dilontarkan hasil persembangan di kedai-kedai kopi, saya terbaca pandangan berbeza tentang kaedah pengiraan populariti seorang YB dengan berdasarkan fakta dan angka. Suatu penilaian yang menarik dari perspektif akademik yang memberi kelebihan nyata kepada sangkar Radzi.

Mungkinkah Datuk Seri Radzi, Datuk Seri Shahidan dan Datuk Seri Md Isa boleh duduk berbincang dan berkompromi demi kebaikan dan survival UMNO di Perlis?


PERJANJIAN 2+2 & PENAFIAN RADZI

7. Isu Perjanjian 2+2 yang “bertulis” dan “dimeterai bersama dengan Pak Lah, Najib, Radzi, Azmi dan saya” dibangkitkan oleh Shahidan secara terbuka dalam banyak majlis termasuklah ditengah-tengah kepimpinan Bahagian-Bahagian UMNO bagi negeri-negeri di zon utara.

8. Akan tetapi, Radzi telahpun membuat kenyataan umum bahawa, “Tidak ada perjanjian itu sama ada bertulis ataupun secara lisan”.

9. Maka, salah seorang dari mereka (Radzi atau Shahidan) adalah jelas manusia munafik yang amat menjengkelkan. Salah seorang dari mereka menjadi punca terkocaknya kedamaian UMNO dan masyarakat di negeri Perlis selama 2 tahun, sehingga berlaku pergeseran dan pecah belah yang menghancurkan perpaduan dan meleraikan silaturrahim.

10. Penafian Radzi tentang Perjanjian 2+2 tambah membingungkan lagi pengamat politik Perlis, khususnya kalangan “orang-orang Shahidan” yang sedang menggandakan momentum gerak kerja sebagai warm-up sebelum kembali menguasai Mini Putrajaya. Mungkinkah mereka dikecewakan?

11. Shahidan kata ada, Radzi kata tak ada. Maka sekarang, amanah dan tanggungjawab terpikul di jemala Shahidan (pihak yang mendakwa) untuk membuktikan dakwaannya.

12. Dalam keadaan masyarakat yang bergeseran dan terpecah-belah kerana angkara kemunafikan ini, saya pasti Dr. Asri akan bersetuju bahawa Shahidan wajib mendedahkan “PERJANJIAN BERTULIS 2+2” sebagaimana yang didakwanya selama ini.

13. Ayuh kita kenali “pemimpin-pemimpin” UMNO Perlis. Kemunafikan, kefasikan dan rakus kuasa yang bertopengkan kesinisan dan jenaka bangang seperti ini mesti ditelanjangkan demi survival UMNO.

LAWATAN PERDANA MENTERI

14. Saya mendapat khabar bahawa Datuk Seri Najib akan melawat Perlis sebelum pertengahan bulan April. Belum ada satu tarikh yang pasti tetapi program yang seiras dengan Konvensyen UMNO Pahang baru-baru ini sedang dalam persiapan.

15. Sebagai Perdana Menteri yang tidak pernah melawat Perlis dan tidak juga pernah bersuara tentang kemelut di Perlis, kehadiran beliau menjadi suatu misteri dan penuh teka-teki. Beliau tentu tahu dengan terang, jelas dan nyata siapakah pemimpin munafik dan fasik dalam episod persengketaan ini – sama ada berbohong tanpa malu atau mungkir apa yang dipersetuju.

16. Titik persoalan pokok sebenarnya adalah apa yang akan diperbincangkan oleh Datuk Seri Najib dengan Tuanku Raja nanti. Beliau mesti memilih salah satu kem dan sama sekali tidak berpeluang untuk memilih kedua-duanya (undi rosak?).

17. Jika beliau memilih Shahidan, beliau perlu sebut nama “Shahidan” depan Tuanku Raja dan menerima apa juga reaksi balas baginda. Sebaliknya, jika beliau memilih “orang Radzi” atau memilih untuk berdiam diri, beliau terpaksa berhadapan dengan reaksi balas dari “orang-orang Shahidan” yang tidak sikit.

18. Kita doakan Datuk Seri Najib dikurniakan ketenangan fikiran untuk mempertimbangkan dengan semasak-masaknya segala pilihan yang terbaik untuk rakyat negeri Perlis yang menjadi kubu terkuat UMNO di utara.

qunang: kalaulah mereka tidak bersengketa...............

No comments: