Monday, March 15, 2010

BERSARA WAJIB DAN BERSARA SUNAT

PERSARAAN WAJIB KAKITANGAN AWAM

1. Di penghujung kesibukan di hujung minggu, saya bertemu dan sempat berbual panjang dengan seorang pegawai kanan peringkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) di Jabatan Perkhidmatan Awam. Antara tajuk yang dibualkan adalah berkenaan pencen.

2. Setiap kakitangan awam tertakluk kepada Akta Pencen (Pindaan) 2008 yang menghadkan tempoh perkhidmatan mereka kepada 58 tahun. Sebelum pindaan pada tahun 2008 itu, Seksyen 10 Akta 227/239 memperuntukkan Persaraan Paksa pada umur 56 tahun.

3. Di sebalik pindaan tersebut, terdapat pelbagai cerita dan kisah yang tersurat dan tersirat.

BERSARA -- kerana anda telah memberikan segala sumbangan yang terbaik untuk masyarakat dan negara, tiada apa lagi sumbangan yang diperlukan dari anda.

4. Walaupun pembangkang cuba mengaitkan pindaan itu dengan usaha meraih populariti politik semata-mata, namun kritikan itu dilihat kurang berasas kerana pindaan tersebut dilakukan selepas pilihanraya umum. Jika benarpun kata-kata mereka, bukankah populariti politik itu yang dicari oleh semua parti politik dan orang-orang didalamnya?

5.
Undang-undang yang menetapkan umur berpencen dibuat berdasarkan keadaan umum kakitangan awam yang melewati usia 50 tahun yang semakin kurang produktiviti kerja dan semakin lesu idealisme. Tugas-tugas harian kelompok ini kerap kali disertakan unsur-unsur penolakan terhadap proses penambahbaikan dalam sistem pentadbiran. Kerana sudah “lama”, mereka ego dengan anggapan mereka sentiasa betul.

6. Disebalik pindaan tersebut, tersirat cerita beberapa “tuan-tuan besar” di peringkat KSU dan KP yang rapat dengan Perdana Menteri ketika itu yang merungut untuk diberikan jawatan-jawatan secara kontrak selepas bersara. Pelbagai alasan yang biasa diberikan seperti beban hutang, anak sekolah, masih bertenaga, tiada pelapis yang layak dan sebagainya. Terjadilah perkara ini sebagai salah satu faktor untuk dipinda undang-undang negara.

7. Apa akan jadi sekiranya sekiranya semua jawatan dalam kerajaan dijawat oleh seseorang individu sepanjang hayat tanpa perlu “dipaksa” berpencen? Dari typist, kerani, jururawat, doktor gigi, pengarah JASA sehinggalah ketua setiausaha di kementerian. Kerajaan perlu memperkenalkan “insentif tongkat” selain daripada “insentif cermin mata” yang sedia ada sekarang.

AHLI POLITIK SEUMUR HIDUP

8. Dalam struktur politik UMNO (dan beberapa parti lain), Ketua-ketua Pemuda di peringkat Bahagian dan Cawangan “dipaksa” melepaskan jawatan apabila usia mereka melangkaui 40 tahun menjelang sesi pemilihan berikutnya. Tidak kira sehebat manapun mereka menjaga kebajikan pemuda-pemuda mereka, mereka mesti berpisah dengan organisasi pemuda apabila sampai umur 40 tahun.

9. Anehnya, orang-orang “lama” dalam politik yang membahaskan segala pindaan undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak pula membangkitkan tentang “persaraan paksa” diri mereka sendiri. Seolah-olah mereka sentiasa hebat dan relevan seumur hidup mereka.

10. Dalam konteks ini, oleh kerana tafsiran perkataan “muda” (m.u.d.a) telah memberi ruang diskriminasi umur kepada generasi pelapis, saya mencadangkan Pergerakan Pemuda ditukarkan nama kepada Pergerakan Pelapis dengan tujuan meminggirkan diskriminasi umur untuk membolehkan Ketua Pemuda (baca Ketua Pelapis) tidak “dipaksa” melepaskan jawatannya.

11. Dalam erti kata lain, pengganti (atau orang nombor dua) kepada Ketua Bahagian ialah Ketua Pelapis (Lelaki) atau Ketua Pelapis (Wanita) dan bukan Timbalan Ketua Bahagian.

BERSARA SUNAT

12. Sunat membawa erti sesuatu perbuatan yang bukan mandatori tetapi amatlah digalakkan.

13. Bersara sunat membawa maksud bukan memaksa tetapi lebih elok bersara.

14. Tidak kiralah sama ada dalam jabatan kerajaan ataupun organisasi politik, apabila kedudukan kita di sesuatu jawatan itu lebih banyak membawa kemudaratan dari kebaikan, maka amatlah sesuai jika kita beristikharah untuk memberi laluan kepada orang lain mengisi kedudukan tersebut. Berundur secara terhormat.

15. Tambahan pula, sekiranya kita berada dalam posisi yang menjurus diri kita menjadi agen perpecahan ummah, persaraan menjadi sunat muakkad (amat-amat digalakkan); melainkan kita mengambil inisiatif melancarkan usaha yang bersepadu dan tulus untuk menyatupadukan kembali masyarakat yang terpecah belah.

SELAMAT BERSARA kepada pesara-pesara dan mereka yang bakal bersara...

qunang: sebenarnya, tanganku terketar-ketar ingin memetik sususan huruf-huruf lain.. tetapi.. belum sampai saatnya.. :)

No comments: