Thursday, March 4, 2010

PEMUDA ARAU - SUDAH BANGUN TIDUR


Ketuaku pulang dari kota,
Depa pun konvoi naik kereta,
Kereta besar banyak warna,
Senang nak bawa kemana-mana,
Pon, Pon, Pon, Pon, Pon, Pon, Pon, Pon Pon,
Kereta besar pun berbunyi,
Di dalam kampung depa konvoi,
Buktikan depa tak lagi ceroi.

PERGERAKAN YANG BERGERAK

1. Syabas diucapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau kerana mula menunjukkan pergerakan pada minggu lepas melalui penganjuran program konvoi amal jariah di setiap DUN dengan tagline “UMNO Pilihanku”.

2. Antara mesej yang disampaikan di setiap persinggahan adalah tawaran Kursus Kahwin Percuma yang dibiayai oleh Datuk Rozabil Abdul Rahman @ Ben, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, bersama barisan jawatankuasa beliau. Suatu sentuhan positif yang akan berbekas dalam diri ahli Pemuda seumur hidup mereka.

3. Turut disebutkan adalah usaha mengekalkan momentum pergerakan yang baru berputik itu agar Pergerakan Pemuda menjadi sebuah Pergerakan yang bergerak.

4. Pemuda di cawangan nampak bersemangat dan sedia membantu; tetapi tiada komitmen kedengaran dari barisan ahli-ahli jawatankuasa. Ketika Tok Ketua beramah mesra sambil menyampaikan mesej Pemuda Bahagian satu persatu, barisan ajk hanya bersembang seperti layaknya persembangan di kedai kopi.

5. Masalah utama Pemuda UMNO di banyak Bahagian ialah kerana mereka terlalu mengikut resmi kereta api. Gerabak tak boleh jalan kalau kepala tak ada. Maka terzahirlah perumpamaan orang tua -- sekali air bah, sekali pantai berubah; sekali tok ketua bergerak, sekali ajk berarak.

6. Jika benar momentum pergerakan ini ingin dikekalkan, ajk perlu berubah!

PEMUDA YANG BERANI MESTI BERANI BERUBAH DEMI SETIA KAWAN

7. Keberanian, perubahan dan kesetiaan merupakan aspek fundamental dalam perjalanan sebuah perjuangan.

8. Dalam pemilihan Pergerakan Pemuda Bahagian Arau yang lalu, saya berada di pihak yang menentang Datuk Ben dipilih semula sebagai Ketua Pemuda atas beberapa sebab. Walaubagaimanapun, saya menyampaikan keyakinan saya kepada banyak orang (termasuk beliau sendiri) bahawa beliau tetap akan kekal disitu atas beberapa sebab. Ramalan menjadi kenyataan apabila dua orang pesaing beliau gagal memenuhi kuota pencalonan sekaligus membolehkan Ben menang tanpa bertanding. “Politic is about numbers”.

9. Sehinggalah ke hari ini, Ben ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau yang dipilih secara sah tanpa ada pertikaian rasmi berhubung proses pemilihan itu.

10. Sebagaimana saranan Presiden UMNO agar orang-orang PAS dan PKR berhenti berpolitiking bagi membolehkan tumpuan penuh diberikan terhadap agenda pembangunan, begitulah juga dalam Pergerakan Pemuda dimana penyokong kem-kem yang berbeza sewajarnya membantu menjayakan apa juga usaha untuk Pemuda menjadi Pergerakan yang bergerak; melainkan kem yang menang benar-benar tidak berupaya untuk bergerak. Ini untuk kebaikan UMNO dan perjuangan orang Melayu.

11. Presiden UMNO juga menyarankan agar orang-orang PAS dan PKR menunggu sehingga musim pilihanraya akan datang untuk mendedahkan apa juga kepincangan yang ingin didedahkan, sambil beliau mengajak pihak pembangkang untuk memberikan pandangan yang konstruktif tanpa polemik dan retorik. Begitulah juga dalam Pergerakan Pemuda dimana penyokong kem-kem yang berbeza sewajarnya mengelakkan polemik dan retorik, sebaliknya menumpukan kepada memberi pandangan yang membina. Ini resam perlawanan dalam berpesatuan dan bermasyarakat.

12. Dan paling penting, Presiden UMNO menegaskan, “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Begitulah juga dengan Pergerakan Pemuda. Sama ada KJ di Pusat mahupun Ben di Arau, mereka perlu mengutamakan pencapaian dengan mendahulukan kroni... opppssss.. dengan mendahulukan ahli dan masa depan perjuangan UMNO. Orang-orang kanan yang dilihat terlalu melebih-lebih dalam meneruskan “persengketaan kem” mestilah dibasuh. Ini petanda keikhlasan dalam perjuangan.

13. Hakikatnya, bukan orang tingkat 4 tetapi pengawal di pintu pagar yang sering merosakkan usaha memberanikan Pemuda untuk berubah demi setiakawan sesama mereka. Di Arau, bukan Pemuda tetapi veteran Pemuda yang seringkali menjadi lighter (“batu api” sudah pupus di zaman ini). Jadi-jadilah....

MENJANA DAN MENJAJA MOMENTUM

POLISI PEMUDA UMNO:
Peraturan 1: Orang muda sentiasa betul.
Peraturan 2: Jika orang muda mungkin salah, baca Peraturan 1.

14. Berdasarkan program-program Pemuda Arau yang lepas-lepas, tidak terlihat sentuhan dan impak politik yang berkesan. Program-program yang diatur adalah bermusim tanpa adanya kesinambungan pengisian yang khusus.

15. Banyak program yang dianjurkan dalam suasana yang mendatar ekoran tiadanya tambah nilai yang unik bagi mendekatkan hati orang-orang muda dengan UMNO. Pertandingan bolasepak, majlis makan dan majlis cakap pandai kelihatan semakin taboo dalam meraih perhatian orang-orang muda.

16. Ketika PAS semakin kerap menghampiri tebing-tebing akidah dek kerana mempolitikkan agama, rancangan Pemuda Arau yang bermula dengan Kursus Kahwin Percuma merupakan langkah kebajikan dan keagamaan yang harus dipuji dan disokong sebagai mukaddimah tahun 2010.

17. Seterusnya, saya percaya Datuk Ben sedang mempertimbangkan beberapa lagi konsep dan pendekatan baru yang pasti berupaya menjana momentum segar dalam menarik golongan muda mendekati UMNO.

18. Jika apa yang dipertimbangkan itu menjadi kenyataan dan membuahkan kejayaan, saya berkeyakinan bahawa orang-orang PAS dan PKR di Arau akan pening kepala menjelang pilihanraya akan datang.

19. Apa yang paling penting dalam keadaan Pemuda Arau nampak baru bangun tidur sekarang, kefahaman bahawa politik adalah marathon dan bukan sprint-test sewajarnya diperbetulkan. Kalau terlalu malas membuka langkah yang luas dan panjang, kita akan lebih jauh ketinggalan baik dalam acara marathon mahupun sprint-test. Please make a fair comparison rambutan-to-rambutan.

qunang: banyak cerita dalam cerita..

No comments: