Tuesday, March 2, 2010

PERLIS MAJU 2015 – “TO-DO LIST”


1. Tahun 2015 ialah sasaran yang diletakkan oleh kerajaan negeri Perlis untuk mencapai status “negeri maju”.

2. Penanda aras yang menjadi kebiasaan dalam mengklasifikasikan kemajuan sesebuah bandar atau negeri adalah berdasarkan kepada pencapaian ekonomi dan kestabilan sosial.

Fasa-fasa Pembangunan Wilayah


3. Berdasarkan tanda aras tersebut, faktor-faktor asas dalam aspek kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, pendidikan dan agama menjadi landasan untuk merangka sebuah pembangunan.

4. Pemimpin-pemimpin di Perlis kerapkali menetapkan tanggapan yang terlalu negatif berkait dengan kelemahan negeri ini dari sudut saiz wilayah yang kecil, pantai kulit siput, attitud “coybow kampung” rakyatnya dan bermacam-macam alasan lagi. Natijahnya, negeri Perlis kekal lesu dan terpesong jauh dari matlamat untuk memajukannya.

5. Pendekatan memajukan negeri Perlis secara tergesa-gesa tanpa perancangan yang komprehensif telah menyebabkan banyak kegagalan termasuk yang terbengkalai diatas kertas semata-mata. Kelebihan positif yang membuka ruang kesempatan untuk memanipulasikan kedudukan strategik negeri ini di sempadan Thailand dan pengkalan laut terdekat dengan Pulau Langkawi seringkali terabai kerana kecuaian mengurus potensi dan peluang. Pantai kulit siput di Kuala Perlis juga tidak dimanfaatkan sebagai suatu keunikan malah dikambus dengan kerikil-kerikil besar yang amat hodoh.

6. Terkini, Hotel Putra Palace milik PKENPs yang baru mula menunjukkan aliran keuntungan telah dijual dengan tergesa-gesa kepada Prima Bumi Sdn. Bhd. bagi membantu kroni-kroni yang lapar dalam keadaan kesuntukan masa. Legasi dan pemilikan aset negeri dicairkan untuk kepentingan seseorang.

7. Walau apapun kebejatan yang wujud di tangan orang-orang yang berkuasa, negeri Perlis mesti dimajukan. Kalaupun tidak sepuluh langkah kehadapan, satu langkah pun sudah memadai sebagai peninggalan sebelum menerima pencen. Inilah harapan marhaen kerdil ini yang sayangkan negerinya.


KEMAJUAN EKONOMI

Bandar Cina diserata negara,
Pekan India di setiap negeri,
Terasa hati hiba dan lara,
Pekan Melayu masih dicari.

8. Langkah UMNO Pulau Pinang pada era Datuk Seri Shariff Omar dan Datuk Seri Helmi Yahya mewujudkan pekan Melayu melalui PERDA sewajarnya dicontohi. Bandar Perda menjadi platform bagi membina legasi orang-orang Melayu dari sudut keusahawanan dan pemilikan harta secara holistik dengan perancangan ideal dalam mengimbangi dokongan peniaga-peniaga Cina sebagai pemacu ekonomi nasional.

9. Walaupun orang-orang Melayu masih belum memiliki bandar sendiri sepenuhnya sepertimana orang-orang Cina memiliki Georgetown, Sunway Seberang Jaya dan Bukit Mertajam; idea yang dipelopri PERDA sewajarnya dicontohi oleh agensi kerajaan Perlis dengan tidak hanya mengharapkan Chin Hin semata-mata untuk membangunkan Bandar “Cina” Arau.

10. Saya diberitahui bahawa tanah Kilang ‘O’ di Arau yang kini dibangunkan Chin Hin telah diluluskan proses ubah syarat daripada tanah pajakan dalam tempoh kurang 6 bulan; sementara tanah Syed Alwi yang begitu luas di tengah-tengah Bandar diRaja Arau masih digendalakan bertahun-tahun untuk beliau bangunkan kerana beliau seorang Melayu alim yang tidak bermain rasuah. Entah sampai bila lagi...

PERLUASAN WILAYAH

Kalau kelemboi merempuh sang gajah,
Kena tindih terus terlayah,
Kalau tanah tak dapat dijajah,
Kita beli seluruh wilayah.

11. Kecilnya saiz negeri Perlis mampu dibesarkan sekiranya pemimpin-pemimpinnya mempunyai jiwa yang besar untuk memperbesarkan negeri ini. Hatta negeri-negeri yang sedia besar seperti Selangor dan Johor terus galak memperbesarkan wilayah mereka secara tidak langsung dengan membeli dan membuka ladang-ladang komoditi seperti sawit dan getah melalui PKNS dan KPJ. Pelaburan strategik mereka dalam sektor hartanah bukan hanya terbatas dalam sempadan negara Malaysia malah diluaskan hingga ke Indonesia dan Vietnam.

12. Begitu juga halnya dengan negara Brunei yang menguasai pelbagai bentuk hartanah strategik di seluruh dunia dalam usaha meluaskan negara mereka.

13. Alasan kesuntukan modal adalah kenyataan yang dangkal kerana kerajaan Perlis masih memiliki bangunan Mini Putrajaya untuk dicagarkan dengan nilai puluhan juta ringgit sebagai komitmen untuk tujuan ini.

KEMATANGAN POLITIK

Terdengar kokok ayam bersabung,
Jangan sampai tergadai kampong,
Saf yang retak pohon disambung,
Agar Musuh tidak berkunjung.

14. Persengketaan berterusan yang didasari dengan seribu perbezaan pandangan dikalangan tangan-tangan yang berkuasa sewajarnya diselesaikan dengan segera jika mereka sayangkan negeri ini. Panggil saja menteri perdana sebagai kaunselor dan Tuanku Raja sebagai hakim untuk menyelesaikan segala kemelut.

15. Perbuatan merampas hasil kerja orang lain untuk kita nikmati bersama anak isteri kita adalah suatu yang terkutuk apatah lagi jika dibalas dengan pemulauan dan penghinaan. Rampasan kuasa secara veto tanpa melalui konsensus yang jelas dikalangan ahli-ahli Yang Berhormat telah membunuh roh demokrasi yang didokong UMNO; dan pemimpin-pemimpin yang ada seharusnya sedar dan insaf akan perkara ini. Kebijaksanaan Sultan Azlan Shah dalam krisis di Perak bagi mewujudkan kerangka mendapatkan konsensus secara telus seorang demi seorang ahli-ahli Yang Berhormat sewajarnya menjadi sandaran bagi mengelakkan pertikaian yang berpanjangan.

16. Wahai pemimpin-pemimpinku, tolonglah kamu semua bersatu, bersetia dan berkhidmat.

17. Ya Allah, Ya tuhanku, bukakanlah pintu hati mereka untuk bersatu dalam perkara-perkara yang mereka persetujui; dan berbincang dalam perkara-perkara yang mereka curigai.

PEMBANGUNAN AGAMA

Jangan curiga jangan ada syak,
Di dalam masjid bermain carom,
Lepas maghrib sebelum isyak,
Jemaah muda bertambah korum,

18. Fungsi masjid semakin terpinggir dalam masyarakat Melayu moden. Kewujudan sekolah-sekolah, dewan-dewan masyarakat dan gelanggang-gelanggang permainan di luar pagar masjid telah menjauhkan umat Islam daripada institusi masjid.

19. Langkah-langkah proaktif dalam konteks “melangkah setapak ke hadapan” sewajarnya dimulakan bagi mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid secara berterusan. Apa jua usaha permulaan untuk menambah jemaah muda khususnya pada waktu Maghrib dan Isya’ seharusnya diberi sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi dengan melangkaui fahaman politik dan sempadan mazhab.

PEMANTAPAN PENDIDIKAN

Terus berusaha tanpa kecewa,
Baru tercapai yang dicita-cita,
Dalam Perlis banyak mahasiswa,
Manfaatkan mereka untuk pelajar kita,

20. Lambakan cerdik pandai dari seluruh negara di institusi pengajian tinggi di Perlis seharusnya dilihat sebagai peluang dan potensi. Di samping mewujudkan ruang untuk mereka mencari rezeki part-time, adanya kumpulan mahasiswa ini dapat dijadikan pembimbing kepada anak-anak tempatan untuk berjaya dengan lebih cemerlang dalam lapangan akademik.

21. Tangan-tangan yang berkuasa yang memegang amanah mentadbir negeri ini sewajarnya menggunakan kemahiran dan ilmu yang ada pada mahasiswa-mahasiswa ini untuk manfaat generasi muda dengan situasi win-win.

qunang: saya anak Perlis...

No comments: