Monday, April 12, 2010

10 DALIL MENTERI BESAR PERLIS PERLU DITUKAR


1. Yip Sin Onn
Langkah Datuk Seri Md Isa Sabu “memujuk” wakil rakyat DUN Titi Tinggi disifatkan oleh banyak pihak sebagai kemuncak kegagalan pentadbiran beliau. Begitu ramai orang-orang kampung masih melahirkan kekecewaan mereka ekoran tindakan Md Isa selaku ketua parti pemerintah mengekalkan seorang wakil yang jelas terbukti tiada keikhlasan untuk memberi khidmat kepada mereka.

Bagi sebilangan pemimpin-pemimpin masyarakat dalam DUN Titi Tinggi, tidak ada kewajaran untuk memujuk seorang wakil rakyat yang sudah hilang minat untuk mewakili rakyat dalam keadaan Barisan Nasional masih mempunyai konsensus 2/3 dalam DUN. Bagi mereka, melayan “gempaq keling” Yip Sin Onn lebih banyak membawa mudarat dari kebaikan.

2. Penipu
Dalam keadaan terdesak untuk mempertahankan tindakan memujuk Yip Sin Onn, Menteri Besar telah berbohong bahawa tindakan tersebut mendapat restu dari akar umbi, termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian. Beliau cuba melibatkan nama UMNO kerana orang-orang Melayu merupakan pengundi majoriti di kawasan tersebut. Sekalian rakyat, pemimpin masyarakat dan pengundi di kawasan itu menjadi bertambah bingung bilamana kenyataan itu nyata tersasar dari apa yang telah mereka suarakan. Tambah menjengkelkan apabila Yip Sin Onn dengan bangganya mengishtiharkan bahawa dia mendapat sokongan Pemuda UMNO Padang Besar.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar lantas mengeluarkan kenyataan dan bantahan rasmi bahawa mereka tidak pernah menyokong atau bersetuju dengan tindakan tersebut. Para pemimpin UMNO Bahagian Padang Besar turut bermesyuarat dan sebulat suara membuat resolusi agar Md Isa menerima perletakan jawatan tersebut tanpa sebarang pujukan sebagai pengajaran kepada wakil-wakil rakyat lain di Perlis dan di seluruh Malaysia. Hanya selepas itu baru Md Isa tersedar bahawa orang-orang UMNO tidak lagi mampu berdiam diri untuk menghangguk segala-galanya; maka dihantar Setiausaha Politik beliau untuk menemui wakil Pemuda UMNO Padang Besar untuk berbincang dan berkompromi agar menutup mulut untuk kali ini.

3. Peranan Pemimpin Re-cond Tingkat 3
Banyak tindakan, ucapan dan kenyataan dari pentadbiran Md Isa dilihat tidak seiring dengan keadaan semasa dimana terlihat unsur-unsur yang menganggap orang-orang kampung masih rabun dan tuli untuk sekadar menerima segalanya secara sembrono. Pendekatan-pendekatan ketinggalan zaman itu adalah berasaskan kepada circle yang ketinggalan zaman di sekeliling Md Isa yang berpunca daripada perlantikan pemimpin-pemimpin expired untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam pentadbiran politik negeri Perlis termasuk Penasihat Menteri Besar, Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit dan Setiausaha Akhbar di Pejabat Menteri Besar.

Adalah suatu fakta dan hakikat bahawa tidak ada orang-orang muda yang diberi ruang dan pendedahan untuk menguruskan pentadbiran negeri -- semuanya dibolot oleh kumpulan re-cond. Ketua Pemuda Negeri, Ketua-ketua Pemuda Bahagian, Ketua Puteri Negeri, Ketua-ketua Puteri Bahagian malah Wanita UMNO Negeri tidak diperuntukkan sebarang jawatan secara khusus dalam kerangka menyediakan pelapis yang berpengalaman dalam aspek pentadbiran negeri. Menteri Besar dilihat hanya memberi percaya kepada orang-orang re-cond daripada menginsafi keperluan menyediakan kumpulan generasi pelapis yang berkemampuan.

4. Memusnahkan Legasi dan Tradisi Parti
UMNO telah melalui banyak proses kematangan sebagai sebuah parti dominan yang menghampiri usia 64 tahun. Dalam banyak kemelut yang melanda organisasi ini, tanggungjawab memberi kata putus terakhir dipikul oleh Presiden parti. Keutuhan, kekuatan dan survival UMNO terletak kepada keupayaan ahli-ahli untuk menjinjing keputusan Presiden secara bersama tanpa dipengaruhi atau mempengaruhi campurtangan pihak-pihak luar.

Namun begitu, konflik pasca PRU 12 di Perlis memperlihatkan kebobrokan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (kini dilantik Penasihat Menteri Besar) mempengaruhi camputangan pihak Istana untuk mengetepikan keputusan Presiden parti. Sebahagian besar pemimpin kanan UMNO di Pusat melahirkan kekesalan dengan sikap “pemunah tradisi” tersebut sehingga akhirnya memaksa Radzi meletak jawatan kerana dipulaukan dari membarisi jemaah kabinet 2008. Seorang Timbalan Menteri Kabinet berpendapat, Radzi (dan Md Isa) sewajarnya memaklumkan kepada Tuanku Raja bahawa Perdana Menteri telah mengambilkira pandangan Tuanku Raja yang berhasrat menggugurkan Shahidan dengan memilih seorang ADUN senior lain (YB Chuping?) bagi mengisi jawatan Menteri Besar. Md Isa sewajarnya menolak tawaran perlantikan tersebut demi perpaduan parti memandangkan wujud ADUN-ADUN yang lebih senior, sihat dan lebih berupaya mencetus sinergi untuk memperkukuhkan BN di Perlis.

5. Ketandusan Idea
Dua tahun lalu, orang yang diambil sebagai penasihat oleh Md Isa berkata, “Kalau Perlis masih kekal dengan kepimpinan lama dan tokoh yang lama, saya rasa negeri ini akan terus berada di takuk lama”. Segala yang lama sudah bertukar menjadi baru kecuali “takuk” yang masih lama.

Kehadiran gerombolan orang-orang re-cond untuk memonopoIi pentadbiran berkaitan politik hanya ibarat tikus membaiki labu. Sehingga ke hari ini, tidak ada unsur idealisme segar yang boleh diukur secara waras bagi membuktikan tercetusnya gelombang pembaharuan dan penambahbaikan terhadap perjuangan memajukan negeri Perlis. Dalam banyak hal, kerajaan Perlis pada hari ini berada di “takuk” yang semakin lama.

6. Pencabulan Sistem JKKK
Sejak diasaskan pada tahun 1971, peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat bermakna dalam melancarkan urusan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. JKKK adalah simbol cengkaman BN yang berakar umbi dalam masyarakat dan amat digeruni oleh parti-parti pembangkang lantaran pelbagai isu dan serangan yang diberikan kepada JKKK sejak dahulu lagi. Lantikan JKKK adalah kuasa eksklusif Menteri Besar yang secara tradisinya dipilih dikalangan pemimpin-pemimpin BN di peringkat kampung (cawangan). Oleh kerana JKKK adalah jentera serampang dua mata BN di peringkat akar umbi, pembangkang akan bersorak gembira apabila struktur JKKK menjadi tempang.

Dalam keadaan Barisan Nasional amat-amat memerlukan gerak kerja yang ampuh di akar umbi untuk mengembalikan sokongan rakyat terbanyak, Menteri Besar memilih untuk mengetepikan 5% daripada pemimpin di kampung-kampung di seluruh Perlis yang dipilih secara demokratik oleh akar umbi. Lima peratus itu bukanlah mewakili angka yang kecil dari sudut sokongan dan dokongan politik. Penafian hak tersebut memperlihatkan adanya pemimpin yang menang bulat-bulat (menang tanpa bertanding) diketepikan bagi melantik orang lain sesuka hati. Pencabulan sistem JKKK adalah suatu lagi contoh tindakan “tikus membaiki labu” yang mula memakan diri disebabkan kelompok pemimpin-pemimpin kampung tersebut tidak lagi mampu untuk mengatakan “putih” kepada perkara-perkara yang “hitam”.

Apabila saya terdetik menyuarakan penentangan terbuka terhadap Regim Radzi selepas segala tindakan mereka berkaitan isu Yip Sin Onn, ada kalangan “orang-orang yang sedang kekenyangan” mempertahankan mereka dan menyatakan bahawa wujud keperluan untuk menunggu hingga hujung penggal semasa. Tidak pula mereka memberitahu Md Isa untuk menunggu penggal pemilihan UMNO yang akan datang untuk berkempen menaikkan kroni-kroni beliau.

7. Punca Pecah Belah
Selepas merampas kuasa, pentadbiran Md Isa mengetepikan aspek win-win dalam proses pengambilalihan tugas. Sebaliknya, pendekatan membalas dendam dan ugutan terhadap pemimpin-pemimpin akar umbi telah diambil dengan tujuan untuk meraih sokongan. Percayalah.. Percayalah.. dan Percayalah, bahawa sokongan yang diterima itu hanyalah sokongan “plastik” memandangkan sebahagian yang amat besar dari mereka adalah kontraktor kelas F. Mereka khuatir periuk nasi mereka ditimbusi pasir-pasir dendam dan kesumat akibat persengketaan dua gergasi. Tindakan ugutan dan balas dendam tersebut menyebabkan UMNO lumpuh di akar umbi; sekaligus menjadikan parti ini mati pucuk untuk terus membiak dan berkembang sebagai sebuah warisan perjuangan yang dekat di hati orang-orang Melayu.

Tidak cukup dengan menyalakan api di kampung-kampung, sikap prejudis pentadbiran Md Isa melarat hingga kepada generasi muda. Ketua Pemuda Barisan Nasional Negeri Perlis dibiarkan terkontang-kanting tanpa dokongan dan dorongan yang sewajarnya sementara pimpinan-pimpinan Pemuda Barisan Nasional lainnya tidak juga diberi ruang di Tingkat 3. Kriteria orang-orang yang boleh diberi password untuk berpejabat di Tingkat 3 hanyalah kaum kerabat dan kroni sang Penasihat.

8. Hilang Kawalan
Setelah diam menyepi dengan kerja ala kadar selama dua tahun, pentadbiran Md Isa baru menyedari bahawa terlalu banyak rakyat yang tidak berpuas hati. Ketika UMNO/BN di negeri-negeri lain giat menjauhkan diri dengan risiko tsunami politik kedua, Md Isa terus menerus mendekati risiko kekalahan yang bergaung dihadapan beliau. Selama dua tahun rakyat Perlis mendiamkan diri dan mengharapkan sentuhan ajaib Md Isa untuk membawa Perlis ke “takuk” baru, akhirnya kepercayaan mereka sudah terhakis.

Benih-benih perpecahan yang disemai dua tahun lalu kini sudah boleh dikutip hasilnya. Menteri Besar dilihat sudah hilang kawalan dan tenggelam punca dalam krisis keyakinan rakyat terbanyak. Lompatan demi lompatan dan lantunan demi lantunan dilihat tidak lagi membantu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat yang semakin memahami nada retorik, pembohongan dan cakap besar orang-orang kanan di Tingkat 3. Tambahan pula, bukan hanya saudara-mara dan sahabat-handai, tetapi diri mereka sendiri dapat menilai dan melihat ketokohan yang ada pada Azizan Razak, Lim Guan Eng dan Khalid Ibrahim untuk dibuat perbandingan dengan Md Isa. Lambakan lebihan makanan yang dibungkus pada suatu majlis “mega” untuk 2000 orang menceritakan segalanya apabila hanya sekitar 300 orang yang turun untuk turut serta, termasuk kanak-kanak tadika.

9. Merampas Kuasa
Model amalan demokrasi di Malaysia memperlihatkan unsur toleransi yang unggul dimana rakyat diberi ruang untuk memimpin pentadbiran melalui prinsip pengagihan kuasa (separation of power). Rakyat terbanyak menentukan pemimpin dikalangan mereka, dimana pemimpin-pemimpin yang dipilih itu kemudiannya akan memilih seorang ketua dikalangan mereka. Bagi parti Barisan Nasional yang dominan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, Pengerusi parti itu secara tradisinya memutuskan pemilihan ketua dikalangan pemimpin-pemimpin bawahan.

Dalam konflik politik di Perlis, yang direncana oleh tangan-tangan pemunah, kuasa tidak diserahkan secara baik; sebaliknya dirampas melalui manipulasi dan unsur-unsur veto yang mengetepikan segala prinsip yang terpakai dalam konteks pengagihan kuasa yang berperlembagaan. Campurtangan unsur-unsur veto menghalalkan tindakan menyembunyikan ADUN-ADUN melalui permainan politik yang maha kotor dan menjijikkan. ADUN-ADUN tidak diberi ruang secara bebas dan ikhlas untuk melantik ketua dikalangan mereka; dan tidak pula dibenarkan mendapat khidmat pandangan dari Pengerusi parti demi menjunjung martabat dan tradisi parti mereka.

Pelbagai janji dan perjanjian terpaksa dibuat bagi menjayakan rampasan kuasa tersebut berkaitan pengagihan jawatan exco dan habuan besar kepada big boss yang banyak “berjasa”. Mereka menunjukkan contoh teladan kepada pemimpin-pemimpin muda bahawa harga yang mahal terpaksa dibayar untuk sebuah rampasan kuasa. Moga tidak lagi berulang di masa hadapan selepas jatuhnya regim Radzi tidak lama lagi.

10. Tiada Pembangunan dan Kemajuan
Pembangunan dan kemajuan ke “takuk” baru masih tidak nampak bayangannya untuk diukur selepas 2 tahun pertama rampasan kuasa. Dari sudut lain, tidak juga ternampak sebarang perubahan positif berbanding dengan era Menteri-Menteri Besar yang lepas. Lebih parah lagi, bolot-membolot hasil rampasan perang dilakukan dengan berleluasa oleh prebet-prebet pencen yang di re-cond semula. Pentadbiran Menteri Besar hari ini telah membohongi rakyat kerana orangnya tetap lama, perangai lama, idea lama, cara lama dan sememangnya sudah tidak dapat dubah selama-lamanya.

Mungkin itulah sebabnya Radzi hanya memberi komen, “Saya tak mahu pergi kepada (masalah-masalah) pembangunan, ekonomi atau pengurusan pentadbiran tetapi kepimpinan politik di negeri ini, cukuplah”. Orang yang meranapkan dominasi UMNO di Malaysia ini tidak peduli tentang pembangunan, ekonomi atau pengurusan yang holistik, tetapi cukup untuk mencapai dua matlamat utama -- [i] membunuh UMNO tidak kira dari luar (Semangat 46) ataupun dalam; dan [ii] mengaut kekayaan material untuk membesar dan mengindahkan kebun miliknya.


Perlukah aku diam?

Sesudah akui segala kesilapan,
Sesudah akur segala kelemahan,
Sesudah terima segala kecacatan,
Akhirnya balas dengan kezaliman.

Mereka menanam tebu di bibir,
Sembunyi di sebalik tabir,
Menjemput hadirnya musafir,
Membongkar kebejatan anasir.

Apabila memantul diri sendiri,
Bertempiaran mereka lari,
Lupa mereka kaki bergari,
Bersimpul terikat kanan dan kiri.

Mana mungkin terpisah,
Biar datang seribu kisah,
Gembira, duka dan resah,
Ditelan payah, dibuang susah.

Diam ubi berisi,
Diam besi berkarat,
Diam kayu mereput,
Diam buah memburuk,
Diam baju usang,
Diam rumah berhantu,
Diam telur kemuruk,
Diam manusia mati,

Perlukah aku diam?

qunang: segala dalil untuk rujukan di hari muka..

2 comments:

yyyyy said...

Boleh tukar YAB Menteri Besar tp tak payah la bagi kat Shahidan Kassim sbb dia pun recond mcm mat isa juga,sama jer.cuma beza dia kaya mat isa sedikit miskin.majukah perlis dengan setiap kali berjumpa shahidan huluq rm 50.....itukah perjuangan...itu kah maruah org melayu perlis....itukah maruah umno.bg lah org lain jd YAB kita cantas semua....buka buku baru lagi baik la.Perak YAB orang Muda....Nogori MB orang muda...p mampus la radzi,shahidan dan mat isa banyak lagi calon yang berkeliber.sbb lantik salah sorang sama juga....org lain makin maju tp org melayu sembang jer politik pandai...habuk tarak.....naik keta mewah telephone canggih last2 cari public phone...ha...ha... itulah melayu.yang di lantik tak elok...yang tidak di lantik menyalak macam anjing konon nyer dia yang terbaik tapi hakikat nyer sama jer bergelumang ngan tahi.

The Full Moon Revolution said...

ya! betul yyyyy... shahidan, md isa & radzi perlu memberi laluan kpd pemimpin muda seangkatan bro qunang!!

"JKKK adalah simbol cengkaman BN yang berakar umbi dalam masyarakat dan amat digeruni oleh parti-parti pembangkang".....

sangat setuju kerana JKK mempunyai kuasa yang sangat besar dikampung banyak perkara terpaksa melalui JKK dan kadangkala JKK bertindak diluar dugaan...!!!!

JKK dapat mencorak samada perpaduan atau perpecahan masyarakat!!!

bekas JKK macam bapa saudara aku sangat dihormati org2 kampung krana beliau seorang yang jujur, tidak mengamal cronism, sebarang bantuan dari kerajaan diagih2kan dengan adil...

beliau tidak menggunakan kuasanya terhadap sbarang kputusan yg sbulat suara telah diperstujui oleh org2 kampumg!