Thursday, April 29, 2010

SERUAN PERDAMAIAN DALAM UMNO PERLIS


BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH

1. Akhirnya ternampak juga sedikit sinar cahaya di hujung terowong yang gelita apabila sekumpulan yang tidak kecil dikalangan ahli dan penyokong UMNO Perlis yang menyarankan perdamaian dalam parti keramat ini.

2. Bagi yang mengenali dan mengerti, bukan pecah belah yang dicari dalam sorotan penulisan dan pendedahan saya terhadap kebobrokan pentadbiran Datuk Seri Md Isa Sabu selaku Menteri Besar Perlis, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dan Pengerusi Barisan Nasional Perlis. Jawatan-jawatan yang penting itu datang dengan tanggungjawab yang sangat penting.

3. Disebalik segala kritikan dan kecaman terhadap pentadbiran Md Isa yang terlencong jauh dari landasan murni perjuangan orang-orang Melayu, jauh di sudut hati saya masih mengharapkan muhasabah yang tulus di hati Datuk Seri Menteri Besar.

4. Muhasabah yang tulus membawa erti keikhlasan dalam mengenalpasti, menginsafi dan memperbaiki perkara-perkara yang hitam, putih dan kelabu. Hitam katakan hitam, putih katakan putih, kelabu katakan separuh hitam.

5. Sesungguhnya yang dicari ialah perdamaian dan satu padu untuk menguatkan UMNO Perlis dalam keadaan masa yang kian suntuk menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

6. Sikap “aku dapat semua, engkau hilang segalanya” tidak memungkinkan berputiknya perdamaian dan perpaduan selepas rampasan kuasa cara veto yang dilakukan. Sebaliknya, ianya akan menyemarakkan persengketaan dan perbalahan yang tidak berkesudahan dalam hierarki kepimpinan UMNO di Perlis.



WIN-WIN SITUATION

7. Demi memupuk perdamaian, beberapa perkara harus diperhalusi bagi tujuan mewujudkan suasana yang kondusif tanpa wujud peminggiran yang konsisten kepada mana-mana pemimpin parti.

8. Tidak ada siapa dapat menafikan bahawa faktor yang paling signifikan terhadap kekuatan UMNO di Perlis adalah melibatkan peranan dan pengaruh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim. Kekuatan Shahidan dapat digambarkan melalui kenyataan alasan awal seorang penyokong Md Isa, “kalau BN kalah di Perlis dalam PRU13, ianya kerana boikot oleh Shahidan”. Begitu hebatkah Shahidan? Kegagalan menyelami protes senyap oleh sebahagian besar rakyat terhadap kepincangan pentadbiran Md Isa pada hari ini membawa kepada suatu kesimpulan mudah sedemikian rupa, seolah-olah pengundi di Perlis buta hati untuk menilai hitam, putih dan kelabu. Namun, apa yang diakui, meminggirkan pemimpin ini akan menyebabkan UMNO terpinggir kerana pengaruh beliau yang bertebaran ke seluruh negeri ini.

9. Faktor kedua adalah berkait dengan kesaksamaan tanpa prejudis terhadap setiap "puak" bagi tujuan menghapuskan sempadan "puak". Tindakan pentadbiran Md Isa yang terus-terusan memilih bulu tidak menggambarkan kehendak untuk berdamai. Md Isa sewajarnya menyedari dan menginsafi sikap gurkha-gurkha recond di Tingkat 3 yang senantiasa memilih bulu dengan didasari dendam kesumat politik yang membinasakan. Musibahnya, nikmat kemenangan Barisan Nasional di Perlis hanya dinikmati oleh orang-orang dalam sangkar yang sama dalam keadaan sekalian rakyat melopong sambil ternganga. Situasi sebegini akan terus menjauhkan titik pertemuan diantara pendokong-pendokong UMNO di akar umbi.

10. Faktor ketiga merujuk kepada pengiktirafan terhadap golongan muda dalam kerangka menyediakan pelapis kepimpinan yang berkualiti untuk negeri Perlis di masa depan. Tempoh dua tahun sudah dibazirkan tanpa perencaan jitu untuk melatih bakat-bakat kepimpinan muda yang segar seolah-olah Md Isa akan jadi Menteri Besar sampai kiamat tanpa perlunya pelapis yang berkaliber. Ketika kesemua Menteri Besar di negeri lain menitikberatkan pengiktirafan terhadap kelompok pengundi muda di saluran 3 dan 4, Md Isa terus dikelilingi oleh gurkha-gurkha pencen yang di Tingkat 3. Orang-orang muda menuntut satu jawatan diberikan kepada sekurang-kurangnya salah seorang daripada pemimpin Pemuda UMNO; sama ada Cikgu Mohsin (Ketua Pemuda Perlis dan Padang Besar), Datuk Rozabil (Ketua Pemuda Arau dan Bendahari Pemuda Malaysia), Aziz Majid (Ketua Pemuda Kangar), Nawab (Naib KP Pdg Besar), Zairul Anuar (Naib KP Arau) ataupun Ariff (Naib KP Kangar). Pilihlah mana-mana satu yang berkenan di hati sebagai buah tangan untuk orang-orang muda di Perlis dalam konteks menghamparkan permaidani merah menyambut generasi muda mendekati pentadbiran Md Isa.

11. Faktor keempat ialah berkaitan kebijaksaan yang mendamaikan. Radzi Sheikh Ahmad dan lain-lain gurkha recond di Tingkat 3 adalah merupakan simbol politik dendam kesumat yang membayangi pentadbiran Md Isa. Adalah menjadi suatu tanggungjawab dan keperluan yang kritikal kepada Menteri Besar agar Tingkat 3 “disamak” dan dibersihkan dari perosak dan parasit UMNO. Kerana kerajaan negeri sediakala “tiada peruntukan”, Md Isa perlu menerima nasihat secara percuma dari semua pemimpin UMNO di Perlis tanpa perlu mewujudkan jawatan berbayar kepada seorang Punahsihat 46% yang telah mengkhianati dan melingkupkan UMNO sebanyak dua kali. Usah biarkan mereka mematuk bisa untuk kali ketiga -- takut lumpuh! Kegagalan menilai orang-orang ini dengan mata hati yang tulus ikhlas demi perdamaian dalam UMNO akan terus menghancurkan kekuatan yang dibina sejak merdeka.

KEIKHLASAN PERJUANGAN

12. Insan kerdil ini memohon agar pandangan dan seruan perdamaian yang tercoret diatas dapat disampaikan kepada Menteri Besar Perlis seperti kebiasaannya. Jangan hanya mereport kritikan yang negatif kepada beliau.

13. Renungkanlah, even the weak become strong when they are united -- Johann Friedrich Von Schiller.

Epilog Suatu Perjuangan
oleh: S. Othman Kelantan [UPM, Serdang]

Perjuangan ini tak bertepi
meruntun belas
kasih terpateri takkan mati.

Menyusuri lereng derita ini
meniti onak duri bersatu hati
memperjuangkan bahtera tradisi
dari acuan Rabbani
acuan Rabbul Izzati.

Tersedarkah watan?
Mengharung gelombang bergulung
dihempas samudera fikir?

Terlewatkah?
Menerka bahaya
yang datang menggila
menyepikan episod duka
epilog perjuangan
prolognya perpaduan
serumpun manusia yang aman.

qunang: melenturkan ketegangan bagi menyahut Seruan Perdamaian...

1 comment:

The Full Moon Revolution said...

Salam Bro,

Shahidan umpama Thaksin & Md Isa umpama Abhisit, kedua-duanya harus berundur bagi peluang pemimpin versi baru yang lebih mantap, sebagai seorang yang sangat rapat dengan mantan MB saudara tentulah lebih tahu, nasihatlah DS Shahidan tu tak payah berkonfrantasi, nanti rakyat yang rugi, beliau telah memperolehi segala-segalanya termasuk yang tidak pernah beliau termimpi.

Kesejahteraan rakyat Perlis di bawah naungan DYMM Tuanku Raja Perlis perlu diutamakan. Hidup kita ibarat roda, dari bawah naik ke atas, dan telah sampai masa kedua-dua pemimpin ini putaran rodanya menuju ke bawah. Ramai lagi pemimpin-pemimpin muda yang seangkatan saudara lebih berwibawa dari Shahidan.

Perlis adalah sebuah negeri yang miskin, kalau Perlis jatuh ke tangan Pakatan Rakyat maka rakyat Perlis akan terima bahananya, Shahidan & Md Isa masih boleh tersenyum.

Menjadi kerajaan dibawah pembangkang akan mengakibatkan Perlis akan terus mundur kerana banyak peruntukan dari Kerajaan Pusat akan dipotong. Perlis bukan negeri kaya seperti Selangor dimana pendapatan per-kapita rakyatnya adalah setaraf dengan negara maju seperti Amerika & Eropah.

Gajah dan Badak yang bergaduh...tapi tikus yang kena pijak!!! Wallahu a'lam