Friday, April 2, 2010

SHAHIDAN KASSIM: NAIK, JATUH & INGIN BANGUN SEMULA (SIRI 10)


POISSON d’AVRIL


1. 1 April 2010 menandakan bulan Mac sudah berlalu.

2. Kisah igauan di bulan tiga ternampak seolah-olah poisson d’Avril -- April fool.

3. Oleh kerana Datuk Seri Md Isa Sabu masih kekal sebagai Menteri Besar Perlis sehingga ke hari ini, maka bersoraklah orang-orang yang merasakan ada kewajaran untuk beliau terus disitu. Seolah-olah redha bahawa masyarakat Melayu Moden yang Glokal boleh berimamkan robot dalam suatu jemaah.

4. Apabila orang-orang yang sama turut berkokok bahawa Shahidan tidak mungkin menjadi Menteri Besar semula kerana bulan tiga sudah berlalu; saya senada dengan mereka. Bahawa amat susah dan hampir mustahil untuk Shahidan menjadi Menteri Besar sekali lagi. Kebangkitan semula Shahidan, mungkin, perlu melalui jalan lain. Walaubagaimanapun, hampir juga mustahil untuk beliau jatuh lagi dalam tempoh terdekat.

5. Namun begitu, jangan kita lupa bahawa bukan senang dan sama sekali mustahil untuk mengangkat nama Md Isa menjadi Menteri Besar Perlis dua tahun yang lalu. Nama itu tidak pernah tergambar dalam telekan politik semua orang.

6. Oleh kerana politics adalah poly tricks (banyak trick), maka beliau berjaya duduk di situ.

7. Seorang penulis PAS menulis di dalam Harakahdaily, “Dia (Md Isa) dikenali hanya kerana dia lama dalam Umno Kangar dan bukan kerana dia seorang yang terkenal dengan idea bernas”. Sama macam Pak Lah yang gagal mengekalkan kegemilangan era Dr. Mahathir kerana ketandusan idealisme segar dalam pentadbirannya.

TIGA PERISTIWA DI BULAN TIGA

8. Peristiwa ialah kejadian yang tercatat dalam sejarah. Di bulan tiga, ada tiga peristiwa yang bukan terjadi secara kebetulan.

9. Peristiwa pertama adalah berkaitan dengan penubuhan jawatankuasa bertindak yang diberi nama MANTAP di awal bulan tiga yang bertujuan menjalankan kaji selidik umum berkenaan prestasi Menteri Besar Perlis. Akan tetapi, bukan MANTAP yang diterima sebagai suatu “peristiwa” oleh sekalian rakyat. Peristiwa pertama yang dimaksudkan ialah “peristiwa” dimana Md Isa membuat kenyataan membidas MANTAP dalam paper. Pak Belalang kata, “kaddang.. kaddang..”. Oleh sebab setahun sekali MB Perlis masuk paper, maka kenyataan Md Isa itu bolehlah dianggap sebagai “peristiwa” terbesar yang paling menakjubkan.

10. Peristiwa kedua di ialah peristiwa kunjungan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang baru dilantik. Lawatan tersebut merupakan bahasa isyarat Perdana Menteri bahawa beliau tidak hingin jejak kaki ke Perlis selagi Radzi jadi punahsihat Md Isa. Selepas dua tahun jadi Menteri Besar, selepas menerima asakan hebat dari rakyat, baru sekarang nak nampak pintu Pejabat PM. Harus difahami, antara punca Radzi dibuang dari Kabinet 2008 adalah kerana Datuk Seri Najib tidak berpuas hati dengan Radzi yang disifatkan bertanggungjawab memunahkan kekuatan UMNO di Malaysia.

11. Peristiwa ketiga di penghujung bulan tiga ialah jenaka politik oleh ADUN N.01 Titi Tinggi, Yip Sin Onn, yang meletak jawatan sebagai ADUN selama 1 hari kerana kecewa tidak dilantik sebagai Exco. Yip Sin Onn dicalonkan melalui senarai Radzi dan baru menjadi wakil rakyat selama dua tahun. Jika Radzi tidak boleh berkhidmat tanpa perkataan “menteri” dalam jawatannya; Yip Sin Onn berfikiran bahawa dia tidak boleh memberi sumbangan kepada masyarakat tanpa jawatan exco. Tiada langsung unsur-unsur keikhlasan, sama seperti bosnya. Bak kata abang Din Teh Tarik, Yip Sin Onn sudah jadi “Yip Sin Off”.

12. Ketiga-tiga peristiwa itu merupakan fakta signifikan betapa goyahnya pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di Perlis pada hari ini. Kerajaan dilihat syok sendiri dalam banyak hal.

MENTERI BESAR TERUS MENGIGAU

13. Diceritakan oleh seorang Pengerusi JKKK yang baru dilantik semula, ketika berselisih dengan Md Isa pada suatu hari, dia pun menegur “Datuk Seri, apa khabar?”. Lantas Md Isa menjawab, “Tak tau la.. Saya ni senang aja. Dah depa dok suruh saya turun, saya tak pa lah.. Tengok dulu keadaan macamana sebulan dua ni”.

14. Bila orang tanya, “ada orang mahu Menteri Besar ditukar”; dia jawab, “Macam senak perut, petang senak, malam hilang”. Bila rakyat merungut keadaan negeri terlalu hambar, dia diam tak berkata apa-apa. Barangkali kerana tidak menerima signal disebabkan bateri remote habis (tengah charge?).

15. Demikianlah cerita seorang doktor yang orang tanya lain, dia jawab lain. Orang suruh bedah Bedah, dia belasah Bedah. Kita tak faham macamana dia dapat “doktor”.

16. Oleh sebab tiadanya halatuju dan kurangnya keyakinan diri, Md Isa dijangkakan akan terus mengigau.

15 TAHUN LAWAN 2 TAHUN

17. Mengikut teori Radzi, Shahidan sepatutnya dijatuhkan semasa Pilihanraya Umum 2004, dimana tersebar luas ura-ura Shahidan merayu kepada Pak Lah agar diberikan satu lagi penggal terakhir sebagai Menteri Besar. Radzi hanya berjaya menjatuhkan Shahidan selepas 4 tahun kemudian.

18. Sepanjang tempoh 2004-2008, Shahidan dilihat konsisten meneruskan gerak kerja politik dan tugas-tugas Kelas A dalam membina kekuatan dan membawa pembangunan ke negeri Perlis. Bandar Kangar, Pekan Arau, Pekan Kuala Perlis dan Pekan Padang Besar dilihat “naik seri” dalam era Shahidan selama 4695 hari sebagai Menteri Besar.

19. Diantara penyebab hilangnya keyakinan ramai rakyat Perlis selepas 2 tahun Md Isa menjadi Menteri Besar adalah kerana banyak pekan-pekan, hatta bandar Kangar sendiri, telah “hilang seri”. Satu-satunya kemajuan yang dapat dilihat dan dinilai hanyalah gambar-gambar senyuman penyejuk hati rakyat di tengah-tengah round-about Kangar.

20. Apabila diangkut orang-orang kampung dengan 3 buah bas untuk menyambut kepulangan Menteri Besar dari luar negeri, maka dibuat kenyataan “rakyat Perlis menyokong Md Isa”. Apa rakyat Perlis ada 150 orang? Adakah pelaburan RM2000 yang dibelanja untuk mengangkut orang-orang kampung melawat airport baru Kepala Batas memadai untuk membuat kenyataan umum bahawa “rakyat Perlis sokong saya”?

21. Dalam banyak aspek lain, Menteri Besar ternyata gagal.

22. Projek naik taraf Jalan Arau-Kodiang dan Kangar-Padang Besar dibiarkan terbengkalai dan terus menyusahkan rakyat kerana alasan biasa -- “kerajaan tidak ada duit”.

23. Selepas 2 tahun, program-program turun padang baru hendak dimulakan secara aktif setelah menerima asakan bertalu-talu kerana alasan biasa -- “saya sibuk sikit sebelum ni”?.

24. Perpecahan dalam UMNO Negeri termasuk sayap Pemuda Negeri dibiarkan tanpa sebarang langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah kerana alasan biasa -- “Shahidan punya pasai”.

25. Kalau semua kelemahan nak dialaskan dengan alasan, kalau segala kritikan kerapkali disalahkan pula orang lain, kalau Pemuda yang semakin menjauhkan diri dianggap remeh; itu petanda “dah lama daaaaah..”.

26. Tiada apa-apa makna lagi untuk terus memegang kuasa itu melainkan untuk menjahanamkan lagi jantung hati orang-orang Melayu -- UMNO.

qunang: kadang², bila nak pinjam pen kawan, kita kata "saudara, bolehkah saya pinjam pen saudara?". kadang² juga, bila nak pinjam pen kawan, kita kata "woi! mai pen hang sat!".
maknanya tetap sama walau nadanya berbeza. :)

No comments: