Friday, May 21, 2010

KERAJAAN CIKGU

SELAMAT HARI CIKGU

1. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Cikgu kepada cikgu-cikgu di seluruh negara, termasuk cikgu-cikgu yang sudah bersara wajib mahupun bersara pilihan.

2. Sebagaimana profesion sebagai doktor, peguam, jurutera, saintis, askar, ahli perniagaan dan tukang kebun; profesion sebagai cikgu merupakan suatu bidang kerjaya yang mulia.

3. Profesion keguruan wujud setelah para saintis dan ahli matematik merumuskan sesuatu kajian dan teori dalam pelbagai lapangan ilmu. Cikgu berperanan menerangkan ilmu-ilmu yang telah dikaji itu kepada banyak orang (multiplication and propagation of knowledge); sekaligus melahirkan generasi saintis dan ahli matematik baru untuk merumuskan teori-teori baru untuk diajar oleh cikgu-cikgu generasi baru.

4. Terima kasih cikgu.

DOMINASI POLITIK CIKGU DI PERLIS

5. Cikgu-cikgu yang menyertai politik mempunyai kelebihan tersendiri oleh kerana kerjaya mereka sebagai cikgu memberi ruang sentuhan peribadi secara terus dengan banyak murid-murid yang selalunya akan mengundi cikgu-cikgu tersebut sebagai membalas jasa mereka.

6. Contoh jelas keupayaan politik cikgu dalam dominasi politik dapat dilihat dalam pentadbiran cikgu Md Isa Sabu di Perlis dimana 6 daripada 13 orang ADUN Barisan Nasional adalah cikgu.

7. Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Perlis, 4 daripada 9 orang Exco adalah cikgu.

8. Tidak cukup dengan itu, orang-orang kuat Tingkat 3 juga dikuasai oleh cikgu. Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis adalah cikgu. Setiausaha Politik pun cikgu jugak. Mungkin ini suatu punca terhadap masalah kekurangan cikgu.

9. Cikgu-cikgu di Tingkat 3 ini dikawal oleh dua orang bekas ahli Semangat 46 yang mengisi jawatan Punahsihat 46% dan Setiausaha Sulit Kanan.

10. Cikgu-cikgu dalam Pentadbiran politik Perlis hari ini ialah Dato' Seri Md Isa Sabu (Bintong), YB. Mat Rawi Kassim (Beseri), YB. Haji Khairi Hassan (Mata Ayer), YB. Haji Sabry Ahmad (Santan), YB. Mat Hassan (Kuala Perlis), YB. Jafperi Othman (Guar Sanji), Y.B. Dato' Yaziz @ Yazid Mat (Speaker DUN) dan Azali Abas (Setiausaha Politik).

11. Kebanjiran terlalu ramai cikgu dalam pentadbiran politik telah menyebabkan hilangnya keseimbangan idea dan persepsi dalam gerak kerja politik sekaligus mewujudkan suasana caca-merba yang serba tak kena.

12. Cikgu biasanya hanya menjaga kelas yang kecil. Cikgu Besar pula mempunyai kuasa yang terhad di dalam pagar sekolahnya. Bila diberi kuasa menjaga kawasan dan negeri, mereka perlu bersedia mengubah pendekatan -- bersedia mengajar dan diajar. Kegagalan sebahagian cikgu-cikgu ini mengubah pendekatan ini membawa kepada intellectual insult yang mengharu-birukan keseluruhan sistem pentadbiran.

13. Seluruh orang-orang Melayu, dari pucuk hingga ke akar, perlu menyedari bahawa kuasa politik wajib diletakkan pada tangan yang berkeupayaan menguruskan kuasa tersebut dengan kebijaksanaan.

KEWAJARAN KOMBINASI

14. Jika dilihat dari konteks pembangunan kenegaraan dan pembinaan tamadun, organisasi pentadbiran yang merencana pembangunan sesebuah wilayah seharusnya terdiri daripada komposisi dan kombinasi pelbagai latar belakang profesional bagi mewujudkan kepelbagaian idea dan kreativiti.

15. Dalam suatu mesyuarat sebuah pertubuhan yang 90% barisan jawatankuasanya diwakili oleh kontraktor-kontraktor kelas F, perbincangan idea asal yang suci murni untuk menyediakan kelas tuisyen percuma di sebuah dewan orang ramai beralih kepada keperluan memperbaiki bumbung dewan itu yang bocor, menambah lampu dan kipas, memasang grill besi dan mengecat pagar. Rumusan di hujung mesyuarat tersebut, kelas tuisyen percuma itu terpaksa dibatalkan kerana melibatkan kos yang tinggi. Mungkin ini dapat dijadikan titik penilaian berhubung kewajaran kombinasi latar belakang profesion dalam kerangka fokus dan penyelesaian sesuatu masalah.

16. Begitu juga halnya bila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menjadi Mesyuarat Cikgu. Bila Cikgu Besar asyik layan jiwa sengeh, semua cikgu-cikgu hanya nak mengajar dan tidak mahu lagi belajar. Semuanya perasan pandai dan buat pala tau. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka akan dihukum dengan hukuman tradisional -- berdiri atas kerusi.

qunang: makanan seimbang sangat penting.. makanan tak seimbang membawa penyakit..

No comments: