Wednesday, May 26, 2010

MESYUARAT TAHUNAN UMNO


PENTINGNYA KAYU UKUR

1. Sekali lagi musim mesyuarat UMNO berkunjung menggambarkan di kotak fikiran pemain-pemain politik akan betapa cepatnya masa berlalu.

2. Saban tahun, ahli-ahli UMNO berjumpa dan bercakap tentang banyak hal subjektif yang tidak boleh diukur. “Martabatkan bangsa Melayu”, “ketuanan Melayu”, “membangunkan jati diri Melayu” dan yang senada dengannya hanyalah retorik politik kosong yang berdegar-degar untuk sementara waktu.

3. Ahli-ahli UMNO tidak merumuskan tentang tafsiran dan objektif yang mesti dicapai untuk mereka terima bahawa orang Melayu sudah bermartabat, Melayu sudah jadi tuan dan Melayu sudah punyai jati diri. Tetapi hakikatnya, segala-galanya begitu subjektif.

4. Tafsiran dan objektif yang dimaksudkan dapat dirujuk kepada contoh dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menetapkan bahawa ekuiti bumiputera seharusnya diangkat ke tahap 30% dalam tempoh 30 tahun. Angka itu menjadi titik penilaian untuk mendapatkan ukuran kejayaan. Jika objektif kita untuk melonjak sepuluh anak tangga dalam suatu tempoh masa, tetapi akhirnya kita hanya berjaya naik 7 anak tangga, maka itu merupakan ukuran kejayaan kita. Sekurang-kurangnya kita punyai agenda yang jelas dan bukan hanya berjuang di awang-awangan.


5. Tanpa paradigm shift untuk lebih bersikap objektif, kita akan terus kehilangan fokus dan terus mengelamun. Harus kita sedari bahawa apa yang dicakap dan dibahaskan dalam Mesyuarat Cawangan, Persidangan Bahagian mahupun Perhimpunan Agung pada tahun lepas sudah dilupakan.

6. Saya menulis di ruang sempit ini untuk mengajak ahli-ahli UMNO 1Malaysia mendesak pucuk pimpinan agar lebih menumpukan kepada gerakan-gerakan yang boleh diukur keberkesanannya. Sedarkan mereka bahawa kita kesuntukan masa untuk bercakap pandai sebaliknya kita memerlukan perlaksanaan yang boleh diukur.

PERBAHASAN AGAMA

7. Bagi pembahas-pembahas usul agama, penekanan harus diberikan kepada agenda menambahkan jemaah muda (dan tua) di masjid. Kempen menambah jemaah muda secara besar-besaran merupakan idea baru yang belum dibuat oleh PAS; maka UMNO sewajarnya mencari jalan mengetengahkan soal ini.

Selepas setahun, ahli-ahli akan dapat mengukur dan menilai sejauh mana bertambahnya jemaah muda (dan tua) di masjid-masjid dengan disertakan idea-idea penambaikan yang difikirkan perlu.

8. Aspek kedua yang dapat diukur dalam agenda memartabatkan agama adalah melalui desakan agar UMNO memulakan gerakan pencegahan maksiat secara holistik. Harus diinsafi, dalam radius 5km di sekeliling Bangunan UMNO tempat orang-orang Melayu bersyarah setahun sekali, terdapat tidak kurang dari 100 buah pusat-pusat pelacuran dan maksiat (termasuk yang bertopengkan rumah urut) sama ada yang ekslusif ataipun dhaif yang menawarkan tidak kurang dari 1000 orang pelacur, GRO dan pondan.

Selepas setahun, ahli-ahli akan dapat mengukur dan menilai sebanyak mana pusat-pusat pelacuran itu dibanteras sebagai membuktikan bahawa negara Malaysia yang dikepalai oleh Presiden UMNO sememangnya mengharamkan maksiat dan pelacuran. Kalau tidak ada tindakan diambil, tahun depan kita usulkan agar kerajaan Malaysia menghalalkan pusat pelacuran sebagaiaman dihalalkan pusat judi; dan kita kira pula berapa banyak pertambahan tempat-tempat sedemikian.

PERBAHASAN EKONOMI

9. Dalam konteks negara Malaysia hari ini, tidak ukuran yang paling mudah selain mentaksirkan pemilikan ekuiti mengikut kaum di kawasan bandar. Bahawa orang-orang Cina masih memonopoli hartanah di bandar-bandar, orang-orang India meratah tanah-tanah orang Melayu di pinggir bandar, dan orang-orang Melayu terus merintis sendiri sambil terbakar hati yang kian sepi.


10. Motosikal yang diguna oleh sebahagian besar orang Melayu dibeli dari saudagar Cina. Perlaksanaan projek-projek sivil yang direbut oleh ratusan kontraktor Melayu akhirnya bertumpu kepada pembekal Cina. Pen Kilometrico, kipas Pensonic, blender Khind, ubat gigi Colgate, beras Jati dan Jasmine, tisu Primier, hypermarket Parkson dan Giant, Nescafe dan Milo, kedai tayar dan bateri, sayur bayam dan kailan; sebut sahaja apa benda pun semuanya dikuasai oleh saudagar Cina.

11. Sebagai langkah mudah dan “mungkin” berkesan, tanggungjawab pembangunan dan penguasaan ekonomi Melayu sewajarnya diletakkan kepada kontraktor-kontraktor Melayu kelas A, B, C, D, E dan F dan 1, 2, 3 yang menikmati kontrak-kontrak kerajaan dengan pulangan keuntungan bersih sekitar 20% ke 50%.

12. Kontrak-kontrak kerajaan sewajarnya dilihat sebagai insentif kepada kontraktor Melayu. Manakan tidak bila mereka boleh dapat untung mencecah RM50 ribu melalui projek tar jalan yang dapat disiapkan kurang dari seminggu. Golongan kelas pertengahan perlu bekerja setahun untuk dapat wang sebanyak itu.

13. Kerajaan perlu meletakkan syarat bahawa kontraktor Melayu yang ingin mendapat projek untuk kali kedua dan seterusnya perlu memiliki perniagaan lain yang tidak bergantung dengan kontrak kerajaan (selain kedai makan yang sudah taboo). Bagi kontraktor yang berani membuka perniagaan di pusat bandar, berilah mereka dengan 5 projek tambahan supaya mereka mempunyai modal yang lebih tinggi untuk maju dalam perniagaan.

14. Dengan cara ini, pomen-pomen motor bawah rumah di kampung-kampung berkemungkinan akan diajak joint-venture membuka workshop di pekan. Begitu juga dengan makcik-makcik tukang jahit di kampung-kampung akan berpeluang membuka tailor house di bandar-bandar pula. Sesama kontraktor-kontraktor pula akan dapat menubuhkan konsortium pembekal bahan binaan bagi menggigit sebahagian dari kek ekonomi saudagar Cina yang terlalu besar.

PERBAHASAN POLITIK

15. Apabila memikirkan tentang masa depan orang-orang Melayu, tidak ada yang lebih menakutkan daripada soal kefanatikan politik yang memecah-belahkan perpaduan ummah.

16. Orang-orang Melayu yang berkuasa terus dengan kebongkakan mereka manakala marhaen yang terpinggir terus dihina.

17. Kenyataan Mufti Perak bahawa baju politik sewajarnya digantung di luar pagar masjid seharusnya direnungi bagi membina kefahaman bahawa orang-orang Melayu tidak boleh terus rugi dek kerana perbezaan fahaman politik. Pertembungan PAS-UMNO, PAS-PAS dan UMNO-UMNO semuanya merugikan orang Melayu.

18. Masalah perpecahan politik orang Melayu hampir menyamai kemelut perpecahan umat Islam di Timur Tengah. Pak-pak Arab semuanya sedar mereka perlu bersatu untuk jadi kuat, tetapi syak wasangka dan dendam kesumat mengatasi kewarasan akal. Pemimpin yang berkuasa menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri dan kroni sambil membunuh penghormatan rakyat terhadap tokoh-tokoh yang difikirkan berkeupayaan untuk mengganggu rentak politik mereka. Akibatnya, mereka terus berpecah.



19. Seperkara lagi, berkaitan dengan institusi diRaja yang dikatakan menjadi nadi kepada survival politik orang-orang Melayu. Menyedari bahawa institusi Raja perlu dihormati oleh sekalian rakyat, orang-orang Melayu memerlukan ruang yang secukupnya untuk memberikan teguran-teguran yang sewajarnya agar institusi Raja dihormati dengan ikhlas tanpa paksaan. Sikap segelintir individu Raja yang kerapkali terlibat dalam urusan yang menjurus kepada conflict of interest perlu diperbetulkan dalam kerangka menjaga imej dan kedaulatan institusi Raja. Raja-raja Melayu perlu mengembalikan rasa hormat yang tulus ikhlas dikalangan rakyat berbilang kaum, khususnya dikalangan generasi muda.

RUMUSAN

20. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

21. It is better to light a candle than to curse the darkness.

qunang: sedang perasap keris.. :)

1 comment:

Anak Perelih said...

Perbahasan Agama - tambah usul mendesak kerajaan menarik semula lesen judi bola sepak...

perbahasan ekonomi... model ekonomi AlArqam boleh dipraktik...built satu rantaian.. pengeluar bahan mentah, pemproses bahan mentah, pengilang, pengedar dan penjual... org melayu jangan bertumpu jadi kontraktor pembangunan./pembinaan sahaja.. open market malaysia ni lagi banyak ... ni drama pun kalau koprat .. mesti kontraktor pembinaan... stereotype betul...

perbahasan politik... tamatkan penganaktirian penyokong parti lawan - PAS-PKR kerana mereka pun bayar cukai jugak.. dan macam mana nak tarik orang melayu bersatu kalau penyokong PAS dan PKR dianaktirikan... didiskriminasikan