Monday, May 10, 2010

PESTA HARI JADI TUAN SAUDAGAR


Alkisah, seorang sahabat pulang dari Kuala Lumpur untuk menghadiri sebuah parti hari jadi di sebuah hotel paling terkemuka di Kangar. Sahabat ini menerima jemputan dari birthday man itu sendiri yang merupakan seorang saudagar kaya-raya yang membolehkannya membelanjakan jutaan ringgit untuk sambutan hari jadi diri sendiri.

Maka tidak hairanlah, perjalanan sahabat ini ke Kangar disambut dengan deretan lampu-lampu indah yang bergemerlapan dengan sebahagiannya melilit dan menjurai dari pohon-pohon sena di pinggiran jalan. Terdengar dentuman bunga api di kesayupan yang memercik cahaya berwarna-warni dengan tiada hentinya. Perjalanan ini juga diselang-seli dengan kain rentang ucapan selamat hari jadi dengan doa semoga Allah s.w.t memanjangkan usia saudagar itu. Terdetik dihatinya, “ajal dan maut di tangan tuhan”.





Ketika meneruskan perjalanan, tergambar di kotak fikiran sahabat ini betapa meriahnya sambutan hari jadi itu yang tentu sekali akan dihiasi pula dengan pesta tari menari ala poco-poco yang disertai oleh ponggong-ponggong bulat guna menjadi santapan berahi saudagar kaya sahabatnya itu. Untuk berdiri sama tinggi dengan sang saudagar, sahabat ini singgah di 7 Eleven yang berhampiran dengan hotel terkemuka itu untuk membeli sekotak curut murah perisa strawberi.

Sebaik turun dari keretanya, sahabat ini dikerumuni oleh anak-anak kecil berhingus yang tidak berlampin dengan najis yang membusuk berkeping-keping di lelehan paha. Anak-anak ini menjerit kepadanya, “Susu!”, “Roti!” dan “Slurpee!”. Lantas dia insaf dan mematikan hajatnya untuk mencurut di parti itu nanti. Memadai dengan segenggam rokok daun dan tembakau jawa yang menjadi bekalan perjalanan dari Kuala Lumpur.

Setibanya di hotel besar yang tersergam itu, sahabat ini sudah 5 minit terlewat. Sahabat ini berjalan dengan tergesa-gesa sambil menyusun langkah dengan berhati-hati di celah-celah kerdipan lampu hiasan berwarna-warni yang ditabur diatas lantai. Indah dan cantik sekali tema parti hari jadi ini.

Sebaik sahaja ditunjukkan tempat duduknya, sahabat ini terpegun melihat hasil kreatif bertemakan warna merah yang begitu cantik di meja makannya berupa alas meja yang diperbuat dari kepingan wang 10 ringgit. Bunga-bunga hiasan pula dihias dengan kombinasi warna hijau, biru dan ungu dari duit 5, 50 dan 100 ringgit. Pinggan dan sudu pula adalah hasil kerja seni yang maha halus diperbuat daripada sususan syiling-syiling matawang pelbagai negara.

Dalam terpesona itu, sahabat ini tercengang kerana baru dia tersedar bahawa hanya dia seorang sahaja yang hadir dari seribu kerusi banquet yang tersedia.

Seminit kemudian, ternampaklah kelibat sahabatnya sang saudagar kaya yang menjadi birthday man pada hari itu berjalan menuju ke meja kek hari jadi. Sahabat ini pun terus menyanyikan lagu,
“happy birthday to you,
happy birthday to you,
happy birthday to you Saudagar,
happy birthday to you”.
Selepas kek dipotong, sahabat ini dan saudagar kaya itupun bertepuk tangan. Mereka berdua pura-pura tersenyum gembira sambil menjamah kek.


Saudagar kaya memulakan bicara seiras jin Aladdin keluar dari teko, “wahai sahabatku, kerna engkau seorang sahaja yang hadir pada malam ini, apa yang kamu mahu minta daripadaku di hari jadiku ini akan aku tunaikan?”. Sahabat ini menjawab, “hanya satu pintaku wahai saudagar kaya, aku memohon engkau belikan susu, roti dan Slurpee untuk anak-anak hingusan yang tidak berlampin di tepi 7 Eleven. Jika engkau punya kemampuan lagi, belikanlah ubat hingus untuk mereka bersama sebungkus lampin agar mereka merasa secebis keselesaan hidup”.

Saudagar terdiam lalu bangun dan berjalan turun menuju ke keretanya ketika lampu-lampu perhiasan sedang dirungkai menandakan tamatnya majlis hari jadi itu. Wang-wang kertas 10 ringgit yang dilekat sebagai alas meja dicarik-carik bagi membolehkan meja dilipat untuk disimpan semula.

Sehingga kini, sahabat ini tidak tahu sama ada permintaannya akan ditunaikan oleh saudagar kaya itu.

Terkenang dia tentang PEMBAZIRAN, KERIAKAN dan PENINDASAN oleh golongan kaya dan bangsawan yang dilihat sepanjang perjalanannya ke majlis hari jadi yang berakhir sebaik sahaja kek dipotong pada hari itu.

Banyak wang yang terbazir. Keriakan adalah kehinaan dan penindasan lambang kezaliman!

qunang: aku ternampak ada manusia menyembah manusia selepas mereka menyembah Allah s.w.t?

1 comment:

Anak Perelih said...

jaga jaga... nanti PERKASA dgn BPN-Blogger Pembela Negara kata hang derhaka lak... depa buat demo bantah hang kut nanti....