Monday, May 10, 2010

SKANDAL PUTRA PALACE: LAMBANG KEBOBROKAN PENGUASA


PENSWASTAAN YANG MENGELIRUKAN

1. Tanggal 1 Januari 2010, pengurusan Hotel Putra Palace di Kangar telah diswastakan selepas sekian lama diuruskan oleh Putra Palace Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

2. Penswastaan yang dilakukan secara runding terus tersebut dilakukan secara tertutup oleh 5 orang daripada Ahli Lembaga Pengarah PKENPs tanpa diketahui oleh pegawai-pegawai kanan PKENPs sendiri. Lima orang tersebut dipengerusikan oleh Datuk Seri Md Isa Sabu (Menteri Besar) dengan dibantu oleh Datuk Seri DiRaja Syed Razlan (Exco Pelaburan) serta beberapa yang lain.

3. Tindakan tergesa-gesa itu membolehkan Prima Bumi Avenue Sdn. Bhd. mengambil alih pengurusan hotel tersebut tanpa bayaran deposit yang sewajarnya; sebaliknya hanya bersandarkan perjanjian penyewaan berjumlah RM40,000 sebulan untuk dibayar kepada PKENPs. Ketika urusan pengambilalihan ini berjalan, Prima Bumi Avenue dikhabarkan bukan hanya belum mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan hospitality malah hadir bersama kedudukan kewangan dan reputasi yang amat genting.

4. Kakitangan pengurusan Hotel Putra Palace langsung tidak dimaklumkan sehinggalah Prima Bumi Avenue masuk sebagai tuan baru ke hotel tersebut. Pihak PKENPs ketika itu berjanji bahawa segalanya akan kekal seperti biasa dengan jaminan tidak ada risiko pemberhentian kerja dikalangan kakitangan hotel.

5. Namun begitu, pada awal bulan April 2010, notis satu jam diberikan kepada lebih kurang 25% dari keseluruhan kakitangan hotel tersebut untuk hadir ke suatu perjumpaan yang akhirnya memaklumkan kepada mereka bahawa mereka diberhentikan kerja berkuatkuasa serta merta. Ini bermakna mereka tidak lagi perlu hadir keesokan harinya.

6. Janji diberikan bahawa mereka akan dibayar gaji penuh untuk bulan April dan pampasan pemberhentian kerja akan dibayar pada 7 Mei 2010.

7. Paling menyedihkan, tidak ada ucapan “terima kasih” dari PKENPs sebagai menghargai kudrat para pekerja yang telah sekian lama menabur bakti menjaga imej Putra Palace dan negeri Perlis. Jelaslah terpampang bahawa pengamal sistem kapitalisme yang bertuhankan kekayaan duniawi telah menutup pintu hati perut manusia untuk memiliki perasaan belas kasihan terhadap keluarga dan anak-anak pekerja yang dibuang secara sembrono setelah kudrat dan sumbangan mereka mengangkat reputasi Hotel Putra Palace langsung tidak dihargai.

8. Bagi pekerja-pekerja yang berkhidmat lebih 5 tahun, Akta Pekerja 1955 menggariskan notis pemberhentian kerja selama 8 minggu dengan bayaran pampasan perlu dijelaskan dalam tempoh tidak lebih 7 hari bekerja.



KECELARUAN YANG TERCELA

9. Punca kecelaruan yang timbul adalah berakar dari persoalan kenapa pelan penswastaan ini tidak dilakukan melalui sistem tender terbuka? Dan kenapa segala-galanya perlu dilakukan dengan tergesa-gesa?

10. Bukan pegawai-pegawai dan kakitangan PKENPs yang patut dicurigai dalam komplot penindasan dan penipuan yang didalangi PKENPs dan Prima Bumi, tetapi pembesar-pembesar yang berkuasa di dalamnya.

11. Setelah segala kemudahan dan jalan pintas dianugerahkan kepada Prima Bumi Avenue yang berpusat di Kuala Lumpur, mereka membuang pula orang-orang tempatan yang sedang cari makan di situ dalam keadaan mereka tidak mampu untuk membayar pampasan. Maka, terdapat tangan-tangan sakti yang dilaporkan berkuasa veto dan kebal dari gari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat arahan supaya pihak PKENPs mengeluarkan dana menjangkau RM500,000 untuk tujuan bayaran pampasan kepada kakitangan yang dibuang.

12. Pengambilalihan Hotel Putra Palace secara hanky-panky oleh Prima Bumi Avenue tidak berdasarkan kepada konsep bail-out (beli semua) yang memungkinkan bebanan kos yang besar terpaksa ditanggung oleh syarikat tersebut untuk membayar harga tanah, bangunan, kelengkapan dan sistem yang sedia ada di hotel itu.

SIAPA PRIMA BUMI AVENUE?

13. Prima Bumi Avenue merupakan sebuah syarikat yang didokong oleh sekumpulan individu yang telah gagal menguruskan Pedu Lake Resort sehingga ditutup, disamping menguruskan resort ‘hidup segan, mati tak mahu’ di Kampung Tok Senik, Pulau Langkawi.

14. Pengambilalihan pengurusan Hotel Putra Palace berkemungkinan besar bakal membuka pintu kepada saudagar-saudagar Cina untuk terlibat secara aktif dalam monopoli industry perhotelan di Perlis melalui Pengarah Pemasarannya, Ken Kok, dan Pengarah Komunikasi, Christopher Tan. Perhatian serius tentang pengagihan kontrak pembekalan bahan mentah seharusnya diteliti dari segenap sudut termasuk pembekalan ais kiub, sayur, ayam dan bahan-bahan mentah lainnya.

15. Laman web Prima Bumi Avenue pula ada menggariskan 5 prinsip-prinsip asas syarikat yang kesemuanya tidak mereka hayati.



16. Adalah suatu fakta yang signifikan bagi mengenali latar belakang kehadiran syarikat ini di Perlis bahawa syarikat induk kepada Prima Bumi Avenue Sdn Bhd iaitu Prima Bumi Group telah mengeluarkan sebuah buku “membodek” Tuanku Raja Perlis setebal 282 halaman bertajuk “The King, The Man” pada hujung tahun 2006 dimana pelancarannya dibuat di Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

17. Jika disoroti laman web Prima Bumi, jelaslah bahawa syarikat ini merupakan lambang kejayaan pembodek dimana Pengarah Urusannya, Tan Sri Dato’ Hj M Ariffin Yusuf, begitu bangga mendabik dada bahawa “…he (Tan Sri Ariffin) was neither a doctor nor a pharmacist. Yet, he was able to assure the then Director of the Kuala Lumpur Hospital that the product he was detailing was superior to the existing product being used at the hospital. When the result of the tender was out, PRIMABUMI had managed to secure the contract.”

18. Benarlah kata orang, kejayaan dalam bidang perniagaan bukanlah terletak pada apa yang kita ketahui, tetapi siapa yang kita kenali.

qunang: sedang menutup pancaindera...

2 comments:

The Full Moon Revolution said...

Salam Bro,

Realiti politik di Malaysia sekarang masing-masing mengejar 2 benda:
1.Money
2.Power
a)Ada duit tapi tak ada kuasa >> no meaning
b)Ada kuasa tapi tak ada duit >> no meaning..

Untuk memastikan semuanya berjalan lancar dan sempurna, kita mesti ada kedua-dua WANG & KUASA.

Bagaimana untuk memperolehi KUASA? Jalan yang mudah melalui politik. Bagaimana nak memperolehi WANG? Bila kita menjadi ahli politik rezeki akan menjadi murah, wang akan datang dengan sendirinya...

Sebab itu kita lihat trend sekarang Businessman berlumba-lumba untuk menjadi ahli politik....

Manakala Ahli Politik pula berlumba-lumba untuk jadi businessman....

Bila dua golongan ini saling berlumba, maka akan wujudlah pelbagai conflicts dan banyak kesan negatif yang terpaksa ditanggung oleh rakyat....

Akhir sekali? pi mai-pi mai dok tang tu jugak!!

Wallahu A'lam

Sheefa' said...

Ada maksud yang tersirat dan yang tersurat disebalik pengambilalihan ini.

Jadi,buat masa sekarang - ada mata tengok, ada mulut diam, ada telinga dengar. Walaupun mulut kita telah ditutup tetapi dalam PR13 nanti kuasa memilih adalah di tangan kita semua - "kita" yang akan menentukan nasib bangsa melayu.

Sudahkah anda daftar untuk mengundi??