Wednesday, May 12, 2010

UMNO: ESOK, LUSA DAN SELAMANYA


TRANSFORMASI & DOMINASI

1. Ketika artikel ini ditulis, UMNO pada hari lahirnya ke-64 secara umumnya menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada hakisan keyakinan masyarakat Melayu pada awal tahun 2008. Gelombang transformasi UMNO memperlihatkan perencanaan demi perencanaan yang disertakan dengan gerakan strategik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh kurang setahun mengambil-alih sebuah kepimpinan negara yang dicaca-marbakan oleh Pak Lah dan Setiausaha Agung, Radzi Sheikh Ahmad.

2. Kunci utama kepada berputiknya kejayaan dalam transformasi UMNO terletak kepada pendekatan down-to-earth Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta sebahagian kecil Menteri Kabinet dan Menteri Besar. Ternyata UMNO era Najib tidak mahu mengulangi konsep pentadbiran autokrasi syok-sendiri era Pak Lah yang tidak mendahulukan rakyat sebaliknya mengutamakan kumpulan kecil penasihat-penasihat yang memunahkan. Hasil awal yang dapat dinilai ialah keyakinan Perdana Menteri yang sentiasa bersedia mendepani permasalahan rakyat dalam apa jua isu yang berbangkit. Setakat hari ini, Datuk Seri Najib tidak pernah lari dari isu sebaliknya setiap masalah disusulkan dengan penyelesaian.

3. Faktor kedua ialah kekerapan perjumpaan tertutup di Janda Baik dengan pemimpin-pemimpin kanan UMNO bagi tujuan menyeragamkan seni tarian barisan pimpinan UMNO di segenap peringkat. Apabila big boss Najib dan Muhyiddin sendiri bermalam di Janda Baik, pemimpin-pemimpin kanan lain kehilangan alasan untuk tidak turut serta dalam brainstorming untuk memperkukuhkan UMNO sebagai organisasi induk yang memimpin negara Malaysia. Secara tersirat, pendekatan menjemput pemimpin peringkat nasional bermusyawwarah secara kerap dan konsisten menjadi medan penting untuk menilai markah KPI yang setimpal untuk mereka.

4. Faktor ketiga yang menggerakkan transformasi UMNO ialah perubahan corak permainan politik secara berkala daripada terlalu bertahan kepada pendekatan counter-attack. UMNO era Najib telah beberapa kali melaksanakan “strategi kalih meja” (turn the tables strategy) yang menggoyahkan pihak lawan ketika mereka asyik menyerang. Dalam masa yang singkat, imej UMNO yang tenggelam punca di era Pak Lah kembali digarap dengan semangat baru yang menggetarkan hati musuhnya; menyerang mati, menyerah pun mati. Hasil counter-attack UMNO memperlihatkan begitu ramai pengundi-pengundi non-partisan yang menyuarakan kekecewaan dengan cakap tidak serupa bikin pentadbiran pembangkang. Kumpulan non-partisan ini akan sekurang-kurangnya tidak memberikan undi kepada pembangkang, kalaupun masih kekurangan sebab untuk kembali memberi undi kepada Barisan Nasional.

5. Faktor keempat ialah konsistensi dalam menegakkan pendirian tanpa meminggirkan liuk-lentuk perabadan Melayu. Langkah Datuk Seri Najib mendekatkan kembali peranan negarawan ulung, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam arus politik negara memberi anjakan positif dikalangan rakyat terbanyak. Peminggiran Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dari membarisi kabinet sebagai memenuhi saranan Dr. Mahathir mendapat reaksi pro dan kontra dari pelbagai pihak. Mesej jelas yang ingin disampaikan Najib ialah Dr. Mahathir lebih penting daripada Khairy dalam usaha memulihkan UMNO.

6. Dari pengamatan saya, keempat-empat pendekatan ini (down-to-earth, selalu bermusyawwarah, strategi counter-attack dan tidak flip-flop) sewajarnya diselaraskan di peringkat Bahagian dan Cawangan bagi merencana transformasi yang mapan dan mendasar terhadap UMNO di peringkat akar-umbi. Sebahagian besar pemimpin yang berjawatan Menteri sewajarnya mengubah gerak kerja agar lebih berpijak di bumi nyata dengan tidak meminggir dan menzalimi rakyat, sebaliknya mendahulukan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat secara keseluruhannya.

UMNO HARI INI - CABARAN DALAMAN DAN HALANGAN LUARAN

7. Kedudukan UMNO yang kembali mendapat sokongan orang-orang Melayu pada hari ini membawa kepada hilangnya keyakinan beberapa pemimpin pembangkang terhadap parti mereka. Disaat UMNO kembali kuat, parti ini sedang menerima “durian runtuh” berupa sokongan gergasi-gergasi dan ayam tambatan PKR yang memilih untuk menyertai UMNO atau sekurang-kurangnya pro-UMNO.

8. Walaubagaimanapun, UMNO seharusnya beringat bahawa “durian runtuh” sememangnya adalah rezeki, tetapi “durian timpa kepala” alamatnya mati. Penerimaan, kemaafan dan pengiktirafan yang diberikan kepada bekas-bekas gergasi seperti Senator Ezam Md. Noor seharusnya direnungi dengan cermat dan jujur. Bahawa pengiktirafan yang sebegini cepat telah membenarkan pujangga Dr. Mahathir, “Melayu Mudah Lupa”.

9. Setelah bertahun-tahun gergasi-gergasi ini mencerca dan memaki-hamun UMNO, kehadiran mereka seolah-olah diterima tanpa prejudis; seolah-olah kita lupa betapa liciknya akal Paul Wolfowitz dan sahabat-sahabatnya. Dalam soal ini, UMNO perlu belajar dari pengalaman menerima orang-orang kuat Semangat 46 yang akhirnya mengocak dominasi kukuh UMNO sebagaimana yang dilakukan oleh Radzi Sheikh Ahmad, Tengku Razaleigh Hamzah serta beberapa yang lain.

10. Dari perspektif luaran, UMNO berhadapan dengan ancaman hilangnya kepercayaan masyarakat bukan Melayu yang cenderung kepada DAP. Harus diingat, peristiwa 13 Mei 1969 berkait rapat dengan sentimen perkauman yang ditiup oleh DAP. Berbezanya tahun 1969 dengan keadaan pada hari ini adalah dengan terlihatnya beberapa kerat orang-orang Melayu mangkuk hayun yang turut mengikut rentak tari DAP.

11. Hatta, PAS yang sekian lama menentang persekongkolan dengan parti kafir pun sudah berputus asa seolah-olah perjuangan Islam ala-PAS selama ini menemui jalan mati. Hari ini, apabila PAS sendiri sudah menjadi “UMNO”, tidak lagi kedengaran tohmahan UMNO anti-hudud, UMNO sekular, UMNO kafir dan seumpamanya. Saya kurang arif apa hukumnya kalau dulu Islam sekarang sudah jadi kafir?

12. Sengat chauvinisme DAP semakin membarah apabila masyarakat non-partisan dikalangan bukan Melayu melihat wujudnya orang-orang Melayu yang menyokong dasar-dasar DAP; hinggakan tafsiran kononnya “Melayu” tidak pernah wujud di muka bumi pun disokong oleh beberapa kerat Melayu yang bodoh sombong dan cerdik jahat.

MASA DEPAN POLITIK ORANG MELAYU

13. Parti-parti politik orang Melayu seharusnya menapis pemimpin jenis ini kerana hakikat kelemahan sistem demokrasi membolehkan seorang pemimpin yang bijaksana akhirnya diturunkan oleh sekumpulan manusia bodoh sombong yang pentingkan diri sendiri. Legasi ketamadunan bangsa Melayu akhirnya akan terhakis jika kuasa terus dibiarkan kepada orang-orang lupa daratan seperi itu. Ketika pemimpin bangsa lain sibuk memperkukuhkan cengkaman pengaruh dan tembok pertahanan bangsa mereka, sebahagian besar pemimpin-pemimpin Melayu yang diberi kuasa terus leka dan senyap sunyi dari bertindakbalas.

14. Kepada semua pemimpin-pemimpin Melayu di dalam semua parti, terimalah serangkap pantun dari saya:

Terdengar kokok ayam bersabung,
Jangan sampai tergadai kampung,
Saf yang retak pohon disambung,
Agar musuh tidak berkunjung.

15. Bahawa tidak ada salahnya untuk kita bermuhasabah mengenangkan Warisan kita tanpa prejudis yang melulu. Sedarlah bahawa bukan semua kebakaran memerlukan Bomba.


WARISAN

[video: http://www.youtube.com/watch?v=WErVkXCwBTg]

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri.

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati, bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,
Bangunlah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan gagah di nusantara.

qunang: terbakar hati...

1 comment:

The Full Moon Revolution said...

Salam Bro,

Baguslah Umno secara perlahan-lahan makin tersedar dari lamunan & tidur yang sangat panjang, dibuai mimpi2 palsu yang indah..."Rakyat Mesti Diutamakan"...