Monday, June 7, 2010

USUL PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN BANDAR ARAU 2010


USUL PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN BANDAR ARAU
YANG BERMESYUARAT PADA 4 JUN 2010 JAM 9.45 MALAM



Usul Ekonomi

1. Menginsafi pencapaian bangsa Melayu yang jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding etnik-etnik lain di Malaysia,

2. Menyedari hakikat bahawa bidang perniagaan dimonopoli oleh kaum Cina secara tradisi dengan ditambah kebangkitan mendadak kaum India dalam dominasi ekonomi negara, khususnya di Bandar Arau,

3. dan, menyedari akan tiadanya kesungguhan dan fokus bersepadu untuk membangunkan ekonomi Melayu oleh pihak kepimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang memegang tampuk kuasa politik sejak kemerdekaan negara,

Maka, Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Bandar Arau mengusulkan:

1. Penglibatan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional dan UMNO amat-amat diperlukan bagi mengangkat martabat dan menjunjung imej orang-orang Melayu, khususnya di Bandar Arau ini, demi melonjakkan gambaran perjuangan UMNO sebagai institusi yang membela orang-orang Melayu.

Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Bandar Arau mendesak kerajaan negeri agar menggunakan sepenuhnya dana bernilai jutaan ringgit daripada kerajaan pusat kepada agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi di negeri Perlis, untuk membeli rumah-rumah kedai yang strategik di tengah-tengah bandar Arau untuk disewakan kembali kepada peniaga-peniaga bumiputera tempatan sebelum harganya melambung lebih tinggi.

2. Pembangunan kompleks perniagaan dan deretan rumah kedai baru di Bandar Arau yang mengguunakan nama Kompleks Tok Arau yang dimiliki sepenuhnya oleh saudagar Cina bernama Chin Hin diubah nama kepada Kompleks Chin Hin sebagai menghormati bekas Perdana Menteri Perlis, Allahyarham Dato’ Paduka Belat DiRaja Mohd Arshad bin Mohd Yunus atau juga dikenali sebagai Tok Arau.

Pemuda UMNO cawangan Bandar Arau merasakan entiti perniagaantersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh saudagar Cina menggambarkan kerakusan kapitalis separa komunis sekaligus tidak melayakkannya untuk menggunakan nama Tok Arau.

3. Rancangan pembangunan holistik terhadap pembangunan ekonomi Melayu perlu direncanakan dengan menggunakan kuasa politik yang dimiliki secara bijaksana.

Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Bandar Arau menggesa kerajaan negeri Perlis yang dipimpin oleh UMNO/BN agar mewujudkan program Inisiatif Pembangunan Ekonomi Bumiputera dengan memperuntukkan lima projek kelas F kepada seorang kontraktor terpilih di setiap DUN dengan mengenalpasti minat mereka untuk membuka perniagaan komersil (kecuali kedai makan) yang tidak bergantung kepada projek-projek kerajaan semata-mata. Perancangan ini akan membantu melupuskan anggapan bahawa orang Melayu tidak boleh terlibat dengan perniagaan komersil kerana kesuntukan modal.

Projek Kelas F yang memberi pulangan lumayan kepada kontraktor-kontraktor sewajarnya dilihat sebagai insentif kepada bumiputera untuk menerokai bidang-bidang perniagaan yang selama ini dimonopoli oleh kaum Cina seperti pembekal bahan binaan, pengusaha kedai tayar, pengusaha bengkel kenderaan, tailor, pembekal alatan komputer dan elektrik, pemborong barangan runcit dan seumpamanya.

qunang: berjuang hingga kemarau dalam mulut..

No comments: