Monday, July 19, 2010

UMNO PERLIS: BERULANGNYA TRAGEDI JULIUS CAESAR


KONSPIRASI PEREBUTAN HARTA RAMPASAN PERANG

Sengketa dua "wira"?
Rakyat tunggu tengok siapa yang kena..

1. Dalam sejarah lama Rome sekitar 44 tahun sebelum Masehi, keagungan pemerintahan Julius Caesar yang meletakkannya sebagai pater patriae (bapa negara) yang disenangi masyarakat dipunahkan oleh tikaman sahabat karibnya, Marcus Junius Brutus.

2. Brutus merupakan ketua kepada The Sixty Conspirators bersama Gaius Cassius Longinus, Decimus Brutus Albinus dan Gaius Trebonius.

3. Konspirasi oleh sahabat karib ini telah membawa kepada pembunuhan Caesar secara berdepan ketika Caesar menghadiri persidangan Senat terakhir sebelum berangkat bersama bala tenteranya untuk membalas dendam terhadap Parthians yang telah merampas Aquila (semangat sang Helang) dan membunuh panglimanya, Crassus.

4. Kata-kata terakhir Caesar sebelum menghembus nafas terakhir, “Et tu, brute?” (engkau juga, anakku?), menggambarkan betapa Caesar sendiri tidak menyangka bahawa musuh terbesar dalam pentadbirannya ialah sahabat karibnya sendiri yang menjadi musuh dalam selimut dalam mengetuai pembesar-pembesar Senat lain yang mengkritiknya secara terbuka.

5. Bahawa konspirasi Brutus adalah beralaskan kepada ucapannya, “kami amat menyayangi Caesar; tetapi kami lebih menyayangi Rome”. Kerana kononnya “sayangkan Rome”, Caesar dicantas agar kuasa dapat dirampas dan harta dapat diagihkan sesama sendiri.

TUMBANGNYA KERAJAAN LANUN

6. Setelah kemenangan berpihak kepada pemimpin-pemimpin konspirator, matlamat mereka menjatuhkan Caesar dikira sudah tercapai.

7. Mereka sebenarnya tidak sepakat dan tidak pernah berbincang tentang pengagihan kuasa dan harta setelah kematian Caesar; malah mereka tidak pun mempunyai kunci peti besi Caesar yang dipenuhi dengan harta dan agenda.

8. Ketika barisan konspirator yang dikepalai Brutus hanya memiliki sekumpulan samseng bertubuh sasa dan berwajah ganas, ketua gereja (chief legate) bernama Marcus Antonius, kekasih kepada Cleopatra, memegang kunci peti besi Caesar serta dekri taat setia puluhan ribu bala tentera Rome. Brutus akhirnya dikalahkan dalam pertempuran Battle of Philippi.

9. Marcus Antonius kemudiannya melancarkan The Second Triumvirate yang memperlihatkan terkuburnya negara Republik Rakyat Rome (Senatus Populus Que Romanus) secara rasmi pada 26 November 43 S.M. melalui imperium maius (kuasa penguasa tertinggi) yang dipersetujui oleh waris Caesar, Octavianus (atau Augustus). Pemerintahan Rome selepas itu dirombak dengan menggunakan nama Empayar Senat Rome (Senatus Populusque Romanus).

10. Akhirnya, Augustus berselisih faham dengan Antonius hingga mencetuskan pertempuran Battle of Actium sekaligus menyaksikan Antonius terbunuh bersama Cleopatra di Alexandria.

11. Penguasaan Empayar Barat Rome akhirnya terkubur pada tahun 476 sementara Empayar Timur Rome pada 1453.

KOTA PASIR lawan OMBAK LAUT

12. Demikianlah kisah panjang yang disingkatkan betapa sebuah ketamadunan unggul akhirnya dipunahkan oleh perebutan dan rampasan kuasa serta ketamakan kebendaan.

13. Kota Pasir yang dibina di tebing kemarahan rakyat lambat laun akan musnah dihakis oleh pukulan ombak yang tiada hentinya. Nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa keikhlasan dengan meminggirkan kehendak rakyat terbanyak hanyalah bersifat sementara dan tidak kekal selamanya.

Sabotaj pada beg Persidangan UMNO Bahagian Kangar.
Dr. Puad Zarkashi bukan ahli "MASJID" tertinggi dan beliau belum dianugerahkan "DATUK".

14. Dalam politik Perlis, episod persengketaan yang mula berputik diantara orang kanan Tuan Punahsihat dan orang kanan Menteri Besar menggambarkan betapa “sokongan politik” dijadikan gula-gula untuk cari makan. Tak bagi aku makan, aku tak sokong. Hang kacau aku makan, aku gerengau.

15. Begitulah, apabila kekuatan dan kegerunan cuba dibina dengan masing-masing membela anak-anak harimau. Anak-anak harimau nampak manja dan comel; tetapi apabila berebut tulang dan kasih sayang, mulalah mereka bercakaran tanpa mempedulikan nama dan maruah tuan-tuan mereka yang terkurung di dalam gelanggang persidangan yang terkunci pagarnya.

16. Kepada tuan-tuan penguasa, ingin hamba mohon dengan permohonan yang jelas. Seandainya di hari esok tuan-tuan tersedar bahawa tuan-tuan sememangnya tidak mampu lagi memberi khidmat “sama” atau “lebih baik” dari penguasa-penguasa sebelum kehadiran tuan-tuan, hamba pohon tuan-tuan letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain.

17. Apabila “tidak sama” dan “tidak lebih”, maknanya makin “mundur”.

18. Kenapa perlu kerat Shahidan kalau tak boleh buat “sama” atau “lebih baik” daripada beliau? Adakah hanya untuk memberi sejuta alasan diatas kegagalan dan ketidakmampuan? Adakah ini namanya perjuangan?

19. Sedarlah wahai tuan-tuan penguasa, negeri Perlis sedang melangkah ke belakang.

qunang: sikap gila kuasa dan ketamakan kebendaan mereka akan dicela oleh orang² muda suatu hari nanti.

Saturday, July 17, 2010

PEMUDA PERLIS: PERSIDANGAN TAHUNAN 2010


MUHASABAH

1. Persidangan Pemuda UMNO di ketiga-tiga Bahagian di negeri Perlis telah disempurnakan sebelum pertengahan bulan Julai 2010, alhamdulillah. Pemuda Kangar bersidang pada 4 Julai, sementara Arau dan Padang Besar bersidang pada 11 Julai.

2. Seluruh perwakilan dan ahli-ahli jawatankuasa Pemuda yang hadir berada dalam keadaan bersedia untuk bermuhasabah; dimana pimpinan Cawangan dilihat begitu terbuka menyuarakan pandangan ketika pimpinan Bahagian mendengar dengan teliti.

3. Kesediaan bermuhasabah merupakan agenda yang paling penting ketika UMNO menghadapi saat-saat genting bagi memulihkan kekuatan di negeri Singa Utara yang memperlihatkan UMNO kalah dalam kemenangan.

4. Ahli-ahli dan penyokong UMNO sudah tentu tidak akan mendoakan kekalahan UMNO, tetapi situasi politik semasa menuntut agar UMNO membuat segala persediaan yang perlu sekiranya terpaksa menghadapi penggal kekalahan.

5. UMNO sedang mendepani suatu gelombang cabaran politik yang sangat hebat hasil daripada keseronokan generasi kedua dan ketiga yang asyik menyalahgunakan kuasa untuk merampas kerusi dan mengaut kekayaan.

PEMERHATIAN

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar

6. Ketika begitu banyak usul dibentang di ruang merokok selepas jamuan makan daripada pentas pidato Pemuda yang disambung dengan mikrofon, Pergerakan Pemuda tampak jelas kekurangan pemidato-pemidato berkaliber yang berupaya menandingi gerombolan ayam sabung Pakatan Rakyat yang begitu lantang bersuara di pentas rasmi parti mereka. Bahawa kelantangan ini telah menggetarkan hati-hati lama yang menerajui kepimpinan parti sekaligus membolehkan ruang pengiktirafan yang sewajarnya diberikan kepada generasi muda.

7. Pemerhatian dan laporan umum di setiap persidangan (Padang Besar, Arau dan Kangar) turut memperlihatkan ketandusan golongan professional dalam hierarki kepimpinan Pemuda UMNO baik di peringkat Cawangan mahupun Bahagian. Soal ini mungkin tidak penting ketika era kemenangan, tetapi seandainya UMNO tumbang setelah berhadapan barisan professional dalam Pakatan Rakyat, UMNO akan menghadapi masalah untuk berdiri semula. Penolakan golongan professional atau kegagalan mendekati kumpulan ini secara berterusan adalah merbahaya dan merugikan.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar

8. Desakan salah seorang perwakilan dalam Persidangan Pemuda Kangar agar gerakan siber diperhebatkan terutamanya melalui Facebook secara umumnya dilihat menarik dan menepati kehendak massa. Akan tetapi, apabila desakan tersebut sekadar menjurus kepada serangan terhadap puak-puak dalaman UMNO, ianya menjadi matlamat yang terencat kerana orang-orang muda zaman ini tidak lagi mampu menghangguk untuk mengatakan putih kepada perlakuan yang hitam. Harus diingat, pembangkang di Perlis sudah bersedia untuk menangguk di air yang dikeruhkan oleh Md Isa. Gerakan siber seharusnya direncanakan untuk mendepani musuh secara bersama dalam keadaan segala titik-titik hitam dalam tubuh UMNO dibasuh hingga tertanggal.

9. Analogi filem “Masam-masam Manis” di Persidangan Pemuda Padang Besar nampak menarik dimana kisah cinta Cikgu Saari dengan Norkiah tidak lagi diangkat sebagai kemanisan bercinta kerana persepsi perempuan kabaret sudah cukup untuk mengundang sejuta persoalan. Betapa Cikgu Saari perlu mencari calon yang lebih mulia daripada perempuan kabaret untuk dijadikan teman hidupnya.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau

PENGIKTIRAFAN PEMUDA?

10. Oleh kerana Perlis merupakan negeri kecil, jawatan Ketua Pemuda Negeri digilirkan secara tradisi diantara Ketua Pemuda Padang Besar, Kangar dan Arau selepas setiap kali pemilihan UMNO. Disitulah simbol keutuhan kerjasama dan persaudaraan dalam Pemuda UMNO Negeri Perlis.

11. Sebelum bermula Persidangan Bahagian-bahagian, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis telah dilantik ke jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perlis berkuatkuasa 1 Julai 2010. Tahniah diucapkan...

12. Dalam coretan Seruan Perdamaian pada penghujung bulan April, saya menulis tentang tiadanya pengiktirafan terhadap Pemuda Perlis dalam menyediakan pelapis kepimpinan yang berkualiti untuk memimpin negeri pada masa hadapan. Alhamdulillah, mesej ini nampaknya sampai ke meja Menteri Besar.

13. Sejarah menceritakan, ketika era Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis, Ketua Pemuda Negeri diberi jawatan Setiausaha Politik. Datuk Ismail Kasim (Arau), Datuk Zahidi Zainol Abidin (Padang Besar), Jamil Saad (Kangar) dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (Arau) semuanya adalah bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri.

14. Ketika menghadapi kebangkitan orang-orang muda serta risiko penolakan kumpulan ini terhadap UMNO, Shahidan telah memberikan buah tangan berharga kepada orang-orang muda melalui perlantikan Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Sulit.

15. Perlantikan tersebut telah menghamparkan permaidani merah kepada orang-orang muda untuk mendekati UMNO melalui suatu pendekatan dan pengorbanan politik yang unggul.

16. Akan tetapi, orang-orang muda di zaman Md Isa tidak berpuashati kerana wakil mereka diturunkan pangkat setelah lebih dua tahun tidak dipedulikan langsung. Selepas bertahun menanti, hanya jawatan Pegawai Khas diberikan kepada Ketua Pemuda UMNO Negeri; menggambarkan kedudukan sebenar Pemuda di lubuk hati Md Isa. Apatah lagi, Ketua Pemuda Negeri hanya diberi tempat setelah lama beliau dibiarkan terkontang-kanteng tanpa layanan yang sewajarnya oleh pentadbiran Md Isa.

17. Masih segar dalam ingatan akan keluhan saudara Mohsin yang hanya diberikan wang saku RM500 oleh Md Isa untuk menggerakkan jentera Pemuda ketika Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Khabarnya, wang tersebut diserahkan kembali kerana takut Menteri Besar tak cukup tambang nak balik Perlis.

18. Ringkasnya, saudara Mohsin Yusoff, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis, sedang menggalas tanggungjawab dan harapan yang terlalu besar yang tidak mungkin dapat disempurnakan dengan sekadar menjadi Pegawai Khas.