Saturday, July 17, 2010

PEMUDA PERLIS: PERSIDANGAN TAHUNAN 2010


MUHASABAH

1. Persidangan Pemuda UMNO di ketiga-tiga Bahagian di negeri Perlis telah disempurnakan sebelum pertengahan bulan Julai 2010, alhamdulillah. Pemuda Kangar bersidang pada 4 Julai, sementara Arau dan Padang Besar bersidang pada 11 Julai.

2. Seluruh perwakilan dan ahli-ahli jawatankuasa Pemuda yang hadir berada dalam keadaan bersedia untuk bermuhasabah; dimana pimpinan Cawangan dilihat begitu terbuka menyuarakan pandangan ketika pimpinan Bahagian mendengar dengan teliti.

3. Kesediaan bermuhasabah merupakan agenda yang paling penting ketika UMNO menghadapi saat-saat genting bagi memulihkan kekuatan di negeri Singa Utara yang memperlihatkan UMNO kalah dalam kemenangan.

4. Ahli-ahli dan penyokong UMNO sudah tentu tidak akan mendoakan kekalahan UMNO, tetapi situasi politik semasa menuntut agar UMNO membuat segala persediaan yang perlu sekiranya terpaksa menghadapi penggal kekalahan.

5. UMNO sedang mendepani suatu gelombang cabaran politik yang sangat hebat hasil daripada keseronokan generasi kedua dan ketiga yang asyik menyalahgunakan kuasa untuk merampas kerusi dan mengaut kekayaan.

PEMERHATIAN

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kangar

6. Ketika begitu banyak usul dibentang di ruang merokok selepas jamuan makan daripada pentas pidato Pemuda yang disambung dengan mikrofon, Pergerakan Pemuda tampak jelas kekurangan pemidato-pemidato berkaliber yang berupaya menandingi gerombolan ayam sabung Pakatan Rakyat yang begitu lantang bersuara di pentas rasmi parti mereka. Bahawa kelantangan ini telah menggetarkan hati-hati lama yang menerajui kepimpinan parti sekaligus membolehkan ruang pengiktirafan yang sewajarnya diberikan kepada generasi muda.

7. Pemerhatian dan laporan umum di setiap persidangan (Padang Besar, Arau dan Kangar) turut memperlihatkan ketandusan golongan professional dalam hierarki kepimpinan Pemuda UMNO baik di peringkat Cawangan mahupun Bahagian. Soal ini mungkin tidak penting ketika era kemenangan, tetapi seandainya UMNO tumbang setelah berhadapan barisan professional dalam Pakatan Rakyat, UMNO akan menghadapi masalah untuk berdiri semula. Penolakan golongan professional atau kegagalan mendekati kumpulan ini secara berterusan adalah merbahaya dan merugikan.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar

8. Desakan salah seorang perwakilan dalam Persidangan Pemuda Kangar agar gerakan siber diperhebatkan terutamanya melalui Facebook secara umumnya dilihat menarik dan menepati kehendak massa. Akan tetapi, apabila desakan tersebut sekadar menjurus kepada serangan terhadap puak-puak dalaman UMNO, ianya menjadi matlamat yang terencat kerana orang-orang muda zaman ini tidak lagi mampu menghangguk untuk mengatakan putih kepada perlakuan yang hitam. Harus diingat, pembangkang di Perlis sudah bersedia untuk menangguk di air yang dikeruhkan oleh Md Isa. Gerakan siber seharusnya direncanakan untuk mendepani musuh secara bersama dalam keadaan segala titik-titik hitam dalam tubuh UMNO dibasuh hingga tertanggal.

9. Analogi filem “Masam-masam Manis” di Persidangan Pemuda Padang Besar nampak menarik dimana kisah cinta Cikgu Saari dengan Norkiah tidak lagi diangkat sebagai kemanisan bercinta kerana persepsi perempuan kabaret sudah cukup untuk mengundang sejuta persoalan. Betapa Cikgu Saari perlu mencari calon yang lebih mulia daripada perempuan kabaret untuk dijadikan teman hidupnya.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau

PENGIKTIRAFAN PEMUDA?

10. Oleh kerana Perlis merupakan negeri kecil, jawatan Ketua Pemuda Negeri digilirkan secara tradisi diantara Ketua Pemuda Padang Besar, Kangar dan Arau selepas setiap kali pemilihan UMNO. Disitulah simbol keutuhan kerjasama dan persaudaraan dalam Pemuda UMNO Negeri Perlis.

11. Sebelum bermula Persidangan Bahagian-bahagian, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis telah dilantik ke jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perlis berkuatkuasa 1 Julai 2010. Tahniah diucapkan...

12. Dalam coretan Seruan Perdamaian pada penghujung bulan April, saya menulis tentang tiadanya pengiktirafan terhadap Pemuda Perlis dalam menyediakan pelapis kepimpinan yang berkualiti untuk memimpin negeri pada masa hadapan. Alhamdulillah, mesej ini nampaknya sampai ke meja Menteri Besar.

13. Sejarah menceritakan, ketika era Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis, Ketua Pemuda Negeri diberi jawatan Setiausaha Politik. Datuk Ismail Kasim (Arau), Datuk Zahidi Zainol Abidin (Padang Besar), Jamil Saad (Kangar) dan Datuk Rozabil Abdul Rahman (Arau) semuanya adalah bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri.

14. Ketika menghadapi kebangkitan orang-orang muda serta risiko penolakan kumpulan ini terhadap UMNO, Shahidan telah memberikan buah tangan berharga kepada orang-orang muda melalui perlantikan Setiausaha Politik, Setiausaha Akhbar, Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Sulit.

15. Perlantikan tersebut telah menghamparkan permaidani merah kepada orang-orang muda untuk mendekati UMNO melalui suatu pendekatan dan pengorbanan politik yang unggul.

16. Akan tetapi, orang-orang muda di zaman Md Isa tidak berpuashati kerana wakil mereka diturunkan pangkat setelah lebih dua tahun tidak dipedulikan langsung. Selepas bertahun menanti, hanya jawatan Pegawai Khas diberikan kepada Ketua Pemuda UMNO Negeri; menggambarkan kedudukan sebenar Pemuda di lubuk hati Md Isa. Apatah lagi, Ketua Pemuda Negeri hanya diberi tempat setelah lama beliau dibiarkan terkontang-kanteng tanpa layanan yang sewajarnya oleh pentadbiran Md Isa.

17. Masih segar dalam ingatan akan keluhan saudara Mohsin yang hanya diberikan wang saku RM500 oleh Md Isa untuk menggerakkan jentera Pemuda ketika Pilihanraya Kecil Hulu Selangor. Khabarnya, wang tersebut diserahkan kembali kerana takut Menteri Besar tak cukup tambang nak balik Perlis.

18. Ringkasnya, saudara Mohsin Yusoff, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis, sedang menggalas tanggungjawab dan harapan yang terlalu besar yang tidak mungkin dapat disempurnakan dengan sekadar menjadi Pegawai Khas.

2 comments:

The Full Moon Revolution said...

Salam Bro,
Saya amat bersetuju dengan pandangan saudara:

"5. UMNO sedang mendepani suatu gelombang cabaran politik yang sangat hebat hasil daripada keseronokan generasi kedua dan ketiga yang asyik menyalahgunakan kuasa untuk merampas kerusi dan mengaut kekayaan." Pemimpin UMNO saya lihat selepas era Tun Razak masing-masing mengejar EMPAT perkara:

1.POWER
2.MONEY
3.STATUS
4.GLAMOUR

Saya juga ucapkan syabas kerana saudara berani mengungkapkan DUA perkara pokok yang semakin membawa kejatuhan kepada UMNO iaitu menyalahguna kuasa & mengaut kekayaan.

Kalau UMNO boleh meninggalkan DUA perkara ini dan juga EMPAT perkara yg telah saya nyatakan di atas(saya rasa amat sukar) nescaya UMNO akan bangkit semula dan akan digeruni oleh Pakatan Rakyat.

Saya juga bersetuju bahawa UMNO kekurangan pemidato kerana UMNO terlalu berharap pada media arus perdana.

Saya juga bersetuju dengan saudara bahawa UMNO juga kekurangan golongan professional untuk menjadi peneraju, UMNO tidak boleh selama-lamanya terlalu berharap pada bekas-bekas guru pencen sahaja untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat!!!!

Wallahua'lam

qunang² said...

Insya Allah,
saya lihat di dalam UMNO pada hari ini terdapat kelompok yang makin membesar untuk menegur kebobrokan pemimpin..
Sesungguhnya, perjuangan tulen UMNO terlalu sebati dengan jiwa orang Melayu untuk mereka biarkan sahaja ianya berkubur..