Tuesday, August 31, 2010

MENYIMPANG DI SIMPANG EMPAT

Susu Kera di Hutan

1. Ada empat simpang empat di Simpang Empat. Oleh kerana banyaknya simpang-simpang empat, maka banyaklah orang tersesat jalan di Simpang Empat; termasuk Menteri Besar Perlis.

2. Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan di Simpang Empat beberapa hari lalu menyaksikan ADUN PAS, YB Rus'sele Eizan, hadir setelah menerima jemputan last minute untuk mengiringi Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal. Md Isa bagi, Rus'sele salam; Md Isa bagi, Rus'sele salam.

3. Ketika Menteri Besar mengharapkan pujian dan sanjungan dengan sikap telus, terbuka dan baik hati yang cuba ditonjolkan, tiba-tiba tamparan pula yang diterima daripada Pegawai Khas beliau sendiri yang dilantik sebagai Penyelaras atau “wakil rakyat bayangan” bagi DUN Simpang Empat. Baru ada akai.....

4. Natijahnya, YB Rus'sele Eizan berjaya menonjolkan diri sebagai hero diatas keberanian dan keterbukaan beliau menghadirkan diri sebagai VIP di tengah-tengah pucuk pimpinan UMNO Negeri; sementara Md Isa sekali lagi “terbotoi” kerana tersilap percaturan.

5. Beberapa hari sebelum majlis di Simpang Empat, Md Isa memilih untuk tidak hadir di majlis serupa untuk DUN Tambun Tulang dan hanya mewakilkan kepada salah seorang exco kerajaan negeri. Kenapa beliau tidak berupaya untuk bersikap telus dan terbuka di Tambun Tulang yang diwakili oleh sahabat yang sama parti dengan beliau?

6. Tindakan seperti inilah yang membawa kepada perumpamaan orang tua-tua -- kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

7. Sebagai pemimpin yang memperhambakan diri kepada dendam dan assobiyah yang menjumudkan, Md Isa mengambil langkah “bijak” menyusukan kera di hutan dalam situasi ini sementara anak di rumah sendiri dibiarkan kelaparan. Tajaan oleh kerajaan negeri untuk jamuan berbuka dibenarkan di Simpang empat, tetapi tidak di Tambun Tulang.

Md Isa pakai ketayap, Ruse'sele pakai songkok. Sudah tukar ka?

Sesal Dahulu Pendapatan

8. Tidak ada seorangpun dimuka bumi ini yang menyesal dahulu; semuanya sesal kemudian. Namun, kenapa orang tua-tua tetap mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna?

9. Sebagai Pak Lah versi Perlis, Md Isa cuba mengulangi sejarah Pak Lah mengeluarkan Anwar Ibrahim dari penjara. Bagai melepaskan anjing, Pak Lah akhirnya tersungkur kerananya.

10. Pak Lah terpaksa mencari jalan mendekati Anwar ketika itu kerana beliau mula berasa takut dengan bayang-bayang Dr. Mahathir yang semakin lantang menyuarakan penentangan terbuka beliau ketika itu. Pengaruh Dr. Mahathir adalah pengaruh tulen yang berakar dalam hati rakyat dan bukannya pengaruh “plastik” omong-omongan untuk mendewakan pemimpin.

11. Begitulah juga halnya dengan Md Isa Sabu. Asakan demi asakan dan pembongkaran demi pembongkaran terhadap kezaliman, kebobrokan dan ketidakadilan yang dilakukannya terhadap wakil rakyat dan pengundi-pengundi Barisan Nasional menyebabkan Md Isa hilang kawalan untuk memimpin orang-orang yang dipimpinnya dengan baik. Selepas dua tahun, pentadbiran Md Isa telah dibayangi oleh terlalu banyak time-bomb yang bakal meletup pada bila-bila masa, ditambah dengan ketakutannya terhadap pengaruh Shahidan Kassim yang tidak nampak akan terpadam dalam tempoh terdekat.

12. Dalam cubaan untuk mempertahankan tindakan Md Isa, YB Ahmad Bakri Ali (BN – Kayang) membuat kenyataan, “Kita bukan saja berusaha nak ambil balik DUN Simpang Empat, malah kita juga berusaha nak ambil YB Rus'sele kembali ke pangkuan kita. Semasa saya menjawat Ketua Pemuda Negeri dulu, YB Rus'sele ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan di Spg Empat”.

13. Tidaklah dapat dipastikan sama ada orang muda tak faham congak politik orang tua, ataupun orang tua sudah lupa matematik. UMNO akan rugi kalau hanya berjaya dapat seorang ahli tetapi hilang seribu ahli pada hari yang sama.

14. YB Rus'sele menjadi ADUN bukanlah atas faktor peribadi. Dia menang bukan kerana dia Rus'sele Eizan; sebagaimana Nik Aziz menang kerana dia Nik Aziz.

15. Kalaupun pendekatan menarik Rus'sele menyertai UMNO berjaya, hanya Rus'sele sahaja yang akan menyertai UMNO. Lupakah kita apabila Naib Presiden PAS, Datuk Nakhie Ahmad, menyertai UMNO? Apa untung yang UMNO dapat?

Makan Nasi Mentah

16. Adapun kegagalan Barisan Nasional mempertahankan kerusi DUN Simpang Empat pada Pilihanraya Umum ke-12 bukanlah kerana PAS kawasan itu kuat; sebaliknya kegagalan tersebut adalah bersandarkan kepada pembelotan dan ‘cah keting’ oleh orang-orang Md Isa.

17. BN kalah di Simpang Empat kerana beberapa kerat gunting dalam lipatan yang kemudiannya diangkat sebagai penguasa di Tingkat 3 dalam pentadbiran Md Isa, termasuklah Tuan Punahsihat 46% dan Pegawai Khas merangkap Penyelaras DUN Simpang empat.

18. Ketika Shahidan Kassim bergerak untuk mempertahankan kerusi BN diseluruh Perlis semasa PRU12, Tuan Punahsihat 46% adalah orang yang merencana kekalahan calon-calon Shahidan dalam pilihanraya umum tersebut.

19. Orang yang dilantik sebagai Penyelaras BN untuk DUN Simpang Empat pada hari ini adalah orang yang berkempen untuk memulaukan calon BN pada pilihanraya umum yang lalu dengan memberi undi kepada calon PAS.

20. Di Sanglang, ada tangan ghaib yang sangat berkuasa telah berusaha menafikan kemenangan calon BN, Haji Lah, lantas memberikan kemenangan kepada Hashim Jasin melalui perbicaraan mahkamah.

21. Di Padang Besar Seorang calon Shahidan telah diugut di depan penyokongnya sendiri dengan beralaskan gula-gula jawatan exco. Azmi Khalid, yang menjadi sekutu kuat Punahsihat 46% mengugut, “aku yang bagi nama hang lekat, maka janganlah sekali-kali balik pi jilat orang tua tu”. Yang dok kata tu pun tua jugak.

22. Orang-orang bawahan yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Shahidan sekarang ini sedang berkocakan dan bercakaran.

23. Benarlah kata seorang sahabat akan resminya kalau makan nasi mentah; mulut tak melecur, tapi perut yang kembung. Lambat laun, perut kembung itu akan berulat dan terburai.

qunang: kalau menyimpang di jalan yang lurus, alamatnya terjun longkang..

Wednesday, August 25, 2010

LAWATAN PERDANA MENTERI KE PERLIS (Siri 1)

Berakhirnya Suatu Penantian

1. Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya melawat Perlis pada tanggal 20 Ogos 2010 sekaligus menamatkan penantian rakyat Perlis selama 504 hari sejak Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009.

2. Selain daripada kakitangan kerajaan dan lebih kurang 15% dari pimpinan akar umbi UMNO di Cawangan, ketibaan Datuk Seri Najib di majlis berbuka puasa disambut oleh ramai mahasiswa dari institusi pengajian tinggi di Perlis.

3. Sebagaimana layaknya kawasan yang terpencil, Perlis merupakan negeri terakhir yang dilawati oleh Perdana Menteri selepas negeri-negeri lain sudah tidak terbilang kali dilawati oleh beliau.

4. Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri memberi isyarat agar perdamaian diantara pimpinan-pimpinan UMNO negeri diberi keutamaan oleh Datuk Seri Md Isa Sabu selaku Menteri Besar dan Pengerusi Barisan Nasional Perlis.

Budget Haji Bakhil
5. Seminggu sebelum kehadiran Perdana Menteri, kerajaan Negeri mengarahkan agar pengumuman dan jemputan umum melalui radio diberhentikan kerana khuatir “tak cukup makanan”.

6. Sekali lagi, jemputan tidak ditekankan kepada pimpinan UMNO akar umbi sebaliknya Presiden UMNO itu cuba digembirakan dengan jaminan kehadiran penuh dewan oleh mahasiswa yang majoritinya terdiri daripada orang-orang luar dari Perlis, selain daripada kakitangan kerajaan yang diarahkan hadir.

7. Kecenderungan puak-puak recond untuk membesarkan diri melalui sokongan "plastik" separa paksaan sedemikian rupa amat membahayakan UMNO kerana pekerja-pekerja parti tidak dijemput dan diraikan dengan sewajarnya ketika kunjungan Presiden parti.

8. “Makanan” sewajarnya dicukupkan kepada ketua-ketua Cawangan bersama pimpinannya yang sekian lama bergelumang dengan kerja-kerja parti sebelum kera di hutan hendak disusukan.

Jambatan ke Langkawi
9. Lawatan Perdana Menteri dialas dengan berita mega tentang cadangan pembinaan jambatan terpanjang di dunia sejauh 48 kilometer yang menghubungkan Kuala Perlis ke Pulau Langkawi.

10. Dua buah syarikat, Juruelit Sdn Bhd dan Kalammas Sdn Bhd, dikatakan mempunyai keupayaan kewangan untuk melabur sebanyak RM130 billion bagi menjayakan projek tersebut. Teringat kita akan Dr Elie Youssef Najem yang “menderma” RM1 billion untuk Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

11. Cadangan ini sebenarnya tidak lebih dari modal bersembang Menteri Besar. Kedua-dua syarikat itu bukanlah dimiliki oleh orang paling kaya di Malaysia. Mereka sebenarnya sedia maklum bahawa jambatan tersebut tidak akan dibina, sebaliknya pengumuman jambatan ke Pulau Langkawi adalah strategi perniagaan lapuk orang-orang recond yang bakal dianugerahkan projek besar Kelas A daripada kerajaan dalam tempoh terdekat. Kita akan tahu nanti siapa yang akan buat duit. Semoga sebuah lagi Ferrari dapat disimpan dalam garaj di ibu kota untuk anak dan isteri. Tontonkanlah kepada rakyat Perlis bila balik beraya dikampung nanti.

12. Tidak cukupkah UMNO dibenci kerana ketamakan orang-orang tua yang suka bermain wayang? Mungkin inilah sebabnya orang-orang muda tidak boleh diberi ruang untuk masuk campur urusan orang-orang tua. Bersih, Cekap dan Amanah?

Cerita Bendera
13. Selepas kepulangan Perdana Menteri, terbitlah isu bendera Malaysia yang dipijak dan dibakar dalam siri demonstrasi di Indonesia ekoran ketidakpuasan hati sekumpulan kecil rakyat negara itu terhadap penangkapan pegawai mereka di negara ini. Khabarnya, bendera-bendera itu dikebas ketika tamatnya suatu majlis lawatan pemimpin besar negara. Kenapa mereka tidak memilih untuk meminta secara elok dan terhormat kalaupun nak sangat bendera kita?

14. Oleh kerana bendera menggambarkan simbol maruah dan kedaulatan yang tidak harus dikebas sewenang-wenangnya, Ketua Pemuda UMNO lantas menghantar memorandum desakan agar pihak yang menjadikan bendera sebagai komoditi politik itu disiasat dan dikenakan hukuman setimpal oleh pihak berkuasa. Begitulah cara manusia bertamadun yang bertindak-balas berdasarkan lunas-lunas perundangan dalam mempertahankan hak yang sedia dimiliki.

15. Kumpulan yang kebas bendera bertambah melenting apabila wakil mereka dipanggil pihak berkuasa setelah laporan rasmi dibuat. Wakil tersebut memberi kenyataan bahawa dia bukan berniat untuk kebas bendera, sebaliknya hanya tolong kutip bendera itu dengan kadar segera. Mungkin cacat pemandangan indah di kota mereka bila bendera-bendera asing itu dibiarkan berkibar sementara dikutip oleh pemilik bendera.

16. Dalam riuh rendah yang semakin memuncak, separuh bendera yang dikebas dikembalikan kepada pemiliknya. Namun, Ketua Pemuda UMNO terus mendesak supaya separuh lagi bendera dikembalikan. Hebat beliau mempertahankan hak ke atas bendera. Orang-orang muda pun terfikir, kalaulah sehebat itu dia mempertahankan hak orang-orang muda yang dipimpinnya.

17. Demikianlah silaturrahim yang menjadi tegang kerana kepingan-kepingan kain yang dicop dengan pelbagai warna. Harganya cuma lebih kurang lima ringgit, tetapi biarpun kita serumpun, tindakan tempang sukar diampun.

18. Apapun yang bakal berlaku, jika orang yang membakar bendera pun dapat Ketua Pemuda UMNO terima dengan hati terbuka, tidaklah susah rasanya untuk berdamai dengan orang yang kebas bendera. Apatah lagi di bulan puasa yang mulia.

qunang: baru faham kenapa kain putih simbol berdamai..

Tuesday, August 17, 2010

PERISTIWA 7-UP: SENJA DI PERGOLA POLITIK

Senja di Pergola Politik

Ufuk merah yang bersinar,
Makin merah, semakin onar,
Memesong yang benar,
Memuja yang samar,

Ufuk merah meninggal duka,
Hadirnya sekejap, hilangnya lama,
Memaksa rindu pada sang suria,
Matahari yang banyak berjasa.

Ufuk merah tanda senja,
Kala itu akal tandus baja,
Hanya nafsu bermaharaja,
Biar berbunuhan dengan sengaja,
Asal berkuasa di pergola senja,

Pergola itu akan runtuh,
Bila tiang seri diroboh,
Bila angin terus menyentuh,
Bila ribut hujan merempuh,
Bila marhaen merusuh,
Kerna amanah yang kian merapuh,
Janji jadi lusuh,
Bercakap bagai guruh,
Perbuatan hanya separuh.

Suatu senja di pergola kaku,
Duduk empat ekor kera duku,
Seekor terpukau dan terpaku,
Seekor mencari-cari rezeki kutu,
Seekor termenung buntu,
Seekor menari cara hantu.

Senja di pergola politik,
Terus menghitung detik,
Mantafsir mantik,
Antara ikhlas dan munafik.

Peristiwa 7-UP

1. Banyak gigi yang tersengeh sinis bila melihat telatah orang lama yang sepatutnya mendekatkan diri dengan taqwa tetapi terus sibuk dengan soal kuasa donia.

2. Terdengar bisik-bisik di pejabat Memanda Perdana berkenaan cubaan Punahsihat Memanda Bendahara negeri Kayangan agar Mantan Memanda Bendahara dihantar ke timur tengah sebagai duta negara.

3. Mantan Memanda tidak dicadangkan sebagai duta ke Trinidad & Tobago atau Papua New Guinea, tetapi cubaan melobi dilakukan untuk menghantar beliau ke sebuah negara di timur tengah. Persoalan pangkalnya, kenapa beliau cuba dinyahkan dari Perlis? dan kenapa pula ke sebuah negara di timur tengah?

4. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pada penghujung tahun 1971, ayahanda kepada Tuan Punahsihat 46% yang ketika itu menjadi Memanda di negeri Kayangan telah dihantar ke timur tengah selepas digulingkan dalam "Peristiwa 7-UP"; dimana tujuh orang wakil rakyat Barisan Nasional mendesak perletakan jawatan Allahyarham Pak Sheikh Ahmad dalam tempoh tujuh hari selepas dituduh terlibat dalam hanky panky projek pembukaan ladang tebu di Chuping.

5. "Peristiwa 7-UP" adalah suatu istilah popular pada ketika itu yang memaksa Allahyarham Pak Sheikh Ahmad meletakkan jawatan selepas genap 4600 hari menjadi Memanda Bendahara.

6. Dalam lingkungan masa yang sama, Skandal Kuroi Kiri Jiken (skandal kabus hitam) heboh diperkatakan di negara Jepun yang melibatkan terbongkarnya kerja kotor orang-orang berkuasa dalam memperbodohkan marhaen dan rakyat terbanyak. Skandal ini memperlihatkan orang-orang berkuasa mengaut keuntungan besar dalam Liga Baseball Professional Jepun melalui rasuah, penipuan dan perjudian. Zaman itu adalah zaman rakyat dipatuk oleh pembesar dan bangsawan.

Lumpur & Strawberi Coklat

7. Bermula tahun 2008, sejarah Peristiwa 7-UP seolah-olah cuba dilukis semula apabila Datuk Seri Shahidan Kassim, yang memegang rekod Menteri Besar paling lama memimpin kerajaan Perlis, terus-terusan cuba disepit, dihimpit dan dikapit daripada terus menabur jasa kepada seluruh rakyat negeri Perlis.

8. Nama baik Shahidan cuba dipalit dengan lumpur oleh tangan-tangan pemunah dan perosak di dalam partinya sendiri yang berjaya merampas kuasa mengikut pintu belakang. Namun, penguasa-penguasa recond itu terkhilaf untuk mentafsirkan bahawa buah strawberi akan menjadi lebih enak bila bersalut lumpur perasa coklat yang menjadi kegemaran Siti Nurhaliza. Makin tebal lumpur coklat itu, makin enak rasanya. Hatta, pancaindera orang kurang siuman sekalipun dapat merasai enaknya strawberi walau bersalut dengan lumpur coklat itu.

9. Pentadbiran kerajaan recond nampak jelas takut kepada bayang-bayang Shahidan bilamana permohonan menggunakan Dewan Warisan untuk majlis menyampaikan bantuan amal jariah sepanjang bulan Ramadhan ditolak mentah-mentah. Sekadar peringatan, Shahidan Kassim ialah wakil rakyat Barisan Nasional dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

10. Para penguasa kerajaan recond yang selesa menggoyang kaki di Tingkat 3 sanggup menidakkan kegembiraan dan "rezeki raya" untuk orang-orang susah dan ibu-ibu tunggal daripada melihat sanjungan dan terima kasih rakyat terus terarah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim. Banyak lidah-lidah bercabang yang mengajak orang ramai beramal jariah di bulan Ramadhan pada ketika mereka menghalang dan menyusahkan ruang untuk beramal jariah. Cakap tak serupa bikin.

Tuduhan Robin Hood

11. Orang-orang ini dahulunya menuduh Shahidan merompak harta negeri. Setelah mereka mendapat kuasa, fail-fail di banyak pejabat cuba digeledah untuk mencari salah. Cubaan terbaru penguasa recond untuk mencari salah Shahidan ialah dengan menghantar Penguatkuasa Rasuah ke sebuah sekolah dalam Bahagian Arau yang kononnya menerima sumbangan hasil dari "rompakan" Shahidan.

12. Malang sekali bagi mereka, apabila segala dokumentasi dan susur galur duit sumbangan tersebut mengalir dengan jelas dari pucuk hingga ke akar. Sekali lagi, usaha sia-sia untuk memalukan orang lain akhirnya menyebabkan diri sendiri yang malu.

13. Sifat pemurah dan prihatin Shahidan yang berterusan sepanjang dua tahun selepas kuasa dirampas dari tangannya menggambarkan betapa tuduhan rambang bahawa Shahidan selama menjadi Menteri Besar telah menyalahgunakan peruntukan dana negeri untuk kepentingan politik sendiri adalah jelas tersasar dan tersimpang.

14. Jika Shahidan Kassim hendak dikatakan "Robin Hood" yang mencuri harta dan cukai kerajaan untuk diagihkan kepada orang ramai untuk mendapat populariti, bagaimana mungkin beliau terus kekal dengan sifat-sifat pemurah dan prihatin beliau selama bertahun-tahun sekalipun segala akses terhadap harta mahsyul negeri sudah ditutup rapat?

15. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, banyak baiknya kalau penguasa-penguasa recond membersihkan jiwa dan hati dari dendam yang menjumudkan. Bermuhasabahlah sama ada kamu boleh buat sama atau lebih baik dari apa yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu; atau hadir kamu sekadar merugikan masa yang kian suntuk untuk memajukan ummah. Janganlah lagi menjadi puak yang memutuskan silaturrahim dengan umpan gula-gula beracun. Berhentilah dari menjadi hantu yang menghantui kemakmuran negeri kelemboi ini. Letaklah jawatan dengan seberapa segera dengan penuh keikhlasan dan keinsafan di hati.

qunang: ada juga hantu yang tidak menghantui..

Wednesday, August 11, 2010

PILIHANRAYA MAYA 2010


FAKTA DAN RUMUSAN

1. Pilihanraya Maya 2010 yang diilhamkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim telah selesai dengan jayanya pada hujung minggu yang lalu. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua calon-calon yang bertanding dengan pelbagai bentuk daya usaha untuk berkempen.

2. Keputusan akhir yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihararaya Maya (SPR Maya) dilihat tidak jauh menyimpang dari realiti sebenar kedudukan politik di negeri Perlis.

3. Barisan Nasional (BN) dilihat mengekalkan cengkaman di peringkat Parlimen dengan memenangi ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan tersebut menggambarkan arus semasa dalam masyarakat yang cenderung untuk menyokong pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang sedang direncanakan oleh Y.A.B Perdana Menteri.

Keputusan Pilihanraya Maya (Parlimen)


4. Rasional disebalik tercetusnya idea mengadakan Pilihanraya Maya ini adalah untuk menyediakan platform dan pendedahan awal kepada individu-individu dan parti-parti politik untuk menggerakkan jentera fizikal untuk memenangi pengundian di alam maya. Pilihanraya Maya 2010 memperlihatkan penyertaan yang signifikan oleh calon-calon yang bertanding dimana jentera-jentera UMNO bergerak di dalam dua bahtera yang berbeza, selain daripada jentera PKR, PAS dan Bebas.

5. Cubaan penyokong-penyokong “plastik” Md Isa Sabu untuk memperkecilkan usaha dan idea ini di peringkat awal menggambarkan kegusaran orang-orang di dalam sangkar Menteri Besar untuk dinilai dan diadili demi survival UMNO pada Pilihanraya Umum ke-13. Pendekatan “Kerajaan Ekspo” untuk menyalurkan banyak wang rakyat kepada individu tertentu melalui penganjuran ekspo besar-besaran tidak memungkinkan rakyat terbanyak membutakan mata hati untuk menolak ketempangan pentadbiran Md Isa.

Keputusan Pilihanraya Maya (Undi Popular)

6. Peratusan undi popular BN yang berada pada tahap 51% daripada 8381 undi di peringkat DUN adalah amat membimbangkan. Ketika kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Seri Najib sedang gigih berusaha mengembalikan keyakinan rakyat secara keseluruhan selepas kegagalan buruk yang dicipta oleh Pak Lah bersama-sama Punahsihat 46%, kerajaan Perlis yang kini masih diterajui oleh BN semakin mundur dan hambar dari hari ke sehari.

ALAM MAYA DAN ALAM NYATA

7. Dari sudut yang berbeza, kejayaan BN untuk mengekalkan kemenangan di peringkat DUN dengan kemerosotan daripada 13 kerusi kepada 9 kerusi adalah refleksi kepada protes terhadap rampasan kuasa secara veto yang menimbulkan kegelisahan dan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat terbanyak.
Keputusan Pilihanraya Maya (Pecahan Kerusi DUN)


8. Kehadiran calon-calon bebas yang mendapat sokongan di luar jangkaan menggambarkan keberkesanan kempen-kempen yang telah dilaksanakan di alam siber. Aspek pendekatan kreatif dan sentuhan peribadi calon yang turun padang di laman Facebook untuk memujuk pengundi menggambarkan kehendak sebenar rakyat dalam memilih pemimpin yang berjiwa rakyat. Hal yang demikian ternyata berbeza dengan pendirian ADUN Pauh, Dato’ Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, yang mengaku dalam sidang Dewan Undangan Negeri bahawa beliau “bukan anak raja berjiwa rakyat”. Kadang-kadang manusia yang diberi kuasa terlupa diri bahawa suara mereka hanya didengari setelah rakyat memilih mereka.

9. Keputusan paling menarik ialah kemenangan tiga calon wanita dalam Pilihanraya Maya selepas berlakunya peminggiran secara mutlak terhadap wanita di Perlis oleh Pak Lah melalui nasihat Tuan Punahsihat 46% semasa membariskan calon Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Kemenangan YBMaya Azihani Ali di Mata Ayer, YBMaya Umie Fatimah (Sanglang) dan YBMaya Aeirna Azlydia (Bintong) menjadi isyarat jelas kepada parti-parti politik untuk menitik-beratkan aspek kesaksamaan gender dalam pengagihan kuasa politik.

10. Penolakan terhadap Datuk Seri Md Isa Sabu di N5-Bintong dan kemenangan selesa Datuk Seri Shahidan Kassim di N12-Tambun Tulang merupakan isyarat paling jelas kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional berhubung pertimbangan untuk mengekalkan atau merehatkan pemimpin yang sedia ada. Bahawa imej dan populariti Shahidan yang lebih “mesra siber” dalam mendekati generasi muda jauh mengatasi Md Isa yang terus mandom untuk menyertai golongan Celik IT sebagaimana yang dicita-citakan oleh kerajaan.

Keputusan Pilihanraya Maya (DUN: N1 - N5)

Keputusan Pilihanraya Maya (DUN: N6 - N10)

Keputusan Pilihanraya Maya (DUN: N11 - N15)


KETELUSAN SPR MAYA

11. Sebagaimana kebiasaan dalam banyak pertandingan, kumpulan yang tewas akan merungut tentang soal ketelusan pengadil.

12. Di sebalik pemerhatian dan penerimaan oleh majoriti pengundi yang bersetuju dengan ketelusan dan konsep pengundian, pihak SPRMaya dikhabarkan menerima beberapa protes oleh kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan.

13. Faktor penipuan undi merupakan tembelang parti pembangkang untuk menutup kelemahan pihak mereka. Harus diingat, pemimpin-pemimpin pembangkang telah memaksa kerajaan membazirkan begitu banyak sumber wang rakyat untuk mengatasi tuduhan “pengundi hantu” dalam keadaan tidak ada seekor hantu pun yang tertangkap. Tuduhan ini ternyata mustahil dan tidak masuk akal apabila tidak ada seorang pun “pengundi hantu” yang melompat parti lantas mengakui bahawa dirinya seorang “pengundi hantu”.

14. Lantaran itu, tuduhan penipuan undi oleh pihak-pihak yang tidak mampu berpijak di bumi nyata dilihat tidak berasaskan fakta.

15. Persoalan yang dilontarkan, jikalau sekiranya undian boleh dibuat berulang kali melalui sistem online yang digunapakai oleh SPRMaya, kenapa pihak yang terlibat tidak mengundi berulang kali untuk menang? Atau setidak-tidaknya memberikan bantahan awal sebelum keputusan diumumkan dengan memperincikan kaedah-kaedah untuk menipu undi?

16. Jelaslah, ketelusan SPRMaya yang bekerja di atas landasan politik yang telus dan tulus tidak wajar dipertikaikan. Kelompok “pembangkang seumur hidup” perlu belajar bersyukur, menginsafi dan mengakui kelemahan dan kelebihan diri. Jangan lagi salahkan tanah jika terpelecok ketika menari.

qunang: menuntut, memberi, mati...