Tuesday, August 17, 2010

PERISTIWA 7-UP: SENJA DI PERGOLA POLITIK

Senja di Pergola Politik

Ufuk merah yang bersinar,
Makin merah, semakin onar,
Memesong yang benar,
Memuja yang samar,

Ufuk merah meninggal duka,
Hadirnya sekejap, hilangnya lama,
Memaksa rindu pada sang suria,
Matahari yang banyak berjasa.

Ufuk merah tanda senja,
Kala itu akal tandus baja,
Hanya nafsu bermaharaja,
Biar berbunuhan dengan sengaja,
Asal berkuasa di pergola senja,

Pergola itu akan runtuh,
Bila tiang seri diroboh,
Bila angin terus menyentuh,
Bila ribut hujan merempuh,
Bila marhaen merusuh,
Kerna amanah yang kian merapuh,
Janji jadi lusuh,
Bercakap bagai guruh,
Perbuatan hanya separuh.

Suatu senja di pergola kaku,
Duduk empat ekor kera duku,
Seekor terpukau dan terpaku,
Seekor mencari-cari rezeki kutu,
Seekor termenung buntu,
Seekor menari cara hantu.

Senja di pergola politik,
Terus menghitung detik,
Mantafsir mantik,
Antara ikhlas dan munafik.

Peristiwa 7-UP

1. Banyak gigi yang tersengeh sinis bila melihat telatah orang lama yang sepatutnya mendekatkan diri dengan taqwa tetapi terus sibuk dengan soal kuasa donia.

2. Terdengar bisik-bisik di pejabat Memanda Perdana berkenaan cubaan Punahsihat Memanda Bendahara negeri Kayangan agar Mantan Memanda Bendahara dihantar ke timur tengah sebagai duta negara.

3. Mantan Memanda tidak dicadangkan sebagai duta ke Trinidad & Tobago atau Papua New Guinea, tetapi cubaan melobi dilakukan untuk menghantar beliau ke sebuah negara di timur tengah. Persoalan pangkalnya, kenapa beliau cuba dinyahkan dari Perlis? dan kenapa pula ke sebuah negara di timur tengah?

4. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pada penghujung tahun 1971, ayahanda kepada Tuan Punahsihat 46% yang ketika itu menjadi Memanda di negeri Kayangan telah dihantar ke timur tengah selepas digulingkan dalam "Peristiwa 7-UP"; dimana tujuh orang wakil rakyat Barisan Nasional mendesak perletakan jawatan Allahyarham Pak Sheikh Ahmad dalam tempoh tujuh hari selepas dituduh terlibat dalam hanky panky projek pembukaan ladang tebu di Chuping.

5. "Peristiwa 7-UP" adalah suatu istilah popular pada ketika itu yang memaksa Allahyarham Pak Sheikh Ahmad meletakkan jawatan selepas genap 4600 hari menjadi Memanda Bendahara.

6. Dalam lingkungan masa yang sama, Skandal Kuroi Kiri Jiken (skandal kabus hitam) heboh diperkatakan di negara Jepun yang melibatkan terbongkarnya kerja kotor orang-orang berkuasa dalam memperbodohkan marhaen dan rakyat terbanyak. Skandal ini memperlihatkan orang-orang berkuasa mengaut keuntungan besar dalam Liga Baseball Professional Jepun melalui rasuah, penipuan dan perjudian. Zaman itu adalah zaman rakyat dipatuk oleh pembesar dan bangsawan.

Lumpur & Strawberi Coklat

7. Bermula tahun 2008, sejarah Peristiwa 7-UP seolah-olah cuba dilukis semula apabila Datuk Seri Shahidan Kassim, yang memegang rekod Menteri Besar paling lama memimpin kerajaan Perlis, terus-terusan cuba disepit, dihimpit dan dikapit daripada terus menabur jasa kepada seluruh rakyat negeri Perlis.

8. Nama baik Shahidan cuba dipalit dengan lumpur oleh tangan-tangan pemunah dan perosak di dalam partinya sendiri yang berjaya merampas kuasa mengikut pintu belakang. Namun, penguasa-penguasa recond itu terkhilaf untuk mentafsirkan bahawa buah strawberi akan menjadi lebih enak bila bersalut lumpur perasa coklat yang menjadi kegemaran Siti Nurhaliza. Makin tebal lumpur coklat itu, makin enak rasanya. Hatta, pancaindera orang kurang siuman sekalipun dapat merasai enaknya strawberi walau bersalut dengan lumpur coklat itu.

9. Pentadbiran kerajaan recond nampak jelas takut kepada bayang-bayang Shahidan bilamana permohonan menggunakan Dewan Warisan untuk majlis menyampaikan bantuan amal jariah sepanjang bulan Ramadhan ditolak mentah-mentah. Sekadar peringatan, Shahidan Kassim ialah wakil rakyat Barisan Nasional dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

10. Para penguasa kerajaan recond yang selesa menggoyang kaki di Tingkat 3 sanggup menidakkan kegembiraan dan "rezeki raya" untuk orang-orang susah dan ibu-ibu tunggal daripada melihat sanjungan dan terima kasih rakyat terus terarah kepada Datuk Seri Shahidan Kassim. Banyak lidah-lidah bercabang yang mengajak orang ramai beramal jariah di bulan Ramadhan pada ketika mereka menghalang dan menyusahkan ruang untuk beramal jariah. Cakap tak serupa bikin.

Tuduhan Robin Hood

11. Orang-orang ini dahulunya menuduh Shahidan merompak harta negeri. Setelah mereka mendapat kuasa, fail-fail di banyak pejabat cuba digeledah untuk mencari salah. Cubaan terbaru penguasa recond untuk mencari salah Shahidan ialah dengan menghantar Penguatkuasa Rasuah ke sebuah sekolah dalam Bahagian Arau yang kononnya menerima sumbangan hasil dari "rompakan" Shahidan.

12. Malang sekali bagi mereka, apabila segala dokumentasi dan susur galur duit sumbangan tersebut mengalir dengan jelas dari pucuk hingga ke akar. Sekali lagi, usaha sia-sia untuk memalukan orang lain akhirnya menyebabkan diri sendiri yang malu.

13. Sifat pemurah dan prihatin Shahidan yang berterusan sepanjang dua tahun selepas kuasa dirampas dari tangannya menggambarkan betapa tuduhan rambang bahawa Shahidan selama menjadi Menteri Besar telah menyalahgunakan peruntukan dana negeri untuk kepentingan politik sendiri adalah jelas tersasar dan tersimpang.

14. Jika Shahidan Kassim hendak dikatakan "Robin Hood" yang mencuri harta dan cukai kerajaan untuk diagihkan kepada orang ramai untuk mendapat populariti, bagaimana mungkin beliau terus kekal dengan sifat-sifat pemurah dan prihatin beliau selama bertahun-tahun sekalipun segala akses terhadap harta mahsyul negeri sudah ditutup rapat?

15. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, banyak baiknya kalau penguasa-penguasa recond membersihkan jiwa dan hati dari dendam yang menjumudkan. Bermuhasabahlah sama ada kamu boleh buat sama atau lebih baik dari apa yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu; atau hadir kamu sekadar merugikan masa yang kian suntuk untuk memajukan ummah. Janganlah lagi menjadi puak yang memutuskan silaturrahim dengan umpan gula-gula beracun. Berhentilah dari menjadi hantu yang menghantui kemakmuran negeri kelemboi ini. Letaklah jawatan dengan seberapa segera dengan penuh keikhlasan dan keinsafan di hati.

qunang: ada juga hantu yang tidak menghantui..

2 comments:

The Full Moon Revolution said...

salam saudara,

kecelaruan politik perlis semakin terok, saya nampak ada dua pilihan sahaja:

1. puak ms isa & puak shahidan berdamai & bersatu kembali.

2. md isa, razi & shahidan berundur terus dari arena politik, bagi peluang kepada muka-muka baru yg seangkatan dgn saudara.

saya & seluruh rakyat perlis semakin muak dengan sandiwara kedua2 puak ini.

ds shahidan walaupun 'pemurah' tidak semua rakyat perlis suka akan beliau.segala budi baik ds shahidan tetap berada dalam lipatan sejarah dan ingtan rakyat perlis. memanglah buat jahat org kata jahat, kalau buat baik biarlah berpada-pada.

kalau buat baik berlebih-lebih juga org akan mengata & suspect bagaimana perlis negeri miskin dapat mencurahkan kemewahan begitu banyak kepada rakyatnya, negeri2 lain yg kaya tak mampu.

segala kemewahan perlis ketika itu mencurah sampai ke negeri kedah malah sampai ke Pekan, Pahang.

ds shahidan boleh meneruskan sumbangan politiknya dengan menjadi menteri pusat, masih buleh berbakti kpd org perlis, masih boleh bersedekah wang ringgit & harta-benda kpd org perlis, tak perlulah lagi tiap2 hari dok bertomoi dengan puak razi & puak md isa.tanpa perkenan dymm raja perlis seseorang itu tak boleh jadi mb walaupun menang besar dlm pilihanraya!

saudara sebagai org kuat ds shahidan perlu nasihat beliau, jangan biarkan or perlis nanti menyampah dengan umno perlis yg semakin hari semakin bercelaru!

wallahua'lam

the full moon revolution-
cintakan kedamain & suasana harmoni

The Full Moon Revolution said...

Kata dua Perdana Menteri kepada kepimpinan UMNO Perlis, Kedah
KANGAR 20 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kata dua kepada kepimpinan UMNO Kedah dan Perlis supaya menamatkan segala bentuk persengketaan dalaman jika mahu membina jentera yang benar-benar kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menegaskan, kepimpinan kedua-dua negeri tersebut tidak mempunyai pilihan selain memastikan kepimpinan UMNO di setiap peringkat mempunyai kesepakatan dan perpaduan atau berdepan kemungkinan tumbang pada pilihan raya kelak.

"Dalam konteks Perlis dan Kedah, saya nak ingatkan bahawa kita mesti berpakat dan berpadu seperti dulu, tolong lakukan perkara ini untuk kita kembalikan kekuatan," katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kerajaan negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hadir sama para pemimpin UMNO dari kedua-dua negeri itu termasuk bekas Menteri Besar Perlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid.

Najib menegaskan, tiada gunanya jika kepimpinan negara di peringkat nasional melaksanakan pelbagai dasar dan polisi demi kemakmuran ekonomi dan sosial rakyat sekiranya kepimpinan di peringkat negeri tidak berkongsi aspirasi yang sama.

"Kalau kita buat pelbagai dasar terbaik serta wawasan yang hebat-hebat tetapi kita di cawangan porak peranda, maka kita tidak akan menang dan kita tidak akan ke mana-mana.

"Ingat, kita hanya akan kuat jika masalah dalaman ini dapat kita selesaikan, carilah apa ramuan atau formulanya asalkan kita kembali bersatu dan merapatkan semula barisan," tambahnya.

Perdana Menteri menarik perhatian, kekuatan UMNO juga boleh diperkukuhkan sekiranya teraju kepimpinan di setiap peringkat mencari produk kepimpinan yang mampu melakukan perubahan dan transformasi terhadap perjuangan parti.

Dalam hubungan itu katanya, pemimpin perlu berpegang pada prinsip bertanggungjawab, tidak sombong, rendah diri, mengambil berat dan menunaikan janji supaya dihargai rakyat.

Sempena majlis itu, Perdana Menteri serta isteri menyampaikan bantuan zakat termasuk anak yatim dan ibu tunggal miskin.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Alor Setar kira-kira pukul 4.40 petang sebelum ke Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit menghadap Tuanku Syed Sirajuddin.

Selepas berbuka puasa, Perdana Menteri bersama isteri serta tetamu jemputan menunaikan solat maghrib, solat isyak dan sunat tarawih sebelum mendengar tazkirah oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya.

sumber : Utusan Malaysia Online:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm