Tuesday, September 14, 2010

SPESIES SEMUT POLITIK

Semut Hitam

1. Semut hitam diatas jalan tar pada waktu malam. Begitulah gambarannya ramai orang-orang politik sekiranya mereka tidak ditarik keatas pedati ketika musim pemilihan parti masing-masing. Tiada siapa nampak mereka dan tiada siapa peduli cakap mereka. Semut hitam tidak berbisa dan gigitannya hanya memberi geli tanpa sedikitpun kesakitan.

2. Sekarang musim pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tidak kurang rencam politik dalaman kepada parti serpihan ini dengan politik wang dan tikam belakang. Setelah mencermati sosio-budaya politik PKR di akar umbi, saya berpandangan PKR adalah parti yang akan runtuh kerana pergeseran kaum di peringkat cabang dan ranting dimanasebagus manapun pemimpin-pemimpin India dan Cina, mereka tidak akan berupaya untuk naik mengikut saluran parti di kawasan majoriti Melayu. Pergeseran ini akan bermula sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim tidak lagi memimpin parti ini.

3. Di dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK), semut-semut hitam yang tidak pernah didengari malah tidak dipedulikan mula bergerak mencari pendati untuk ditumpang.



4. Sebagaimana kelazimannya dalam mana-mana parti politik, semut-semut hitam ini lazimnya berebut-rebut, menangis, mengemis dan mengugut untuk meraih perhatian tuan punya pedati yang terhebat pada masa ini agar hayat politik mereka dapat dipanjangkan. Sepanjang episod itu, mereka cuba sedaya upaya untuk menunjukkan taat setia dan kecintaan mereka terhadap si pemilik pedati. Mereka rela jadi pencacai, khadam dan ‘cat kang’ selagimana tuan pedati sanggup mengutip mereka dari atas jalan tar yang gelap gelita. Mereka tidak sanggup ketinggalan kerana ditinggalkan.

5. Akhirnya, dengan kehebatan pengaruh dan kekuatan yang dimiliki oleh pemilik pedati, menanglah semua semut-semut hitam yang dikutip itu untuk mengisi pelbagai jawatan dalam parti mereka.

6. Lama selepas selesai musim pemilihan parti, mulut semut-semut itu mula ternganga menunggu guni gula yang tidak kunjung tiba. Mereka bukan Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim atau Nik Aziz yang begitu gah di persada politik dengan sejuta guni gula tersedia dari pelbagai sumber; mereka hanyalah penumpang pedati yang mengaut kekayaan untuk diri sendiri di atas pengaruh orang lain.

7. Apabila guni gula tidak sampai setelah mereka memenangi jawatan dalam parti, sang semut hitam mula menggelupur kelaparan. Ada yang berguling diatas cat merah untuk mengubah diri menjadi semut merah, ada yang lumur bedak untuk menjadi semut putih (white ant) atau anai-anai; dan tidak kurang juga yang memilih untuk terjun semula ke atas jalan tar di waktu malam dan kekal dengan fitrah sebagai semut hitam.

Semut Merah

8. Semut hitam yang bercat merah ini kemudiannya cuba menggigit orang-orang lain yang cuba mendekati pemilik pedati. Mereka berasa tergugat walaupun orang itu begitu ikhlas ingin membantu pemilik pendati yang mereka sendiri biarkan tanpa bantuan sewajarnya ketika beliau terjatuh.

9. Sudahlah tidak membantu, orang lain menghulurkan bantuan mereka gigit tangan.

10. Semut-semut merah jadian ini terlupa asal-usul mereka sebagai semut hitam dek kerana perasaan bangga menjadi semut merah jadi-jadian. Bagai dikata, gigitnya tak sakit tetapi geli. Sebesar manalah sangat akal sang semut: third class mentality.

11. Biarpun semut hitam berubah wajah menjadi semut merah, namun entah kenapa kehitaman hati tidak mampu diubah. Hati hitam itu memilih untuk berasa iri hati apabila ada orang lain cuba mendekati pemilik pendati.

12. Mereka mencuba dengan pelbagai cara termasuklah dengan memburuk-burukkan kebaikan, keikhlasan dan kelebihan yang ada pada orang itu.

Semut Putih

13. Bagi semut putih pula, cintanya bukan pada gula tetapi pada kayu. Segala kayu di bangsal digigit untuk membesar dan menambah istana busut.

14. Apabila bangsal mula senget kerana hampir semua kayu sudah dimamahnya, mulalah semut putih beralih ke bangsal lain untuk mencari makanan.

15. Selagi belum selesai menjelajah rezeki di bangsal baru, semut putih tidak akan meninggalkan sisa-sisa kayu di bangsal lama yang senget itu.

16. Sehinggalah semut putih menemui lubuk kayu yang enak di bangsal baru, maka berpindahlah sarangnya ke bangsal baru itu lantas diucapkan selamat tinggal kepada bangsal lama.

17. Apabila menyedari tuan bangsal lama itu membawa kayu-kayu baru dan segar untuk memperbaiki bangsalnya, semut putih akan berpindah semula ke bangsal lama tanpa disedari untuk tumpang menjamah kayu-kayu baru.

Cinta Kertas

18. Apabila bercerita tentang kecintaan semut terhadap gula dan kayu, teringat pula Siti Nurhaliza dengan lagunya Bukan Cinta Biasa.

19. Jika Siti Nurhaliza berkata cintanya bukan diatas kertas; tetapi bagi semut-semut politik, cinta mereka adalah diatas kertas --- kertas kepala Agung dan kertas tender kerajaan.

20. Cinta kepada kertas. Tak ada kertas, tak ada cinta.

21. Ini juga bukan cinta yang biasa.


Bukan Cinta Biasa

Penyanyi: Siti Nurhaliza

Begitu banyak cerita, Ada suka ada duka

Cinta yang inginku tulis, Bukanlah cinta biasa

Dua keyakinan beza, Masalah pun tak sama

Ku tak ingin dia ragu, Mengapa mereka selalu bertanya


Cintaku bukan diatas kertas, Cintaku getaran yang sama

Tak perlu dipaksa, Tak perlu dicari

Kerna kuyakin ada jawabnya oh...

Andai ku bisa merubah semua, Hingga tiada orang terluka

Tapi tak mungkin, Ku tak berdaya

Hanya yakin menunggu jawapnya

Janji terikat setia, Masa merubah segala

Mungkin dia kan berlalu, Ku tak mahu mereka tertawa

Diriku hanya insan biasa, Miliki naluri yang sama

Tak ingin berpaling, Tak ingin berganti

Jiwa ku sering saja berkata

Andai ku mampu ulang semula

Ku pasti tiada yang curiga

Kasih kan hadir tiada terduga

Hanya yakin menunggu jawapan


qunang: siapa kena gigit semut?

No comments: