Thursday, October 21, 2010

Perbahasan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Perlis



Berikut adalah teks ucapan penuh yang tidak sempat dihabiskan pada hari tersebut:

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Alhamdulillahi Robbi ‘Alamiin, Hamdan Yuwa fi ni’mah, Wa yuka fi’u mazidah, Ya Robbana lakal hamdu kama yan Baghi li jalali wal Ikram wa aziimi sultonik. Allahumma solli ‘ala MUhammadin Wa ‘ala aalihii wa sohbihi ajma’iin.. Qola Robbanaf Tah Baina Na Wa Baina Qaumina Bil Haq. Wa Anta Khairul Faatihiin… Sodoqallahul Aziiim.

Pemuda bersidang pagi ke malam,

Izinkan saya menyusun kalam.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap Persidangan,

YB Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairi Jamaluddin,

Barisan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Seterusnya Sidang Perwakilan Pemuda UMNO ke Persidangan Agung Pemuda UMNO Malaysia bagi tahun 2010 yang saya kasihi sekalian.

Saya Radzi bin Hashim Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis. orangnya tidaklah tinggi tetapi tidaklah pula terlalu rendah bak kata pantun empat kerat yang akan popular selepas ini,

Rendah bukan sebarang rendah,

Rendah datang dari Utara;

Endahlah tuan jangan tak endah,

Wakil Perlis menyusun bicara.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Sebelum bicara saya lanjutkan, sebelum perbahasan mula kita hangat-hangatkan, saya ingin menarik perhatian dewan ini bersama mengenang salah seorang yang pernah berada di Dewan ini satu ketika dulu dan kini telah dijemput pulang oleh Robbi Illahi.. Sesungguhnya kehilangan beliau merupakan kehilangan kepada kita semua kerana beliau merupakan contoh pemimpin UMNO yang sentiasa memberikan khidmat terbaik khususnya dalam kawasan yang beliau berdiri sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahgian Padang Besar dan beliau juga menjadi contoh kesinambungan kepimpinan pemuda perkasa yang berjaya meneruskan tradisi kepimpinan di peringkat lebih tinggi selepas tamat tempoh perkhidmatan dalam era kepemudaan. Marilah kita sedekahkan pahala bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Md. Nor bin Aziz Mantan Ketua Pemuda UMNO Padang Besar merangkap Mantan Naib Ketua Pemuda UMNO Perlis tahun 2006-2008 yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung di Kota Bahru, Kelantan pada 15 Oktober 2010. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham. Kepada seluruh ahli keluarga beliau, kita doakan semoga tabah menghadapi dugaan takdir Allah SWT. Terima kasih kerana meminjamkan Arwah kepada kami.. Al-Fatihah!

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Kita sering bercakap tentang perpaduan khususnya dalam UMNO dan antara sesama Melayu. Namun begitu, apa yang kita perlu akur dan sedari ialah perpaduan yang cuba kita tegaskan sebenarnya tidak mengundang apa-apa masalah di peringkat akar umbi dan masalah yang wujud biasanya hanya di peringkat yang tertinggi sahaja.

Apa benar kita bersatu? Apakah kita bersatu sekadar kosmetik atau retorik politik semata-mata? Dalam masa yang sama kita kononnya cuba memperkukuh kesatuan tetapi hakikatnya kita hanya boleh dan mampu bersatu hanya untuk berpecah. Ada ahli mengaku “aku orang ini” dan ada ahli mengaku “aku pula orang ini” sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun perbuatan mereka. Teringat sindirin sinis seorang ahli pemuda di kampung saya yang menyatakan “ woi Radzi! Aku tengok UMNO la ni lebih baguih bersatu untuk cempera, bukannya untuk bagi kuat, mekalu lagu tu sampai mampuih pun kita dok kena tembak sedia”

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Seorang Mukmin akan teguh mentaati Perlembagaan yang terkandung dalam AL-Quran dan As=Sunnah, seorang RAKYAT akan teguh mentaati Perlembagaan Persekutuan; dan tentunya bila seorang ahli PARTI UMNO akan teguh mentaati apa yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO. Kita dikira bersatu sekiranya benar-benar mematuhi apa yang terkandung dalam pertauran yang ada. Bila hanya peringkat tertentu sahaja yang diminta mengikut perlembagaan sedangkan sebahagian pihak yang lain tidak mahu mengikut bahkan melanggar kemurnian perlembagaan yang setia dijunjung pada satu ketika maka ia menjadi titik mula kehancuran pada nikmat pepaduan yang diteguk selama memartabatkan UMNO sebagai parti perkasa orang Melayu. Pucuk pimpinan tertinggi seharusnya menyedari tranformasi yang dicanang mesti dilaksana sepenuh hati dan bukannya seperti menarik rambut di dalam tepung. Mana yang boleh disegerakan, kita segerakan dan mana yang agak lambat kita pacu ke gear yang lebih tinggi agar ia seimbang dan lancar. Janganlah di sebelah akar umbi, pemimpin mahu ada perubahan sedangkan dalam kalangan pimpinan masih tidak berubah bahkan dikekalkan mereka yang rosak menaungi perjalanan UMNO.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Saya ingin bacakan pantun enam kerat buat mereka yang hendak terasa. “Makna kata mekalu ada yang tak mau terasa, biaq pi la kat depa na…nak buat gena dah kita yang bawak naik depa…”

Dulu single, dah kawin satu,

Tup-tup dengaq dah sambaq dua,

Silap-silap esok dah jadi tiga;

Kita Melayu mesti bersatu,

Barulah kena dengan bini yang lawa,

Sama sendiri toksah la dok pelaga.


Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Apa yang berlaku pada PRU 2008 dan pasca PRU 2008 sebenarnya menjadi BARAH yang mula merosakkan sistem parti yang selama ini berjalan secara lancar. Ia ditambah-buruk dengan tindakan-tindakan serta keputusan-keputusan pucuk pimpinan hingga menyebabkan hilang dan timbul krisis kepercayaan terhadap kemampuan UMNO menerajui orang-orang Melayu dalam kalangan ahli UMNO itu sendiri.

Sebagai contoh, dari lebih 30 Ketua UMNO Bahagian di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, hanya seorang yang ada dalam kabinet kerajaan. Itupun hanya sebagai timbalan menteri. Kuota menteri yang biasanya ada di setiap negeri diberikan kepada ahli UMNO biasa dan mereka yang baru menjadi ahli dengan diangkat mereka menjadi Senator. Dengan bekalan peruntukan kuasa, dengan bekalan peruntukan kewangan dan dengan bekalan peruntukan projek menyebabkan tumpuan rakyat dan sebahagian ahli tertumpu kepada keberadaan menteri dan tidak lagi kepada kuasa UMNO itu sendiri. Negeri Perlis sendiri yang satu ketika mempunyai dua Menteri Penuh hanya dengan tiga kawasan parlimen yang ada terus dilupuskan hak untuk menerima kouta sebarang jawatan kabinet selepas hampir tiga tahun UMNO dan BN berjaya mengekalkan kuasanya. Bahkan pada satu ketika ada senator yang dilantik dari kalangan mereka yang pernah mengkhianati perjuangan UMNO dan ia diberi kepada individu yang hanya hebat menjual air liur semata-mata sedangkan anak sendiri terus dibiarkan kelaparan. Ahli UMNO pula dilihat hanya hebat bertepuk tangan dan bersorak gadai bila hak mereka diambil secara sedar. Tambah malang, saudara ketua pemuda UMNO Malaysia pula yang tiada apa. Awat yang jadi lagu nie? Sejarah membuktikan Pemuda menjadi tonggak kekuatan UMNO dengan keupayaannya melahirkan beberapa generasi kepimpinan yang berkaliber dan berani mendepani pelbagai isu-isu massa dalam masyarakat. Bagi Pemuda, ‘‘genggam bara api, biar sampai jadi arang; bukan niat nak cucuh api, tapi menegur yang mana kurang’’. Kami empati kepada Saudara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, kerana dayung sudah di tangan, perahu sudah di air; akan tetapi sudah dua tahun dilamun angan, diri sepi terus dipinggir. Bertahun sudah memecahkan ruyung, masih menanti mana sagunya.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Jika kita lihat dari statistik 12 Pilihan Raya Kecil yang dilalui selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya mampu menang dua pilihan raya kecil sahaja. Dari fakta ini kita setia menanti apakah bentuk perubahan yang cuba diterapkan pucuk pimpinan?

Apa perubahan yang kita tunggu lagi untuk diterjemahkan dalam situasi kini?

Asyik-asyik kita mendengar skrip yang sama sahaja. Apakah UMNO yang dicanangkan sedang menjalani transformasi atau perubahan masih tidak berubah setakuk apa yang hendak diubahnya itu?

Pelbagai program dilaksanakan dan kita seolah masih gagal mendapatkan sepenuh kepercayaan seperti yang pernah kita nikmati pada zaman-zaman terdahulu?

Apakah masalah dan kelemahan yang kita dapat sekarang hendak disandarkan selamanya kepada generasi kepimpinan terdahulu tanpa mampu berubah dan jika perubahan itu ada ia sekadar perubahan satu langkah siput babi semata-mata?

Mengapa kita terlalu sibuk menjahit koyak baju di lengan tangan sedangkan lubang koyak di tepi punggung masih tidak terjahit langsung?

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

UMNO perintah sudahlah lama,

Mantap teruji memegang kuasa;

Perpaduan UMNO perlu diutama,

Andai mahu terus berkuasa

UMNO Parti teras Melayu,

Menjadi kebanggaan kita semua;

Usahlah Melayu terus layu,

Bangunlah PEMUDA, jangan kita leka.

Saya ingin nyatakan solusi atau penyelesaian kepada isu perpaduan yang kita dambakan supaya ia tidak lagi kekal sebagai kosmetik atau retorik politik buat selamanya dan dalam masa yang sama memberikan peluang kepada parti pembangkang yang sudah mula mengambil alih kedudukan menyerang kita dari segenap segi.

Pertama:

Memohon pertimbangan parti untuk memberikan perhatian khusus dalam soal tradisi parti yang tidak harus diketepikan sewenang-wenangnya termasuk dalam konflik politik yang berpanjangan di Perlis dan Terengganu. UMNO sebagai tonggak parti yang mendapat mandat memerintah daripada rakyat perlu mempunyai kekuatan menyuarakan apa jua kehendak rakyat terbanyak di mana-mana peringkat perbahasan. Pilihan rakyat terbanyak harus diangkat tanpa gusar dan takut.

Kedua :

Memohon pertimbangan semula Presiden untuk melantik Ketua Pemuda UMNO dan BN ke jawatan yang setaraf dengan kerusi yang dimenanginya. Mana-mana menteri atau pemimpin parti yang mengaitkan desakan ini dengan sifat “gila jawatan” diminta meletakkan jawatan mereka atas sifat “tidak gila jawatan”.

Ketiga :

Mendesak sesiapapun selain Ketua Pemuda UMNO Malaysia supaya tidak terlalu berlagak menjadi boss bermuka lima dan berkepala naga tujuh dengan menyemai benih perpecahan dan sikap berpuak-puak dalam kalangan exco; sebaliknya lebih aktif bergerak di akar umbi bersama-sama saudara Ketua Pemuda. Sudah-sudahlah dengan sikap iri hati, cemburu dan tikam belakang. Hentikanlah perlakuan dan sikap bermain telefon suka melalak sana sini untuk memburuk-burukkan Saudara Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sedarilah bahawa anda sekalian sentiasa diperhatikan.

Dan Keempat dan terakhir untuk kali ini,

Kepada semua pucuk pimpinan di segenap peringkat bermula dari presiden hingga ke taraf ahli biasa, kembalikan prinsip PARTI menguasai KERAJAAN, kerana hanya dengan janaan mantap prinsip ini mampu meletakkan UMNO kekal sebagai Kuasa Politik Terbesar Malaysia dan tidak akan dicabar oleh sesiapapun dalam konteks politik semasa. Usah terikut dengan tohmahan dan provokasi parti lawan kerana sedia menjadi adat dan budaya mereka takkan puas walau jutaan kebaikan dilaksanakan oleh parti pemerintah. Apa yang dapat lihat semata-mata keburukan dan kebobrokan UMNO sahaja. Yakinlah bahawa UMNO masih di hati rakyat dan kita yang ada di di sini dan semua ahli pemuda yang ada di luar sentiasa setia menjunjung keutuhan parti, kita yang menentukan kelangsungan survival kuasa Melayu di Malaysia.

Pemuda UMNO Perlis amat berkeyakinan jika solusi ini dipatuhi dan dijadikan amalan berorganisasi, Pemuda UMNO Malaysia mampu untuk menjadi sayap paling kuat dan utuh serta mantooop bagi menjamin kemenangan UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum akan datang. Insya Allah.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Saya ingin memohon sedikit tambahan masa kerana menyampaikan amanah perjuangan oleh rakan di kampong dan bahagian saya iaitu Bahagian Padang Besar berkaitan isu kenaikan kos insuran kenderaan bermotor. Mereka merintih, orang-orang kampung yang miskin juga merintih, golongan berpendapatan rendah juga merintih dan terkesan dengan kenaikan kos insuran kenderaan bermotor ini. Apakah kita mahu menggunakan isu ini sebagai umpan pilihanraya sedangkan rakyat yang menderita semakin hari semakin mencemuh serta membenci kita kerana dikatakan tidak prihatin dan memberi perhatian kepada permasalahan mereka? Dalam sehari mungkin berpuluh dan mungkin juga beratus bahkan juga beribu rakyat yang membayar insuran kenderaan bermotor mereka untuk memperbaharui cukai jalan dan dalam sehari tiada mustahil berpuluh, atau beratus dan mungkin juga beribu rakyat mula membenci kegagalan kita menjaga kebajikan rakyat. Atas alasan apa sekalipun, kerajaan kena melihat dan mengkaji semula dengan segera isu popular alaf ini sebelum ia menjadi penambah penyakit BARAH UMNO yang sedia ada. Kami kepimpinan pemuda di peringkat bahagian sering menjadi tumpuan tempat pelepas geram dan marah akibat kenaikan insuran kenderaan bermotor ini. Kami bukan bergaji beribu-ribu, mereka juga bergaji ratus-ratus sahaja. Janganlah dizalimi rakyat yang setia dengan perjuangan UMNO. Isu ini sebenarnya telah menambah parah masalah perpaduan dalam kalangan ahli parti di peringkat akar umbi. Jangan biarkan ia menjadi punca yang melemahkan parti. Rakyat semakin cerdik dan UMNO juga perlu cerdik menangani permasalahan serta isu ini.

Akhirul kalam,

Kepada mereka yang mendengar, kepada mereka yang menonton, kepada mereka yang berkuasa, kepada mereka yang memberi undi, kepada mereka yang masih sayangkan UMNO, kepada mereka yang cintakan perpaduan Melayu, kepada mereka yang sentiasa mahukan UMNO terus menjadi pemangkin kekuasaan Melayu di Malaysia. Sampaikan bicara hamba ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana telah selesai menyampaikan amanah yang terbeban atas bahu saya khususnya sebagai wakil Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis kali ini. Ingatlah “Tidak sempurna iman orang yang tiada AMANAH”.

Kepada Ketua Pemuda UMNO Padang Besar merangkap Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis Cikgu Mohsin Yusof yang sentiasa kontroversi, terima kasih saya ucapkan kerana memberikan peluang kepada saya untuk berada di pentas ini dan saya berharap agar apa yang saya perkatakan ini diluluskan oleh saudara semua! Lulus tak lulus??? Lulus!!!!

Saya akhiri dengan rangkap pantun terakhir

Melayu UMNO Melayu berjatidiri,

Pertahan nilai budaya bangsa;

Takkan ku undur melarikan diri,

Demi keutuhan perjuangan BANGSA.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh!

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Sekian, terima kasih!

Sunday, October 17, 2010

PERSIDANGAN PEMUDA 2010: TRANSFORMASI ATAU TRADISI


Menelusuri Bidalan

1. Sebagaimana kelazimannya, Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO yang akan berlangsung pada 20hb Oktober 2010 sekali lagi bakal menjadi medan pidato orang-orang muda. Sejarah membuktikan Pemuda menjadi tonggak kekuatan UMNO dengan keupayaannya melahirkan beberapa generasi kepimpinan yang berkaliber dan berani mendepani pelbagai isu-isu massa dalam masyarakat. Bagi Pemuda, genggam bara api, biar sampai jadi arang; bukan niat nak cucuh api, tapi menegur yang mana kurang.

2. Persidangan kali ini akan sekali lagi diselubungi dengan suasana semangat separuh masak ekoran permintaan secara baik dan berlapik mengikut saluran dalaman masih tidak diberi perhatian. Arus deras di dasar aliran perjuangan Pergerakan Pemuda hari ini memohon kesaksamaan dan kasih sayang dari Presiden untuk memberikan perhatian khusus kepada pengagihan “gula dan manisan” untuk ditumpang rasa oleh Pemuda yang tidak pernah letih bekerja. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Ketua Puteri dimenterikan, sayang Khairy kenapa abaikan?

3. Perlantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri tidak harus dilihat sebagai mengisi “kuota” Pemuda kerana beliau bukan Pemuda. Mukhriz tidak lagi mempunyai ikatan secara langsung dengan Pemuda setelah beliau tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda. Oleh itu, Presiden perlu mengimbangi penghormatan beliau terhadap Tun Mahathir melalui perlantikan Mukhriz, dan jiwa besar beliau terhadap generasi pelapis melalui sedikit penghormatan terhadap Ketua Pemuda. Jangan pula yang dikendong tak dapat, yang dikejar tercicir; Mukhriz dapat, Khairy tercicir.

4. Khairy mengambil alih teraju Pergerakan Pemuda daripada Hishamuddin dalam keadaan UMNO kekontangan undi di Saluran 3 dan 4. Kegagalan UMNO untuk mendekati generasi Pemuda di kedua-dua saluran tersebut sepatutnya diletakkan di bahu Hishamuddin. Akan tetapi, nasib tidak memihak kepada Khairy kerana beliau menghadapi asakan bertali arus daripada Tun Mahathir yang cuba membenamkan Khairy diperingkat awal bagi membuka laluan lebih selesa kepada Mukhriz. Maka, nama Khairy dipalit dengan imej rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan pelbagai tuduhan mengumpul kekayaan dan kesenangan diri. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, Hisham juga harta bersepah, Khairy seorang asyik diterjah.

5. Kuasa dan pertimbangan prerogatif Presiden yang melantik Naib Ketua Pemuda, Razali Ibrahim, sebagai timbalan menteri lebih banyak membawa perpecahan dari perpaduan dalam organisasi Pemuda. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi; Ketua pangkat rendah, Naib lagi tinggi.

6. Memang benar, jawatan Ketua Pemuda bukanlah jaminan untuk jadi menteri, tetapi begitulah tradisi, amalan dan kelaziman dalam UMNO. Ketika Mahathir dalam keadaan separuh percaya kepada Zahid Hamidi untuk dilantik sebagai menteri, beliau sekurang-kurangnya tetap memberi jawatan Pengerusi BSN sebagai pengiktirafan kepada Pergerakan Pemuda. Mahathir sendiri tidak mampu pandang sebelah mata kepada Zahid untuk melantik Naib Ketuanya ke jawatan yang lebih tinggi. Begitu ramai Pemuda yang kurang faham dengan Najib. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang; kenapa “nombor dua” terus dikelek, “nombor satu” terus diganyang?

7. Siapa Razali Ibrahim? Kalau tidak kerana menumpang kapal Hishamuddin, Razali tidak dikenali hatta tidak diundi. Beliau bukanlah orang muda yang paling pintar dalam generasinya, tidak juga beliau mempunyai track record cemerlang dalam memberikan sumbangan bermakna kepada Pemuda di luar Johor, malah tidak juga agresif untuk mengetengahkan idealisme dan pendirian. Razali adalah simbol opportunist dan pembodek politik play save yang naik mengharapkan tuah dan ehsan pemilik kapal yang dipanjatnya. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; Mana Naib tak nampak hidung, sewaktu Ketua dilanyak diikat?

8. Kasihan pada Khairy, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air; dua tahun dilamun angan, diri terus dipinggir. Bertahun sudah memecahkan ruyung, masih menanti mana sagunya.

Kesinambungan

9. Sudah menjadi tradisi dalam Persidangan Tahunan UMNO dan sayap-sayapnya, saban tahun para perwakilan dari negeri-negeri akan bangun berpidato dengan ditutup oleh ucapan penggulungan. Segalanya terhenti disitu. Tidak ada resolusi atau tracking sheet untuk dinilai semula oleh sekalian ahli-ahli pada tahun berikutnya sebagai kesinambungan dan ukuran tahap penerimaan ataupun perlaksanaan begitu banyak isi-isi pidato mereka oleh kerajaan.

10. Penggulungan oleh Presiden pula dikarang lebih awal sebagai persediaan untuk menghadap kamera siaran langsung, maka Presiden lazimnya tidak menggulung pidato perwakilan secara kesluruhannya dalam bentuk checklist atau senarai amanah dari ahli-ahli di akar umbi. Penggulungan Presiden sebaliknya menjadi suatu lagi ucapan, lebih kurang sama seperti ucapan perasmian. Begitulah juga halnya yang menjadi kelaziman ketua-ketua sayap.

11. Kalau ada sumur di ladang, boleh kita berjumpa lagi; kalau ada umur yang panjang, tahun depan berjumpa lagi. Akhirnya, pulanglah berbondong-bondong perwakilan UMNO untuk mengulangi semula skrip pidato pada tahun hadapan dengan sedikit olahan ayat dan fakta. Sama ada penerimaan dan keberkesanan pidato itu berada di tahap 90% atau 1%, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

12. Sebagai Perwakilan Pemuda yang telah diberi mandat oleh akar umbi untuk hadir ke Persidangan bagi tahun ini, saya mohon menyampaikan desakan, cadangan dan permintaan ahli-ahli Pemuda di tempat saya untuk perkara-perkara berikut:

a. Memohon pertimbangan parti untuk memberikan perhatian khusus dalam soal tradisi parti yang tidak harus diketepikan sewenang-wenangnya termasuk dalam konflik politik yang berpanjangan di Perlis dan Terengganu. UMNO sebagai tonggak parti yang mendapat mandat memerintah daripada rakyat perlu mempunyai kekuatan menyuarakan apa jua kehendak rakyat terbanyak di mana-mana peringkat perbahasan. Pilihan rakyat terbanyak harus diangkat tanpa gusar dan takut.

b. Memohon pertimbangan semula Presiden untuk melantik Ketua Pemuda UMNO dan BN ke jawatan yang setaraf dengan kerusi yang dimenanginya. Mana-mana menteri atau pemimpin parti yang mengaitkan desakan ini dengan sifat “gila jawatan” diminta meletakkan jawatan mereka atas sifat “tidak gila jawatan”.

c. Mendesak saudara Naib Ketua Pemuda, supaya tidak terlalu berlagak jadi boss dengan menyemai benih perpecahan dan sikap berpuak-puak dikalangan exco; sebaliknya lebih aktif bergerak di akar umbi bersama-sama saudara Ketua Pemuda. Sudah-sudahlah dengan sikap iri hati, cemburu dan tikam belakang. Hentikanlah perlakuan dan sikap main telefon suka call sana sini untuk memburuk-burukkan Ketua Pemuda.

d. Mencadangkan penggunaan anjing pengesan digunakan secara lebih meluas di pintu-pintu sempadan bagi membanteras penyuludupan dadah yang merosakkan anak-anak Melayu.

e. Mencadangkan kajian saintifik untuk membuang racun dan toksid dalam daun ketum (biak) agar ianya diiktiraf sebagai minuman bermanfaat yang tidak memudaratkan.

f. Mendesak agar pusat-pusat dan lorong-lorong pelacuran yang popular di ibukota dibanteras dengan sesungguh hati dalam tempoh satu tahun dari sekarang. Tahun depan, bila nak bersidang pulak, boleh ishtihar “KL Sifar Pelacur” dan teruskan usaha di tempat-tempat lain pula.

13. Segalanya boleh diukur dengan pancaindera. Insya Allah, tahun depan kita nilaikan hasilnya. UMNO akan sekali lagi menerima seribu cadangan dan saranan bilamana ahli-ahli dari segenap pelosok negara berhimpun. Bukan semua cadangan dapat diterima dan dilaksana, maka sekurang-kurangnya tahun depan kita diberitahu bahawa segala cadangan dan saranan ini tidak dapat dilaksana dengan bersebab.

14. Generasi muda semakin peka untuk menilai sama ada Persidangan Tahunan ini diadakan untuk sekadar memenuhi tradisi, atau menjadi agenda besar sebuah transformasi.

15. Selamat bersidang...

qunang: tersenyum tengok manusia yang tersenyum keasyikan dibuai sokongan plastik... :)

Thursday, October 14, 2010

1MALAYSIA & PERPADUAN KAUM

PERPADUAN MELAYU: AGAMA ATAU BANGSA

1. Setiap kali ditimbulkan isu perpaduan di kalangan bangsa Melayu, suatu polemik yang tidak dapat dielakkan adalah berkaitan sama ada perpaduan itu perlu diasaskan kepada bangsa atau agama. Setiap kali itu juga, orang-orang Melayu tidak dapat bersatu padu sama ada atas dasar agama mahupun bangsa.

2. Di akhir perdebatan yang panjang, kesempitan takrifan agama dan bangsa dijadikan isu pokok untuk mengekang perpaduan ummah.

3. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

4. Ayat diatas merupakan pengiktirafan Allah s.w.t terhadap usaha mengubah nasib sesuatu kaum oleh masyarakat dalam kaum itu sendiri.

5. Oleh yang demikian, penolakan dan polemik terhadap konsep perpaduan berasaskan kaum secara nyata telah menjerumuskan umat Islam di Malaysia di lohong pergeseran yang tidak berpenghujung, kerana di akhirnya perbahasan isu-isu sampingan seringkali membunuh semangat dan inisiatif perpaduan yang sepatutnya menjadi isu pokok untuk dijayakan oleh seluruh masyarakat Islam tanpa berbelah-bahagi.

6. Melainkan lebih satu peratus masyarakat Melayu di Malaysia menjadi kafir, retorik dan polemik “Islam” atau “Melayu” ini(rujuk: http://www.facebook.com/note.php?note_id=296554302157) perlu dihentikan dengan segera bagi membolehkan unsur-unsur perpaduan berputik secara semulajadi di sanubari masyarakat Melayu Islam. “Perpaduan Islam” atau “perpaduan Melayu” hanyalah semata-mata retorik takrifan yang terlalu sempit tetapi kerap diulang-ulang tanpa membantu menyatupadukan ummah.

MASYARAKAT MAJMUK

7. Fakta paling unik bagi sebuah negara bernama Malaysia adalah adunan kemajmukan komposisi kaum yang tidak mungkin dapat dilihat dimana-mana negara lain. Kaum Melayu menjadi penduduk majoriti merangkumi 50.6% dalam pecahan kependudukan negara ini, sementara Cina 24.4% dan India 7.5%.

8. Di negara-negara kulit putih, penduduk majoriti mereka tidak sekadar menjadi majoriti “atas pagar” sebagaimana Melayu di Malaysia. Di Great Britain, bangsa kulit putih (whites) mewakili 92.1% dari keseluruhan penduduk, sementara Amerika Syarikat mempunyai 88.8% bangsa kulit putih dan Australia 89.71%.

9. Fakta ini memberikan gambaran betapa ramuan dan formula keharmonian kaum tidak sewajarnya berasaskan kepada negara-negara kulit putih kerana mereka tidak berada dalam realiti sebenar sebuah negara majmuk.

10. Dalam kerangka kemajmukan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya, isu-isu perkauman secara konsisten akan menjadi tajuk utama akhbar beberapa kali dalam setahun.

11. Setiap kali timbulnya isu-isu yang berkaitan dengan hak dan keistimewaan Melayu, ataupun hak-hak masyarakat Cina dan India yang dijamin oleh perlembagaan, maka akan wujud sentimen yang agak kasar dalam memberikan tindakbalas terhadap pihak-pihak yang menimbulkan isu sedemikian.

12. Pada 10 Oktober yang lalu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-57 menyebut tentang bangsa Cina bukanlah kaum pendatang di negara ini sebagaimana beberapa generasi sebelumnya. (rujuk: http://www.malaysiakini.com/news/144921)

13. Tidak menjadi pendatang bukanlah bermakna mereka menjadi bumiputera.

14. Sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, orang-orang Cina dan India merupakan warga yang setia -- kesetiaan terhadap negara Malaysia dan perlembagaannya -- maka perlu turut setia menghormati hak dan keistimewaan Melayu yang terkandung dalam perlembagaan tanpa terdetik untuk mempertikaikannya sekali lagi.

15. Sebagai imbalan yang adil, pertubuhan dan organisasi Melayu seharusnya menghentikan pertikaian terhadap hak dan keistimewaan Cina dan India yang terkandung dalam perlembagaan negara, termasuk dalam soal pendidikan dan pengiktirafan terhadap bahasa ibunda mereka.

16. Setelah wujudnya mutual respect dan kefahaman yang jelas tentang semangat perpaduan berlandaskan baris-baris perlembagaan, perpaduan akan dapat diperkukuhkan di kalangan rakyat Malaysia.

17. Demikianlah konsep 1Malaysia yang semakin difahami oleh sekalian rakyat. Tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak!


qunang: kalau ajak bersatu padu pun nak bangkang dengan pelbagai polemik, abis tu nak kena biar saja pertelingkahan yang ada?

Thursday, October 7, 2010

PKENPs DAN PERNIAGAAN ARAK (SIRI 2)

------------------
Kemaskini 10 Oktober 2010: Pembaca-pembaca sekalian, Saya tangguhkan siri ke-3 tajuk ini setelah mendapat khabar bahawa Menteri Besar bersetuju menutup perniagaan arak ini dengan serta-merta. Semoga kata dikota...
------------------

Membuka Pekung?

1. Seandainya saya meneladani amalan politik primitif yang diamalkan oleh sebahagian besar pimpinan-pimpinan UMNO, saya perlu mengiyakan tindakan bobrok mereka atau setidak-tidaknya menyembunyikannya dalam poket.

2. Zaman menyembunyikan atau mengiyakan segala-gala kebobrokan pimpinan UMNO/BN sudah berlalu.

3. Tindakan menyembunyikan tindakan hanky-panky mungkin relevan dizaman cengkaman politik UMNO/BN begitu kuat dalam suasana keterbatasan maklumat alternatif lebih kurang 15 tahun yang lalu.

4. Hari ini, UMNO/BN berada dalam keadaan sama sekali tidak boleh melakukan kesilapan . Pimpinan UMNO/BN perlu teliti dan cermat dari melakukan tindakan yang tempang atau dilihat tempang oleh rakyat terbanyak.

5. Apabila YB Hashim Jasin (N15 Sanglang – PAS) bercakap mengenai penglibatan PKENPs dalam perniagaan arak dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 28 Julai 2010; nampaknya pekung sudah terbuka dan tembelang sudah pecah.

6. Oleh yang demikian, sekiranya saya menulis atas kapisiti sebagai pemimpin kecil UMNO, barang pasti saya tidak sepatutnya menulis tentang keburukan pemimpin-pemimpin UMNO. Akan tetapi, atas sifat kasih saya terhadap UMNO, setelah menyedari dengan begitu jelas bahawa isu ini akan menjadi “peluru besar” pembangkang di Perlis menjelang Pilihanraya Umum ke-13, saya perlu mengikut arus --- arus pengundi atas pagar non-partisan dan bukan arus membodek mengharapkan “hun” yang menjadi amalam segelintir pimpinan Pemuda UMNO.

7. Sekiranya saya ingin membodek untuk mendapat sedikit “hun”, saya harus bersetuju bahawa perniagaan ARAK adalah wajar dalam kerangka pembangunan dan kemajuan negeri Perlis! Saya harus berkata “betul! betul! betul!” bila sahaja berhadapan dengan Datuk Seri Md Isa Sabu atau askar-askar recondnya.

Pekung Yang Terbuka?

8. Berbalik kepada tindakan tempang oleh pentadbiran Md Isa, beberapa isu besar menjadi signifikan untuk diperdebatkan hari ini dan bukan beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

9. Walaupun memanjat kerusi Menteri Besar melalui jalan belakang, Md Isa adalah Menteri Besar yang sah ketika berurusan dalam perniagaan ARAK dengan Ocean Chandlers Sdn. Bhd. (OCSB) diatas kapasitinya sebagai Pengerusi PKENPs. Oleh itu, Md Isa harus faham sensitiviti ARAK dalam masyarakat Islam apatah lagi untuk melibatkannya dalam usahasama dengan syarikat milik kerajaan negeri.

10. Ketika 7 Eleven memulakan operasi di Perlis beberapa tahun sebelum Md Isa menjadi Menteri Besar, wujud reaksi ketidapuasan hati oleh golongan ibubapa dan guru bilamana ARAK dijual secara terbuka dan bebas dibeli oleh dua tiga kerat remaja Melayu. Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Besar ketika itu lantas meminta agar penjualan ARAK dihentikan serta merta. Md Isa sepatutnya mengutamakan kesinambungan ketegasan pimpinan terdahulu dalam isu-isu sensitif sebegini.

11. Tindakan PKENPs menurunkan sewa bulanan dari RM 10,000 (oleh anak syarikat PKENPs) kepada RM 1560 (oleh OCSB) adalah insentif yang tidak munasabah memandangkan perniagaan tersebut tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk tempatan, sementelah tenaga kerja pun sebahagian besarnya diimport. Alangkah mulianya sekiranya insentif sewa rendah sebegini diberikan kepada usahawan “middle-class” tempatan?

12. Peralihan urusniaga penyimpanan ARAK (dan barangan lain) kepada OCSB secara total mungkin dilihat bijak sebagai refleksi keinsafan selepas terkantoi dengan PAS. Akan tetapi, OCSB tidak pula diarah membayar balik puluhan ribu kos installation and comissioning untuk peralatan dan sistem yang telah dipasang di GBA Padang Besar. Sebaliknya, PKENPs terus menanggung bil internet broadband berjumlah RM500 sebulan sehingga hari ini. Hal yang demikian hakikatnya telah menurunkan lagi kadar sewa kepada hanya RM1060 untuk sebuah fasiliti pergudangan seluas lebih 10 ekar. Ianya jelas begitu rendah berdasarkan nilai urusniaga purata untuk perdagangan ARAK di premis ini yang menjangkau RM1.2 juta sebulan.

13. Kegagalan Md Isa untuk melindungi kepentingan PKENPs terlihat dengan jelas pada tenancy agreement yang dibuat secara licik dan tergesa-gesa bagi menyembunyikannya dari Lembaga Pengarah PKENPs. PKENPs, melalui tenancy agreement tersebut, bukan hanya sekadar bersetuju dengan kadar sewa murah malah bersetuju menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk MEMASTIKAN segala lesen dan geran untuk urusan penyimpanan ARAK diperolehi.

14. Tidak cukup dengan itu, Para 5 (The Second Schedule) membuka ruang usahama untuk memperluaskan perniagaan ARAK ini. “The landlord and the Tenant shall form a joint venture to manage and operate the complementary portion of this business” (Pemilik dan Penyewa boleh mengadakan usahasama untuk mengurus dan menjalankan operasi pada baki kawasan sekitar yang dimiliki oleh Pemilik).

15. Orang-orang bawahan Md Isa sebenarnya sejak dari pertengahan tahun 2008 lagi cuba mengaitkan Datuk Seri Shahidan Kassim dengan “syarikat NCER” apabila merujuk kepada Perlis NCER Trading. “Syarikat NCER” (Northern Corridor Economic Region) ini sebenarnya ditubuhkan sebagai anak syarikat PKENPs di era kepimpinan Shahidan untuk menguruskan gudang di Padang Besar sebagai sebahagian dari strategi meluaskan dry-port di sempadan Thailand-Padang Besar. Ketika itu, syarikat ini sama sekali tidak terlibat dengan urusniaga ARAK.

16. Sekiranya dirujuk kepada Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 (Enakmen 4 tahun 1993), Seksyen 24(2): “Mana-mana orang Islam yang terlibat membuat, menjual, menghadiah, mempamer untuk jualan, MENYIMPAN, membawa atau membeli apa-apa ARAK atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan yang boleh disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali”. Adakah Kerajaan Negeri Perlis hari ini sebuah kerajaan “orang Islam”?

17. Ringkasnya, orang-orang muda ISLAM mendesak Pengerusi PKENPs supaya bersikap gentleman untuk mengakui kesalahan dan menamatkan operasi OCSB dengan serta merta. Demi nama baik parti keramat UMNO yang menjadi bahtera perjuangan orang-orang ISLAM, jangan lagi kamu berdolak-dalih bila sudah terkantoi!

qunang: if you were to jump off a bridge, i will not jump with you.... i will be at the bottom to catch you!


Tuesday, October 5, 2010

PKENPs DAN PERNIAGAAN ARAK (SIRI 1)

Berikut disertakan kronologi penglibatan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk seri Md Isa Sabu, dalam urusan perniagaan gudang arak.



qunang: perincian kisah ini sangat panjang.. nantikan siri berikutnya, insya Allah.