Thursday, October 14, 2010

1MALAYSIA & PERPADUAN KAUM

PERPADUAN MELAYU: AGAMA ATAU BANGSA

1. Setiap kali ditimbulkan isu perpaduan di kalangan bangsa Melayu, suatu polemik yang tidak dapat dielakkan adalah berkaitan sama ada perpaduan itu perlu diasaskan kepada bangsa atau agama. Setiap kali itu juga, orang-orang Melayu tidak dapat bersatu padu sama ada atas dasar agama mahupun bangsa.

2. Di akhir perdebatan yang panjang, kesempitan takrifan agama dan bangsa dijadikan isu pokok untuk mengekang perpaduan ummah.

3. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

4. Ayat diatas merupakan pengiktirafan Allah s.w.t terhadap usaha mengubah nasib sesuatu kaum oleh masyarakat dalam kaum itu sendiri.

5. Oleh yang demikian, penolakan dan polemik terhadap konsep perpaduan berasaskan kaum secara nyata telah menjerumuskan umat Islam di Malaysia di lohong pergeseran yang tidak berpenghujung, kerana di akhirnya perbahasan isu-isu sampingan seringkali membunuh semangat dan inisiatif perpaduan yang sepatutnya menjadi isu pokok untuk dijayakan oleh seluruh masyarakat Islam tanpa berbelah-bahagi.

6. Melainkan lebih satu peratus masyarakat Melayu di Malaysia menjadi kafir, retorik dan polemik “Islam” atau “Melayu” ini(rujuk: http://www.facebook.com/note.php?note_id=296554302157) perlu dihentikan dengan segera bagi membolehkan unsur-unsur perpaduan berputik secara semulajadi di sanubari masyarakat Melayu Islam. “Perpaduan Islam” atau “perpaduan Melayu” hanyalah semata-mata retorik takrifan yang terlalu sempit tetapi kerap diulang-ulang tanpa membantu menyatupadukan ummah.

MASYARAKAT MAJMUK

7. Fakta paling unik bagi sebuah negara bernama Malaysia adalah adunan kemajmukan komposisi kaum yang tidak mungkin dapat dilihat dimana-mana negara lain. Kaum Melayu menjadi penduduk majoriti merangkumi 50.6% dalam pecahan kependudukan negara ini, sementara Cina 24.4% dan India 7.5%.

8. Di negara-negara kulit putih, penduduk majoriti mereka tidak sekadar menjadi majoriti “atas pagar” sebagaimana Melayu di Malaysia. Di Great Britain, bangsa kulit putih (whites) mewakili 92.1% dari keseluruhan penduduk, sementara Amerika Syarikat mempunyai 88.8% bangsa kulit putih dan Australia 89.71%.

9. Fakta ini memberikan gambaran betapa ramuan dan formula keharmonian kaum tidak sewajarnya berasaskan kepada negara-negara kulit putih kerana mereka tidak berada dalam realiti sebenar sebuah negara majmuk.

10. Dalam kerangka kemajmukan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya, isu-isu perkauman secara konsisten akan menjadi tajuk utama akhbar beberapa kali dalam setahun.

11. Setiap kali timbulnya isu-isu yang berkaitan dengan hak dan keistimewaan Melayu, ataupun hak-hak masyarakat Cina dan India yang dijamin oleh perlembagaan, maka akan wujud sentimen yang agak kasar dalam memberikan tindakbalas terhadap pihak-pihak yang menimbulkan isu sedemikian.

12. Pada 10 Oktober yang lalu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-57 menyebut tentang bangsa Cina bukanlah kaum pendatang di negara ini sebagaimana beberapa generasi sebelumnya. (rujuk: http://www.malaysiakini.com/news/144921)

13. Tidak menjadi pendatang bukanlah bermakna mereka menjadi bumiputera.

14. Sebagaimana kenyataan Perdana Menteri, orang-orang Cina dan India merupakan warga yang setia -- kesetiaan terhadap negara Malaysia dan perlembagaannya -- maka perlu turut setia menghormati hak dan keistimewaan Melayu yang terkandung dalam perlembagaan tanpa terdetik untuk mempertikaikannya sekali lagi.

15. Sebagai imbalan yang adil, pertubuhan dan organisasi Melayu seharusnya menghentikan pertikaian terhadap hak dan keistimewaan Cina dan India yang terkandung dalam perlembagaan negara, termasuk dalam soal pendidikan dan pengiktirafan terhadap bahasa ibunda mereka.

16. Setelah wujudnya mutual respect dan kefahaman yang jelas tentang semangat perpaduan berlandaskan baris-baris perlembagaan, perpaduan akan dapat diperkukuhkan di kalangan rakyat Malaysia.

17. Demikianlah konsep 1Malaysia yang semakin difahami oleh sekalian rakyat. Tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak!


qunang: kalau ajak bersatu padu pun nak bangkang dengan pelbagai polemik, abis tu nak kena biar saja pertelingkahan yang ada?

No comments: