Thursday, October 21, 2010

Perbahasan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Perlis



Berikut adalah teks ucapan penuh yang tidak sempat dihabiskan pada hari tersebut:

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh..

Alhamdulillahi Robbi ‘Alamiin, Hamdan Yuwa fi ni’mah, Wa yuka fi’u mazidah, Ya Robbana lakal hamdu kama yan Baghi li jalali wal Ikram wa aziimi sultonik. Allahumma solli ‘ala MUhammadin Wa ‘ala aalihii wa sohbihi ajma’iin.. Qola Robbanaf Tah Baina Na Wa Baina Qaumina Bil Haq. Wa Anta Khairul Faatihiin… Sodoqallahul Aziiim.

Pemuda bersidang pagi ke malam,

Izinkan saya menyusun kalam.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap Persidangan,

YB Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairi Jamaluddin,

Barisan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Seterusnya Sidang Perwakilan Pemuda UMNO ke Persidangan Agung Pemuda UMNO Malaysia bagi tahun 2010 yang saya kasihi sekalian.

Saya Radzi bin Hashim Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis. orangnya tidaklah tinggi tetapi tidaklah pula terlalu rendah bak kata pantun empat kerat yang akan popular selepas ini,

Rendah bukan sebarang rendah,

Rendah datang dari Utara;

Endahlah tuan jangan tak endah,

Wakil Perlis menyusun bicara.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Sebelum bicara saya lanjutkan, sebelum perbahasan mula kita hangat-hangatkan, saya ingin menarik perhatian dewan ini bersama mengenang salah seorang yang pernah berada di Dewan ini satu ketika dulu dan kini telah dijemput pulang oleh Robbi Illahi.. Sesungguhnya kehilangan beliau merupakan kehilangan kepada kita semua kerana beliau merupakan contoh pemimpin UMNO yang sentiasa memberikan khidmat terbaik khususnya dalam kawasan yang beliau berdiri sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahgian Padang Besar dan beliau juga menjadi contoh kesinambungan kepimpinan pemuda perkasa yang berjaya meneruskan tradisi kepimpinan di peringkat lebih tinggi selepas tamat tempoh perkhidmatan dalam era kepemudaan. Marilah kita sedekahkan pahala bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham Md. Nor bin Aziz Mantan Ketua Pemuda UMNO Padang Besar merangkap Mantan Naib Ketua Pemuda UMNO Perlis tahun 2006-2008 yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung di Kota Bahru, Kelantan pada 15 Oktober 2010. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham. Kepada seluruh ahli keluarga beliau, kita doakan semoga tabah menghadapi dugaan takdir Allah SWT. Terima kasih kerana meminjamkan Arwah kepada kami.. Al-Fatihah!

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Kita sering bercakap tentang perpaduan khususnya dalam UMNO dan antara sesama Melayu. Namun begitu, apa yang kita perlu akur dan sedari ialah perpaduan yang cuba kita tegaskan sebenarnya tidak mengundang apa-apa masalah di peringkat akar umbi dan masalah yang wujud biasanya hanya di peringkat yang tertinggi sahaja.

Apa benar kita bersatu? Apakah kita bersatu sekadar kosmetik atau retorik politik semata-mata? Dalam masa yang sama kita kononnya cuba memperkukuh kesatuan tetapi hakikatnya kita hanya boleh dan mampu bersatu hanya untuk berpecah. Ada ahli mengaku “aku orang ini” dan ada ahli mengaku “aku pula orang ini” sama ada dari segi lisan, tulisan mahupun perbuatan mereka. Teringat sindirin sinis seorang ahli pemuda di kampung saya yang menyatakan “ woi Radzi! Aku tengok UMNO la ni lebih baguih bersatu untuk cempera, bukannya untuk bagi kuat, mekalu lagu tu sampai mampuih pun kita dok kena tembak sedia”

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Seorang Mukmin akan teguh mentaati Perlembagaan yang terkandung dalam AL-Quran dan As=Sunnah, seorang RAKYAT akan teguh mentaati Perlembagaan Persekutuan; dan tentunya bila seorang ahli PARTI UMNO akan teguh mentaati apa yang terkandung dalam Perlembagaan UMNO. Kita dikira bersatu sekiranya benar-benar mematuhi apa yang terkandung dalam pertauran yang ada. Bila hanya peringkat tertentu sahaja yang diminta mengikut perlembagaan sedangkan sebahagian pihak yang lain tidak mahu mengikut bahkan melanggar kemurnian perlembagaan yang setia dijunjung pada satu ketika maka ia menjadi titik mula kehancuran pada nikmat pepaduan yang diteguk selama memartabatkan UMNO sebagai parti perkasa orang Melayu. Pucuk pimpinan tertinggi seharusnya menyedari tranformasi yang dicanang mesti dilaksana sepenuh hati dan bukannya seperti menarik rambut di dalam tepung. Mana yang boleh disegerakan, kita segerakan dan mana yang agak lambat kita pacu ke gear yang lebih tinggi agar ia seimbang dan lancar. Janganlah di sebelah akar umbi, pemimpin mahu ada perubahan sedangkan dalam kalangan pimpinan masih tidak berubah bahkan dikekalkan mereka yang rosak menaungi perjalanan UMNO.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Saya ingin bacakan pantun enam kerat buat mereka yang hendak terasa. “Makna kata mekalu ada yang tak mau terasa, biaq pi la kat depa na…nak buat gena dah kita yang bawak naik depa…”

Dulu single, dah kawin satu,

Tup-tup dengaq dah sambaq dua,

Silap-silap esok dah jadi tiga;

Kita Melayu mesti bersatu,

Barulah kena dengan bini yang lawa,

Sama sendiri toksah la dok pelaga.


Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Apa yang berlaku pada PRU 2008 dan pasca PRU 2008 sebenarnya menjadi BARAH yang mula merosakkan sistem parti yang selama ini berjalan secara lancar. Ia ditambah-buruk dengan tindakan-tindakan serta keputusan-keputusan pucuk pimpinan hingga menyebabkan hilang dan timbul krisis kepercayaan terhadap kemampuan UMNO menerajui orang-orang Melayu dalam kalangan ahli UMNO itu sendiri.

Sebagai contoh, dari lebih 30 Ketua UMNO Bahagian di negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, hanya seorang yang ada dalam kabinet kerajaan. Itupun hanya sebagai timbalan menteri. Kuota menteri yang biasanya ada di setiap negeri diberikan kepada ahli UMNO biasa dan mereka yang baru menjadi ahli dengan diangkat mereka menjadi Senator. Dengan bekalan peruntukan kuasa, dengan bekalan peruntukan kewangan dan dengan bekalan peruntukan projek menyebabkan tumpuan rakyat dan sebahagian ahli tertumpu kepada keberadaan menteri dan tidak lagi kepada kuasa UMNO itu sendiri. Negeri Perlis sendiri yang satu ketika mempunyai dua Menteri Penuh hanya dengan tiga kawasan parlimen yang ada terus dilupuskan hak untuk menerima kouta sebarang jawatan kabinet selepas hampir tiga tahun UMNO dan BN berjaya mengekalkan kuasanya. Bahkan pada satu ketika ada senator yang dilantik dari kalangan mereka yang pernah mengkhianati perjuangan UMNO dan ia diberi kepada individu yang hanya hebat menjual air liur semata-mata sedangkan anak sendiri terus dibiarkan kelaparan. Ahli UMNO pula dilihat hanya hebat bertepuk tangan dan bersorak gadai bila hak mereka diambil secara sedar. Tambah malang, saudara ketua pemuda UMNO Malaysia pula yang tiada apa. Awat yang jadi lagu nie? Sejarah membuktikan Pemuda menjadi tonggak kekuatan UMNO dengan keupayaannya melahirkan beberapa generasi kepimpinan yang berkaliber dan berani mendepani pelbagai isu-isu massa dalam masyarakat. Bagi Pemuda, ‘‘genggam bara api, biar sampai jadi arang; bukan niat nak cucuh api, tapi menegur yang mana kurang’’. Kami empati kepada Saudara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, kerana dayung sudah di tangan, perahu sudah di air; akan tetapi sudah dua tahun dilamun angan, diri sepi terus dipinggir. Bertahun sudah memecahkan ruyung, masih menanti mana sagunya.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Jika kita lihat dari statistik 12 Pilihan Raya Kecil yang dilalui selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya mampu menang dua pilihan raya kecil sahaja. Dari fakta ini kita setia menanti apakah bentuk perubahan yang cuba diterapkan pucuk pimpinan?

Apa perubahan yang kita tunggu lagi untuk diterjemahkan dalam situasi kini?

Asyik-asyik kita mendengar skrip yang sama sahaja. Apakah UMNO yang dicanangkan sedang menjalani transformasi atau perubahan masih tidak berubah setakuk apa yang hendak diubahnya itu?

Pelbagai program dilaksanakan dan kita seolah masih gagal mendapatkan sepenuh kepercayaan seperti yang pernah kita nikmati pada zaman-zaman terdahulu?

Apakah masalah dan kelemahan yang kita dapat sekarang hendak disandarkan selamanya kepada generasi kepimpinan terdahulu tanpa mampu berubah dan jika perubahan itu ada ia sekadar perubahan satu langkah siput babi semata-mata?

Mengapa kita terlalu sibuk menjahit koyak baju di lengan tangan sedangkan lubang koyak di tepi punggung masih tidak terjahit langsung?

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

UMNO perintah sudahlah lama,

Mantap teruji memegang kuasa;

Perpaduan UMNO perlu diutama,

Andai mahu terus berkuasa

UMNO Parti teras Melayu,

Menjadi kebanggaan kita semua;

Usahlah Melayu terus layu,

Bangunlah PEMUDA, jangan kita leka.

Saya ingin nyatakan solusi atau penyelesaian kepada isu perpaduan yang kita dambakan supaya ia tidak lagi kekal sebagai kosmetik atau retorik politik buat selamanya dan dalam masa yang sama memberikan peluang kepada parti pembangkang yang sudah mula mengambil alih kedudukan menyerang kita dari segenap segi.

Pertama:

Memohon pertimbangan parti untuk memberikan perhatian khusus dalam soal tradisi parti yang tidak harus diketepikan sewenang-wenangnya termasuk dalam konflik politik yang berpanjangan di Perlis dan Terengganu. UMNO sebagai tonggak parti yang mendapat mandat memerintah daripada rakyat perlu mempunyai kekuatan menyuarakan apa jua kehendak rakyat terbanyak di mana-mana peringkat perbahasan. Pilihan rakyat terbanyak harus diangkat tanpa gusar dan takut.

Kedua :

Memohon pertimbangan semula Presiden untuk melantik Ketua Pemuda UMNO dan BN ke jawatan yang setaraf dengan kerusi yang dimenanginya. Mana-mana menteri atau pemimpin parti yang mengaitkan desakan ini dengan sifat “gila jawatan” diminta meletakkan jawatan mereka atas sifat “tidak gila jawatan”.

Ketiga :

Mendesak sesiapapun selain Ketua Pemuda UMNO Malaysia supaya tidak terlalu berlagak menjadi boss bermuka lima dan berkepala naga tujuh dengan menyemai benih perpecahan dan sikap berpuak-puak dalam kalangan exco; sebaliknya lebih aktif bergerak di akar umbi bersama-sama saudara Ketua Pemuda. Sudah-sudahlah dengan sikap iri hati, cemburu dan tikam belakang. Hentikanlah perlakuan dan sikap bermain telefon suka melalak sana sini untuk memburuk-burukkan Saudara Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Sedarilah bahawa anda sekalian sentiasa diperhatikan.

Dan Keempat dan terakhir untuk kali ini,

Kepada semua pucuk pimpinan di segenap peringkat bermula dari presiden hingga ke taraf ahli biasa, kembalikan prinsip PARTI menguasai KERAJAAN, kerana hanya dengan janaan mantap prinsip ini mampu meletakkan UMNO kekal sebagai Kuasa Politik Terbesar Malaysia dan tidak akan dicabar oleh sesiapapun dalam konteks politik semasa. Usah terikut dengan tohmahan dan provokasi parti lawan kerana sedia menjadi adat dan budaya mereka takkan puas walau jutaan kebaikan dilaksanakan oleh parti pemerintah. Apa yang dapat lihat semata-mata keburukan dan kebobrokan UMNO sahaja. Yakinlah bahawa UMNO masih di hati rakyat dan kita yang ada di di sini dan semua ahli pemuda yang ada di luar sentiasa setia menjunjung keutuhan parti, kita yang menentukan kelangsungan survival kuasa Melayu di Malaysia.

Pemuda UMNO Perlis amat berkeyakinan jika solusi ini dipatuhi dan dijadikan amalan berorganisasi, Pemuda UMNO Malaysia mampu untuk menjadi sayap paling kuat dan utuh serta mantooop bagi menjamin kemenangan UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum akan datang. Insya Allah.

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian,

Saya ingin memohon sedikit tambahan masa kerana menyampaikan amanah perjuangan oleh rakan di kampong dan bahagian saya iaitu Bahagian Padang Besar berkaitan isu kenaikan kos insuran kenderaan bermotor. Mereka merintih, orang-orang kampung yang miskin juga merintih, golongan berpendapatan rendah juga merintih dan terkesan dengan kenaikan kos insuran kenderaan bermotor ini. Apakah kita mahu menggunakan isu ini sebagai umpan pilihanraya sedangkan rakyat yang menderita semakin hari semakin mencemuh serta membenci kita kerana dikatakan tidak prihatin dan memberi perhatian kepada permasalahan mereka? Dalam sehari mungkin berpuluh dan mungkin juga beratus bahkan juga beribu rakyat yang membayar insuran kenderaan bermotor mereka untuk memperbaharui cukai jalan dan dalam sehari tiada mustahil berpuluh, atau beratus dan mungkin juga beribu rakyat mula membenci kegagalan kita menjaga kebajikan rakyat. Atas alasan apa sekalipun, kerajaan kena melihat dan mengkaji semula dengan segera isu popular alaf ini sebelum ia menjadi penambah penyakit BARAH UMNO yang sedia ada. Kami kepimpinan pemuda di peringkat bahagian sering menjadi tumpuan tempat pelepas geram dan marah akibat kenaikan insuran kenderaan bermotor ini. Kami bukan bergaji beribu-ribu, mereka juga bergaji ratus-ratus sahaja. Janganlah dizalimi rakyat yang setia dengan perjuangan UMNO. Isu ini sebenarnya telah menambah parah masalah perpaduan dalam kalangan ahli parti di peringkat akar umbi. Jangan biarkan ia menjadi punca yang melemahkan parti. Rakyat semakin cerdik dan UMNO juga perlu cerdik menangani permasalahan serta isu ini.

Akhirul kalam,

Kepada mereka yang mendengar, kepada mereka yang menonton, kepada mereka yang berkuasa, kepada mereka yang memberi undi, kepada mereka yang masih sayangkan UMNO, kepada mereka yang cintakan perpaduan Melayu, kepada mereka yang sentiasa mahukan UMNO terus menjadi pemangkin kekuasaan Melayu di Malaysia. Sampaikan bicara hamba ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana telah selesai menyampaikan amanah yang terbeban atas bahu saya khususnya sebagai wakil Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis kali ini. Ingatlah “Tidak sempurna iman orang yang tiada AMANAH”.

Kepada Ketua Pemuda UMNO Padang Besar merangkap Ketua Pemuda UMNO Negeri Perlis Cikgu Mohsin Yusof yang sentiasa kontroversi, terima kasih saya ucapkan kerana memberikan peluang kepada saya untuk berada di pentas ini dan saya berharap agar apa yang saya perkatakan ini diluluskan oleh saudara semua! Lulus tak lulus??? Lulus!!!!

Saya akhiri dengan rangkap pantun terakhir

Melayu UMNO Melayu berjatidiri,

Pertahan nilai budaya bangsa;

Takkan ku undur melarikan diri,

Demi keutuhan perjuangan BANGSA.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh!

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Sekian, terima kasih!

3 comments:

The Full Moon Revolution said...

banyak yg nak diluahkan, tapi masa dok cemburu!

qunang² said...

banyak alasan dari mengakui kelemahan..

The Full Moon Revolution said...

memang betui kelemahan terserlah!... (-: