Sunday, October 17, 2010

PERSIDANGAN PEMUDA 2010: TRANSFORMASI ATAU TRADISI


Menelusuri Bidalan

1. Sebagaimana kelazimannya, Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO yang akan berlangsung pada 20hb Oktober 2010 sekali lagi bakal menjadi medan pidato orang-orang muda. Sejarah membuktikan Pemuda menjadi tonggak kekuatan UMNO dengan keupayaannya melahirkan beberapa generasi kepimpinan yang berkaliber dan berani mendepani pelbagai isu-isu massa dalam masyarakat. Bagi Pemuda, genggam bara api, biar sampai jadi arang; bukan niat nak cucuh api, tapi menegur yang mana kurang.

2. Persidangan kali ini akan sekali lagi diselubungi dengan suasana semangat separuh masak ekoran permintaan secara baik dan berlapik mengikut saluran dalaman masih tidak diberi perhatian. Arus deras di dasar aliran perjuangan Pergerakan Pemuda hari ini memohon kesaksamaan dan kasih sayang dari Presiden untuk memberikan perhatian khusus kepada pengagihan “gula dan manisan” untuk ditumpang rasa oleh Pemuda yang tidak pernah letih bekerja. Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Ketua Puteri dimenterikan, sayang Khairy kenapa abaikan?

3. Perlantikan Mukhriz Mahathir sebagai menteri tidak harus dilihat sebagai mengisi “kuota” Pemuda kerana beliau bukan Pemuda. Mukhriz tidak lagi mempunyai ikatan secara langsung dengan Pemuda setelah beliau tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda. Oleh itu, Presiden perlu mengimbangi penghormatan beliau terhadap Tun Mahathir melalui perlantikan Mukhriz, dan jiwa besar beliau terhadap generasi pelapis melalui sedikit penghormatan terhadap Ketua Pemuda. Jangan pula yang dikendong tak dapat, yang dikejar tercicir; Mukhriz dapat, Khairy tercicir.

4. Khairy mengambil alih teraju Pergerakan Pemuda daripada Hishamuddin dalam keadaan UMNO kekontangan undi di Saluran 3 dan 4. Kegagalan UMNO untuk mendekati generasi Pemuda di kedua-dua saluran tersebut sepatutnya diletakkan di bahu Hishamuddin. Akan tetapi, nasib tidak memihak kepada Khairy kerana beliau menghadapi asakan bertali arus daripada Tun Mahathir yang cuba membenamkan Khairy diperingkat awal bagi membuka laluan lebih selesa kepada Mukhriz. Maka, nama Khairy dipalit dengan imej rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan pelbagai tuduhan mengumpul kekayaan dan kesenangan diri. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, Hisham juga harta bersepah, Khairy seorang asyik diterjah.

5. Kuasa dan pertimbangan prerogatif Presiden yang melantik Naib Ketua Pemuda, Razali Ibrahim, sebagai timbalan menteri lebih banyak membawa perpecahan dari perpaduan dalam organisasi Pemuda. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi; Ketua pangkat rendah, Naib lagi tinggi.

6. Memang benar, jawatan Ketua Pemuda bukanlah jaminan untuk jadi menteri, tetapi begitulah tradisi, amalan dan kelaziman dalam UMNO. Ketika Mahathir dalam keadaan separuh percaya kepada Zahid Hamidi untuk dilantik sebagai menteri, beliau sekurang-kurangnya tetap memberi jawatan Pengerusi BSN sebagai pengiktirafan kepada Pergerakan Pemuda. Mahathir sendiri tidak mampu pandang sebelah mata kepada Zahid untuk melantik Naib Ketuanya ke jawatan yang lebih tinggi. Begitu ramai Pemuda yang kurang faham dengan Najib. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang; kenapa “nombor dua” terus dikelek, “nombor satu” terus diganyang?

7. Siapa Razali Ibrahim? Kalau tidak kerana menumpang kapal Hishamuddin, Razali tidak dikenali hatta tidak diundi. Beliau bukanlah orang muda yang paling pintar dalam generasinya, tidak juga beliau mempunyai track record cemerlang dalam memberikan sumbangan bermakna kepada Pemuda di luar Johor, malah tidak juga agresif untuk mengetengahkan idealisme dan pendirian. Razali adalah simbol opportunist dan pembodek politik play save yang naik mengharapkan tuah dan ehsan pemilik kapal yang dipanjatnya. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; Mana Naib tak nampak hidung, sewaktu Ketua dilanyak diikat?

8. Kasihan pada Khairy, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air; dua tahun dilamun angan, diri terus dipinggir. Bertahun sudah memecahkan ruyung, masih menanti mana sagunya.

Kesinambungan

9. Sudah menjadi tradisi dalam Persidangan Tahunan UMNO dan sayap-sayapnya, saban tahun para perwakilan dari negeri-negeri akan bangun berpidato dengan ditutup oleh ucapan penggulungan. Segalanya terhenti disitu. Tidak ada resolusi atau tracking sheet untuk dinilai semula oleh sekalian ahli-ahli pada tahun berikutnya sebagai kesinambungan dan ukuran tahap penerimaan ataupun perlaksanaan begitu banyak isi-isi pidato mereka oleh kerajaan.

10. Penggulungan oleh Presiden pula dikarang lebih awal sebagai persediaan untuk menghadap kamera siaran langsung, maka Presiden lazimnya tidak menggulung pidato perwakilan secara kesluruhannya dalam bentuk checklist atau senarai amanah dari ahli-ahli di akar umbi. Penggulungan Presiden sebaliknya menjadi suatu lagi ucapan, lebih kurang sama seperti ucapan perasmian. Begitulah juga halnya yang menjadi kelaziman ketua-ketua sayap.

11. Kalau ada sumur di ladang, boleh kita berjumpa lagi; kalau ada umur yang panjang, tahun depan berjumpa lagi. Akhirnya, pulanglah berbondong-bondong perwakilan UMNO untuk mengulangi semula skrip pidato pada tahun hadapan dengan sedikit olahan ayat dan fakta. Sama ada penerimaan dan keberkesanan pidato itu berada di tahap 90% atau 1%, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

12. Sebagai Perwakilan Pemuda yang telah diberi mandat oleh akar umbi untuk hadir ke Persidangan bagi tahun ini, saya mohon menyampaikan desakan, cadangan dan permintaan ahli-ahli Pemuda di tempat saya untuk perkara-perkara berikut:

a. Memohon pertimbangan parti untuk memberikan perhatian khusus dalam soal tradisi parti yang tidak harus diketepikan sewenang-wenangnya termasuk dalam konflik politik yang berpanjangan di Perlis dan Terengganu. UMNO sebagai tonggak parti yang mendapat mandat memerintah daripada rakyat perlu mempunyai kekuatan menyuarakan apa jua kehendak rakyat terbanyak di mana-mana peringkat perbahasan. Pilihan rakyat terbanyak harus diangkat tanpa gusar dan takut.

b. Memohon pertimbangan semula Presiden untuk melantik Ketua Pemuda UMNO dan BN ke jawatan yang setaraf dengan kerusi yang dimenanginya. Mana-mana menteri atau pemimpin parti yang mengaitkan desakan ini dengan sifat “gila jawatan” diminta meletakkan jawatan mereka atas sifat “tidak gila jawatan”.

c. Mendesak saudara Naib Ketua Pemuda, supaya tidak terlalu berlagak jadi boss dengan menyemai benih perpecahan dan sikap berpuak-puak dikalangan exco; sebaliknya lebih aktif bergerak di akar umbi bersama-sama saudara Ketua Pemuda. Sudah-sudahlah dengan sikap iri hati, cemburu dan tikam belakang. Hentikanlah perlakuan dan sikap main telefon suka call sana sini untuk memburuk-burukkan Ketua Pemuda.

d. Mencadangkan penggunaan anjing pengesan digunakan secara lebih meluas di pintu-pintu sempadan bagi membanteras penyuludupan dadah yang merosakkan anak-anak Melayu.

e. Mencadangkan kajian saintifik untuk membuang racun dan toksid dalam daun ketum (biak) agar ianya diiktiraf sebagai minuman bermanfaat yang tidak memudaratkan.

f. Mendesak agar pusat-pusat dan lorong-lorong pelacuran yang popular di ibukota dibanteras dengan sesungguh hati dalam tempoh satu tahun dari sekarang. Tahun depan, bila nak bersidang pulak, boleh ishtihar “KL Sifar Pelacur” dan teruskan usaha di tempat-tempat lain pula.

13. Segalanya boleh diukur dengan pancaindera. Insya Allah, tahun depan kita nilaikan hasilnya. UMNO akan sekali lagi menerima seribu cadangan dan saranan bilamana ahli-ahli dari segenap pelosok negara berhimpun. Bukan semua cadangan dapat diterima dan dilaksana, maka sekurang-kurangnya tahun depan kita diberitahu bahawa segala cadangan dan saranan ini tidak dapat dilaksana dengan bersebab.

14. Generasi muda semakin peka untuk menilai sama ada Persidangan Tahunan ini diadakan untuk sekadar memenuhi tradisi, atau menjadi agenda besar sebuah transformasi.

15. Selamat bersidang...

qunang: tersenyum tengok manusia yang tersenyum keasyikan dibuai sokongan plastik... :)

2 comments:

The Full Moon Revolution said...

Salam,
sebagai orang Perlis, saya amat bersetuju dengan pandangan yang tulus dari hati saudara..tapi saya takut saudara sahaja yg berpandangan begitu tidak pemimpin2 atasan!!

qunang² said...

Mereka akan diadili..