Tuesday, November 30, 2010

PILIHANRAYA UMUM KE-13


Pembaharuan Tradisi

1. Telah menjadi tradisi dalam umno untuk melambatkan pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum.

Cerdik punya cerdik.. Cantik punya cantik.. Last-last gigit ekor sendiri.. :)

2. Alasan yang sinonim disebalik tradisi ini ialah untuk mengelakkan berlakunya perpecahan dalaman yang dikhuatiri menggugat kekuatan parti.

3. Pemilihan pimpinan UMNO yang sepatutnya diadakan pada tahun 2007 telah dilambatkan setahun bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum ke-12 yang akhirnya menyaksikan Barisan Nasional tersungkur di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Menyimbah air ke daun keladi..

4. Perkara pokok yang mengucar-kacirkan jentera UMNO dalam pilihanraya umum ke-12 adalah cubaan disaat-saat akhir oleh Presiden UMNO ketika itu untuk mengetepikan pandangan Ketua-ketua Bahagian UMNO secara veto dengan mencalonkan individu-individu yang menjadi pilihannya secara sesuka hati.

5. Penafian terhadap cadangan dan pandangan Ketua-ketua Bahagian ini telah melonggarkan cengkaman jentera UMNO di akar umbi yang ternyata tidak berpuas hati kerana ketua yang dipilih secara musyawwarah oleh mereka telah dipinggirkan oleh pucuk pimpinan.

Kos yang terlalu tinggi terpaksa dibayar untuk membawa beban yang terlalu kecil.. Merugikan..?

6. Sebaliknya, pucuk pimpinan parti lebih cenderung menerima pandangan dan cadangan daripada Ahli-ahli Parlimen sedia ada ketika itu yang sebahagiannya tidak memegang jawatan dalam Bahagian. Kelompok ini naik kerana mahir dalam selok belok mengampu dan mengipas untuk kepentingan diri.

7. Natijahnya, lebih 80 orang Ketua Bahagian UMNO tidak dicalonkan oleh kerana Ahli-ahli Parlimen yang tidak berjawatan ini sememangnya berhajat untuk mencantas Ketua-ketua Bahagian tersebut lebih awal dengan harapan mudahlah nanti mereka memenangi jawatan dalam pemilihan Bahagian.


Mengelak Perpecahan

Buta teknologi atau buta hati..?

8. Sama ada pemilihan parti diadakan atau tidak sebelum pilihanraya umum, perpecahan sememangnya tidak dapat dielakkan; apatah lagi masing-masing mengharap agar diri mereka dipilih sebagai calon, maka jawatan dalam parti boleh dijadikan batu loncatan.

9. Apa yang dapat dilakukan ialah mengurangkan impak kepada perpecahan yang sedia wujud agar tidak menjejaskan kekuatan parti secara keterlaluan. Impak kepada perpecahan hanya akan dapat dikurangkan sekiranya individu yang hendak dicalonkan itu telah diuji dan direstui secara konsensus oleh sekurang-kurangnya ahli-ahli dan jentera parti di kawasannya.

Boleh senang nak cari susah..

10. Oleh yang demikian, cadangan nama wakil-wakil rakyat perlu datang daripada Ketua Bahagian yang telah membuktikan keupayaan dan kejayaannya menambat hati majoriti ahli-ahli parti di kawasannya dengan apa cara sekalipun; sekaligus membolehkan jentera parti digerakkan olehnya dengan lebih terancang, tersusun dan bertangungjawab.

11. Mengadakan pemilihan parti sebelum pilihanraya merupakan suatu transformasi besar dalam UMNO agar barisan calon-calon yang bakal dipilih dalam pilihanraya umum dilihat mendapat mandat yang segar daripada para pengundi.

12. Kemudiannya, seruan perpecahan menjelang pilihanraya umum oleh individu yang tewas dalam pemilihan parti bolehlah dianggap sebagai minoriti yang tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara pemenang majoriti untuk mempertimbangkan desakannya.

Potong sayur dengan pisau; jari tak putus, sayur terincit..

13. Kaedah memperkasakan institusi UMNO di Bahagian menjadi kunci kejayaan Barisan Nasional selama berdekad-dekad.

14. Sejarah membuktikan, tindakan mengetepikan Bahagian ibarat mengundang kekalahan. Kesilapan ini tidak wajar diulangi oleh mana-mana Presiden UMNO.

qunang: tergigit lidah.. :)


Thursday, November 25, 2010

BANJIR & AIR MATA: CURAHAN RASA BUAT MD ISA

Wahai Datuk Menteri Besar,

Negeri kita kena banjir besar,

Banyak mangsa banjir dan pulau-pulau sekitar,

Rosak harta, hanyut selipar,

Perut lapar, badan terketar,

Dok cari juga dimana pembesar.

Wahai Datuk Menteri Besar,

Orang dah pencen Datuk panggil bagi gelar,

Dari Setiausaha Prebet sampai Setiasauaha Sarjan Mejar,

Dari wakil rakyat sampai exco yang dibayar,

Pakat lawan menyelam bila datang banjir besar.

Wahai Datuk Menteri Besar,

Nak bagitau elok-elok tak mahu kasar,

Diskaun air 20 ringgit tidaklah besar,

Takat banyak tu kami boleh ikhtiar,

Kami kerja petani, cikgu dan loyar.

Wahai Datuk Menteri Besar,

Yang kami minta tolong masa air tengah besar,

Masa tu kami terbiar,

Teringinlah nak mengadu nasib pada pembesar,

Kami bukan nak jumpa askar,

Bomba mai pun tak boleh padam hati yang terbakar.

Wahai Datuk Menteri Besar,

Air koi surut baru kami nampak Datuk bersiar-siar,

Randuk air bah nak cuci tayar,

Kami penat jala ikan, Datuk singgah nak ambik tak bayar,

Takkan tak boleh beli sendiri kat pasar.

Wahai Datuk Menteri Besar,

Bendang Datuk luas berekar-ekar,

Kesian banyak duit kena keluar,

Tapi nanti hari mengundi kalau kami pulak tak keluar,

Undi pulak akan tersasar,

Datuk naik kereta pun tak boleh pakai drebar,

Fikirlah dengan panjang lebar...

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

Tuesday, November 23, 2010

POLITIK DIAM

Kesederhanaan Berpolitik

1. Seorang hamba Allah separuh usia berpesan kepada saya, “dalam politik, kalau tidak mahu dikata jahat, jangan buat perkara yang baik”.

2. Buat jahat, dikata jahat, buat baik pun dikata jahat; maka yang ditengah-tengah ialah duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

3. Diam disifatkan sebagai amalan bersederhana (wasatiyyah) dalam politik.

4. Terdapat banyak jenis diam. Diam mulut, tangan bekerja; diam tangan, mulut bekerja; serta diam tangan dan mulut tanpa perlu membuat apa-apa kerja.

5. Diam ubi berisi. Diam besi berkarat. Diam-diam Daim berguni. Diam bangkai berulat.


Memilih Pemimpin Diam

6. Dengan pengajaran dan pengalaman ketika melalui masa-masa susah dan senang, masyarakat di akar umbi serta pucuk pimpinan parti mempunyai ruang pertimbangan yang luas untuk sama ada memilih pemimpin yang “diam ubi” ataupun “diam besi”.

7. Perjuangan politik memerlukan pengorbanan dan sumbangan yang boleh diukur dengan pancaindera. Pengorbanan dan sumbangan dalam konteks politik terbahagi kepada masa, tenaga, idealisme dan harta.

8. Sekiranya individu yang berhajat menjadi pemimpin sejak dari awal lagi begitu kikir menyumbang masa dan tenaga, ditambah pula dengan ketandusan idealisme dan kebakhilan harta; maka, tidak banyak yang boleh diharapkan apabila individu tersebut diangkat ke persada kuasa.

9. Sejarah UMNO selepas era Mahathir telah memperlihatkan betapa pemimpin “diam besi” telah beberapa kali dipilih berdasarkan faktor malu alah separa veto sehingga mengendurkan pengaruh UMNO yang berakar dalam masyarakat Melayu.

10. Orang tua-tua berperibahasa, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”. Akan tetapi, kalau sepanjang tahun air itu tenang, jangankan buaya, ikan dan berudu pun pasti tidak ada.

11. Jika diselidiki sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang diam ini, mereka sememangnya mengharapkan air yang sentiasa tenang untuk mempermudahkan mereka mengumpul kekayaan tanpa gangguan. Perjuangan kepala agong.

12. Sekiranya terdapat gangguan yang menggugat ketenangan mereka mengumpul kekayaan diri, maka mulalah mereka memukul gendang propaganda untuk membunuh karakter si pengacau itu. Seandainya karakter si pengacau itu berjaya dibunuh dan keadaan kembali tenang, mereka akan menyambung semula urusan memperkayakan diri sendiri dengan aman dan damai.

13. Pemimpin politik yang terlalu diam dalam mengetengahkan idealisme pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, serta gagap untuk mendepani permasalahan anggota masyarakat yang dipimpinnya menggambarkan ketidakupayaan individu tersebut untuk memimpin. Persoalannya, apa perlu kita mengangkat individu seperti ini dalam kategori “pemimpin”?

qunang: berkata baik ataupun diam..