Tuesday, November 23, 2010

POLITIK DIAM

Kesederhanaan Berpolitik

1. Seorang hamba Allah separuh usia berpesan kepada saya, “dalam politik, kalau tidak mahu dikata jahat, jangan buat perkara yang baik”.

2. Buat jahat, dikata jahat, buat baik pun dikata jahat; maka yang ditengah-tengah ialah duduk diam tanpa melakukan apa-apa.

3. Diam disifatkan sebagai amalan bersederhana (wasatiyyah) dalam politik.

4. Terdapat banyak jenis diam. Diam mulut, tangan bekerja; diam tangan, mulut bekerja; serta diam tangan dan mulut tanpa perlu membuat apa-apa kerja.

5. Diam ubi berisi. Diam besi berkarat. Diam-diam Daim berguni. Diam bangkai berulat.


Memilih Pemimpin Diam

6. Dengan pengajaran dan pengalaman ketika melalui masa-masa susah dan senang, masyarakat di akar umbi serta pucuk pimpinan parti mempunyai ruang pertimbangan yang luas untuk sama ada memilih pemimpin yang “diam ubi” ataupun “diam besi”.

7. Perjuangan politik memerlukan pengorbanan dan sumbangan yang boleh diukur dengan pancaindera. Pengorbanan dan sumbangan dalam konteks politik terbahagi kepada masa, tenaga, idealisme dan harta.

8. Sekiranya individu yang berhajat menjadi pemimpin sejak dari awal lagi begitu kikir menyumbang masa dan tenaga, ditambah pula dengan ketandusan idealisme dan kebakhilan harta; maka, tidak banyak yang boleh diharapkan apabila individu tersebut diangkat ke persada kuasa.

9. Sejarah UMNO selepas era Mahathir telah memperlihatkan betapa pemimpin “diam besi” telah beberapa kali dipilih berdasarkan faktor malu alah separa veto sehingga mengendurkan pengaruh UMNO yang berakar dalam masyarakat Melayu.

10. Orang tua-tua berperibahasa, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”. Akan tetapi, kalau sepanjang tahun air itu tenang, jangankan buaya, ikan dan berudu pun pasti tidak ada.

11. Jika diselidiki sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang diam ini, mereka sememangnya mengharapkan air yang sentiasa tenang untuk mempermudahkan mereka mengumpul kekayaan tanpa gangguan. Perjuangan kepala agong.

12. Sekiranya terdapat gangguan yang menggugat ketenangan mereka mengumpul kekayaan diri, maka mulalah mereka memukul gendang propaganda untuk membunuh karakter si pengacau itu. Seandainya karakter si pengacau itu berjaya dibunuh dan keadaan kembali tenang, mereka akan menyambung semula urusan memperkayakan diri sendiri dengan aman dan damai.

13. Pemimpin politik yang terlalu diam dalam mengetengahkan idealisme pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, serta gagap untuk mendepani permasalahan anggota masyarakat yang dipimpinnya menggambarkan ketidakupayaan individu tersebut untuk memimpin. Persoalannya, apa perlu kita mengangkat individu seperti ini dalam kategori “pemimpin”?

qunang: berkata baik ataupun diam..


No comments: