Friday, December 31, 2010

SEMANGAT RAJA TERBILANG

(My personal tribute to Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail and Almarhumah Tengku Hajjah Budriah binti Almarhum Tengku Ismail)


ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA IBNI ALMARHUM SYED HASSAN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., D.K.K., D.M.N., S.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), D.K.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(Negeri Sembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei)
ALMARHUM TENGKU BUDRIAH BINTI AL-MARHUM TENGKU ISMAIL
D.K., P.M.N., S.M.N., S.P.M.K.(Kelantan)



























1. Inilah tulisan terakhir saya sebelum berlabuhnya tirai 2010.


2. Saya dilahir dan dibesarkan di Bandar DiRaja Arau dalam sebuah keluarga yang rapat dengan Istana.


3. Saya bersekolah rendah di Sekolah Tengku Budriah (STB), yang dinamakan bersempena nama Almarhumah Tuanku Raja Perempuan Besar.


4. Sebelum melanjutkan pengajian menengah saya di Sekolah Menengah Derma (SMD), saya terlebih dahulu “singgah” di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMTSP), yang dinamakan bersempena nama Almarhun Tuanku Syed Putra Jamalullail.


5. Sejak di zaman kanak-kanak dan remaja, saya diberi peluang oleh bonda tercinta untuk mengikuti banyak program-program kebajikan dan kemasyarakatan yang digerakkan oleh Almarhum dan Almarhumah berdua sehinggalah saya merantau untuk menambah ilmu di dada.


6. Lebih dari separuh usia saya berlegar dalam sebuah kehidupan yang mendaulatkan institusi Raja sebagai pemerintah yang dihormati dan disegani.


7. Semangat dan aspirasi baginda berdua menjadi pendorong yang memangkin perpaduan dan kestabilan dalam masyarakat.


8. Almarhum Tuanku Syed Putra merupakan Raja yang berkarisma dan amat disenangi rakyat. Baginda memimpin berlandaskan kasih sayang, keadilan dan memandang tinggi kehendak dan keperluan sekalian rakyat. Walaupun baginda dinobatkan sebagai Raja paling lama di dunia yang menduduki takhta, tidak pernah berlaku pergeseran dan sengketa besar di kalangan rakyat di negeri Perlis sepanjang pemerintahan baginda.


9. Sebagai Ketua agama Islam, baginda memberikan kebebasan, penghormatan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada alim ulama' yang dihimpunkan dibawah Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu; sekaligus membolehkan gerakan dakwah Islamiah dan perlaksanaan syariat agama berjalan lancar. Pendekatan meletakkan tanggungjawab kepada musyawwarah dikalangan individu yang menjadi ahli atau pakar dalam bidang berkaitan telah mengurangkan masalah kebejatan sosial di negeri Perlis ke tahap yang paling minimum dan terkawal.


10. Sifat pemurah baginda menghadiahkan pakej haji kepada rakyat terpilih setiap tahun, serta sumbangan peribadi kepada pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti telah membuka ruang sentuhan peribadi yang meluas dikalangan segenap lapisan masyarakat secara berterusan.


11. Dimana-mana kampung yang dilawati baginda, semua rakyat mengenali baginda sebagai Raja yang dekat dihati rakyat walaupun di zaman baginda tidak berlaku trend menaikkan kain rentang dan papan tanda untuk mendaulatkan baginda. Baginda dikenali kerana keramahan dan sifat tidak sombong yang berkekalan walaupun selepas menamatkan penggal sebagai Yang Dipertuan Agong.


12. Dalam menjana ekonomi dan menaikkan taraf hidup rakyat, baginda memilih untuk membuka ladang tebu di Chuping yang memberikan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat. Walaupun perusahaan ladang tersebut merupakan pelaburan langsung dari saudagar Cina, masyarakat Melayu mendapat faedah besar dengan peluang pekerjaan dan perniagaan dinikmati dengan penuh kesyukuran. Rezeki untuk sekalian rakyat diagihkan secara sekata dan saksama membolehkan seluruh rakyat hidup dalam rukun damai tanpa rungutan dan sungutan.


13. Almarhumah Tengku Budriah juga terkenal dengan amalan kebajikan dan kemasyarakatan baginda dimana penghormatan diberikan untuk mengisi ruang nama di beberapa institusi kebajikan dan pendidikan seperti Sekolah kanak-kanak Cacat Tengku Budriah, Taman Didikan Tengku Hajjah Budriah (Jalan Sungai Besi), Taman Didikan Kanak-kanak Darul Farah dan Yayasan Amal Tengku Hajjah Budriah.


14. Sebagai salah seorang penulis ucapan baginda, saya berpeluang menelusuri keluhuran hati budi Almarhumah dalam memupuk hubungan silaturrahim yang erat dikalangan sesama rakyat.


15. Ketika masih sihat dan kuat, baginda selalu melakukan lawatan ke kampung-kampung untuk bertemu fakir miskin dan insan-insan istimewa di ruang tamu rumah mereka yang terselit segala kepayahan dan keuzuran. Pernah juga baginda menitiskan air mata melihat seorang ibu tua di Bintong yang ditinggalkan oleh anak-anaknya di sebuah pondok usang untuk bekerja sebagai pensyarah dan guru di Selangor dan Perak. Anak-anak itu tidak menjenguk ibu mereka selama bertahun-tahun.


16. Almarhumah Tengku Budriah memilih hobi yang mendekatkan baginda dengan rakyat jelata. Oleh kerana baginda gemar menanam pokok, menjahit, menggubah bunga dan memasak, maka banyak pertandingan dan kursus-kursus yang seiring dengan hobi tersebut dianjurkan melalui badan-badan bukan kerajaan. Gerakan dan aktiviti golongan wanita di kampung-kampung menjadi lebih bermanfaat dengan adanya garapan dan galakan yang berterusan dari baginda.


17. Kasih dan hormat hadir dengan sendirinya melalui keluhuran budi baginda berdua.


18. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada baginda berdua.


19. Dan, semoga legasi dan semangat Raja terbilang ini diwarisi oleh anakanda dan seluruh kerabat baginda yang saya hormati.


No comments: