Thursday, January 27, 2011

PILIHANRAYA KECIL



Kesihatan Wakil Rakyat

1. Daripada 15 pilihanraya kecil selepas Pilihanraya Umum yang lalu, 12 daripadanya melibatkan kematian wakil rakyat.

2. Penggal Pilihanraya Umum ke-10 yang berakhir pada tahun 2004 mencatatkan 8 pilihanraya kecil, sementara penggal PRU11 yang berakhir 2008 hanya 6 pilihanraya kecil.

3. Angka 15 pilihanraya kecil tersebut, yang memecah rekod pilihanraya kecil sepanjang sejarah Malaysia, bukanlah menjadi sesuatu yang mengejutkan di negara ini bila pem
impin yang mempunyai masalah obesiti pun boleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

4. Dengan penuh rasa hormat kepada keluarga-keluarga wakil rakyat yang sudah meninggal dunia, saya mohon mencadangkan kepada semua parti politik supaya menitik-beratkan rekod kesihatan calon dalam pilihanraya supaya puluhan juta wang dapat dijimatkan dengan mengelak daripada risiko pilihanraya kecil.

Ketengahkan Calon Muda

5. Orang-orang muda secara umumnya mempunyai kesihatan yang lebih baik. Peredaran dan paradigma semasa di seluruh dunia memberikan pengiktirafan, kepercayaan dan peluang kepada orang-orang muda untuk merencana pembangunan dan memangkin kemajuan negara.

6. Pesiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, berumur 49 tahun ketika mengangkat sumpah. Perdana Menteri Australia, Julia Gilliard, juga berumur 49 tahun; sementara John Philip Key (New Zealand) 49 tahun; Abhisit Vejjajiva (Thailand) 46 tahun, Dmitry Medvedev (Russia) 45 tahun, David Cameron (UK) 44 tahun, Mark Rutte (Belanda) 43 tahun, Mari Johanna Kiviniemi (Finland) 42 tahun, Nikola Gruevski (Macedonia) 40 tahun.

7. Melihat kepada senario ini, semua parti-parti politik sewajarnya mengadaptasikan sistem persaraan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta Pencen 1980 (Pindaan 2008) demi mengurangkan risiko pembaziran wang, masa dan tenaga apabila berlakunya pilihanraya kecil.

8. Jika diambil kira had umur persaraan 55 tahun, separuh daripada 12 pilihanraya kecil yang melibatkan kematian wakil-wakil rakyat dapat dielakkan.

Demam Politik

9. Dengan adanya pilihanraya kecil yang berterusan, demam politik dikalangan pengamat-pengamat politik tanahair tidak menunjukkan tanda beransur kebah.

10. Hal yang demikian ini memungkinkan terjejasnya produktiviti golongan pertengahan dan bawahan yang dilihat begitu asyik bercakap soal politik -- di pejabat, warung kopi, hentian teksi, alam siber dan dimana-dimana.

11. Pilihanraya kecil juga sedikit sebanyak menganggu stratum sistem penyampaian kerajaan bilamana sebahagian jentera diarahkan memberi fokus dalam membantu memenangi pilihanraya tersebut.

12. Walaupun pilihanraya kecil mungkin disifatkan sesetengah pihak sebagai medan memanaskan badan untuk jentera parti, implikasi negatif tampak lebih banyak dari kelebihannya.

13. Pilihanraya kecil sewajarnya dielakkan.

qunang: Wacana perubahan ke arah memartabatkan kesinambungan tamadun bangsa, agama dan negara.

Friday, January 21, 2011

GAJI BUTA (Siri 1)

Petunjuk Prestasi Utama


1. Apabila Perdana Menteri memperkenalkan Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Prestasi Utama dalam sistem kerajaan, banyak pihak berasa lega diatas kesedaran Perdana Menteri untuk membersihkan barisan kepimpinan parti dan kerajaan daripada digodam oleh pengampu-pengampu yang tidak mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.


2. Terminologi KPI berkisar dalam kerangka “ukuran” pencapaian yang berjaya dicapai berbanding matlamat asal. Segala aktiviti haruslah measurable supaya individu itu bukan hanya sekadar mendabik dada bercakap “aku buat ini dan itu”.


3. Dalam erti kata lain, KPI merupakan suatu mekanisme yang baik untuk menilai keberkesanan sistem penyampaian (delivery system) dan individu-individu yang terlibat dalam ruang lingkup sistem tersebut.


KPI Ahli Parlimen di Perlis


4. Tanggungjawab ahli-ahli parlimen adalah untuk [i] hadir ke Persidangan Parlimen sebagaimana ditetapkan, [ii] menyertai perbahasan yang melibatkan pembentangan undang-undang dan penentuan polisi, [iii] penglibatan bilateral untukmewakili kawasan atau wilayah yang dimenangi dalam pilihanraya dan mengetengah atau menyampaikan isu-isu berkaitan, serta [iv] memberikan sokongan dalam kepada parti yang diwakili semasa proses pengundian.


5. Daripada keempat-empat tanggungjawab yang digariskan itu, perkara paling asas untuk dijadikan petunjuk utama prestasi ahli-ahli Parlimen adalah kehadiran dan kemampuan mereka untuk bersuara dalam sidang Dewan Rakyat.



6. Jadual diatas memberikan statistik dan gambaran penglibatan ahli-ahli Parlimen dari negeri Perlis dalam mengemukakan soalan mahupun terlibat dalam perbahasan di Dewan Rakyat diantara tahun 2008 hingga 2010.


7. Kelemahan paling ketara adalah melibatkan Ahli Parlimen Kangar yang juga Punahsihat 46% Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad, yang diketahui umum seringkali ponteng sidang parlimen (kadang-kadang untuk bermain golf).


8. Radzi berehat panjang sepanjang tahun 2008 hingga 2009 dan hanya kembali menunjuk muka pada 2010.


9. Setelah lama menyelam, soalan yang dikemukakan beliau pada November 2010 selepas timbul kembali memberikan gambaran tahap kualiti dan mentaliti Ahli Parlimen ini yang mempunyai sejarah pengkhianatan yang panjang terhadap UMNO.


10. Melalui Aturan Urusan Mesyuarat PR-1233-L40478 pada 10 November 2010, Radzi meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah benar perkhidmatan penerbangan Firefly akan berpindah operasinya dari Subang ke KLIA apabila Firefly memperkenalkan perkhidmatan pesawat BOEING 737 tidak berapa lama lagi. Jika benar, apakah destinasi penerbangan mereka.


11. Soalan yang dikemukakan sama sekali tidak memberikan cadangan atau nasihat berguna sebaliknya menampakkan kecelaruan dan kekecewaan yang tidak berkesudahan.


12. Jika penilaian dilakukan dengan saksama, KPI Ahli Parlimen sebegini semestinya teramat rendah kerana tidak ubah seperti makan gaji buta. Untuk rekod, Radzi juga adalah Punahsihat bergaji kepada Md Isa Sabu. Projek-projek lain kira pula.


13. Demi kekuatan dan keutuhan parti, semoga UMNO akan bebas daripada opportunis dan penyelam-penyelam politik seperti ini selepas Pilihanraya Umum ke13.


qunang: konspirasi terbuka nyahkan petualang dan pengkhianat UMNO.