Wednesday, March 23, 2011

GAJI BUTA (SIRI 2)

 

Hajat Jadi Menteri Besar

1. Daripada ketiga-tiga Ahli Parlimen di Perlis, ada seorang Ahli Parlimen yang khabarnya sedang sibuk memporak-perandakan pentadbiran Md Isa Sabu secara halus dari dalam untuk membuka laluan kepada dirinya menjadi Menteri Besar.  Tidak lain dan tidak bukan, orang itu ialah Radzi Sheikh Ahmad, Ahli Parlimen Kangar merangkap Punahsihat 46% kepada Menteri Besar Perlis.

2. Bekas pemimpin veteran Semangat 46 ini terus melakukan cubaan berterusan untuk menduduki kerusi Menteri Besar yang kononnya “bapa saya wasiat kepada saya”.

3. Harus diingat pada 19 Mac 2008, Radzi meletakkan jawatan Setiausaha Agung UMNO kerana tidak dilantik semula menganggotai kabinet dan memberi alasan dia tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan tanpa jawatan dalam kabinet. Harus juga diingat, dia ada jawatan dalam kabinet pun tak berkesan hingga BN pecah rekod kalah di lima negeri.

4. Sebelum Md Isa Sabu menjadi Menteri Besar, Radzi ialah boss kepada Md Isa.

5. Maka, tidak hairanlah betapa Radzi tergamak duduk di kerusi biru Menteri Besar dan membiarkan Md Isa duduk di kerusi biasa ketika Perasmian Persidangan Puteri Bahagian Kangar tahun 2010.  Ada orang lama UMNO Kangar yang berpendapat tidak mustahil Radzi duduk di kerusi kuning Tuanku Raja dan membiarkan Tuanku duduk bersila.

Radzi duduk di kerusi biru Menteri Besar dan membiarkan Y.A.B Md Isa duduk di kerusi biasa.

6. Terkini, Punahsihat 46% kepada Menteri Besar ini telah memanggil Y.A.B Menteri Besar mengadap dirinya di rumahnya. Lagak lebih pada Raja.

7. Maka sekonyong-konyong Menteri Besar pun masuk mengadap dan akhirnya dihamburkan dengan kemarahan kerana mengetepikan “titah”nya untuk tidak menutup dan memindahkan peniaga-peniaga di Pasar Awam Kangar.

8. Radzi sebenarnya sudah terlepas cakap dengan seorang peniaga disitu bilamana dengan sombongnya dia berkata akan meletak jawatan kalau Md Isa memindahkan peniaga-peniaga di marketKangar.

KPI Ahli Parlimen Kangar

9. Sebagai lanjutan daripada huraian ringkas dalam Siri 1 (http://qunang.blogspot.com/2011/01/gaji-buta.html), posting kali ini cuba menyorot kembali penglibatan Ahli Parlimen Kangar dalam perbahasan Parlimen; sama ada dia mengetengahkan isu-isu Bandar Kangar dan para pengundinya di sana.

10. Untuk tempoh Mac 2008 hingga Mac 2011, Ahli Parlimen yang gemar bermain golf ketika Parlimen bersidang ini hanya bangun 11 kali untuk bercakap; berbanding 79 kali untuk Ahli Parlimen Padang Besar dan 72 kali untuk Ahli Parlimen Arau.

11. Radzi adalah diantara Ahli Parlimen yang missing-in-action hingga memaksa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri hadir sendiri untuk meluluskan belanjawan negara dengan undi majoriti yang tipis.

12. Pada 24 Jun 2008, Radzi mengemukakan soalan (PR-1212-L13777) berbunyi: minta  MENTERI DALAM NEGERI  menyatakan adakah beliau bersetuju untuk menghapuskan terus, sistem  "free flow" di pintu masuk ke Wang Kelian dan jika ya, apakah sistem baru membenarkan warganegara Malaysia dan warganegara asing keluar dan masuk ke negara kita tanpa kompromi masalah keselamatan. 

13. Pada 8 April 2010, Radzi mengemukakan soalan (PR-1231-L36599) berbunyi: minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah langkah diambil bagi menentukan tiada sesiapa boleh membolosi masuk atau keluar di  kawasan pintu masuk Wang Kelian, Perlis, di mana kaedah free flow masih diamalkan. Ini amat penting mengambil kira terdapat beberapa individu dari luar negara diberkas baru-baru ini yang kononnya ada kaitan dengan Al-Qaeda.

14. Tidak ada soalan mahupun mencelah perdebatan oleh Ahli Parlimen Kangar diantara dua tarikh yang disebutkan diatas memberi makna dia berehat panjang tanpa terlibat satu kali pun dalam perbahasan di Dewan Rakyat sepanjang tahun 2009.

15. Bangunnya bekas Menteri Dalam Negeri ini hanya menyoal tentang soalan yang sama dengan tujuan untuk mendapatkan projek pembinaan pusat pemeriksaan keselamatan di Wang Kelian, yang mana tidak sempat diluluskan untuk salah seorang kroni rapatnya ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri.

16. Selepas kembali diam membisu selama 5 bulan, Radzi sekali lagi bangun pada 19 Oktober 2010 untuk bertanya soalan (PR-1233-L40479) meminta MENTERI DALAM NEGERI  menyatakan memandangkan kes-kes jenayah yang dilakukan kebelakangan ini bertambah rumit hingga memerlukan kaedah-kaedah penyiasatan yang lebih canggih untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan, adakah PDRM mempunyai kepakaran serta anggota yang terlatih yang mencukupi dalam bidang forensik.

17. Seperti orang kemaruk hilang jawatan, bila bangun asyik tala Menteri Dalam Negeri; tetapi kali ini berkenaan seorang saudagar Cina yang menjadi sahabatnya yang sedang melobi sejenis perkakas canggih untuk unit forensik.

18. Pada 10 November 2010, Radzi meminta (PR-1233-L40478) MENTERI PENGANGKUTAN  menyatakan adakah benar perkhidmatan penerbangan Firefly akan berpindah operasinya dari  Subang ke KLIA apabila Firefly memperkenalkan perkhidmatan pesawat BOEING 737 tidak berapa lama lagi. Jika benar, apakah destinasi penerbangan mereka. 

19. Soalan ini merupakan conflict of interest kerana penglibatan proksinya dalam Firefly bukanlah menjadi rahsia lagi dikalangan pemerhati-pemerhati ekonomi di negara ini.

20. Itulah sahaja penglibatan Ahli Parlimen Kangar di Parlimen sepanjang 3 tahun ini.

21. Sepatah pun tidak berbangkit isu-isu untuk kepentingan masyarakat Kangar.

22. “Saya tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan tanpa jawatan menteri”, katanya.

Wednesday, March 16, 2011

SATIRA PUNCAK BAHAGIA – Episod 4

307633008_188a3992f5

tidak lama selepas kami memulakan langkah, pendakianku bersama serigala bukit yang menjadi wira penguasa gunung bahagia merangkap tukang pikul beban kain bajuku terhenti sebaik mataku melihat keindahan susuk-susuk balak di tebing sebuah tasik yang membiru -- tasik gunung bahagia.. bukan perit letih atau kesakitan yang memberhentikan langkah kami tetapi laungan harimau akar yang bertubuh sasa diatas batu yang bersyarah-syarah kepada keluarga cacing, lipan, nyamuk, pelanduk, seladang, kambing, rusa, helang, pipit dan ayam hutan.. bila aku perhalusi pengamatan mataku, dapat kulihat keluarga toman, haruan, talapia, keli, selat hatta berudu bersama ibunya mengerumun di tebing tasik gunung bahagia untuk turut mendengar syarah-syarah sang harimau akar yang bertubuh sasa..

pantas terdetik dihatiku kesamaran dan ragu-ragu tentang wira sebenar yang sejati di gunung bahagia.. apa gunanya sang serigala bukit tukang pikul beban kain bajuku itu membongkak diri sebagai perwira tatkala seluruh isi bukit itu sekadar bertempiaran ketakutan kerana khuatir dijamah sang perwira.. melintas di benak hatiku persoalan betapa pelanduk, seladang, kambing dan rusa begitu berani diri menyertai syarahan itu walau mereka arif tentang bahaya menjadi santapan hidup sang harimau akar yang bertubuh sasa.. tidak pula mereka bertempiaran sebagaimana melihat kelibat sang serigala bukit..

detik-detik ketika langkah kami terpitam itu kuhabiskan dengan menelaah syarahan sang harimau akar di atas batu di tebing tasik gunung bahagia.. suara sang harimau akar sesasa tubuhnya itu menggamit berkawah-kawah pemikiran kritis tentang nilai-nilai kehidupan.. sambil meminta maaf kerana perlunya dia memakan seekor dari keluarga pelanduk, seladang, kambing dan rusa untuk meneruskan kehidupannya, harimau akar mensyarahkan bahawa santapan itu membuatkan tubuhnya menjadi kuat dan sasa hingga kehidupan kawanan di tebing tasik gunung bahagia itu menjadi aman damai kerana tidak ada anasir asing yang berani masuk mengganggu mereka lagi..

harimau akar itu juga mengungkit bahawa pelanduk, seladang, kambing dan rusa juga melantak anak-anak balak dan pucuk-pucuk rumput yang baru bertunas hingga memberi kesedihan jua kepada induk-induk mereka.. harimau akar yang bertubuh sasa itu menyimpulkan bahawa demikianlah resam rantaian kehidupan yang membolehkan semua kawanan itu akhirnya hidup aman harmoni dan berupaya mengembangkan kehidupan mereka.. dipenghujung syarahannya, harimau akar yang bertubuh sasa berpesan kepada kawanan itu supaya jangan mengikut resmi manusia:

tuhan menjadikan manusia dengan satu mulut dan dua telinga agar mereka lebih banyak mendengar dari bercakap.. tetapi mereka lebih bercakap dari mendengar..

tuhan menjadikan manusia dengan satu mulut dan dua tangan agar mereka lebih banyak bekerja dari bercakap.. tetapi mereka lebih banyak bercakap dari bekerja..

tuhan menjadikan manusia dengan satu kemaluan dicelah dua kaki agar mereka lebih banyak merantau dari diam di rumah mendakap isteri.. tetapi mereka lebih banyak berpeluk tubuh dari merantau mencari mencari rezeki..

tuhan juga menjadikan manusia dengan satu hidung yang berlubang dua tetapi kedua-dua lubang itu bersatu kembali didalam sana.. tetapi mereka hanya melihat pada luarannya sahaja..

(bersambung...)

Wednesday, March 2, 2011

SATIRA PUNCAK BAHAGIA – Episod 2 & 3

dalam pinar-pinar rembang itu, aku menjurus keputusan yang tersimpul di kawah akalku.. aku tidak gamak membunuh serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia itu kerana bagi dia adalah hidupnya, dan bagi aku adalah hidupku.. dia terlalu kerdil untuk mengaku diri sebagai penguasa mutlak di gunung bahagia yang gergasi.. membunuhnya pula tidak menjadikan aku penguasa mutlak di gunung bahagia itu -- kerana aku juga kerdil.. di penghujungnya, untuk apa berbunuh-bunuhan waktu sama-sama diberi ruang menikmati hidup di alam ini..

tetapi, serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia itu terus menjerit-jerit dengan segala hamburan untuk mengusirku sambil sesekali berehat menjelir lidah dengan kepala terhangguk-hangguk.. aku masih membatu melihat telatah seekor makhluk yang berasa kepalanya sudah besar sebesar gunung bahagia.. kerana tidak pernah bertemu dengan manusia, dia berasa dia sudah cukup gagah bilamana rusa dan pelanduk bertempiaran ketakutan melihat kelibatnya.. hatta tikus-tikus pun lari menikus di celah-celah kelangkang akar balak..

tidak lama sebelum sang suria bersimpuh di ufuk barat, aku mula membakar rerantingan untuk menggelojoh bekal daging seladang merah hasil buruanku semalam.. kulihat sang serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia sedang mengodek ekor kontotnya, sesekali menunjuk gagah, sesekali meraih simpati.. dia juga makhluk sepertiku – rasa kebuluran bila hidup tanpa makan..

akal nakalku lantas mengingau untuk melambung secebis daging seladang merah ke tebing curam biar dia jatuh terguling-guling ke bawah.. tapi aku berperang dengan sifat ihsan saranan ibuku.. aku bukan penganiaya makhluk.. serigala bukit itu tidak melaku salah kepadaku, cuma dia biasa melihat segala makhluk bertempiaran melihat kelibatnya dan dia tidak pernah bertemu dengan manusia yang berani membatu menghadap tenungannya.

lantas aku hulurkan secebis daging seladang merah dengan seikhlas hati untuk dijamah oleh serigala bukit itu.. lepas secebis, secebis lagi kuhulurkan, hingga sampai sepuluh cebis semuanya.. sambil itu, aku menggaru-garu dagu serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia itu.. sengaja aku tidak berikan dia seratus cebis daging seladang merah kerana nanti dia jadi malas bila terkerepok kekenyangan..

usai menjamu kenduri daging seladang merah sambil menggaru-garu dagu serigala bukit yang pertama kali disentuh manusia, aku lantas mengajak serigala bukit itu menemani pendakianku.. bila lagi hendak berdaki dengan wira penguasa gunung bahagia.. maka kuluncurkan segala pujian manis mengagungi keperwiraan serigala bukit yang pertama kali disentuh manusia hingga terkodek-kodek ekor kontotnya..

get_out_large

sedang aku baru mula berjalan mendaki bersama serigala bukit, aku teriakkan betapa beratnya pikul kain baju yang tergalas dibelakangku sepanjang seratus hari yang lalu.. tanpa berbahasa, serigala bukit terus merampas lantas menggalas pikul kain bajuku dengan raut wajah perwira gagah perkasa penguasa gunung bahagia.. aku sekadar tersenyum berlenggang mendaki dibelakang seorang perwira gagah perkasa yang sedang menggalas pikul kain bajuku.. lawan jadi kawan.. kalau ekor panjang sejengkal, akal manusia jangan diduga.. biarlah dia jadi perwira asal hajatku untuk berlabuh dipuncak gunung bahagia akan jadi nyata..

bermodal kenduri pembuka bicara,

pujian manis disisip sedia,

sesudah berteman seekor perwira,

kain baju digalas dia.

 

(bersambung...)

SATIRA PUNCAK BAHAGIA - Episod 1

183661_1822120948370_1100591051_32151187_3717253_nsedang ku cuba berkali-kali memanjat gunung bahagia, asyik terjumpa jurang curam yang harus dituruni.. makin lama makin dalam, makin mendasar ke dalam perut bumi. tiap saat berlalu menjauhkan aku dari puncak gunung bahagia yang dituju.. namun aku masih cekal menuruni jurang, menongkah rasa & gelora, moga di depan sana berjumpa kaki gunung bahagia untuk ku kembali mendaki...... moga tiada lagi jurang curam yang perlu dituruni..

penat dahaga menuruni jurang curam beralih jadi tawa gembira tatkala ku bertemu kaki gunung bahagia.. kudaki cerun-cerun landai dan mendatar tanpa kepayahan, tanpa perit menyusun langkah.. hingga di tengah hari yang panas membahang ku dipertemukan seekor serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia.. jeritan serigala itu dalam takut-takut berani cuba mengusirku dari lorong yang mendung dipayungi pohon-pohon yang membalak seratus batu dari perbatasan tundra gunung bahagia..

aku terhenti menilai ancaman dan membeli sedikit waktu.. hajatku mendaki bukan untuk mati, tetapi untuk berlabuh di puncak gunung bahagia.. kalau aku mendaki untuk mati baik diam di darat tanpa perlu makan minum, sekadar menanti dijenguk maut..

aku berkira-kira, kalau kugagahi bertempur dengan serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia itu; aku mungkin juara perwira di gunung bahagia.. terdetik pula dihati betapa hebatnya diriku menjadi perwira yang bisa menawan gunung bahagia dengan membunuh serigala bukit yang tidak pernah bertemu dengan manusia..

namun fikiran sedarku menggamit kewarasan.. hajatku mendaki bukan untuk jadi perwira.. tetapi untuk berlabuh di puncak gunung bahagia.. itu destinasi pendakianku... (bersambung)