Wednesday, March 16, 2011

SATIRA PUNCAK BAHAGIA – Episod 4

307633008_188a3992f5

tidak lama selepas kami memulakan langkah, pendakianku bersama serigala bukit yang menjadi wira penguasa gunung bahagia merangkap tukang pikul beban kain bajuku terhenti sebaik mataku melihat keindahan susuk-susuk balak di tebing sebuah tasik yang membiru -- tasik gunung bahagia.. bukan perit letih atau kesakitan yang memberhentikan langkah kami tetapi laungan harimau akar yang bertubuh sasa diatas batu yang bersyarah-syarah kepada keluarga cacing, lipan, nyamuk, pelanduk, seladang, kambing, rusa, helang, pipit dan ayam hutan.. bila aku perhalusi pengamatan mataku, dapat kulihat keluarga toman, haruan, talapia, keli, selat hatta berudu bersama ibunya mengerumun di tebing tasik gunung bahagia untuk turut mendengar syarah-syarah sang harimau akar yang bertubuh sasa..

pantas terdetik dihatiku kesamaran dan ragu-ragu tentang wira sebenar yang sejati di gunung bahagia.. apa gunanya sang serigala bukit tukang pikul beban kain bajuku itu membongkak diri sebagai perwira tatkala seluruh isi bukit itu sekadar bertempiaran ketakutan kerana khuatir dijamah sang perwira.. melintas di benak hatiku persoalan betapa pelanduk, seladang, kambing dan rusa begitu berani diri menyertai syarahan itu walau mereka arif tentang bahaya menjadi santapan hidup sang harimau akar yang bertubuh sasa.. tidak pula mereka bertempiaran sebagaimana melihat kelibat sang serigala bukit..

detik-detik ketika langkah kami terpitam itu kuhabiskan dengan menelaah syarahan sang harimau akar di atas batu di tebing tasik gunung bahagia.. suara sang harimau akar sesasa tubuhnya itu menggamit berkawah-kawah pemikiran kritis tentang nilai-nilai kehidupan.. sambil meminta maaf kerana perlunya dia memakan seekor dari keluarga pelanduk, seladang, kambing dan rusa untuk meneruskan kehidupannya, harimau akar mensyarahkan bahawa santapan itu membuatkan tubuhnya menjadi kuat dan sasa hingga kehidupan kawanan di tebing tasik gunung bahagia itu menjadi aman damai kerana tidak ada anasir asing yang berani masuk mengganggu mereka lagi..

harimau akar itu juga mengungkit bahawa pelanduk, seladang, kambing dan rusa juga melantak anak-anak balak dan pucuk-pucuk rumput yang baru bertunas hingga memberi kesedihan jua kepada induk-induk mereka.. harimau akar yang bertubuh sasa itu menyimpulkan bahawa demikianlah resam rantaian kehidupan yang membolehkan semua kawanan itu akhirnya hidup aman harmoni dan berupaya mengembangkan kehidupan mereka.. dipenghujung syarahannya, harimau akar yang bertubuh sasa berpesan kepada kawanan itu supaya jangan mengikut resmi manusia:

tuhan menjadikan manusia dengan satu mulut dan dua telinga agar mereka lebih banyak mendengar dari bercakap.. tetapi mereka lebih bercakap dari mendengar..

tuhan menjadikan manusia dengan satu mulut dan dua tangan agar mereka lebih banyak bekerja dari bercakap.. tetapi mereka lebih banyak bercakap dari bekerja..

tuhan menjadikan manusia dengan satu kemaluan dicelah dua kaki agar mereka lebih banyak merantau dari diam di rumah mendakap isteri.. tetapi mereka lebih banyak berpeluk tubuh dari merantau mencari mencari rezeki..

tuhan juga menjadikan manusia dengan satu hidung yang berlubang dua tetapi kedua-dua lubang itu bersatu kembali didalam sana.. tetapi mereka hanya melihat pada luarannya sahaja..

(bersambung...)

No comments: