Saturday, April 16, 2011

KISAH ORANG DENGKI

 

Ini kisah orang dengki,

Kisah orang busuk hati,

Kisah orang hati berdaki.

 

Dicacinya budak ingusan,

Dikata kecil seperti kuman,

Dihina tidak berada,

Diluku atas kepala.

 

Namun budak ingusan terus berdiri,

Melangkah tegap setiap hari,

Menongkah cabaran kanan kiri,

Hingga orang dengki mengigit jari,

Bertambahlah iri.

 

Budak ingusan mendapat simpati,

Pembesar negeri hadiahkan pedati,

Hadiah emas berpeti-peti,

Kerana dia lurus hati,

Pegang prinsip biar mati,

Benar kata benar,

Salah kata salah.

 

Bermulalah episod yang dinanti,

Orang dengki tak puas hati,

Cuba membunuh personaliti,

Menikam dengan tombak fitnah,

Mencuit soal amanah,

Biar budak ingusan bernanah,

Biar masa depannya punah,

Biar dia disumpah seranah.

 

Kotor sungguh hati orang dengki,

Dari kepala sampai kaki,

Bersalut rasa jaki,

Berpeluh air dengki,

Tersengeh lapar kaki.

Tuesday, April 12, 2011

KRITIK PEMIMPIN

Yang Memimpin & Yang Dipimpin

1. Pemimpin adalah orang yang memimpin sekumpulan orang yang dipimpin.

2. Apabila individu pemimpin itu sendiri perlu dipimpin secara berterusan dalam setiap keputusan kecil dan besar dalam kepimpinannya, status pemimpin yang ada pada individu tersebut pantas menjadi pertikaian.

3. Pemimpin yang dipimpin hanya wujud sebagai boneka birokrasi yang menyukarkan proses membuat keputusan dalam sistem kepimpinan.  Manakan tidak, setiap maklumat yang diberikan kepadanya perlu disampaikan pula kepada individu yang memimpinnya untuk membuat keputusan; dan keputusan yang dibuat itu pula diberitahu kembali kepada pemimpin yang dipimpin ini untuk dilaksanakan sebagaimana yang diperintahkan.

4. Kewujudan boneka birokrasi seperti ini menyebabkan sistem kepimpinan menjadi tidak berkesan manakala sistem penyampaian (delivery system) menjadi teramat panjang lantas membuka ruang untuk berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa dikalangan kakitangan bawahannya.

5. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, ialah salah satu contoh pemimpin yang dipimpin.  Beliau dipimpin oleh Radzi Sheikh Ahmad yang dilantik sebagai Punahsihat 46% kepada Menteri Besar Perlis.

6. Natijah daripada wujudnya boneka birokrasi ini dalam tempoh yang panjang, begitu ramai kakitangan kanan dalam pentadbiran tidak lagi dapat dikawal untuk menyempurnakan  aspirasi dan kehendak masyarakat di negeri Perlis.

Mengkritik Pemimpin Sendiri

7. Keikhlasan dalam perjuangan menuntut semua pejuang menyuarakan kebenaran walaupun pahit dengan melangkaui kepentingan diri. 

8. Hatta, negarawan ulung seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menyuarakan kebanaran walaupun beliau akhirnya terpaksa dikeluarkan atau mengeluarkan diri daripada parti yang disayanginya.

9. Ketika menceritakan kembali buku kontroversi The Malay Dilemma, Tun Dr Mahathir menulis di dalam buku terbaru beliau A Doctor in The House,

“...he (Prime Minister Tunku Abdul Rahman) could not go on living on his past glories while the Malay future ever more bleak and uncertain. That was why we felt he should go; the question was, when would he?”. (page 237)

“beliau (Tunku) tidak boleh terus dibayangi oleh kejayaan beliau di masa lalu sementara masa depan orang Melayu menjadi lebih tertekan dan tidak menentu.  Dengan sebab itu kami merasakan beliau patut berundur; tetapi persoalannya bila?”.

10. Walaupun sebahagian besar rakyat Perlis terpaksa akur dengan kehendak kuasa veto bahawa Md Isa Sabu ialah Menteri Besar mereka hari ini; namun rata-rata ahli dan penyokong UMNO tidak berupaya menerima beliau sebagai pemimpin mereka.

11. Dengan sebab yang demikian itu, rujukan terhadap seseorang individu sebagai “pemimpin” sewajarnya diperhalusi oleh sekalian rakyat dan pemimpin itu sendiri.  Jangan lagi ada yang terus-terusan menipu diri sendiri untuk mengatakan yang hitam itu warnanya putih.

MENGUNDURKAN BONEKA BIROKRASI

12. Individu yang memperoleh kuasa dengan rampasan secara veto  dan kemudiannya menjadi boneka birokrasi yang merosakkan sistem tidak seharusnya dinobatkan sebagai “pemimpin”.

13. Jika dirujuk Tataetika Ahli UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Dato’ Seri Md Isa Sabu terang-terangan melanggar tatasusila sebagai ahli UMNO dari perenggan yang pertama lagi.

14. UNDUR! MD ISA UNDUR!

Monday, April 11, 2011

ULANG TAHUN RAJA SIAM

Raja Bhumibol Adulyadej dirujuk sebagai Phra Chao Yu Hua (Lord Upon our Heads)

Sambutan Hari Kebesaran

1. Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Raja Siam, Bhumibol Adulyadej, diadakan pada 5 Disember setiap tahun.

2. Di samping itu juga, Raja Bhumibol turut menyambut Hari Pertabalan baginda pada 5 Mei setiap tahun.

3. Sambutan jubli emas pertabalan baginda, Ngan Chalong Siriratchasombat Khrop Hok Sip Pi Pho So Song Phan Ha Roi, diraikan sepanjang tahun 2006.

Pengisian Program Sambutan

4. Program sambutan Hari Keputeraan dan Hari Pertabalan baginda diserikan dengan penghargaan insititusi diRaja Siam kepada seluruh masyarakat negara Siam dan yang bersahabat dengannya.

5. Kedua-dua sambutan tersebut dimulakan dengan majlis kenduri besar yang terbuka kepada ratusan ribu hadirin sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada insitusi Raja kepada sahabat dan marhaen yang memberikan sokongan kepada institusi tersebut.

6. Ia kemudiannya disusuli dengan pelbagai bentuk gimik dan persembahan daripada wakil setiap wilayah-wilayah di negara itu kepada Raja mereka.

7. Dan selepas daripada itu, seluruh institusi Raja bersama-sama seluruh rakyatnya akan mengadakan ritual khas di watt-watt Siam di seluruh negara itu sebagai mezahirkan terima kasih mereka kepada tuhan mereka kerana memelihara institusi Raja.  Mereka juga memohon kepada tuhan mereka untuk memberikan segala kesempurnaan kepada institusi Raja mereka dalam mengepalai jentera pembangunan dan pentadbiran negara.

8. Pada hari berikutnya, program-program tahunan di peringkat grassroot diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan Raja Bhumibol dengan tujuan mengakar-umbikan pengaruh dan kedaulatan baginda di segenap pelosok negara dan jajahan takluknya.

9. Di sebuah kampung di Wat Tha Phra dalam wilayah Chiangmai, program lumba perahu tahunan melalui tebing istana hinggap Raja Bhumibol  menggamit ratusan peserta dan ribuan pengunjung.

10. Apa yang menarik, rakyat Siam berasa bangga untuk melibatkan diri dan memberikan sumbangan masa, tenaga dan harta peribadi untuk menjayakan program tersebut sebagai menggambarkan rasa kasih mereka kepada Raja Bhumibol.

Beraja di Mata, Bertakhta di Hati

11. Raja Bhumibol dikasihi oleh rakyatnya kerana pendekatan dan keprihatinan berterusan baginda terhadap keperluan dan kebajikan rakyatnya.

12. Baginda menaja doktor dan ubat-ubatan untuk memberi kemudahan kesihatan percuma kepada rakyat dimana sahaja baginda mendirikan istana.

13. Kasih sayang dan hormat rakyat terhadap Raja Bhumibol bukanlah sama sekali kerana lampu-lampu yang berjurai diantara tiang-tiang elektrik; mahupun jalan-jalan yang berturap dengan tar baru; atau pembahagi-pembahagi jalan yang diroboh dan dibina semula.