Monday, June 20, 2011

WASILAH MATLAMAT PEMBAHARUAN TEKAD

[30 Jun 2011 -- PERHATIAN: Posting ini berada di bawah siasatan Polis.  Saya memohon dan menasihatkan para pembaca tidak memberikan komen tambahan atau berhati-hati dalam penulisan. harap maklum. tq.]   :)

 

TEKS UCAPAN PEMBENTANGAN USUL POLITIK DI MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN ARAU 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Mulia Datuk Pengerusi Tetap dan timbalan,

Yang Berhomat Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua UMNO Bahagian Arau,

Yang Berhormat Datuk Ismail Kasim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau,

Tambahan/Pindaan: Yang Berhormat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang, Guar Sanji dan Pauh. Mana ADUN Pauh? Sudah balik awal kah? Masa mengundi (Perwakilan) G7  tadi pun tak nampak muka. Sudah 3 tahun berturut-turut (2009, 2010 dan 2011) datang sekerat jalan.  Nanti hari mengundi kalau pengundi pun pergi sekerat jalan lepas tu patah balik, jangan pula mereka disalahkan.

Yang Dihormati pimpinan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri,

Wakil-wakil dari Badan Perhubungan UMNO Negeri,

Barisan Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian,

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan para Perwakilan dan Pemerhati yang yang dikasihi.

Assalamualaikum..wth..wbth.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

1. Saya, Syed Atief bin Syed Abu Bakar, mewakili UMNO Bahagian Arau mohon mengusulkan perbahasan politik untuk dibahaskan pada persidangan kita pada hari ini.

2. Pisang raja, pulut dakap; kelmarin bekerja, hari ni bercakap. Ubi sengkuang, kuah rojak; maaf kalau terkurang, sorry kalau terlajak. Pi Padang Kota makan Laksa; memang nak kata bagi berasa.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

3. Pada 11 Mei yang lalu, UMNO menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-65.

4. Dalam suasana politik yang mencabar pada hari ini, kita menyedari keperluan yang amat mendesak untuk melakukan proses rejuvenasi atau peremajaan dalam UMNO yang kini mencecah usia senja, dimana kedudukan selesa UMNO di persada politik tanahair semakin terancam apabila parti tidak lagi dilihat menguasai kerajaan; sebaliknya kerajaan dibiarkan menguasai parti secara berleluasa.

5. Melihat kepada kecenderungan parti yang mengambil pendekatan terlalu lembut dalam menitikberatkan aspek kesetiaan, kerajinan dan kemesraan dalam menetapkan calon-calon dalam pilihanraya; sehingga tergambar seolah-olah calon-calon yang diketengahkan oleh UMNO tidak perlu memiliki kesetiaan yang kukuh terhadap parti, dan individu yang hendak dicalonkan itu pula tidak perlu mempunyai kerajinan untuk berusaha dengan titik peluh untuk mengukuhkan pengaruh parti di akar umbi, dan tidak juga perlu untuk turun ke bawah dengan tujuan mengenali dan bermesra dengan penyokong dan pendokong parti dengan lebih akrab.

PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

6. Maka, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau yang bersidang pada hari ini mengusulkan agar UMNO mengambil pendekatan dan tindakan yang bersungguh-sungguh supaya parti dapat kembali menguasai kerajaan melalui perancangan strategik dan bersepadu.

7. Untuk membolehkan parti menguasai kerajaan, pengiktirafan seharusnya diberi kepada individu-individu yang berkerja, berkhidmat dan berjuang melalui platform parti, khususnya di negeri Perlis.

8. Orang-orang yang mempunyai ‘hati UMNO’ perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya untuk mengisi jawatan-jawatan penting dan strategik dalam kerajaan agar kepentingan parti akan terpelihara.

9. Apatah lagi di agensi yang menjadi denyut nadi ekonomi bagi negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional dimana Pengurus Besar yang baru dilantik oleh regim boneka yang merampas kuasa untuk mengetuai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dilihat secara nyata terputus hubungan dengan aspirasi ahli-ahli UMNO di akar umbi. Tidak juga kita ketahui sama ada beliau ahli UMNO atau pernah terlibat dengan program-program UMNO.

10. Demikian juga halnya dengan beberapa Pengarah dan Ketua Jabatan di negeri kita yang mendapat rungutan ramai ahli-ahli dan penyokong UMNO di akar umbi apabila semakin banyak tindakan mereka dilihat tidak menepati sistem dan tradisi kerajaan yang dipimpin dan ditunjangi oleh UMNO. 

11. Hubungan para pembesar UMNO dengan jabatan-jabatan kerajaan terasa semakin longgar dan sesetengahnya sudah terputus sama sekali akibat daripada “kerajaan” dibiarkan menguasai “parti” secara berleluasa.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dihormati,

12. Beberapa minggu yang lalu, terdapat arahan daripada dari regim yang merampas kuasa di negeri kita yang mengarahkan semua Pengerusi JKKK untuk menghantar laporan kampung masing-masing kepada Unit Pembangunan Daerah (UPD).

13. Apabila lantikan pegawai dan kakitangan kerajaan tidak lagi menitik beratkan soal keahlian dan sokongan kepada parti, dan pejabat-pejabat kerajaan tidak lagi dihuni oleh orang-orang yang jelas mempunyai ‘hati UMNO’; tiba-tiba organisasi yang menjadi cerminan kepada susuk tubuh UMNO diarahkan menghantar laporan perancangan kita di peringkat akar umbi kepada agensi tersebut.

14. Surat Pekeliling yang diedarkan dengan tujuan mendapat “Maklumat dan Data Kampung bagi Penyediaan Profil Desa” daripada JKKK adalah tindakan dangkal yang sengaja mendedahkan parti kepada risiko pembocoran maklumat dan perancangan dalaman. 

15. Apa jua laporan JKKK seharusnya menjadi suatu kerahsiaan kepada parti; dan apa jua laporan strategik JKKK sewajarnya dihantar kepada Pejabat Menteri Besar, dan bukan secara terus kepada mana-mana agensi kerajaan, supaya ianya dapat dirangka dan diolah semula oleh Menteri Besar agar menjadi sebahagian dari perencanaan kerajaan yang diketuai UMNO.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dihormati,

16. Masalah kerajaan menguasai parti tidak terhenti di negeri kita semata-mata.

17. Di peringkat pusat, negeri-negeri yang dikuasai pembangkang dirujuk sebagai kerajaan PAS Kelantan, kerajaan PAS Kedah, kerajaan Pakatan Selangor dan kerajaan DAP Pulau Pinang.

18. Tidak pula pernah kita dengar negeri kita dirujuk sebagai kerajaan BN Perlis.  Begitu juga negeri-negeri lain tidak dirujuk sebagai kerajaan BN Terengganu, kerajaan BN Melaka, kerajaan BN Johor dan seumpamanya.

19. Hakikat ini sewajarnya menjadi sandaran untuk meletakkan kembali parti sebagai institusi yang menguasai, mewarnai dan mencorak halatuju dan pergerakan sesebuah kerajaan.

20. Tambahan/Pindaan: Cakap-cakap dari kakitangan kerajaan bahawa program yang dianjurkan oleh Jabatan mereka adalah “program kerajaan dan bukan program parti” menggambarkan kekaburan yang kronik terhadap mentaliti dan persepsi kakitangan kerajaan.

21. Tambahan/Pindaan:  Diatas segalanya, semua program atas nama kerajaan itu adalah program politik kerana kerajaan itu ditubuh dan dikuasai oleh ahli-ahli politik.  Program-program Jabatan perlu difahami sebagai medium untuk mencerna polisi yang diketengahkan oleh parti politik.

22. Tambahan/Pindaan: Maka, adalah salah dan kekhilafan yang memudaratkan kalau ada kakitangan kerajaan yang berpandangan program di Jabatan mereka "bukan program politik".

REJUVENASI PARTI

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

23. UMNO perlu menilai kaedah serta trend peremajaan atau rejuvenasi parti-parti politik di seluruh dunia pada hari ini dalam mengetengahkan calon-calon muda yang berwibawa untuk memikul amanah sebagai pemimpin dalam masyarakat.

24. Amat malang bagi negeri Perlis, pendedahan generasi pelapis untuk turut serta terlibat mendalami ilmu dan selok belok pentadbiran sebuah negeri telah dinafikan oleh regim yang merampas kuasa.

25. Jika pada era Datuk Seri Shahidan Kassim kita dapat melihat Datuk Ketua Pemuda Arau sebagai Setiausaha Politik, Ketua Pemuda Padang Besar sebagai Setiausaha Khas kepada Menteri Besar, jawatan Setiausaha Akhbar diisi oleh Pemuda Kangar, serta lantikan pegawai-pegawai khas turut dibarisi oleh orang-orang muda (Pemuda dan Puteri); hari ini pentadbiran kerajaan negeri Perlis dipenuhi oleh gurkha-gurkha recond tanpa wujud keseimbangan pendedahan untuk mengetengahkan generasi muda dalam menimba pengalaman mentadbir kerajaan.

26. Kalau dulu Ketua Pemuda Perlis dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar, hari ini Ketua Pemuda Perlis hanya mengisi kekosongan Pegawai Khas Menteri Besar tanpa dibayar gaji berbulan-bulan.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

27. Persidangan kita pada tahun ini adalah yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan. Di Bahagian Arau, kita sedang menanggung liabiliti kekalahan di dua DUN, iaitu Sanglang dan Simpang Empat.

28. Sejak Sanglang terlepas ke tangan pembangkang, UMNO sudah membuat percubaan dengan meletakkan calon dari sayap Wanita dan calon senior dari Bahagian.  Hakikatnya, kita gagal mendapat majoriti di peti undi.

29. Oleh sebab yang demikian, wujud desakan daripada Pergerakan Pemuda untuk mendesak pimpinan Bahagian memberi laluan dan sokongan kepada calon dari sayap Pemuda untuk mewakili Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang akan datang. 

30. Bersandarkan kepada banyak faktor, saudara Zairul Anuar, Naib Ketua Pemuda Bahagian Arau, mempunyai segala kelayakan, keupayaan, kekuatan dan kemampuan untuk memberikan tentangan sengit dan mengalahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis yang berkubu di kawasan Sanglang.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan AJK dan sahabat Perwakilan yang dihormati,

31. Diantara faktor yang paling signifikan dalam mengetengahkan calon Pemuda adalah dengan merujuk kepada trend semasa pemimpin-pemimpin dunia.

32. Pesiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, berumur 49 tahun ketika mengangkat sumpah. Perdana Menteri Australia, Julia Gilliard, juga berumur 49 tahun; sementara John Philip Key (New Zealand) 49 tahun; Abhisit Vejjajiva (Thailand) 46 tahun, Dmitry Medvedev (Russia) 45 tahun, David Cameron (UK) 44 tahun, Mark Rutte (Belanda) 43 tahun, Mari Johanna Kiviniemi (Finland) 42 tahun, Nikola Gruevski (Macedonia) 40 tahun.

33. Faktor bilangan pilihanraya kecil yang meningkat mendadak juga seharusnya dijadikan sandaran dalam desakan ini. 

34. 12 daripada 13 pilihanraya kecil yang diadakan sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 adalah melibatkan kematian wakil rakyat yang berumur melebihi had umur pencen 55 tahun.

35. Desakan ini bukanlah bermakna UMNO perlu menafikan keupayaan pemimpin-pemimpin senior dalam UMNO yang berjiwa Pemuda.

36. Tun Dr Mahathir Mohamad, berumur lebih 80 tahun tetapi masih lebih dari layak untuk dikatakan Pemuda diatas pendirian dan kecergasan beliau menjiwai aliran kehendak orang-orang muda.

37. Demikian juga dapat kita lihat Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha mendekati orang-orang muda secara berterusan.

38. Dan begitu juga dengan Datuk Seri Ketua Bahagian dan Datuk Timbalan Ketua Bahagian kita yang terus mendokong aspirasi dan kehendak generasi muda pada setiap masa.

39. Ringkasnya, UMNO akan terus segar bugar segak bergaya jika proses peremajaan parti dijadikan teras dalam meneruskan kesinambungan perjuangan keramat ini; dengan didokongi oleh pemimpin-pemimpin yang cergas dan berjiwa muda.

CAMPURTANGAN LUAR

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

40. UMNO harus menangani campurtangan luaran tangan-tangan ghaib yang cuba mengambil-alih peranan dan kuasa yang telah diletakkan di bahu pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh ahli-ahli di akar umbi.

41. Dalam erti kata lain, ahli-ahli diakar umbi telah menentukan dan menyerahkan aspirasi dan hala tuju masa depan parti kepada saf-saf kepimpinan yang ada.

42. Akan tetapi, apabila wujud campurtangan luar yang melibatkan paksaan untuk meletakkan individu yang tidak pernah bergelumang, tidak pernah berpeluh dan tidak pernah berkotor tangan untuk menggerakkan kerja-kerja parti sebagai calon pilihanraya.

43. Ahli-ahli, penyokong dan pendokong parti akhirnya mula menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka apabila calon yang dimenangkan oleh mereka tidak berupaya mengimbangi ego sebagai anak Raja dan rendah diri sebagai wakil rakyat; yakni wakil kepada mereka.

44. Dengan sebab itu, UMNO Bahagian Arau, dengan penuh rasa keinsafan diatas kepincangan yang berlaku, memohon kepada Tuanku Raja untuk turut sama memaksa PAS, Keadilan dan DAP untuk menerima dan meletakkan calon pilihan baginda dalam pilihanraya yang akan datang.

45. Begitu juga seharusnya diletakkan calon-calon yang dinamakan oleh Tuanku Raja di Kangar dan Padang Besar.

46. Tambahan/Pindaan: Sekiranya di pihak Tuanku Raja merasakan campurtangan “veto” baginda di dalam UMNO akan memberi impak dan kesan positif kepada parti, baginda perlu berlaku adil untuk turut memberi bantuan serupa kepada semua parti dan tidak terhad kepada UMNO semata-mata.

47. Tambahan/Pindaan: Sebaliknya, jika campurtangan itu memberi kesan negatif terhadap perpaduan dalaman parti, maka semua perlu turut sama menerima natijahnya tanpa terhad kepada UMNO semata-mata. Jangan lagi hanya UMNO sahaja yang asyik teraniaya dan terpecah belah.

48. UMNO Bahagian Arau mengharapkan kesaksamaan dan kebijaksaan institusi Istana dalam soal ini supaya bahana kerosakan yang mengkucar-kacirkan perpaduan dalaman parti melalui campurtangan seumpama ini dapat dirasakan secara sekata dan adil oleh semua parti yang ingin bertanding dalam pilihanraya di negeri Perlis.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

49. Pada 17 Mei yang lalu, kerajaan negeri Perlis yang dikuasai oleh regim yang merampas kuasa telah mencipta satu rekod dalam Malaysian Book of Record iatu Hadiah Kek Terbanyak kepada Tuanku Raja.

50. Insya Allah, tidak ada org yang akan pecahkan rekod ini sampai kiamat.

51. Kalau sebelum ini negeri Perlis dikenali sebagai Perlis Darul Sunnah, hari ini kita boleh namakan negeri kita ini sebagai Perlis Darul Kek.

52. Sebahagian besar kek ini datangnya dari peruntukan jabatan-jabatan dan bukan sumbangan ikhlas dari individu-individu rakyat yang secara rela ingin menyampaikan hadiah kepada Tuanku Raja.

53. Persoalannya, apakah ukuran atau berapa peratuskah pertambahan rasa kasih, sayang, hormat dan daulat rakyat jelata terhadap institusi Raja selepas 1300 kek ini dihadiahkan sebagai hadiah ulantahun keputeraan Tuanku Raja?

54. Ketika sekalian rakyat bersungguh-sungguh berusaha mempertahankan intitusi Raja, kita mengharapkan supaya individu di dalam institusi itu turut sama berganding bahu memperkukuhkan insitusi tersebut – bukan merobohkannya.

ANCAMAN DAN KEZALIMAN POLITIK

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

55. UMNO mesti bertindak tegas dan keras terhadap anasir-anasir yang diberi kesempatan dan peluang secara percuma untuk mewakili parti tetapi kemudiannya menggunakan kesempatan dan peluang tersebut untuk melakukan kezaliman dan ancaman kepada barisan pimpinan yang dipilih secara demokratik oleh ahli-ahli di akar umbi.

56. Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, UMNO kekal sebagai parti dominan yang mendapat sokongan majoriti penduduk Malaysia; sekaligus menguasai kerajaan Malaysia sejak merdeka hingga ke hari ini.

57. UMNO kuat dan berpengaruh kerana sistem dan tradisi yang diletakkan sebagai asas perjuangan parti keramat ini.

58. Keputusan pilihanraya paling cemerlang pada 2004 bertukar menjadi keputusan pilihanraya paling lekeh pada tahun 2008, dalam tempoh 4 tahun, apabila sistem dan tradisi parti diketepikan oleh pucuk pimpinan UMNO.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan AJK dan sahabat Perwakilan yang dihormati,

59. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk kita di “akar (umbi)” untuk memberitahu “pucuk” (pimpinan) tentang apa yang kita mahukan?

60. Kita tidak mahukan kepimpinan melakukan ancaman, gangguan dan kezaliman politik kepada ahli-ahli parti dengan menggunakan kuasa dan pengaruh dengan cara yang tidak wajar.

61. Pengaruh Tidak Wajar disebutkan dalam Fasal 4 Tata Etika Ahli UMNO dimana,

Ahli parti adalah dilarang pada setiap masa secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui pihak lain bagi dirinya melakukan, menggunakan manipulasi atau tipuhelah bagi menghalang, memaksa, mengancam, mendorong, menggangu atau mendesak seseorang Ahli UMNO yang lain melakukan sesuatu atau tidak menjalankan tugasnya atau menghalang perlaksanaan haknya di dalam parti dengan bebas atau menafikan hak seseorang Ahli.

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan AJK dan sahabat Perwakilan yang dihormati,

62. Pada 28hb April 2011, berlaku peristiwa hitam dan penghinaan terhadap seorang pemimpin besar UMNO oleh orang UMNO sendiri; bilamana Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang diketuai oleh seorang hamba Allah yang bercita-cita dan sedang melobi untuk menjadi calon di Simpang Empat, bertindak merampas khemah yang dipasang untuk majlis kebajikan yang dianjurkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Bahagian Arau merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pukul 3.00 pagi. Tiada notis diberikan, pihak Polis tidak dilibatkan dan kompoun RM300 dikenakan jika mahu mengambil balik khemah tersebut.

63. Tambahan/Pindaan: Dalam masa yang sama, projek-projek kerajaan dijadikan umpan untuk mewujudkan perpecahan.  “Aku boleh bagi projek kat hang, tapi hang kena hentam dan kucai Shahidan”.  Maka kelompok “pejuang-pejuang projek dan tender” akan celapak untuk menerima projek dan tender tersebut dengan apa juga syarat.

64. Selepas berlakunya rampasan kuasa pada tahun 2008, begitu ramai Ketua-ketua Cawangan UMNO yang secara tradisinya dilantik sebagai Pengerusi JKKK tidak dilantik semula kerana dilabel sebagai “orang Shahidan”.

65. Di DUN Pauh, satu pertiga daripada Ketua-ketua Cawangan yang menggerakkan UMNO selama ini, tidak dicadangkan lantikan mereka sebagai Pengerusi JKKK oleh ADUN BN sendiri.

66. Dan yang terbaru, awal bulan Mei ini, saudara Ammar Hassan, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau merangkap Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau, dipecat daripada jawatan Pengurus di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan AJK dan sahabat Perwakilan yang dihormati,

67. Saudara Ammar juga merupakan Timbalan Ketua Cawangan kepada Syed Razlan yang menjadi Ketua UMNO Cawangan Bandar Arau.

68. Diatas kertas, pemecatan saudara Ammar adalah merujuk kepada soal “tak punch card” ketika beliau diserapkan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar ketika era Datuk Seri Shahidan.  Waktu itu, Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu, juga Pegawai Khas Datuk Seri Shahidan dan menerima gaji bulanan tanpa punch card; malah tidak juga melaksanakan apa-apa tugas khas sebagai Pegawai Khas Menteri Besar.

69. Akan tetapi, di sebalik surat pemecatan itu, kisah sebenarnya ialah perancangan halus untuk membenamkan saudara Ammar yang disebut-sebut untuk dicalonkan di DUN Pauh pada pilihanraya yang akan datang.

70. Kaedah ancaman dan kezaliman politik digunakan untuk memburukkan orang-orang yang berpotensi dan berpengaruh dalam UMNO dalam usaha mereka mengejar jawatan dan keinginan menjadi calon dalam pilihanraya umum yang akan datang.  Kezaliman dan ancaman bermula dari Ketua Bahagian, Ahli Jawatankuasa Bahagian dan seterusnya Ketua-ketua UMNO di Cawangan.

71. Sistem dan tradisi parti yang menjadi tunjang kekuatan UMNO selama ini terus cuba dibenamkan 7 kaki bawah tanah.

PRINSIP PERALIHAN KEPIMPINAN

Datuk Pengerusi Tetap, Barisan Jawatankuasa dan sidang Perwakilan yang dihormati,

72. UMNO perlu memastikan bahawa sebarang bentuk peralihan kepimpinan haruslah bersandarkan kepada prinsip peralihan tampuk kuasa ke arah yang membina, bukan membinasa; dalam erti kata memilih pemimpin pelapis yang mampu berkhidmat “sama” atau “lebih baik” daripada yang sedia ada.

73. Saya mohon mengulangi bahawa peralihan kepimpinan perlu berlandaskan kepada langkah yang memajukan ummah, bukan memundurkan.

74. Jika tidak ada yang boleh berkhidmat "sama" atau "lebih baik" daripada pemimpin yang sedia ada, maka kekalkan beliau disitu.  Jika tidak “sama” atau “lebih baik”, kita akan lebih mundur, lebih mengundur.

75. Di peringkat Bahagian, Perhubungan dan pentadbiran kerajaan negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan pemimpin yang belum ada orang yang nampak bayang-bayang boleh berkhidmat “sama” atau “lebih baik” daripada beliau. 

76. Sifat-sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Shahidan nampak jelas jauh langit bumi dengan regim recond yang merampas kuasa sekarang ini.

77. Dengan sebab itu, UMNO Bahagian Arau memberi sokongan penuh masa dan tenaga kepada beliau.

Dengan itu, saya mohon mencadangkan usul politik ini untuk dibahaskan.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum...wth...wbth.

(Dibentangkan pada 19 Jun 2011 jam 3.30 petang di Dewan 2020, Kangar, Perlis.)

2 comments:

Anak Perelih said...

we need a professional to be PKENPs's chief... not a political person .. kalau tak, kisah PPMP akan berulang...
we must differenciate between government with ruling party... sebab kerajaan berkhidmat utk semua rakyat... bukan untuk ahli UMNO saja...

dah program anjuran jabatan kerajaan, bukan anjuran parti.. sebab tu pegawai kerajaan berkata “program kerajaan dan bukan program parti”... mereka tidak kabur.. tetapi anda yang kabur... sebab tu mana parti perintah, pegawai kerajaan tetap sama, kecuali pegawai lantikan politik... kalau PAs perintah Perlis, pegawai kerajaan tu jugak yg akan bekerja... bukan nak kena lantik org PAS pulak ganti...

isu panggilan nama kerajaan PAS kelantan, kerajaan PAS Kedah tu adalah ciptaan media milik BN seperti TV3, Utusan malaysia etc... sebab media media ni tak iktiraf kerajaan PR tu...

dan ... "memohon kepada Tuanku Raja untuk turut sama memaksa PAS, Keadilan dan DAP untuk menerima dan meletakkan calon pilihan baginda dalam pilihanraya yang akan datang.

45. Begitu juga seharusnya diletakkan calon-calon yang dinamakan oleh Tuanku Raja di Kangar dan Padang Besar.

46. Tambahan/Pindaan: Sekiranya di pihak Tuanku Raja merasakan campurtangan “veto” baginda di dalam UMNO akan memberi impak dan kesan positif kepada parti, baginda perlu berlaku adil untuk turut memberi bantuan serupa kepada semua parti dan tidak terhad kepada UMNO semata-mata.

47. Tambahan/Pindaan: Sebaliknya, jika campurtangan itu memberi kesan negatif terhadap perpaduan dalaman parti, maka semua perlu turut sama menerima natijahnya tanpa terhad kepada UMNO semata-mata. Jangan lagi hanya UMNO sahaja yang asyik teraniaya dan terpecah belah
"... apa ke jadahnya benda ni... ???? sampai no words to comments... seperti kata kata peserta program Maharaja Lawak pulak rasanya...

Panglima Sanglang said...

syed atief, sedarlah kita adalah rakyat yang mahukan keamanan dan kestabilan dalam kehidupan. luahkan apa yang kita rasa dari hati yang rasional dan jgn membuat nukilan hanya kerana dendam dan juga arahan orang lain.berilah kerjasama yang terbaik dalam siasatan dan jgn disebabkan masalah dan dendam ini memadam masa depan anda yang masih jauh lagi. bersatulah demi agama , bangsa, dan tanah air. kita bantu membantu bukan bantut membantut. terima kasih atas pendedahan anda, walaupun belum tentu kebenarannya, kita gunakan sebagai sempadan untuk membaiki keadaan umat melayu ini.kita gunakan teknologi untuk bersatu bukan berpecah...