Wednesday, July 27, 2011

LAWATAN PERDANA MENTERI KE PERLIS (Siri 2)

Perlis Darul Kek

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, mengadakan lawatan rasmi kali kedua ke Perlis pada 23 Julai 2011.  Selepas menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, Datuk Seri Najib membuat lawatan pertama ke Perlis pada 20 Ogos 2010.

2. Lawatan Perdana Menteri kebetulan jatuh pada hari lahir beliau.

3. Memandangkan kerajaan negeri Perlis merupakan pemegang rekod dunia untuk hadiah kek terbanyak, maka banyaklah kek yang dipotong oleh Datuk Seri Najib sepanjang persinggahan beliau di banyak tempat.

4. Kek menjadi simbol hari lahir yang begitu besar ertinya kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu.

5. Maka tidaklah menghairankan apabila Menteri Besar menegur Datin Seri Rosmah pada baris pertama ucapannya supaya mencatat tarikh hari lahir Datuk Seri Najib. Barangkali supaya isteri Perdana Menteri dapat turut sama membawa kek untuk suaminya. 

6. Tercengang isteri Perdana Menteri dengan lawak tak jadi di depan khalayak sebegitu rupa. Ntah apa-apa.

Transformasi

7. Harus diingat, bukan semua transformasi atau reformasi membawa kebaikan.  Kadangkala, banyak baiknya untuk mengekalkan tradisi yang diterima secara konsensus oleh seluruh warga.

8. Agenda transformasi yang berkesan sepatutnya membuahkan kejayaan sebagai wayang Transformer yang berubah menjadi robot atau kereta mengikut kesesuaian keadaan demi untuk mencapai kemenangan.

9. Transformasi yang tidak berkesan dapat digambarkan sekiranya Transformer berubah menjadi kura-kura dalam aksi kejar-mengejar.

10. Demikian juga halnya dengan transformasi yang dilakukan oleh regim yang merampas kuasa di Perlis bilamana peminggiran terhadap organisasi parti dilakukan secara berterusan.

11. Persediaan untuk lawatan Perdana Menteri ke Balai Baru sama sekali meminggirkan pimpinan UMNO setempat, sekalipun dari ucapan beliau ternampak jelas Datuk Seri Najib hadir dalam mood pilihanraya selaku Presiden UMNO.

12. Dari tinjauan umum, ramai pimpinan UMNO di pelbagai peringkat khususnya pemimpin sayap-sayap parti tidak menerima jemputan sebagaimana lazimnya, dan tidak juga dilibatkan dalam gerak kerja menjayakan lawatan Perdana Menteri.

13. Regim yang merampas kuasa nampaknya memilih untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum menggunakan jentera kerajaan secara total berdasarkan pengabaian terhadap masa terbaik untuk melakukan warm-up kepada jentera parti.  Barisan Nasional akan menang dengan cara ini kalau kita berhadapan dengan pilihanraya tahun 1955.

14. Kegagalan melakukan total deployment terhadap jentera parti ketika lawatan Presiden parti merangkap Perdana Menteri menyebabkan kerajaan Perlis sekali lagi memecah rekod cemerlang negeri ini apabila Dewan 2020 sekali lagi dipenuhi dengan lompong-lompong kerusi yang tidak diduduki ketika Perdana Menteri berucap.  Suatu kegagalan yang tidak pernah dilihat ketika lawatan Perdana Menteri sebelum tahun 2008.

15. Langkah memanggil kakitangan kerajaan untuk memenuhkan ruang mungkin boleh dianggap bijak , tetapi untuk bergantung sepenuhnya kepada kakitangan kerajaan adalah paradigma dangkal.  Tidak ada sensitiviti ‘kerusi kosong’ dihati individu yang tidak berminat dengan perjuangan politik.

Ucapan Perdana Menteri

16. Di dalam ucapan beliau, Datuk Seri Najib menyentuh tentang peranan Datuk Seri Shahidan yang menjamin kemenangan BN di Perlis dalam Pilihanraya Umum ke-12, sekaligus mengekang kemaraan pembangkang di negeri-negeri utara.

17. Mesej jelas bahawa regim yang merampas kuasa belum teruji malah belum menepati beberapa KPI yang digariskan untuk mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

18. Teguran sinis Perdana Menteri terhadap wakil-wakil rakyat (termasuk Menteri Besar) yang seringkali tidak dapat dihubungi dan liat turun padang terutama ketika negeri dilanda bencana mendapat tepukan dan sorakan di luar kebiasaan. 

19. Dari ucapan beliau, Perdana Menteri jelas mempunyai gambaran yang tepat tentang kekalutan dalam kepimpinan BN Perlis.

20. Banyak juga wajah-wajah sugul tersenyum kambing selepas itu.

21. Wakil rakyat adalah wakil kepada rakyat.  Wakil rakyat BN adalah individu yang mewakili aspirasi perjuangan BN.

22. BN akan terus menang di Perlis tanpa masalah sekiranya suara-suara kehendak dan keperluan di akar umbi didengari.

23. Terlalu ramai dibawah sana yang terkesan dengan perdampingan berterusan Datuk Seri Shahidan Kassim.  Mesej mereka jelas, “tidak ada lagi kesetiaan sembrono pada kertas undi selepas sekali tertipu.. tunjukkan gambar calon dulu”.

[ Nota: Siri 1 posting ini berkisar tentang lawatan kali pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, ke Perlis pada 20 Ogos 2010 -- http://qunang.blogspot.com/2010/08/lawatan-perdana-menteri-ke-perlis.html ]

No comments: