Friday, August 19, 2011

ANCAMAN PERSENGKETAAN AGAMA


Kewajipan Memelihara Kesucian Islam

1. Kesucian Islam dicemari di bumi Malaysia pada bulan Ramadhan.

2. Ada perkara yang umat Islam boleh bertegang leher dalam perbezaan pendapat; tetapi ada ketikanya kita perlu bersatu terutamanya ketika menghadapi ancaman yang melibatkan maruah dan kesucian agama yang wajib dipelihara.

3. Meneruskan pertelingkahan dan sengketa yang berpunca dari perebutan kuasa politik hingga menggadai maruah dan kesucian agama adalah suatu kerugian yang memudaratkan.

4. Muslim lawan muslim, kafir akan menang.

5. Batasan yang ada cukup jelas agar setiap pecahan puak yang ada pada hari ini tidak melampauinya.

6. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Furqaan ayat 53: “Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi.”

7. Diatas kesedaran tentang kepentingan batas-batas sensitiviti dan sentimen agama demi menjamin keharmonian negara, para pemimpin terdahulu telah menetapkan kawalan pengembangan agama lain di kalangan orang Islam melalui enakmen-enakmen berkaitan agama. 

8. Undang-undang di Malaysia secara jelas memperuntukkan bahawa penganut agama lain bebas menjalankan ibadat mereka tetapi tidak dibenarkan mempengaruhi umat Islam untuk murtad.

Pencetus Sengketa

9. Serangan terbuka pertama yang mencetuskan kontroversi di peringkat nasional adalah berhubung penggunaan kalimah “Allah” oleh orang Kristian di Semenanjung Malaysia yang secara nyata menjadi provokasi terbuka terhadap umat Islam sekitar bulan Mac 2010.

10. YB Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, merupakan orang yang paling lantang mendepani pencabulan ini dan ketegasan beliau dapat disimpulkan melalui tekadnya dalam Fi Sabiluna – Inilah Caraku:

Sahabat dan taulan

Aku pertegaskan

Ku tetap pertahan

Aqidah dan kebenaran

Tanpa malu dan segan

Walau berseorangan

(rujuk: http://qunang.blogspot.com/2010/03/zulkifli-noordin-tok-imam-fi-sabiluna.html)

11. Isu ini tenggelam tanpa adanya momentum penentangan yang berterusan apabila organisasi-organisasi umat Islam gagal untuk bersatu.  Umat Islam tertewas dari segi moral dalam isu ini. 

12. Pengajaran jelas bahawa apabila muslim lawan muslim, orang kafir menang.

13. Pada bulan Ogos 2011, ketika umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan 1432 Hijrah, sekali lagi kesucian Islam yang dijamin oleh undang-undang negara Malaysia telah dinodai.

14. Orang Islam dijemput dalam majlis berbuka puasa di gereja dengan diberikan kuiz soal selidik untuk menilai tahap kefahaman Islam (rujuk nota perincian: http://brojinggo.blogspot.com/2011/08/artikel-disertakan-bukti-cerita-sebenar.html).

15. Tindakan ini merupakan provokasi yang jelas berniat mencetus sengketa oleh puak Kristian.

16. Malangnya, sekali lagi pemimpin-pemimpin umat Islam di negara ini gagal untuk bersatu. Lebih malang lagi apabila tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipertikaikan oleh kumpulan Islam yang sebelum ini begitu lantang menentang murtad.

17. Suatu lagi pengajaran jelas bahawa apabila muslim lawan muslim, orang kafir menang.

Kelemahan Pentadbiran Agama Islam?

18. Secara naratifnya, isu ancaman orang kafir terhadap kesucian Islam boleh dikaitkan dengan kelemahan tadbir urus berkaitan agama Islam.

19. Akan tetapi, saya berpendapat kenyataan terbuka tokoh-tokoh agama Islam yang menyelongkar kelemahan tadbir urus agama Islam pada ketika kesucian Islam sedang diancam amatlah mendukacitakan serta tidak membantu.

20. Tidak ada individu atau organisasi yang bebas dari kecacatan dan kelemahan dan penambahbaikan yang sewajarnya perlu diteruskan sepanjang masa.

21. Dalam pada kita melihat kelemahan dalaman yang perlu dibaiki, perlu juga kita mendepani ancaman dan serangan terhadap agama kita.

22. Dengan hal yang demikian, saya tidak bersetuju dengan kenyataan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengatakan: “Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu.”

23. Sememangnya kita sedia maklum adanya bantuan dari individu, organisasi atau negara orang kafir untuk umat Islam termasuk dalam soal-soal pembiayaan pendidikan dan pembangunan ekonomi.

24. Akan tetapi, apabila bantuan itu diterima di dalam gereja dengan disertakan soalan kuiz keagamaan dan aturcara majlis yang sedemikian rupa, isu yang lebih mendasar bukan lagi tentang soal bantuan; tetapi ancaman pencerobohan terhadap keimanan sekumpulan muslim yang perlu kita beri perhatian yang lebih berat.

25. Walaupun saya menghormati dan menyanjung tinggi pemikiran dan ilmu Dr. Asri, saya mengharapkan agar Dr. Asri dapat melihat dalam kerangka yang lebih besar daripada tersepit dengan kemelut peribadi beliau dengan JAIS.

26. Jangan lagi pada masa depan kita lihat muslim lawan muslim, orang kafir yang menang.

Melihat Ke Hadapan – Peranan Imam

27. Bagi diri saya, kalaupun dijemput, saya tidak akan tergamak untuk hadir dalam majlis sedemikian rupa di dalam gereja.

28. Apa yang menimbulkan persoalan di hati, bagaimana individu-individu yang berkenaan tergamak melangkah kaki ke dalam gereja untuk menerima bantuan, tidak kira setahap manapun kemiskinan mereka?

29. Persoalan keduanya, bagaimana mereka boleh dijemput oleh gereja tersebut, dan tidak pula orang-orang Islam lainnya?

30. Saya amat tertarik dengan pandangan seorang pemimpin dan ilmuwan yang rapat dengan saya, bahawa kita (umat Islam) perlu berkawan dan mendekati semua orang termasuk orang-orang yang rosak akhlaknya; kerana jika semua orang menjauhkan diri dari kumpulan ini, bagaimana mereka dapat memperbaiki diri?

31. Adakah hanya selepas seseorang Islam itu dihampiri oleh orang Kristian baru kita hendak menuding jari menyalahkan orang itu dan ini?

32. Pengalaman ketika berjalan-jalan sepanjang Queen Street ditengah bandar Cardiff beberapa tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Di suatu perhentian, saya telah dihampiri oleh seorang paderi tua yang berpakaian macam orang muda yang sedang membuka booth dakwah di sebuah shopping arcade.

33. Selepas sedikit mukaddimah, dia bertanya, “kenapa saya memilih Islam?”. Saya tersenyum seketika lantas menjawab, “saya memilih Islam kerana mudah untuk saya bertaubat kalau rasa keinsafan hadir dalam hati di tengah malam. Cuma perlu ambil wudhuk dan solat taubat anytime anywhere. Kalau saya pilih Kristian, saya kena tahan rasa keinsafan itu hingga keesokan harinya kerana pintu taubat (confession gate) hanya dibuka pada office hour”. Paderi itu pun berlalu sambil tersenyum sendiri. Semoga dibukakan pintu hatinya untuk memilih Islam.

34. Itu tugas dakwah dan kaedah pendekatan paderi Kristian. 

35. Apa pula tugas dakwah dan kaedah pendekatan tok-tok imam berelaun tetap yang ramai dalam masyarakat kita?

No comments: