Tuesday, August 23, 2011

SATIRA PUNCAK BAHAGIA – Episod 6

EPISOD 6
malam menjelma.. aku keletihan selepas sehari suntuk meneruskan pendakianku ke puncak gunung bahagia.. dengkur bingit cengkerik hutan membuai diriku hingga terlena.. lena diulit mimpi indah.. mimpiku malam itu sungguh luar biasa..

dalam mimpi aku dizalimi oleh seorang adik raja yang yang gila.. gila kuasa, gila rasuah dan gila arak ditambah dengan perut yang tiada hati.. aku mengherdik adik raja yang gila itu seraya bersumpah bahawa aku sendiri akan jadi raja sebelum asar pada esok harinya..

dalam mimpi aku terjaga dari tidurku waktu zohor.. lantas aku bangun mencapai cangkul dan menghayun busut besar di perdu pokok asam.. sebaik selesai aku merongkah setiap butir tanah di busut besar itu, terus aku mencari permasuri anai-anai lantas kupujuknya untuk menikahi diriku.. cerita moyangku dulu: suami kepada permaisuri orang panggil raja..

dalam mimpi aku bernikah dengan permaisuri anai-anai lantas tertaballah diriku sebagai raja.. raja anai-anai.. aku kurung permaisuri dalam balang kristal diletak dalam rumah.. kawan-kawan dan rakyat jelata yang lalu-lalang depan rumahku mesti sembah pada balang kristal berisi permaisuri anai-anai, isteri kepada raja anai-anai..

dalam mimpi aku didatangi permaisuri anai-anai yang menggodam berahiku untuk mendapat zuriat.. aku pertegaskan padanya bahwa mempunyai anak itu bermakna 2 tahun mereka perlu diajar berjalan dan bercakap; dan 16 tahun selepas itu mereka perlu pula diajar duduk dan diam.. aku kurang sanggup..

dalam mimpi aku dileter oleh permaisuriku, permaisuri anai-anai, tentang pentingnya perihal zuriat tatkala diriku tua nanti supaya takhta dan kuasa dapat terus kekal dalam ruang rumahku.. biar berlubang dinding, biar berlopong tiang dan alang, biar tumbang rumah itu asalkan takhta dan kuasa dapat terus dinodai oleh zuriatku..

dalam mimpi aku perjelaskan pada permasuriku, permaisuri anai-anai, bahawa yang berkuasa ke atas sekawan manusia itu ialah politikus.. politikus dan lampin bayi punyai satu persamaan.. kedua-duanya harus ditukar selalu -- atas sebab musabab yang sama.. bagi hematku, biar takhta dan kuasa bertukar tangan asal rumah tidak roboh..

dalam mimpi aku dimarahi oleh permaisuriku, permaisuri anai-anai, yang tidak berpuas hati dengan keenggananku berzuriat.. permaisuri anai-anai mahu berpisah denganku kerana perbedaan kasta dan pemikiran.. aku relakan.. satu perkara indah hidup sendiri ialah aku sentiasa ada disaat aku memerlukan diriku..

di kesayupan, aku terdengar azan subuh dari lereng curam gunung bahagia.. buaian mimpi terhenti.. aku terjaga dari tidurku -- bukan sebagai raja tetapi sebagai pengembara yang sedang mendaki ke puncak gunung bahagia..


NARATIF

episod 1: http://qunang.blogspot.com/2011/03/satira-puncak-bahagia-episod-1.html

episod 2 & 3: http://qunang.blogspot.com/2011/03/satira-puncak-bahagiaepisod-2.html

episod 4: http://qunang.blogspot.com/2011/03/satira-puncak-bahagia-episod-4.html

episod 5: http://qunang.blogspot.com/2011/08/satira-puncak-bahagia-episod-5.html

No comments: