Thursday, April 24, 2014

NSE bukan NFC: Rafizi Gali Kubur Sendiri


Rafizi Berhadapan dengan Saman OSA

1.  Cubaan kedua Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, untuk meraih populariti dengan membangkitkan kontroversi berkaitan pertanggungjawaban kerajaan terhadap agihan dana R&D bakal memakan diri.

2.  Isu ini berpotensi besar memakan dirinya sendiri ekoran fitnah, pembohongan dan cerita-cerita half-cook yang memungkinkan beliau berhadapan dengan saman RM200 juta daripada syarikat yang berkenaan.

3.  Rafizi pada hakikatnya cuba menonjolkan diri sebagai hero di tengah-tengah pergelutan dan pemilihan hujung minggu ini.



Fakta Syarikat

4.  NSE Resource Corporation (M) Sdn. Bhd.  atau juga dikenali sebagai NSERC merupakan sebuah syarikat usahasama dimana 25% pegangan sahamnya dimiliki oleh Malaysia Venture Capital (MAVCAP) iaitu sebuah entiti perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.).  Baki 75% pegangan sahamnya dimiliki oleh 2 orang pakar tempatan iaitu En. Azhar bin Anuar dan En. Shahrul Sazali bin Ahmad Safian yang berpengetahuan dan berpengalaman luas di dalam bidang kejuruteraan polimer dan renewable energy (tenaga boleh diperbaharui).

5.  Syarikat ini juga merupakan sebuah syarikat berasaskan teknologi tinggi yang mula beroperasi sejak tahun 2002 dan memegang 5 hakcipta yang dipatenkan menerusi MyIPO.  Selain daripada itu, syarikat ini telah mendapat pelbagai pengiktirafan dari sudut teknikal dan teknologi perintis termasuk melalui Bioeconomy Transformation Programme (BTP) yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dimana syarikat ini telah berjaya melepasi penilaian intensif selama 6 minggu berturut-turut dalam bioeconomy lab yang dinilai oleh pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa.

6.  Pengiktirafan dan justifikasi dari sudut teknikal, teknologi hijau, prospek komersil dan risiko pelaburan juga telah dinilai oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selain daripada agensi perunding antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC).


Rafizi Terkhilaf: Geran Pembangunan bukan Geran R&D 

7.  Merujuk tulisan di laman blog Rafizi bertarikh 21 April 2014 bertajuk “Perdana Menteri Campur Tangan Dalam Urusan Geran MOSTI, Anugerah RM100 Juta Kepada Projek Komersil”, Rafizi telah membangkitkan beberapa perkara dari sisi yang tidak tepat.
(Rujukan: http://rafiziramli.com/2014/04/perdana-menteri-campur-tangan-dalam-urusan-geran-mosti-anugerah-rm100-juta-kepada-projek-komersil/ )

8.  Rafizi memulakan pembohongan bermula dari para (1) artikel tersebut dengan membangkitkan kenyataan Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Md Diah semalam yang menafikan berlakunya salahguna dalam pengurusan geran R&D MOSTI kononnya menunjukkan beliau sendiri tidak arif dengan perkara yang berlaku di bawah kementerian beliau.

9.  Hakikatnya, kenyataan daripada Timbalan Menteri MOSTI adalah merujuk kepada artikel lain di laman blog Rafizi yang bertarikh 15 April 2014 yang menuduh MOSTI tidak bertanggungjawab terhadap agihan geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D).  Artikel berkenaan langsung tidak menyebut tentang geran kerajaan kepada NSERC.
(rujuk: http://rafiziramli.com/2014/04/tiada-seliaan-ketat-dan-pertanggungjawaban-dalam-geran-mosti/)

10.  Rafizi telah terkhilaf dalam mentafsir dan membezakan diantara Geran Pembangunan dengan Geran R&D oleh kerajaan.  Lampiran surat daripada MOSTI yang disertakannya di dalam artikel berkenaan langsung tidak mencatatkan tentang Skim Geran R&D oleh kerana skim geran berkenaan kebiasaanya digunakan untuk permohonan pembiayaan penyelidikan daripada syarikat awam dan pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi.

11.  Geran yang dipertimbangkan oleh kerajaan kepada syarikat NSERC sama sekali tidak bersangkut-paut dengan Skim Geran R&D yang disebut oleh Rafizi.  Syarikat ini dikhabarkan akan mengemukakan saman ekoran pembohongan dan manipulasi fakta ini yang bertujuan mencemarkan imej syarikat dan menimbulkan kemarahan dan prasangka buruk golongan akademik.


NSERC Sudah Melepasi Fasa R&D

12.  Syarikat NSRC bukan hanya telah selesai melalui fasa R&D, malah telah berjaya menyiapkan projek seumpamanya di Sabah.  Syarikat ini juga telahpun bersedia untuk memulakan operasinya untuk projek biomass berasaskan kayu serpai (wood chip) yang dicadangkan di Kerteh Bio-Polymer Park, Terengganu melalui pelaburan awal setakat ini sebanyak RM 44.5 juta dengan pinjaman sebanyak RM 20.4 juta daripada Bank Islam Malaysia Berhad.

13.  Pelaburan ini telah membolehkan syarikat tersebut memetrai pejanjian bernilai RM 700 juta dengan syarikat konglomerat dari Korea dan Perancis untuk pembekalan steam bagi tempoh konsesi asas 10 tahun.  Ia juga menjadi faktor utama menjayakan pelaburan mereka berjumlah RM 2 Billion di Kertih Biopolymer Park Terengganu.

14.  Bersandarkan kepada keyakinan dan kepercayaan pelabur luar negara terhadap syarikat ini, rundingan susulan untuk membekal renewable energy kepada beberapa syarikat konglomerat luar negara yang lain di Gebeng Industrial Estate, Pahang berada dalam proses akhir rundingan. Oleh yang demikian, sebagai sebuah syarikat yang 25% sahamnya turut dipegang oleh kerajaan, maka syarikat ini telah memohon kepada pihak MOSTI sejumlah peruntukan untuk membiayai pembangunan projek tersebut.


Pertikaian Tentang Teknologi 

15.  Rafizi juga membangkitkan kononnya pembekal steam atau syngas untuk Kawasan Perindustrian Kerteh sudah pun ada dan tidak timbul keperluan kilang steam milik NSERC ini menjadi daya tarikan pelaburan di situ.  Ahli Parlimen ini cuba membangkitkan bahawa Petronas sudah mempunyai satu kilang iaitu Centralised Utilities Facilities (CUF) yang menghasilkan stim pada kadar 720 tan sejam atau 6.3 juta tan setahun, iaitu 6 kali ganda yang diperlukan oleh kilang baru milik CJ Arkema itu.

16.  Pengeluaran steam oleh Petronas CUF adalah berasaskan gas asli yang mempunyai nilai karbon yang tinggi dan tidak sesuai untuk kilang pengeluaran Methionine hijau.  Pihak pengilang terpaksa menyediakan pelaburan tambahan yang banyak untuk memproses semula steam yang berkarbon tinggi sekaligus menjadikan projek ini tidak “viable” di Malaysia.  Perlu diketahui bahawa kilang CJ-Arkema adalah kilang pengeluaran Methionine hijau yang pertama seumpamanya didunia.

17.  Dari sudut pembekalan tenaga pula, apa yang tidak dibangkitkan oleh Rafizi ialah implikasi kos yang perlu ditanggung.  Kos syngas yang dibekalkan oleh Petronas CUF ialah pada harga minima RM70.00 setan yang tertakluk kepada subsidi kerajaan sebanyak RM16.07 per mmBTU.

18.  Pertimbangan strategik yang perlu diperhalusi ialah daripada kerajaan membelanjakan subsidi untuk menampung penyaluran tenaga ke kilang tersebut, adalah lebih menguntungkan sekiranya gas berkenaan dijual ke luar negara pada harga RM45 per mmBTU.  Langkah ini membolehkan turnover kepada dana kerajaan daripada membayar subsidi RM16 kepada mendapat keuntungan RM45.


Perdana Menteri Arah Geran Diluluskan? 

19.  Pembohongan dan putar-belit paling nyata oleh Rafizi terbukti apabila dia menuduh Perdana Menteri campur tangan dengan memberi arahan kepada MOSTI agar geran RM100 juta diberikan kepada syarikat berkenaan.

20.  Daripada surat yang dilampirkan oleh Y.B. Rafizi, tidak ada langsung ayat yang berbaur “arahan” yang dicatatkan.  Minit yang dicatatkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri diatas surat berkenaan kepada Menteri MOSTI berbunyi: Y.B. Dato’ Dr. Ewon Ebin, Untuk pertimbangan.  Saya tiada halangan jika projek ini sesuai.

21.  Daripada dokumen yang didedahkannya, ternyata Perdana Menteri tidak “campurtangan” atau “memberi arahan” untuk kelulusan geran ini, sebaliknya beliau memberikan sokongan bedasarkan minat dan kesungguhan beliau untuk,
  • menjayakan Bioeconomy Transformation Programme (BTP) dan mengupayakan syarikat-syarikat berkaitan teknologi hijau.
  • membina imej negara Malaysia sebagai peneraju dalam bidang bio-teknologi dengan menyediakan fasiliti pengeluaran renewable energy menggunakan biomass (serpai kayu) yang berskala besar mencecah 180 tan steam sejam atau 60 MW tenaga.  (Fasiliti penjanaan tenaga biomass yang terbesar di Eropah hanya boleh menjana sebanyak 144 tan steam sejam)
  • menjimatkan sehingga RM 1.6 billion peruntukan subsidi dalam jangkamasa 10 tahun sekiranya gas asli digunakan untuk menjana steam di kawasan-kawasan kilang yang dinyatakan diatas.
  • membolehkan syarikat-syarikat konglomerat asing yang datang melabur di Malaysia mengurangkan kos tenaga elektrik dalam sekaligus menarik pelaburan asing (FDI) berjumlah sekitar RM 7.0 billion.

22.  Serangan sembrono oleh Rafizi secara jelas menampakkan kejumudan pemikiran kerana terikat dengan cara lama pembangkang yang mengkritik apa sahaja perkara yang boleh membawa kepada pujian dan pengukuhan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional.  Kegagalan beliau untuk mengenalpasti dan mempertimbangkan projek-projek yang berupaya menjadi kebanggaan negara (national pride) yang seharusnya diberi kemudahan unlimited fund oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan jelas menunjukkan kedangkalan akal fikirannya.

23.  Jika dahulu Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya membangunkan Proton sebagai satu-satunya pengeluar kereta dari kalangan negara Islam sehingga negara Malaysia dikagumi di seluruh pelosok dunia, projek renewable energy berasaskan biomass ini berupaya mengangkat nama negara di mata dunia dari sudut penguasaan teknologi hijau, membangunkan pengusaan ekonomi bio, sekaligus menaikkan nama Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai seorang tokoh negarawan yang hebat dan berpandangan jauh.  Perkara seperti inilah yang sebenarnya paling ditakuti oleh pembangkang kerana mereka tidak akan mampu untuk berhadapan dengan “The Second Mahathir”.

No comments: