Thursday, December 25, 2014

HAK PENGGUNA: BILA KITA NAK SEDAR?


Menanti Reaksi Golongan Saudagar

1. Adakah harga barangan akan turun apabila harga minyak turun?

2. Sekian lama kerajaan dipersalahkan apabila harga barangan meningkat bilamana harga petrol meningkat.  Pelbagai provokasi dan tohmah nista diluncurkan kepada kerajaan sehinggakan parti pemerintah, BN, disamaertikan dengan Barang Naik.

3. Kurang lebih seminggu lagi, kita bakal melihat unjuran harga petrol dengan kadar yang lebih murah.

4. Jika sebelum ini masyarakat kita beberapa kali dihidangkan dengan alasan “kenaikan kos bahan api” sebagai justifikasi menaikkan harga pelbagai jenis barangan, sekarang kita nantikan sama ada mungkin ada kesan bilamana kos bahan api turun mendadak.

5. Beberapa hari lalu, seorang mahasiswa sahabat FB saya bertanya: Kenapa harga minyak turun december n then january, pengangkutan awam especially bus express tak turun harga, especially kangar to kl, we pay the most?

6. Bukan hanya terhadap syarikat bas ekspress, tetapi juga untuk segala jenis barangan dan perkhidmatan yang pernah menggunakan alasan “kenaikan kos bahan api” untuk menaikkan harga, perlu ditekan untuk menurunkan harga.

7. Di pihak pengguna, kita perlu mempunyai mekanisme yang lebih tersusun untuk mewujudkan ripple effect yang berupaya menekan golongan saudagar untuk menurunkan harga barang dan perkhidmatan.

8. Perlu disebutkan, harga teh tarik pernah naik 10 sen bila harga susu pekat naik 10 sen; seolah-olah satu tin susu dituang ke dalam segelas teh tarik.  Hakikatnya, kesan kenaikan diesel ketika itu tidak sampai RM20 untuk sebuah lori yang membawa 10,000 tin susu pekat dari Johor Bahru ke Kangar.  RM20 bahagi 10,000 tin bersamaan RM0.002; tidakpun sampai 1 sen impak kenaikan harga bahan api.  

9. Demikian juga dengan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan lain.  Pengguna ditipu seolah-olah semua harga barang terpaksa dinaikkan kerana kos bahan api naik 10 atau 20 sen seliter.


Trend harga minyak mentah dunia dalam tempoh 10 tahun.
Trend harga minyak mentah dunia dalam tempoh 10 tahun.

Memahami Asas Urusniaga Komoditi

10. Beberapa minggu sebelum ini, seorang sahabat menghantar sms bertanya: Kenapa sudah dekat 2 bulan kerajaan BN buat-buat lupa hendak turunkan harga petrol bila harga minyak dunia turun mendadak sejak September?

11. Harga minyak mentah dunia turun dibawah paras USD100 pada 8 September 2014 selepas lebih setahun melonjak dan terapung di paras yang tertinggi dalam sejarah komiditi minyak mentah dunia.

12. Hanya pada 30 November 2014, kerajaan mengambil keputusan menurunkan harga RON95 sebanyak 4 sen.  Dan penurunan susulan dijadualkan dalam bulan Januari 2015 sekiranya harga minyak mentah dunia terus stabil di paras rendah.

13. Seperkara yang perlu difahami, urusniaga komoditi bukanlah seperti membeli selipar jepun di kedai runcit. Selipar putus, pergi kedai, pilih saiz, bayar duit dan boleh berjalan pulang dengan kasut baru.

14. Sebagai contohnya, pada pertengahan tahun 2014, apabila harga minyak mentah dunia turun ke paras USD103 per barrel selepas begitu lama berlegar pada kadar diantara USD105 hingga USD108 per barrel, maka syarikat pengedar minyak perlu membuat keputusan sama ada; (i) membeli stok yang banyak pada kadar USD103 sebelum harga naik semula atau, (ii) menunggu harga minyak mentah turun lagi sebelum membeli.

15. Dalam keadaan tiada siapa yang menjangka harga minyak mentah dunia akan turun mendadak ke paras USD55 per barrel pada hari ini, kebanyakan pengedar minyak membuat belian (atau kontrak tempahan) untuk membeli stok minyak pada kadar USD103.

16. Dengan sebab itulah, kesan penurunan harga minyak dunia pada September 2014 tidak boleh dirasai oleh masyarakat pada bulan atau minggu atau hari yang sama.

No comments: