Friday, December 19, 2014

MAJLIS PERPISAHAN SENATOR

1. Semalam diadakan majlis perpisahan untuk Y.B. Senator Prof. Dr. Fidaus Abdullah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang bakal menamatkan penggal khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Negara pada bulan Februari 2015. 

2. Prof. Dr. Firdaus dikenali sebagai pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan yang tuntas mendakap kepentingan mempertahankan intipati tradisi orang Melayu khususnya melibatkan Bahasa Melayu.


3. Di akhir majlis tersebut, sebahagian para hadirin yang terdiri daripada pegawai-pegawai muda dalam kerajaan mula membicarakan tentang ucapan perpisahan beliau. 


4.  Dengan nada perjuangan yang meresap ke tulang hitam, Prof. Dr. Firdaus mengungkapkan, "saya ucapkan terima kasih kepada pemimpin negara yang melantik saya sebagai Senator walaupun sumbangan saya terlampau kecil dan tidak setimpal."


5. Ada dikalangan para Senator yang kelihatan terpukau dengan ucapan tersebut bilamana seorang tokoh besar seperti Prof. Dr. Firdaus masih merasakan sumbangannya terlampau kecil dan tidak setimpal. 


6. Jika sumbangan Prof. Dr. Firdaus itu kecil dan tidak setimpal, apa pula sumbangan para Senator yang lain?  Apatah lagi sebilangan Senator yang dilihat acapkali membaca (bukan berbahas) ketika sidang perbahasan Dewan Negara.


7. Dewan Negara memerlukan lebih ramai tokoh yang mempunyai wibawa, sinergi dan ilmu pengetahuan setanding dengan Prof. Dr. Firdaus untuk diangkat sebagai Senator agar mutu perbahasan dapat dipertingkatkan sepanjang proses memperhalusi dasar-dasar negara. 





Patricia Takemoto 
oleh Y.B. Senator Prof. Dr. Fidaus Abdullah:

Patricia Takemoto adalah gadis jepang
berambut lurus panjang
bermata lembut garang
kerana lahirnya
dan besarnya di Amerika
maka jadilah dia jepang Amerika
tetapi dia lebih dari itu

Rambutnya yang lurus panjang
bagai memanggil datang dilihat dari belakang
dan dari depan:
rambut, hidung, pipi dan telinga
bagai sukarelawan bergotong-royong
spontan membina satu wajah senyum
yang amat manis dan penuh rahsia
tetapi dia lebih dari itu

Matanya yang lembut garang
selembut sutera yang amat halus
segarang pahlawan yang amat perkasa
adalah adukan yang menakjubkan
dan lebih menakjubkan lagi
ditambah sepasang bibir
yang amat menarik
bagai wajah anak kecil
yang manis dan montel
menakjubkan dalam pandangan
menakjubkan dalam khayalan
tetapi Patricia Takemoto lebih dari itu.

Di suatu malam di sebuah restoran
di bawah sinar lampu yang kurang terang
tetapi tidak terlalu gelap
kami duduk berhadap-hadapan
dia memegang gelasnya
sekali-sekala mata kami berlaga
kami bicara tentang cinta
tentang kembara
tentang langkah kiri dan langkah kanan
tentang segala kemungkinan
aku memegang gelasku
tetapi yang kuminum
ialah senyuman di hujung setiap kalimatnya
kami bicara tentang cinta
tentang asmara
tentang kecil bertunang
tentang besar bertunang
demikian kuingat akan aku dan Patricia di Amerika
tetapi ada ingatan yang lebih dari itu

Di suatu malam di kuala lumpur
toleransiku terduga oleh seorang pacar
Maka teringatlah  Patricia yang jauh
ingatan yang penuh rindu
tetapi ada rindu yang lebih dari itu.

No comments: