Sunday, June 15, 2008

Pemilihan Pemimpin

1. Golongan yang tidak menentang kepincangan dalam urus tadbir negara dan parti pada hari ini wujud kerana berpunca daripada beberapa sebab antaranya putus asa, terhutang budi dan jual-beli sokongan politik.

2. Golongan yang berputus asa adalah golongan yang telah cuba menggerakkan perubahan sebelum ini tetapi gagal (atau tertipu) sekaligus berhadapan dengan tekanan politik dan sosial dalam menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

3. Golongan yang terhutang budi adalah golongan gampang yang terikat atau diikat oleh pemimpin melalui anugerah tender secara runding terus menyebabkan mulut, hati dan fikiran menjadi kelu akibat diperosok dengan duit.

4. Golongan ketiga merupakan suatu kelompok manusia yang tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dan bergerak untuk menyokong (atau sebaliknya) berlandaskan kepada sogokan kebendaan. Berbeza dengan golongan kedua, golongan ini tidak memikirkan perkara-perkara sebelum atau selepas dari tindakan mereka itu tetapi hanya memikirkan tindakan mereka dari aspek tugas yang perlu diselesaikan (kerana dibayar).

5. Realiti dalam memilih seseorang pemimpin yang berkaliber dapat diperhatikan dalam sejarah Indonesia dimana rakyat Indonesia telah memilih B.J Habibie, Abdurrahman Wahid dan Megawati Sukarnoputri sebelum berpuashati dengan Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden terbaik untuk republik itu, sekaligus meredakan ketegangan dan tunjuk perasaan yang berlarutan bertahun-tahun.

6. Begitu juga halnya dengan laluan sukar dan pelbagai peringkat proses tapisan yang perlu dilalui oleh calon-calon Presiden Amerika Syarikat yang terpaksa berdebat dan berhujjah sebelum dapat menyertai senarai calon-calon yang akan diundi sebagai Presiden Amerika Syarikat.

7. Keadaan ini membuktikan bahawa bukan mudah untuk seseorang itu menjadi pahlawan atau wira untuk berdiri sebagai yang terbaik dikalangan jutaan manusia; sepertimana jaguh tinju dunia, Muhammad Ali, terpaksa menumbangkan Joe Pfizer sebelum layak digelar jaguh dunia.

Qunang : menang dalam pertandingan tentu sekali lebih indah maknanya dari menang tanpa pertandingan. begitu juga dengan kekalahan.

Hikmah Politik

1. Ahli-ahli UMNO khususnya di kawasan luar bandar secara relatifnya begitu sensitif terhadap kumpulan-kumpulan yang “menongkah arus” untuk melakukan perubahan terhadap pucuk pimpinan. Kemerosotan undi yang melampau dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu masih belum mampu untuk menggerakkan mereka dari lena yang panjang dan selesa.

2. Banyak teori kejatuhan UMNO yang dilontarkan; semuanya betul tetapi tiada satupun yang tepat.

3. Pada hemat saya, kegagalan pucuk pimpinan menyedia dan mematuhi suatu mekanisme atau feedback system bagi mendapat gambaran sebenar tentang sikap ahli-ahli di akar umbi menjadi penyebab kepada keruntuhan empayar UMNO di semenanjung Malaysia.

4. Line-up yang cuba diketengahkan oleh UMNO/BN dalam PRU12 sebahagian besarnya adalah pemimpin-pemimpin korup, expired, bongkak dan bermasalah manakala sebahagian lagi merupakan bidan terjun dari langit yang menjadi proksi atau pemegang kunci pejabat PM dan menantunya.

5. Rakyat dipaksa untuk menerima sesiapa saja sebagai pemimpin mereka atas dasar taat setia terhadap parti dan pimpinan sedia ada; maka sebahagian besar yang menjunjung prinsip dengan didorong keyakinan diri dan pemberontakan dalaman bertindak mengubah haluan dengan mengundi pembangkang atau duduk diam di rumah, sekaligus melenyapkan undi popular UMNO/BN.

Qunang: tak mahu jadi lembu yang dicucuk hidung dan dibawa ke merata tempat.