Friday, December 31, 2010

SEMANGAT RAJA TERBILANG

(My personal tribute to Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail and Almarhumah Tengku Hajjah Budriah binti Almarhum Tengku Ismail)


ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA IBNI ALMARHUM SYED HASSAN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., D.K.K., D.M.N., S.M.N., D.K.(Brunei), D.K.(Selangor), S.P.D.K.(Sabah), D.K.(Kelantan), D.P.(Sarawak), D.K.(Kedah), D.K.(Pahang), D.K.(Johor), D.K.(Negeri Sembilan), D.P.S.S.(Sarawak), D.K.(Perak), D.K.(Terengganu), D.K.M.B.(Brunei)
ALMARHUM TENGKU BUDRIAH BINTI AL-MARHUM TENGKU ISMAIL
D.K., P.M.N., S.M.N., S.P.M.K.(Kelantan)



























1. Inilah tulisan terakhir saya sebelum berlabuhnya tirai 2010.


2. Saya dilahir dan dibesarkan di Bandar DiRaja Arau dalam sebuah keluarga yang rapat dengan Istana.


3. Saya bersekolah rendah di Sekolah Tengku Budriah (STB), yang dinamakan bersempena nama Almarhumah Tuanku Raja Perempuan Besar.


4. Sebelum melanjutkan pengajian menengah saya di Sekolah Menengah Derma (SMD), saya terlebih dahulu “singgah” di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMTSP), yang dinamakan bersempena nama Almarhun Tuanku Syed Putra Jamalullail.


5. Sejak di zaman kanak-kanak dan remaja, saya diberi peluang oleh bonda tercinta untuk mengikuti banyak program-program kebajikan dan kemasyarakatan yang digerakkan oleh Almarhum dan Almarhumah berdua sehinggalah saya merantau untuk menambah ilmu di dada.


6. Lebih dari separuh usia saya berlegar dalam sebuah kehidupan yang mendaulatkan institusi Raja sebagai pemerintah yang dihormati dan disegani.


7. Semangat dan aspirasi baginda berdua menjadi pendorong yang memangkin perpaduan dan kestabilan dalam masyarakat.


8. Almarhum Tuanku Syed Putra merupakan Raja yang berkarisma dan amat disenangi rakyat. Baginda memimpin berlandaskan kasih sayang, keadilan dan memandang tinggi kehendak dan keperluan sekalian rakyat. Walaupun baginda dinobatkan sebagai Raja paling lama di dunia yang menduduki takhta, tidak pernah berlaku pergeseran dan sengketa besar di kalangan rakyat di negeri Perlis sepanjang pemerintahan baginda.


9. Sebagai Ketua agama Islam, baginda memberikan kebebasan, penghormatan dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada alim ulama' yang dihimpunkan dibawah Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu; sekaligus membolehkan gerakan dakwah Islamiah dan perlaksanaan syariat agama berjalan lancar. Pendekatan meletakkan tanggungjawab kepada musyawwarah dikalangan individu yang menjadi ahli atau pakar dalam bidang berkaitan telah mengurangkan masalah kebejatan sosial di negeri Perlis ke tahap yang paling minimum dan terkawal.


10. Sifat pemurah baginda menghadiahkan pakej haji kepada rakyat terpilih setiap tahun, serta sumbangan peribadi kepada pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti telah membuka ruang sentuhan peribadi yang meluas dikalangan segenap lapisan masyarakat secara berterusan.


11. Dimana-mana kampung yang dilawati baginda, semua rakyat mengenali baginda sebagai Raja yang dekat dihati rakyat walaupun di zaman baginda tidak berlaku trend menaikkan kain rentang dan papan tanda untuk mendaulatkan baginda. Baginda dikenali kerana keramahan dan sifat tidak sombong yang berkekalan walaupun selepas menamatkan penggal sebagai Yang Dipertuan Agong.


12. Dalam menjana ekonomi dan menaikkan taraf hidup rakyat, baginda memilih untuk membuka ladang tebu di Chuping yang memberikan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat. Walaupun perusahaan ladang tersebut merupakan pelaburan langsung dari saudagar Cina, masyarakat Melayu mendapat faedah besar dengan peluang pekerjaan dan perniagaan dinikmati dengan penuh kesyukuran. Rezeki untuk sekalian rakyat diagihkan secara sekata dan saksama membolehkan seluruh rakyat hidup dalam rukun damai tanpa rungutan dan sungutan.


13. Almarhumah Tengku Budriah juga terkenal dengan amalan kebajikan dan kemasyarakatan baginda dimana penghormatan diberikan untuk mengisi ruang nama di beberapa institusi kebajikan dan pendidikan seperti Sekolah kanak-kanak Cacat Tengku Budriah, Taman Didikan Tengku Hajjah Budriah (Jalan Sungai Besi), Taman Didikan Kanak-kanak Darul Farah dan Yayasan Amal Tengku Hajjah Budriah.


14. Sebagai salah seorang penulis ucapan baginda, saya berpeluang menelusuri keluhuran hati budi Almarhumah dalam memupuk hubungan silaturrahim yang erat dikalangan sesama rakyat.


15. Ketika masih sihat dan kuat, baginda selalu melakukan lawatan ke kampung-kampung untuk bertemu fakir miskin dan insan-insan istimewa di ruang tamu rumah mereka yang terselit segala kepayahan dan keuzuran. Pernah juga baginda menitiskan air mata melihat seorang ibu tua di Bintong yang ditinggalkan oleh anak-anaknya di sebuah pondok usang untuk bekerja sebagai pensyarah dan guru di Selangor dan Perak. Anak-anak itu tidak menjenguk ibu mereka selama bertahun-tahun.


16. Almarhumah Tengku Budriah memilih hobi yang mendekatkan baginda dengan rakyat jelata. Oleh kerana baginda gemar menanam pokok, menjahit, menggubah bunga dan memasak, maka banyak pertandingan dan kursus-kursus yang seiring dengan hobi tersebut dianjurkan melalui badan-badan bukan kerajaan. Gerakan dan aktiviti golongan wanita di kampung-kampung menjadi lebih bermanfaat dengan adanya garapan dan galakan yang berterusan dari baginda.


17. Kasih dan hormat hadir dengan sendirinya melalui keluhuran budi baginda berdua.


18. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada baginda berdua.


19. Dan, semoga legasi dan semangat Raja terbilang ini diwarisi oleh anakanda dan seluruh kerabat baginda yang saya hormati.


Tuesday, December 28, 2010

ROMBAKAN UMNO PERLIS


Tahniah!

1.Syabas dan tahniah diucapkan kepada Dato’ Seri Shahidan Kassim diatas perlantikan beliau ke jawatan Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Perlis.

2.Perlantikan ini dilihat oleh khalayak umum sebagai pengiktirafan Perdana Menteri diatas komitmen dan gaya kepimpinan beliau yang amat efektif dalam mendekati rakyat secara konsisten.

3.Perdana Menteri nampaknya berkeyakinan bahawa banyak undi berada di tangan di tangan Dato’ Seri Shahidan dalam memastikan survival UMNO di negeri Perlis.

4.Terima kasih kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di atas isyarat jelas yang diberikan kepada para pendokong tulen UMNO di Perlis bahawa regim Md Isa akan dikuburkan tidak lama lagi.

Kemerdekaan Separuh Masak

5.Kebijaksanaan keputusan Perdana Menteri menangguhkan penyingkiran Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Perhubungan adalah susulan daripada tindakan melobi, mengugut dan campurtangan pihak ketiga.

6.Ekoran ugutan untuk meletak jawatan oleh dua orang ADUN Barisan Nasional di Perlis sekiranya Md Isa disingkirkan, sumber di ibukota memberitakan bahawa Perdana Menteri terpaksa menunggu sehingga selepas bulan Mac untuk “melakukan sesuatu yang lebih drastik” bagi tujuan mengelak pilihanraya kecil diadakan. (Nota: Sebarang kekosongan kerusi selepas 8 Mac 2011 tidak memerlukan pilihanraya kecil)

7.Perdana Menteri mungkin berpendapat bahawa walaupun UMNO/BN boleh menang sekiranya pilihanraya kecil diadakan di kedua-dua kawasan DUN tersebut namun ianya tidak memberi manfaat dari sudut kos dan kerahan jentera, apatah lagi ketika fokus yang lebih khusus diberikan kepada persiapan pilihanraya umum.

8.Ketika mengharapkan jawatan yang disandang akan dikekalkan sekiranya mereka menyokong Md Isa dengan cara itu, apa yang pasti kedua-dua ADUN tersebut sudah pasti tidak akan dicalonkan semula sama ada BN Perlis masih diterajui oleh Md Isa atau sesiapa sahaja menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Dalam ghairah cuba mempertahankan jawatan wakil rakyat, mereka terlupa bahawa mereka hanya akan dapat kurang 20 undi jika bertanding calon Bebas. Kemenangan mereka adalah kerana pengaruh UMNO/BN dan bukan kekuatan atau persona diri.

9.Reaksi spontan dikalangan pimpinan UMNO di Cawangan dan veteran-veteran UMNO melahirkan kekecewaan kerana Datuk Zahidi Zainol Abidin, Ketua Bahagian Padang besar dan bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan, seolah-olah dihukum kerana kesilapan yang tidak dilakukannya.

10.Bagi mereka, punca kacau bilau dalam UMNO Perlis adalah disebabkan oleh Pengerusi Perhubungan yang terlalu longlai; dan tidak sama sekali berhubungkait dengan Timbalan Pengerusi Perhubungan.

11.Berdasarkan kehebatan Datuk Zahidi menumpaskan Datuk Seri Azmi Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Padang Besar dan bekas menteri kanan, beliau dilihat sebagai pemimpin berkaliber dan berpotensi untuk merencana kekuatan UMNO dimasa hadapan.

Reaksi Shahidan

12.Dalam pada itu, Datuk Seri Shahidan dilihat terus bertenaga dalam menonjolkan keprihatinan beliau pada majlis meraikan petugas dan jentera pusat penempatan mangsa banjir di Hotel Putra Palace, Kangar.

13.Walaupun memilih untuk tidak memberikan reaksi panjang lebar berhubung rombakan UMNO Perlis dalam sidang media selepas majlis tersebut, beliau menekankan bahawa UMNO Perlis perlu menjauhkan diri daripada petualang-petualang yang tidak mempunyai kesetiaan kepada parti hingga sanggup memijak bendera UMNO dan mengkhianati parti sehingga tersungkur di lima negeri.

14.AJK Bahagian Kangar dan beberapa Ketua Cawangan UMNO dalam Bahagian Kangar yang dipimpin oleh Md Isa Sabu turut menyertai sebahagian besar pimpinan utama UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar yang hadir memberikan sokongan moral kepada beliau.

15.Masing-masing mengharapkan rombakan terkini dalam UMNO Perlis menjadi permulaan kepada usaha membaikpulih imej dan sokongan terhadap parti di negeri ini.

qunang: Hati-hati.. ada orang nampak kelibat ombak besar pembawa tsunami.. :D

Saturday, December 25, 2010

NAZAKNYA REGIM BONEKA


Menghampiri Ajal Politik


Jika kumpulan Pakatan Rakyat boleh menjanjikan perlaksanaan 10 perkara besar dalam tempoh 100 hari; regim Md Isa Sabu sudah 1012 hari merampas kuasa di Perlis namun masih tercari-cari arah tuju pembaharuan yang hendak dibawa. Sebaliknya, kegagalan demi kegagalan ditempa saban hari dalam sengeh serba tak tahu sang Menteri Besar.


Berikut disorotkan episod kegagalan regim ini yang sebenarnya sudah mencapai matlamat mereka untuk menjatuhkan Datuk Seri Shahidan Kassim kerana dendam dan dengki. Tidak pernah pula mereka fikirkan apa sebenarnya yang hendak dilakukan selepas itu lantaran tidak ada idealisme dan pendekatan yang jelas untuk membangunkan negeri Perlis. Kerana itu, mereka terkontang-kanting bila diberi peluang mendakap kuasa hingga segala tindakan menjadi gagal dan separuh masak.


1. Kegagalan menghormati dan menghargai sayap-sayap parti dengan penafian hak terhadap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengisi jawatan-jawatan kanan dalam pentadbiran.


2. Kegagalan merencana perpaduan dalaman akhirnya memperlihatkan penyalahgunaan kuasa yang membawa perpecahan pimpinan di peringkat kampung dengan menolak pemimpin yang diberi kepecayaan secara konsensus (Ketua Cawangan) oleh penduduk kampung untuk lantikan sebagai Pengerusi JKKK.


3. Kegagalan untuk mendapat salutasi dan rasa hormat rakyat apabila memilih untuk tunduk secara konsisten kepada Punahsihat yang dilantiknya sendiri hingga Punahsihat boleh duduk di kerusi biru Meteri Besar dalam majlis yang dihadirinya.


4. Kegagalan mengetengahkan ideologi dan prinsip kepimpinan apabila hilang kawalan dan kebesaran terhadap jawatan yang disandang kerana membiarkan diri dihimpit secara keterlaluan oleh 3R – Radzi, Razlan dan Raja.


5. Kegagalan mengadakan koordinasi kecemasan yang berkesan ketika menghadapi bencana alam seperti ribut dan banjir hingga membuka pekung kelemahan sendiri kepada umum. Barang-barang yang disumbangkan untuk mangsa banjir termasuk makanan masih disimpan kononnya untuk menghadapi gelombang kedua. Gelombang kedua tidak menjadi kenyataan, makanan pula menghampiri tarikh luput.


6. Kegagalan mencari sumber pendapatan tambahan untuk kerajaan negeri sehingga wakil rakyat yang menjadi orang kuatnya sendiri merungut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tentang nasib dan masa depan kerajaan papa kedana yang mengekang penganjuran aktiviti kemasyarakatan di peringkat kawasan.


7. Kegagalan menyekat kemaraan pembangkang dari bertapak lebih kukuh di Perlis apabila DAP dan PKR sudah boleh membuka markas-markas di setiap Bahagian; manakala PAS terus dibiar mengukuhkan cengkaman di kubu mereka.


8. Kegagalan mengetepikan unsur-unsur kronisme dan nepotisme sebagaimana dijanjikan apabila anaknya sendiri menjadi “tukang kutip lesen” sedang isterinya boleh mengarahkan pemberian projek-projek kerajaan secara terus dengan menelefon pengarah-pengarah jabatan kerajaan.


9. Kegagalan menunaikan amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis untuk memanggil mesyuarat Badan Perhubungan sekurang-kurangnya sekali dalam masa 2 bulan sebagaimana yang dituntut dalam Seksyen 12.7, Perlembagaan UMNO.


10. Kegagalan membawa masuk pelaburan berjumlah berbillion-billion ringgit sebagaimana yang diumumkan dalam sidang DUN hingga menghilangkan keyakinan rakyat yang akhirnya sekadar menerima dengan sinis apa sahaja omong-omongan baru yang hendak dibawakan.


Sokongan Plastik Si Kayu Golek


Tergolek-golek si kayu golek,

Makin bergolek semakin molek,

Rambut bersikat, muka bersolek,

Dahi berkilat semacam toslek,


Melompat melantun si kayu golek,

Orang berjuang mereka rilek,

Sekali datang terus menggelek,

Disana makan, disini kelek.


Hebat sungguh si kayu golek,

Boleh bergolek boleh bergelek,

Sebelum melangkah pergi bertelek,

Siapa naik disitu bertenggek.


Sejak dari awal regim Md Isa Sabu bersama Punahsihat 46% kesayangannya melakukan rampasan kuasa di Perlis, telah berulangkali disebutkan tentang begitu ramai penyokong-penyokong plastik disekeliling mereka. Sokongan jadi-jadian ini tidak lain hanya kerana untuk menyara anak isteri di rumah melalui imbuhan dan gula-gula politik semata-mata. Perjuangan tulus untuk membangunkan agama, bangsa dan tanahair diketepikan.


Kaedah mengenali penyokong plastik ini adalah bilamana kegagalan diwar-warkan sebagai kejayaan; dan bilamana kelemahan dikatakan kehebatan. Plastik-plastik yang spastik itu merupakan pembodek ulung tanpa nas-nas yang bernas. Hakikatnya, tidak ada seorangpun dikalangan mereka yang menyuarakan sokongan tanpa diberikan hun mahupun imbuhan.

Patung Kayu Golek boleh ditukar-tukar kepala mengikut kesesuaian keadaan.


Sebagaimana resminya guli dan bola, sekali datang ribut bergoleklah yang bulat ini mengikut tujahan angin. Timur boleh, barat pun boleh. Adapun yang menjadi masalahnya bila kayu-kayu golek ini pergi ke Kelantan bercakap Jawa dan pergi Johor bercakap Russia. Putar belit yang dibuat-buat. Dalam masyarakat Jawa, kayu-kayu golek dirujuk sebagai kayu yang digunakan untuk membuat patung-patung wayang golek dalam pelbagai rupa.


Sebahagian besar penyokong plastik spastik adalah dari spesies kayu golek. Mereka tidak segan silu untuk bermuka-muka bermain wayang golek. Bila sahaja terdengar guruh petanda hujan rahmat di seberang alur, maka berbondong-bondong mereka berlari ke seberang dengan senyum sengeh yang tersimpul bak kerang busuk. Tergambar hipokrasi demi manfaat diri.


Kumpulan kayu golek inilah yang menumpulkan keris perjuangan yang sedia sumbing. Baik buruk sesuatu perkara tidak lagi diutamakan kerana yang penting ialah membodek – “yes boss!”, “semua okey boss!”, “no hal punya boss!”. Kumpulan ini menghilangkan kepekaan pemimpin tentang keutamaan mendepani kehendak dan rayuan rakyat. Mereka berbangga dengan kebolehan mereka mendodoi pemimpin agar bebas mereka merampok segalanya yang boleh memberi memberi manfaat untuk diri sendiri.


Kepada sesiapa sahaja yang telah dan akan bergelar pemimpin dan penguasa, berhati-hatilah dengan wayang si kayu golek!


qunang: siapa gelek siapa?